BAB 22
KLAP.
Klap klap klap!
Kay membuka mata. Lenanya yang
berbantalkan hujung tilam Rizqi di wad terganggu. Bahagian putih biji matanya
ditumbuhi urat merah. Itu tandanya tidur Kay sekadar lena-lena ayam saja.
Kay cuba memejamkan matanya sekali
lagi.
Klap! Klap! Klap! Sayap nipis sang
kupu-kupu mengibas ke jendela wad. Kay bingkas bangun dari katil. Kupu-kupu
yang terperangkap di balik jendela itu diteliti.
“Kau buat apa dekat sini?” bicara
Kay perlahan pada kupu-kupu tersebut. Tangannya cuba dikeluarkan dari jendela
sekali gus mengapai kupu-kupu itu supaya bertenggek di atas jari telunjuknya.
“Macam tahu-tahu je aku cari kau…”
sebut Kay tersenyum. Saat mulutnya separuh terbuka, hajat Kay terhenti. Suara
Rizqi telah mematikan keinginannya untuk menjamah kupu-kupu tersebut.
“Belle… Belle… Belleee….” Rizqi
meracau-racau. Kepalanya terteleng ke kiri dan kanan. Dahinya berpeluh-peluh.
Kay merenyukkan kupu-kupu tersebut
ke dalam genggamannya. Sisa sayap kupu-kupu tersebut di buang ke luar jendela.
Dia menapak mendekati Rizqi.
“Sayang, awak okay tak ni?” Kay
mengelus dahi Rizqi yang basah. Tuala kecil yang tergantung di atas besi katil
dicapai. Ia kemudiannya dipedap ke dahi Rizqi.
“Belle… jangan tinggalkan saya. Awak
kena tolong saya… Belleee!” racau Rizqi lagi.
Tuala kecil yang berada di tangan
Kay terlepas. Dia berundur ke belakang setapak demi setapak. Hati Kay sakit
mendengar bicara Rizqi. Kenapa Belle? Kenapa bukan dia?
“Rizqi… ni saya, Kay!” ujar Kay cuba
menyedarkan Rizqi.
“Belle…” sebut Rizqi lemah.
Kesabaran Kay sampai ke puncaknya.
Tanpa mengendahkan lagi keadaan Rizqi yang semakin meracau-racau, Kay menuju ke
kamar mandi di dalam wad tersebut. Pintunya ditutup rapat.
“Apa salah saya? Kenapa asyik
dia???” tanya Kay ke dalam cerminan dirinya. Air mata Kay turun laju menimpa
pipi. Dia mengesak tangis. Jantungnya terasa seperti ditikam-tikam. Perilaku
Rizqi sangat menguji jiwa kewanitaannya.
Mata Kay diangkat menatap cermin
tepat ke biasan matanya sendiri. Degup jantungnya bertambah kuat. Tangan kanan
Kay mengepal tumbukan. Padu dan erat genggamannya.
Prang! Hanya sekali hayunan cermin
di tandas itu runtuh berderai ditumbuknya. Kaca-kaca jatuh ke lantai dan
sebahagian darinya masuk ke dalam singki.
Tangan Kay dipenuhi berdarah. Namun
Kay seperti biasa tidak memberi sebarang reaksi. Sakit ataupun tidak, dia
seperti tidak mempunyai apa-apa perasaan langsung! Cuma matanya saja masih
tidak henti-henti mengeluarkan air. Ia menandakan betapa sedihnya hati Kay pada
ketika ini. Betapa remuknya jiwa bagaikan anak kecil yang diambil mainannya.
“Kay!” Rizqi merempuh kamar mandi di
dalam wadnya. Racau Rizqi terhenti apabila dia mendengar bunyi kaca berderai
dari dalam kamar ini.
“Ya ALLAH! Kay, sayang… buat apa
ni?” tanya Rizqi cemas. Saat dia cuba mendekati Kay, langkahnya terhalang
apabila Kay mengangkat salah satu dari serpihan kaca yang besar itu dan
diacukan ke arah perutnya.
“Kalau awak dekat, saya tikam.” Kay
memberi kata dua.
“No…
no sayang! Relax… bagi saya kaca
tu. Kenapa awak nak buat semua ni sayang? What’s
wrong? Tell me, Kay…” pujuk Rizqi. Sakit di belakang kepalanya pun tak
hilang lagi. Tiba-tiba datang lagi satu kesakitan. Kenapa Kay bertindak nekad
sebegini?
“Awak tak sayangkan saya! Pergi!
Pergilah pada Belle awak tu… dia boleh bahagiakan awak, kan?” jerit Kay.
“Kay… saya sayangkan awak! Hanya
awak sorang, Kay. Nobody else! Please
stop all this! Awak ingat TUHAN. Ingat anak kita dalam perut awak tu.
Jangan buat benda gila. Saya sayang awak!” Rizqi tidak tahu apa salahnya kali
ini. Kalau dikatakan hal semalam membawa kepada amarah hari ini… boleh jadi
juga! Kay mungkin tertekan dengan tindakan Bella yang entah apa-apa. Sengaja
mengiyakan dirinya sebagai isteri kepada Rizqi sedangkan mereka sudah lama
bercerai.
“TUHAN?” Kay mengelap air matanya dengan
menggunakan tangan kiri. Manakala tangannya masih erat memegang serpihan kaca.
“Anak kita?” Kay melihat pula ke arah perutnya. Air matanya sekali lagi
berderai.
“Ya… ALLAH sayangkan kita, anak
kita. Itu lebih bermakna, Kay. Kasih sayang saya akan sentiasa bersama awak
selagi ALLAH beri saya nyawa atau awak nyawa untuk terus hidup. Beri saya kaca
tu, sayang… Saya janji! Bella Amira takkan ganggu lagi hidup kita.” Rizqi
mengangkat sumpah.
Kay perlahan-lahan menjauhkan kaca
itu dari perutnya. Seterusnya kaca itu dilontar ke singki. Dia berlari mendakap
Rizqi erat. Rizqi pula mengusap-ngusap belakang isterinya dengan lembut dan
penuh kasih sayang.
Dalam dakapan tersebut, Kay berharap kali ini Rizqi
bercakap benar. Jikalau tidak… tahulah apa yang bakal dia akan lakukan kepada
keluarga ini nanti.
***
GEMA
mainan piano Moonlight Sonata menyelubungi ruang tamu rumah Zahlia. Pabila
Zahlia ke tingkat bawah untuk melihat siapakah gerangan yang meletakkan
jejarinya di kekunci piano lama itu, Zahlia terkejut besar. Setelah hampir dua
tahun piano itu tidak bersentuh, hari ini ia menggemakan lagu sedih. Pemilik
jejari yang asyik dengan lagu Beethoven itu adalah Bella Amira, anak
tunggalnya.
Zahlia mendekati Bella setapak demi
setapak dari belakang. Gerak kepala Bella dan jejarinya yang ligat naik turun
itu diperhatikan lama. Anaknya itu dalam kesedihan. Gelora di hatinya tidak
mampu dirawat dengan nasihat dan kata-kata. Dia perlukan belaian cinta dan
masa. Masa untuk menyembuhkan segala luka yang telah merosakkan dasar hatinya
yang lembut itu.
Bella sampai ke kemuncak lagu. Air
matanya menitis lebat. Macam-macam hal sedang bermain di kepalanya. Bermula
dari apa yang terjadi malam semalam sehinggalah ke pagi ini. Dia mendapat
panggilan telefon dari Diana yang mengatakan Kay mengalami depresi dan cuba membunuh
dirinya sendiri. Bella rasa bersalah dan menyesal! Adakah dia bersangka buruk
terhadap Kay selama ini? Dan mungkinkah segala imbasan dan firasat yang
dialaminya itu sekadar mainan mindanya semata? Ya ALLAH, dia buntu.
“Belle…” tegur Zahlia sebaik sahaja
Bella memainkan not yang terakhir. “Dah lama piano papa tu tak bersentuh. Mama
tak sangka Belle terbuka hati nak main piano hari ini.”
Bella berkalih. Zahlia diajak duduk
di bahagian kerusi piano yang masih kosong. “Mama tak pernah sentuh piano ni
langsung ke semenjak Bella tak datang ke rumah?”
Zahlia menggeleng. “Mama dah lupa
not-not lagu yang papa selalu ajar kita tu. Lagipun… mama rasa sedih bila
teringat piano ni dan papa. Lebih baik mama tak main piano ni kalau asyik nak
berendam air mata aje.”
“Hmm… mama masih sayangkan papa
walaupun dah lama dia meninggal?” tanya Bella lugu. Dia seakan-akan tidak
percaya lagi akan cinta sejati. Cinta yang hanya dimiliki sekali dan
selama-lamanya untuk seorang itu sahaja.
“Masih… dan cinta mama tetap teguh
walaupun seratus tahun lagi mama akan hidup di dunia ni, Belle,” jawab Zahlia
tenang. Dia mendakap anaknya ke sisi. “Belle pagi-pagi main lagu sedih ni
kenapa?”
“Entahlah mama… Belle tak tahu
kenapa.” Bella mulai sebak. Sekali lagi dia berlinang air mata.
“Kalau Belle masih lagi terfikir
tentang perkara lepas, mama rasa Belle patut hentikannya. Sekarang adalah masa
untuk Belle move on dan melihat
perkara lain dalam hidup. Semua orang dalam dunia ni Belle, ada hak untuk
bahagia. Kalau kita asyik bersedih dan terkenangkan kisah lama… sampai bilapun
kita takkan temui bahagia macam orang lain. Mama tahu, ini bukan perkara
senang. Tambah-tambah kalau kehilangan seseorang yang kita selalu nampak di
mata. Dia bukan lagi milik kita… dia milik orang lain.” Zahlia tenang memberi
nasihat. Dia tahu Bella kesedihan akan apa yang terjadi semalam. Fauziah
sendiri telah menelefonnya dan memberitahu semua perkara yang terjadi.
Zahlia kesal dengan tindakan Bella.
Baginya Bella masih belum cukup kuat untuk menolak bayang Rizqi pergi dari
hidupnya. Anaknya itu masih lagi bergantung harap dengan bekas suami untuk
menguruskan soal anak dan menjadi penemannya dikala kebosanan. Namun apabila
Rizqi sudah ada teman lain, Bella terasa sendiri dan dia tidak mahu melepaskan
Rizqi demi kebaikan mereka bersama.
“Mama… Belle minta maaf sebab selama
ni… Belle banyak buat salah dengan mama,” ucap Bella tersekat-sekat. Dia merasa
malu. Namun hari ini egonya runtuh.
“Mama maafkan dan mama pun minta
maaf juga dengan Belle, ya?” jawab Zahlia sambil mengulum senyuman gembira.
Dagu Bella diangkat naik dan dahi anaknya itu dicium lama.
Bella mengangguk-angguk. “Bekas mak
mertua Belle mesti dah cerita semua dengan mama, kan?”
“Hmm… dah. Mama tak nak komen
apa-apa. Mama cuma nak Belle ambil nasihat mama tadi. Apa-apapun… Belle tetap
ada hak untuk bahagia. Kalau bukan dengan Rizqi… dengan orang lain,” kata
Zahlia.
“Belle tahu. Belle memang salah
semalam. Belle mengaku yang Belle isteri dia pada doktor. Belle tahu juga yang
Belle salah sebab dah sakitkan hati Kay. Tapi….” Bella tidak meneruskan
bicaranya. Dia tidak mahu Zahlia salah anggap dengan apa yang ingin
diperkatakannya.
“Tapi? Ada yang Belle tak
setuju?”
“Tapi Belle juga tak boleh nak
simpan berat rahsia di dalam hati Belle ni. Belle tak tahu kalau mama
percayakan Belle atau tak. Tapi mama pun ada deria ni, kan? Belle dapat rasa
dengan firasat hati Belle dan Belle nampak dalam bayangan-bayangan imbasam tu
mama… Kay bukan seperti yang kita sangkakan!” ujar Bella cuba meyakinkan
Zahlia.
Zahlia menarik nafasnya panjang.
Sejak dari hari Bella pulang dari Kelantan lagi, dia sudah merasakan ada yang
tidak kena dengan Bella. Tapi takkan disebabkan ini.
“Belle betul-betul yakin dengan apa
yang Belle rasa dan lihat?” Zahlia mencari kepastian.
Bella mengangguk laju. “Ya, mama.
Tentang hal ni memang Belle tak tipu! Belle nampak… Ya ALLAH… Dia tu mama… buat
macam-macam dengan Rizqi, anak-anak Belle. Cuma kita aje yang tak tahu.”
Hati Zahlia tersenyum. Bella
bagaikan anak kecil yang mengadu dibuli rakan di sekolah. Kini anak yang
menjauh darinya buat sekian lama itu sudah kembali!
“Okay, kalau macam tu… Belle nak
buat apa sekarang? Beritahu Rizqi atau cari maklumat untuk bongkarkan rahsia
dia kepada semua orang?” Zahlia memberi Bella pilihan.
“Belle tak tahu. Kalau Belle
beritahu Rizqi… dia takkan percaya. Dia protective
terhadap Kay, tambah-tambah dalam keadaan sekarang ni. Tapi kalau Belle nak
cari maklumat dan bongkarkan rahsia dia… macam mana pulak? Belle yakin Kay
takkan biarkan Belle buat macam tu,” kata Bella.
“Remember
a quote that that papa always tell us,sayang… keep your friends close and your enemies closer,” bicara Zahlia
berkias.
“Sun Tzu… daripada buku kegemaran
dia, The Art of War?” Bella tersengih sendiri. Dia bingkas bangun dan menuju ke
jendela. “Thank you, mama. Now I know
what to do.”
***
BELINA
dan Riza menggenggam kuat tangan kiri dan kanan Bella. Koridor yang menempatkan
wad kelas satu itu dilewati. Sampai sahaja di hadapan bilik bertanda D301,
Bella menghentikan langkahan kakinya. Pintu bilik tersebut ditolak.
“Belle?” Diana yang sedang duduk di
hujung katil Rizqi bingkas bangun menarik pintu tersebut buka.
“Kak Long… ni budak-budak ni nak
melawat papa dia orang,” ujar Bella lembut. Matanya sempat mengerling pada Kay
yang duduk di sofa bertentangan dengan katil Rizqi.
“Ah masuklah…” ajak Diana.
“Tak pelah kak, Belle tunggu kat
luar aje. Nanti kalau budak-budak ni dah puas jumpa papa dia… kak tolong bawa
dia orang keluar.” Bella pantas menolak pelawaan Diana. Dia tidak mahu lagi
dikaitkan dengan Rizqi walaupun sekadar melawat lelaki itu.
Melihatkan Bella berpaling keluar
dari wad tersebut, Kay pantas bangun dari sofa. Dia ikut sama keluar dari bilik
itu meninggalkan hanya Rizqi, Diana dan anak-anak Bella di dalamnya.
“Pandai berlakon…” tegur Kay dari
belakang. Dia berpeluk tubuh. Buku lima tangan kanannya yang luka akibat
menumbuk cermin itu diangkat menongkat dagu.
Bella berpaling. Wajahnya serius
mencerlung ke arah Kay. “Tak ada masa nak berlakon. I datang ni sebab anak-anak
rindukan Rizqi. Dia orang risau keadaan ayah dia orang.”
“Hmm… guna anak-anak untuk
kepentingan diri sendiri?” Kay tersengih menyindir. Balutan pada buku limanya
itu dicungkil-cungkil untuk ditanggalkan.
“Kay….” Bella menarik nafas tinggi.
Dia sudah berfikir panjang sejak dari dalam perjalanan ke sini lagi. Dia harus
mengambil langkah ini. Demi kebaikan anak-anaknya. “I rasa kita berhentilah jadi
budak-budak. Gaduh-gaduh semua ni takkan bawa apa-apa keuntungan.”
Kay berhenti mencuit-cuit balutan di
tangannya. Dia mengangkat kening. Pelik pula mendengar bicara Bella kali ini
yang sepertinya sudah mengalah.
“I nak minta maaf atas apa yang I
buat pada you semalam. I mengaku itu salah I. You adalah milik Rizqi yang
mutlak. I cuma bekas isteri dia. I tak patut ganggu lagi hidup kau orang suami
isteri,” ujar Bella serius.
Kay hanya mendengar dan tidak
membalas. Tangannya kembali mencuit balutan tangan yang kini sudah terbuka. Isi
kulit yang masih lagi merah berdarah itu ditekan-tekan dan dikorek dengan
kukunya.
Bella yang melihat perilaku Kay terpaksa menahan
geli. ‘Psiko!’ getus hatinya.
“I akan jauhkan diri I daripada Rizqi mulai
sekarang. I janji Kay. I takkan ambil tahu lagi tentang dia. Cuma semua ini
akan terjadi dengan hanya satu syarat,” Bella akhirnya menokhtahkan kata-kata.
“What it is?”
Kay berminat. Dia berhenti mengorek luka di buku limanya.
“Belina dan
Riza… mereka ada hak untuk bertemu dengan Rizqi dan bermesra dengan ayah mereka
macam dulu-dulu. If you respect their
father and children relationship… I akan tunaikan janji I,” jelas Bella.
Kay mengulum senyuman. Dia mengangguk-angguk. “I tak
kisah kalau Rizqi nak jumpa dengan anak-anak dia. I tak pernah pun halang.
Tapi… I nak budak-budak tu minta maaf dengan I selepas dah tipu dan kutuk I
macam-macam pada Rizqi dan you.”
Bella menghela nafas kecil. Berat! Memang berat hal
ini. Anaknya yang tak bersalah itu pula yang disalahkan Kay. Sememangnya wanita
ini pandai mengambil kesempatan. Dekat manalah Rizqi jumpa perempuan macam ni?
Psiko! Pelik! Oportunis!
“Okay… sebagai seorang ibu kepada Belina dan Riza, I
minta maaf on behalf of them. Puas
hati?” Bella terpaksa menelan rasa sakit hatinya demi merealisasikan segala apa
yang telah direncanakan di dalam mindanya.
“Hmm… okay. I hanya akan puas hati kalau you
tunaikan janji you tu, Bella. Walau macam mana sekalipun, I rasa puas hati
jugaklah sebab you sanggup turunkan ego you tu untuk minta maaf dengan I,” ujar
Kay angkuh. Balutan tangannya yang terbuka tadi dililit kembali. Bekas kesan
darah pada kuku kirinya dikesat-kesat ke baju.
“So can we be
friends?” Bella mengangkat tangan kanannya untuk
berjabat salam. Dia harap Kay bersetuju.
Kay mengetap
bibirnya. Perlahan-lahan tangan kanannya juga diangkat dan berjabat dengan
Bella. “Ya, sudah tentu.”
***