Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,871
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

BAB 8

“MACAM mana dengan dia?” soal Diana sebaik sahaja Rizqi keluar dari kamarnya.

Rizqi melepaskan keluhan kecil. Dia menongkat dahi. “Okay. Darah pun dah berhenti mengalir. Rizqi suruh dia berehat sebab darah banyak keluar tadi. Takut dia pengsan pulak.”

“Alhamdulillah.” Diana sebenarnya tidak tahu hendak menyebelahi siapa. Walaupun begitu, secara logiknya perkara ini tidak akan berlaku sendiri tanpa didorong sesuatu. Takkanlah Bella tergamak melakukan perkara seburuk itu terhadap Kay?

“Rizqi, Kak Long nak tanya sesuatu pasal Belle.”

Rizqi mendengus kencang. Tak habis-habis nak menyebelahi Bella! “Kak Long nak tanya apa lagi? Kak Long nak cakap… bukan dia yang buat Kay? Kan?”

“Bukan macam tu, Rizqi. Kak Long cuma keliru. Takkanlah Belle tergamak nak lukakan Kay. Kita kenal Belle tu kan dah lama. Selama lebih 10 tahun akak kenal dia, Belle tak pernah buat perangai jahat macam tu. Marah macam mana pun dia… dia tak adalah sampai ke tahap nak mencederakan orang!” Diana memberikan pendapatnya. Cepat betul Rizqi naik angin kalau menyentuh soal Kay. Dia cuma mengutarakan apa yang dia rasa tidak betul.

Rizqi mengurut-ngurut kepala. Antara isteri dan seorang lagi bekas isteri. Sudah pastilah dia percayakan isterinya yang sekarang ini! “Terpulanglah Kak Long dan mak nak fikir apa. Saya tahu akak dan mak sayangkan Belle. Tapi… tak semestinya orang yang kita kenal bertahun-tahun lamanya tu baik sentiasa. Mungkin ada keburukannya yang kita tak tahu.

“Iya akak tahu tu, Rizqi.” Diana menarik nafasnya dalam. Dia cuba mencari akal bagaimana nak mempertahankan Bella, bekas adik ipar yang dia sayangi. “Tapi… kitapun tak bolehlah nak percaya orang yang kita baru kenal seratus peratus, kan?”

“Sekarang ni akak nak cakap yang isteri Rizqi tu… penipu? Dia cederakan tangan dia sendiri dan sengaja tuduh Belle? Macam tu?”

Diana menggeleng-geleng. Kes ini memang kompleks. Dia sendiri tidak tahu siapa yang harus dia persalahkan. Kalau menuduh Kay semberono pun tak boleh juga!

“Esok, Rizqi bercakaplah dengan Belle. Tanya dia tentang hal ni ataupun berbaik semula dengan dia. Akak kesian dengan dia, Rizqi. Ingat sikit… dia tu ibu kepada anak-anak Rizqi. Rizqi tak boleh terus salahkan dia macam tu je tanpa usul periksa,” nasihat Diana lembut.

Rizqi terdiam. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Percayakan isteri kesayangan atau beri peluang maafkan Bella? Tapi… benarkah Bella Amira yang bersalah? Rizqi buntu memikirkannya.

***

TIKA malam mulai larut, Bella Amira terbaring di katilnya ditemani Belina dan Riza yang sudah nyenyak tidur. Pipinya basah dengan air mata dek teringatkan kejadian tadi senja. Sampai hati Rizqi menuduhnya tanpa usul periksa! Manakala Kay pula, apa motifnya berperilaku begitu? Mencederakan diri sendiri untuk mengkambinghitamkan dia? Salah apa dia pada pasangan suami isteri tersebut?

Bella mengelap air matanya kasar. Hatinya terguris. Terseksa. Bukan dia merasa kesedihan ini kerana dia masih menyimpan perasaan terhadap Rizq. Bella cuma kesal. Kesal kerana Rizqi seakan-akan tidak mengenalinya lagi. Walhal mereka sudah 15 tahun saling mengenal dan sudah 10 tahun juga menjadi suami isteri sebelum ini. Masakan pandangan Rizqi berubah dengan sekelip mata setelah berkahwin dengan Kay?

Bella mengalihkan pandangannya ke jendela yang langsirnya terbuka sedikit. Cahaya bulan menerobos masuk ke dalam kamarnya. Menyinari bahagian meja solek di mana sebuah bingkai gambar keluarga lengkap Bella, Rizqi dan anak-anak tersusun di situ.

‘Aku mungkin salah. Kay isterinya. Sudah pastilah Kay menjadi keutamaannya. Rizqi bukan lagi duda. Dia suami orang. Dia ada tanggungjawab pada isterinya. Dia menyayangi Kay lebih dari segala-galanya. Walaupun Kay… Kay tak jujur pada dia,’ bisik hati Bella sayu.

Bella memaksa diri untuk tidur. Memejamkan matanya walaupun keadaan diri masih belum mengantuk. Dia harus bangun awal esok. Uruskan hal anak-anak dan hantar mereka ke rumah mak. Nanti petang, ambil mereka dan berlalu pulang tanpa perlu masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Bella tak mahu bertembung dengan Kay ataupun Rizqi. Dia tidak mahu dipersalahkan lagi atas perkara yang tidak dia lakukan. Dia tidak mahu menimbul sengketa. Dia tidak mahu….

Bella larut dalam mimpi. Kelam dan gelap. Tidak berteman siapa-siapa hanya dirinya seorang diri.

Dalam kegelapan itu, kaki Bella melangkah perlahan. Manakala tangannya menerawang ke hadapan. Tercari-cari arah untuk dituju. Setelah sekian lama berjalan tanpa hala tuju, akhirnya tangan Bella tersentuh sesuatu berbentuk tombol pintu. Dengan penuh keyakinan, tombol pintu tersebut dipulasnya.

Cahaya terang benderang membias ke wajah Bella saat pintu tersebut dibuka luas. Di hadapannya kelihatan dua buah jendela besar yang berlatarbelakangkan dinding berwarna merah jambu pudar. Terdapat dua buah sofa bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah terang.

Bella melangkah masuk ke dalam ruang tersebut. Dia menjadi keliru. Tak dapat menbezakan sama ada dia sedang bermimpi ataupun berpijak di atas bumi yang nyata.

“Mama! Mama! Jangan datang sini! Mama! Pergi mama! Pergi!”

Jeritan kanak-kanak yang serupa Belina dan Riza itu membuatkan Bella tersentak. Dia berkalih ke arah kanan. Kelihatan Belina dan Riza sedang membuat arahan tangan supaya dia menjauh dari mereka berdua sambil menjerit-jerit. Mata Belina membengkak akibat menangis terlalu lama. Manakala Riza pula lebam di tangan dan kakinya seperti tanda dicubit atau dipukul dengan benda keras.

“Sayang!”

Bella pantas berlari. Thum! Thum! Bunyi tapak kakinya melangkah. Matanya memerhati gerak tangan Riza yang memberi petunjuk akan sesuatu yang berada di belakang. Bella menoleh.

Mata tajam pisau runcing tinggal seinci mendekati dahi. Bella redha. Dia memejamkan matanya.

***

“BELLE!”

Tangan Bella tergelincir dari papan kekunci yang sunyi dari bunyi petikkan sejak tiga minit yang lalu. Dadanya berdegup kencang. Mimpi semalam sekali lagi menghantuinya dalam sedar. Astaghfirullah!

“Ain! Kenapa?” tanya Bella. Alur nafasnya tidak sekata. Jantung Bella berdegup kencang.

“Kau tu yang kenapa?” Ain memusingkan kerusinya ke arah mejanya sendiri. Kopi panas dicapai dari meja dan dihirupnya perlahan.

“Aku? Tak ada apalah.” Bella kembali menatap skrin komputernya. Laman web TV 10 menghiasi pandangan. Apa yang dia nak buat sebenarnya tadi?

“Aku tengok kau dah macam patung. Tenung skrin tu macam nak tembus. Lepas tu bila aku cakap dengan kau, kau diam pulak. Kau okay tak ni?” Ain bangun dari kerusinya. Bahu Bella diurut-urut.

“Okay. Okay aje,” jawab Bella ringkas. Kepalanya diangkat naik dari kubikel yang menutupi pandangan hadapan. Kelihatan kelibat Rizqi yang berpakaian t-shirt putih memasuki pejabat. Lelaki itu bergerak masuk ke dalam kamar khasnya yang terletak berdekatan dengan bilik penerbit eksekutif yang lain.

“Rizqi?” Ain bersuara. Dia juga sedar akan kehadiran bosnya itu. “Dia bukan cuti honeymoonke sekarang?”

“Entah.” Bella menjungkitkan bahu kononnya tidak endah. Dia kembali menatap skrin komputer.

Tok! Tok! Kubikel Bella diketuk.

“Bella!”

Bagaikan spring kepala Bella terangkat. Kelihatan kepala Rizqi tercongok di hadapan matanya. Sejak bila dia ada dekat depan aku ni?

“Yes.” Bella menyahut tanpa memandang ke arah Rizqi. Papan kekunci hitam itu pula menjadi mangsa tenungannya.

“Masuk bilik saya kejap,” arah Rizqi.

“Nanti saya masuk.”

Now,” desak Rizqi lembut. Perasaannya dikawal oleh kerana keberadaan Ain yang memerhati mereka.

Bella mengeluh kecil. Dia bangun dan mengikuti Rizqi ke bilik penerbit eksekutif itu.

Have a seat please,” pelawa Rizqi. Air sejuk tuang ke gelas kaca yang tersedia di ceruk biliknya. Air tersebut diletakkan ke atas meja dan kemudian disorongkan ke hadapan Bella.

“Kenapa? Ada apa yang nak dibincangkan?” Bella tidak menghiraukan pelawaan Rizqi. Dia tegak berdiri di hadapan meja dengan tangannya berpeluk tubuh.

“Saya nak minta maaf dengan apa yang berlaku semalam. Saya tak patut hukum awak tanpa usul periksa,” luah Rizqi.

“Okay….” Bella bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Semalam bukan main mempertahankan Kay. Hari ini minta maaf? Keningnya bertaut melihat tingkah baik Rizqi.

“Siapa yang suruh awak minta maaf dengan saya? Kak Long?” sambung Bella.

“Belle… yang sudah tu sudahlah. Saya dah beralah dan minta maaf. Lagipun saya fikir… Kak Long pun ada betulnya. Saya tak boleh nak bermusuh dengan awak. Kita ada tanggungjawab. Anak-anak perlukan kita. Lama-lama tak bertegur sapa pun akan beri masalah kepada Belina dan Riza nanti,” kata Rizqi. Kepalanya diurut-urut. Berat minda ini memikirkan masalah demi masalah. Ingatkan bila dah kahwin baru, masalah pun selesai. Datang pula masalah baru!

“Jadi, memang Kak Longlah yang desak awak suruh minta maaf dengan saya? Awak sebetulnya masih percaya yang saya buat benda semalam tu pada Kay, kan?” Bella masih tidak puas hati. Kalaulah ada Kay di hadapannya sekarang ini, mahu dicekik-cekik perempuan itu. Pandai sungguh berlakon!

“Bukan macam tu! Dengar dulu apa yang saya nak cakap….”

“Cakap apa? Awak memang tak percayakan saya! Awak ingat saya ni gila ke nak buat benda macam tu dekat Kay? Saya ni masih lagi waras. Apa motif saya nak cederakan orang? Lagipun saya tahu… awak minta maaf dengan saya ni sebab awak takut saya tak bagi awak jumpa Belina dan Riza lagi, kan? Ataupun awak takut bila kita tak bertegur sapa nanti, saya akan bawa budak-budak tu lari jauh dari awak?” Bella meluahkan segala apa yang tersirat di hatinya. Perkara yang melekat di mindanya sejak malam semalam lagi.

No… bukan macam tulah! Belle… saya memang tak mahu salahkan awak tentang apa yang berlaku semalam. Tapi saya juga tak boleh salahkan Kay. Kenapa pulak dia nak cederakan dirinya sendiri? Apa pula motif dia pula buat macam tu?” Rizqi kembali mempersoalkan Bella. Dia juga dari semalam asyik memikirkan hal ini. Kay yang tidur nyenyak sepanjang malam dijagainya sehingga pagi ini. Alhamdulillah darah di tangan Kay berhenti mengalir. Namun isterinya masih lagi lemah dan kemungkinan mereka terpaksa membatalkan rancangan untuk berbulan madu dan membawa isterinya ke hospital.

“Saya tak tahu. Awak tanyalah dia. Kenapa dia buat macam tu? Kenapa dia tuduh saya yang buat dia? Saya sumpah demi ALLAH! Saya tak buat, Rizqi. Balik nanti awak tanya dia betul-betul… apa sebenarnya yang dia buat kat dapur tu. Yang saya tahu… saya masuk-masuk je tangan dia dah berdarah. Pisau ada pada tangan kanan dia. That’s all!” Bella menjelaskan tentang apa yang dia tahu. Walaupun sebenarnya dia sudah dapat mengagak yang Rizqi tidak akan sedikitpun mempercayai kata-katanya.

Belle…. I’m sorry. Tapi cerita awak ni memang susah saya nak hadam. Anggap ajelah perkara ni tak pernah berlaku. Just let it be. Saya nak pulihkan persahabatan kita. Demi anak-anak,” bicara Rizqi yang mahu menoktahkan segala pertikaian antara mereka. Dia malas nak bertekak lagi dengan Bella. Cukup-cukuplah mereka bergaduh semasa masih suami isteri dulu. Dah bercerai pun nak bertekak lagi?

Bella menggigit bibirnya menahan amarah. Dia berkalih dan menuju ke pintu pejabat Rizqi. Sebaik sahaja pintu dibuka, kelihatan Encik Saiful berdiri tegak di hadapannya. Lelaki itu tersengih bak kerang busuk. Sudah pasti lelaki sebaya dia dan Rizqi ini sudah mendengar segala butir perbalahan mereka tadi.

“Oh, Encik Saiful!” Bella mengulum senyuman yang dibuat-buat. Kepalanya berkalih pada Rizqi. “Bos, Encik Saiful….”

“Oh Saiful… masuk-masuk. Maaf aku tak perasaan kau dekat luar.” Rizqi merubah watak stressnya tadi menjadi ceria.

“Kalau macam tu… saya keluar dululah Encik Rizqi,” ujar Bella dengan gaya formal. Dia tidak suka sebenarnya mencampur adukkan hal peribadi dan kerja.

“Eh, tunggu dulu Puan Belle! Ada perkara yang Saiful nak bincangkan dengan puan juga,” kata Rizqi yang juga membahasakan Bella dengan panggilan ‘puan’. Ia adalah ejekan Rizqi terhadap Bella yang memanggilnya dengan panggilan ‘encik’ secara tiba-tiba. Sejak bila pulak formal sangat ni? Tadi bukan main ber‘awak-awak’!

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.