Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,266
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 16

BAB 16

SAKIT kepala Rizqi dua hari lepas membawa ke hari ini. Masih tidak kebah-kebah malahan makin bertambah sakit denyutannya. Entah mengapa, sakit ini bermula sebaik sahaja dia bangun tidur dan akan perlahan-lahan lenyap bila menjelang petang nanti. Kemudian bangun saja dari tidur, dia akan kembali sakit kepala dan begitulah seterusnya.

Hari ini hari pertama dia memulakan kerja pada awal tahun 2015. Setelah hampir seminggu berehat bersama isteri tersayang, dia kembali cergas memulakan tugas sebagai penerbit eksekutif bagi rancangan hiburan dan travel. Banyak perkara yang perlu diselesaikannya. Banyak juga mesyuarat yang perlu dihadirinya. Perancangan isi rancangan baru bagi setiap program harus diteliti. Dia juga perlu berbincang dengan pihak atasan termasuklah unit branding bagi mencambahkan idea baru yang akan ditampilkan bagi setiap program televisyen di bawah kelolaannya.

Namun sakit kepala yang kian berdengung-dengung ini membuatkan mood tersebut hilang ditiup angin. Apa yang Rizqi mampu lakukan kini hanya bersandar di kerusi malasnya sambil menatap skrin komputer yang kosong.

Tok! Tok! Pintu pejabat Rizqi bergetar.

“Masuk!”

Bella menjenguk di balik pintu dengan wajah seriusnya. “Boleh saya jumpa Encik Rizqi sekejap?” soal Bella acah-acah berprotokol.

“Masuklah… What’s up Puan Bella?” Rizqi merubah mimik wajah tenang. Kesakitannya disimpan seketika.

“Awak free ke? Saya ada perkara nak cakap dengan awak ni.”

Rizqi mengulum senyuman. “Cakap ajelah apa bendanya. Tapi sebelum tu… saya nak minta maaf sebab tak dapat nak jemput awak masa awak balik dari Kelantan hari tu. Belle dah sihat?” tanya Rizqi prihatin.

Wajah Bella yang serius tadi berubah menjadi gembira. Rizqi masih peduli tentang dirinya. “Oh, tak apa! Kak Long cakap awak tak sihat. Saya dah okay dah. Anyway, dua hari lepas awak ada rumah tak?”

“Bila? Hari yang awak balik KL tu ke? Saya ada je kat rumah. Kan saya tak sihat. Tak boleh nak keluar ke mana-mana pun,” jawab Rizqi tanpa curiga kepada soalan yang diajukan Bella.

“Oh….” Bella terangguk-angguk. Sah! Sudah terang lagi bersuluh. Kay memang kaki auta.

“Kenapa?” soal Rizqi dengan wajah yang berkerut. Kepalanya yang berdenyut-denyut itu tidak dapat dibendung lagi kesakitannya. Rizqi menggenggam tangannya kuat.

“Saya dan Kak Long datang ke rumah awak. Tapi Kay tak bagi masuk. Dia cakap kami tak boleh ganggu awak.” Bella mula mengatur bicaranya. Dia mahu Rizqi siasat siapa sebenarnya Kay. Isterinya itu syaitan bertopengkang manusia! Penipu!

“Eh ye ke?” Rizqi terkejut dengan pernyataan yang dilemparkan Bella terhadap Kay. Kenapa pula Kay menghalang mereka datang ke rumahnya? Bila pula mereka datang sampaikan dia tidak sedar akan kehadiran mereka?

“Iyelah. Saya datang sebenarnya nak adukan perkara penting dekat awak. Tapi Kay halang saya dan Kak Long dari jumpa awak.”

“Perkara apa ni? Saya tak tahu menahu pun!” Kepala Rizqi bertambah pusing. Tangan kirinya memegang meja kaca utuh.

“Awak… memanglah tak tahu. Sebab dia nak rahsiakan dari awak!” Bella mencucuk jarum kebenciannya pada Rizqi dengan harapan lelaki itu akan membenci Kay.

“Rahsia apa ni Belle? Cuba cakap tu biar terang sikit!”

“Awak tengok ni. Nilailah sendiri!” Bella mengeluarkan telefon pintarnya dari kocek seluar jeans biru. Gambar tangan dan belakang badan Riza terpapar di skrin. Kemudian skrin tersebut dikuis ke kanan. Gambar telapak tangan Belina pula yang bercalar dipamerkan.

“Astaghfirullah! Ni badan Riza, kan?” Rizqi seakan-akan tidak percaya. Fizikal anak-anaknya yang tercela. Kesan merah dan calar balar tersebut nampak teruk sekali.

“Ya, badan Riza, tangannya dan telapak tangan Belina. Awak ingat siapa yang buat semua ni?” soal Bella yang berbaur provokasi.

“Saya tak tahu! Demi ALLAH saya tak buat semua ni, Belle! Awak tahukan yang saya tak pernah jentik pun anak-anak kita. Kalau nak pukul macam ni memang jauh sekalilah!” Tangan Rizqi berpeluh-peluh. Bibirnya tak semena-mena menjadi pucat.

“Awak tanyalah Kay apa yang dia buat dekat anak-anak kita….”

Tersandar Rizqi ke kerusi mendengar pertuduhan Bella terhadap isterinya. “Kay? No! No way she did all this! I know her, Belle. Dia jenis lemah lembut. Dia takkanlah nak pukul budak-budak macam ni.”

“Menangkanlah dia, Rizqi. I don’t mind with whom are you married to right now. What matters me most is my children! Kalau dia sentuh budak-budak ni, dia akan kena dengan saya. Saya tak nak cakap lebih. Awak tanyalah dia sendiri.”

Bella merengus kencang. Pintu pejabat dihempas kuat.

***

PINTU utama rumah tolak perlahan. Gelap. Rizqi yang baru pulang dari kerja terpinga-pinga melihat keadaan rumahnya. Ruang tamu tidak berlampu. Tingkat atas juga kelam tanpa disimbah sebarang cahaya. Tak bayar bil elektrik ke? Tak silap dia, baru dua minggu lepas dia telah melangsaikan bil tersebut. Blackout? Setahu dia cuaca cerah dan terang sepanjang pagi sehinggalah senja ini. Tiada pula tanda-tanda cuaca buruk yang telah mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

Rizqi menapak satu persatu langkah masuk ke dalam ruang tamu dan berjalan ke arah ruang makan yang kelihatan samar-samar tanpa lampu. Dia hanya berpandukan cahaya telefon pintarnya sahaja. Bimbang juga dia jikalau ada apa-apa yang berlaku terhadap Kay, isterinya. Sudahlah Kay tinggal seorang di dalam rumah sebesar ini.

“Kay? Saya dah balik ni. Kenapa rumah gelap?” panggil Rizqi.

Senyap sunyi tiada bunyi. Ketakutan mula mengocak kolam hati Rizqi. Entah apa pula yang terjadi kali ini. Sudahlah tadi pagi dia pening memikirkan pertuduhan Bella terhadap Kay yang dikatakan mendera anak-anaknya. Pulang ke rumah, tak sangka ini pula yang terjadi.

“Kay?” panggil Rizqi lagi.

Kechak! Bunyi batang mancis berlaga dengan kotaknya. Tiba-tiba sahaja meja ruang makan bercahaya dengan nyalaan lilin sebatang. Mancis yang masih lagi bercahaya itu memberi gambaran kepada tangan dan kemudian wajah yang berada di hujung meja. Seorang wanita berambut panjang hingga ke dada yang memakai dress tidak berlengan berwarna merah.

“Rizqi,” sebut wanita itu.

“Kay? Kenapa….” Kata-kata tumpul dari lidah Rizqi apabila melihat penampilan Kay. Gayanya berubah seratus peratus. Setahu Rizqi, Kay yang lemah lembut itu suka memakai pakaian yang sopan dan tradisional. Hari ini lain pula gayanya.

Mancis yang berada di tangan Kay ditiup lembut. Kepulan asap kecil naik bergulung ke atas siling.

Kechak! Sekali lagi mancis dinyalakan. Kali ini Kay sudah berada di hadapan Rizqi dan menyalakan sebatang lagi lilin yang di hujung meja sebelah Rizqi.

“Dah lama balik?” tanya Kay menggoda.

Mancis yang bernyala itu dipadamkan Kay. Dia menolak tubuh Rizqi untuk duduk di kerusi. Kemudian pinggan berwarna putih disusun di hadapan Rizqi. Periuk dan bekas aluminium yang tersusun di atas meja pula diangkat buka. Aroma ayam panggang dan nasi tomato menujah ke hidung Rizqi.

“Apa semua ni?” tanya Rizqi bingung. Dalam hatinya hanya ada satu perkara sahaja. Dia tidak sabar-sabar ingin bertanyakan Kay tentang soal Belina dan Riza. Persiapan makan malam ini langsung tidak menarik perhatiannya.

Candlelight dinner kita berdua,” jawab Kay manja. Ayam panggang diletakkan ke atas pinggan Rizqi. Air yang kurang Rizqi perasan warna apa dituangkan pula ke dalam gelas kaca. “Makanlah,” ajak Kay pula.

No! Wait! Buka lampu ni,” arah Rizqi tegas. Sikap manja Kay diketepikan.

“Rizqi… sayang! Jamahlah sikit,” paksa Kay. Ayam panggang itu dipotong kecil. Ia kemudian disuapkan ke dalam mulut Rizqi secara paksaan.

“Ish, apa ni Kay!” Rizqi cuba menolak namun kelincahan tangan Kay membuatkan dia terpaksa menelan cebisan ayam panggang tersebut.

“Makanlah… saya masak untuk awak ni,” balas Kay dalam nada yang sama. Lembut dan penuh ketenangan.

I’m not in the mood to eat anything! Saya nak tanya awak pasal anak-anak saya ni!” tegas Rizqi.

“What is it?” Tangan Kay pantas menyuapkan sepotong daging ayam ke dalam mulut Rizqi secara paksa. Dia seolah-olah tidak mengendahkan tentang apa yang ingin ditanyakan Rizqi kepadanya.

“Awak pukul anak-anak saya, ye? Belle mengadu kat saya pagi ni dan…” Tak sempat Rizqi menghabiskan kata-katanya, sekali lagi Kay menyumbat mulutnya dengan daging ayam panggang. Kali ini dicicah pula dengan sos barbeque.

“Sedap tak saya masak? Pujilah saya sikit,” ujar Kay sambil tersengih manja. Mulut Rizqi yang comot itu dilap-lap dengan napkin.

“Eh, what’s wrong with you ni? Awak tak faham ke apa yang saya cakap?” Rizqi menepis tangan Kay dari terus mengelap bibirnya. Dia bangun dari kerusi yang diduduki.

“Kenapa dengan awak ni? Saya layan awak elok-elok… awak tiba-tiba marah saya?” tanya Kay kembali. Nada suaranya berubah sedikit tinggi dari tadi. Mata Kay kini berat dengan air yang menanti masa untuk melimpah turun.

Rizqi melepaskan keluhan kecil. Dahinya digosok-gosok. ‘Kay ni betul ke tak? Dia faham ke tak dengan apa yang aku nak cakapkan ni?’ getus hati Rizqi.

“Kay!” Rizqi mencengkam bahu isterinya kuat. “Awak pukul anak-anak saya ke? Belle adu dekat saya yang awak buat macam tu! Awak tak beritahu saya pun masa dia dan kakak saya datang ke rumah kita semalam. Kenapa awak buat macam ni?”

Kay diam tidak berbicara. Matanya halus memandang tepat ke mata Rizqi. Biasan lilin yang menyala itu bermain-main di iris matanya. Menggambarkan amarah dan nyalaan api di dalam hati yang bagai sekam membakar dalam diam.

“Kay cakaplah dengan saya!” Rizqi menggoncangkan bahu Kay. “Kenapa awak pukul anak-anak saya?”

“Mereka degil. Mereka cakap yang bukan-bukan tentang saya. Mereka benci saya kahwin dengan awak! Mereka bandingkan saya dengan bekas isteri awak!” bicara Kay tegang. Dadanya naik turun menahan alur nafas yang kian tidak terkawal.

“Astaghfirullah….” Rizqi menggeleng-geleng. Dia tidak menyangka mulut anak-anaknya berbisa seperti itu. Sebelum ini Riza dan Belina tidak pernah pandai memberi ulasan tentang siapa bagus dan siapa yang mereka tidak suka. Dia tidak pernah mendidik anak-anaknya juga bersikap judgemental terhadap orang lain.

“Tapi ini bukannya alasan untuk awak pukul mereka. Sebelum awak buat sesuatu perkara melibatkan anak-anak saya… tolong, tolonglah jangan melulu! Biar saya saja yang pukul mereka atau ajar mereka. Tapi awak… jangan!” sambung Rizqi lagi.

“Awak dan Belle beri muka sangat dekat mereka. Sampaikan benda kecil pun nak merengek. Awak dan Belle memang tak reti nak jaga anak!” Kay mula meletuskan amarahnya. Kalau boleh dia memang tidak suka untuk naik angin di hadapan Rizqi. Tapi… kali ini dia benar-benar benci apabila….

“Sudah! Jangan awak pertikaikan cara saya dan Belle menjaga anak-anak. Belle tahu apa yang dia buat dan saya percayakan dia. Dia ibu yang baik untuk anak-anak saya. Dan awak terlalu muda untuk faham tentang soal anak-anak ni semua!” Rizqi menarik nafasnya tinggi. Dia tahu dia sudah terlepas cakap. Tapi apa yang dituturkannya mengenai Bella adalah kebenaran yang sudah lama dia akui. Itu satu perkara yang Kay perlu tahu mengenainya.

Air mata berhamburan turun dari kolam mata Kay. Hatinya terguris. Benar-benar terguris dalam. “Awak sayangkan Belle lebih dari saya, kan? Awak bencikan saya, kan?!”

Rizqi terkedu dengan pertanyaan Kay. Dia berkalih dari terus memandang wajah Kay. Terlanjur kata bukanlah seperti perahu yang boleh diundur kembali.

“Antara saya dan Belle… kami tak ada apa-apa. Kasih sayang dan prihatin saya kepada dia berbeza dengan awak, Kay. I am… I’m sorry,” jawab Rizqi teragak-agak.

Kay tersenyum paksa. Pinggan putih kosong yang tersusun di atas meja dicapai. “Saya tahu awak masih menyimpan perasaan terhadap dia. And I’m going to put an end to this.”

Bam! Rizqi jatuh tersungkur ke lantai. Kay hanya tersenyum nipis dengan tangannya memegang utuh pinggan putih yang tercalit darah merah di sisi.

“Diam,” sebutnya lembut.

***

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.