BAB 19
SEHARI
sebelum Anugerah Nusantara Muzik berlangsung, raptai penuh akan diadakan pada
malam ini. Bella Amira terpaksa pulang lewat duduk berkampung di control room sehinggalah raptai tamat.
Anak-anaknya pula tinggal berdua di rumah. Sejak insiden Kay dan Rizqi
mengumumkan berita gembira seminggu yang lepas, Bella berhenti menghantar
anak-anaknya ke rumah Fauziah. Selepas waktu sekolah tamat, kedua-dua orang
anak Bella akan dihantar bas sekolah pulang ke rumah terus. Belina dan Riza
juga harus mula belajar hidup berdikari. Makan dan pakai dibuat sendiri. Bella
hanya mampu memberi wang yang secukupnya untuk makan tengah hari. Manakala
malam, dia akan memasak untuk anak-anaknya nanti.
Cuma untuk malam ini, Belina dan
Riza terpaksa mengikat perut. Entah pukul berapa Bella akan pulang. Bella cuma
mengingatkan Belina untuk mengisi perut dengan memakan roti dan biskut yang ada
di rumah. Kalau dia pulang awal, dia akan menyediakan makan malam buat mereka
berdua.
“Audio
ready? Camera ready? Ten seconds on air… Nine, eight, seven, six, five, four,
three, two, one… Action!” ucap Bella Amira penuh keterampilan.
Sesi raptai bermula dengan lancar.
Upacara pembukaan anugerah dimulai dengan nyanyian lagu hip hop Joe Flizzow dan
kumpulan Sleeq dengan lagu mereka Tepi Sikit. Kemudian majlis beralih dengan
memperkenalkan dua pengacara terkemuka yang akan mengemudi majlis malam esok
iaitu Scha Al-Yahya dan Faizal Ismail yang lebih dikenali sebagai FBI. Adira,
Hafiz, Alyah dan juga Datuk Siti Nurhaliza di antara artis yang bakal terlibat
dalam menjayakan Anugerah Nusantara Muzik yang dianjurkan dua tahun sekali ini.
Kemeriahan di atas pentas berbeza
dengan suasana di dalam konti. Hampir lebih dari 10 orang yang bersiaga di control room termasuklah pegawai
teknikal dari segi audio dan visual, switchers, penerbit, penolong penerbit
serta lain-lain anggota produksi yang bertungkus lumus berusaha untuk
memungkinkan majlis ini dalam keadaan tertekan. Sebarang perubahan di atas
pentas mahupun pergerakan kamera yang tidak selari akan diambil kira.
Boleh dikatakan tanpa anggota
produksi belakang tabir ini, sebuah majlis anugerah berprestij seperti ini
tidak dapat dijayakan sama sekali. Bella Amira adalah di antara anggota
produksi di TV 10 yang berpengalaman hampir 10 tahun. Bermula dengan menjadi
seorang penolong produksi sehinggalah tugasnya kini sebagai penerbit rancangan,
dia sudah mengendalikan berbelas-belas rancangan siaran langsung. Kini setelah
sekian lama, dia diberi tanggungjawab untuk duduk di kerusi penerbit anugerah
berprestij ini dan bakal mengemudi segala gerak geri kamera yang bakal
menyiarkan visual di televisyen pada malam tersebut.
Bella fokus meneliti setiap satu monitor televisyen
yang memaparkan visual bagi setiap kamera. Bibir, mata dan mindanya bergerak
tangkas. Memberi arahan pada jurukamera dan meneliti jikalau ada yang tidak
kena dengan visual. Dalam ketelitiannya, fokus Bella sekilas terganggu.
Kemunculan Rizqi di atas pentas menggantikan tugas pengacara buat sementara
waktu membuatkan Bella terganggu. Sesi raptai pada ketika itu juga hampir ke
acara penutup.
“Belle!” tegur Ainil yang berdiri di
belakang Bella. Mengelamun lagi dia ni!
“Kak Belle!” tegur gadis switcher di
sebelah Bella. Arahan kameramasih
belum diberikan Bella.
“Eh Belle! Wake up! Kau tak bagi camera
direction. Nisa, you take control!
Kak Belle ni mengelamun lagi!” arah Ainil.
“Apa?” Bella tiba-tiba tersedar. Headphone di telinganya diturunkan.
Tak sempat Ainil berkata apa-apa,
pintu control room dihentak kuat.
“Bella Amira! Awak tidur ke apa dalam ni?”
Rizqi menyergah Bella tanpa mahu mendengar
sebarang penjelasan. Anggota produksi dalam bilik tersebut perlahan-lahan mula
meminta diri. Ada yang buat-buat tidak dengar dengan bebelan Rizqi yang bagaikan
puting beliung mahu menggulung Bella di dalamnya.
“Awak ingat benda ni main-main?
Nasib baik rehearsal. Kalau
betul-betul macam mana? Live! Ini
rancangan live! Kalau awak nak
main-main atau mengelamun tak tentu pasal, baik awak bagi aje tugas awak ni
pada orang lain. I don’t want any
mistakes tomorrow. You get me?!” hamun Rizqi.
Bella tercengang mendengar marah
Rizqi yang laksana singa itu. Dia menelan air liur berkali-kali dengan cubaan
menghadam kata-kata Rizqi yang makin menyeksa hatinya. “I’m truly sorry. Saya tak fokus, Rizqi. Saya minta maaf. Esok semuanya
akan okay. Saya janji!”
“Janji?” bicara Rizqi mengejek. Dia menjeling
Bella tajam. “Ainil, esok you take
control. I don’t want her in this control room tomorrow,” kata Rizqi tegas.
Dia terus berlalu pergi dari kamar panas tersebut.
Bella tersentak mendengar arahan
Rizqi. Sampai hati! Sampai hati dia buat aku macam ni! Air matanya menitis satu
persatu ke pipi.
“Ya ALLAH, Belle… dah jangan nangis.
Berapa kali aku dah cakap… jangan mengelamun! Kau tak dengar cakap aku.
Sekarang tengok apa jadi.” Ainil serba salah. Dia kasihankan Bella. Tapi dia
juga tidak mampu membantu Bella. Rizqi sudah mengeluarkan arahannya. Tiada
siapa yang boleh menyangkal tindakan Rizqi.
“Dia memang dengki dengan aku! Aku
tahu… dia memang tak sukakan aku!” Bella bingkas bangun dari kerusi.
Orang-orang yang berada di sekeliling bilik tersebut habis ditolaknya tidak
sengaja.
Saat Bella menuju ke lif untuk
keluar dari auditorium stadium tersebut, lengannya secara tidak sengaja
terlanggar badan lelaki yang menunggu di hadapan lif tersebut.
“I’m
sorry!” ujar Bella dalam nada serak menahan air mata dari terus turun
lebat. Wajah lelaki itu tidak dipandangnya. Bella hanya fokus ke arah pintu lif
sahaja.
“Belle? Awak okay ke?” tanya lelaki
itu prihatin.
“Okay,” Bella mengesat air mata.
Kepalanya diangkat untuk melihat siapakah gerangan yang prihatin terhadapnya.
“You
are crying…” ujar lelaki itu perlahan. Sapu tangan putih dikeluarkan dari
kocek seluarnya lalu diberikan kepada Bella.
“Terima kasih, Amir.” Bella
mengambilnya tanpa berfikir dua kali. Kesakitan di hatinya membuatkan Bella
tidak mengendahkan orang-orang sekeliling yang kini memandangnya dalam keadaan
pelik.
“Awak nak minum ataupun makan? Saya
boleh temankan,” ajak Amir yang simpati dengan keadaan Bella. Dia tahu apa yang
berlaku di control room tadi. Suara
kuat Rizqi kedengaran sehingga ke sini.
“Thanks.
But….” Bella teragak-agak untuk
menerima pelawaan Amir.
“Jomlah. I think you need to clear your mind. Jangan stress-stress. Kita minum air teh ke dulu? Nak?” ajak Amir lagi
tanpa segan silu.
Bella mengetap bibirnya kuat. Hujung
matanya terpandang kelibat Rizqi sedang memerhati dia dan Amir dari balik
dinding tanpa sengaja. Masa untuk membalas dendam!
“Okaylah. Jom!” kata Bella
tiba-tiba.
***
AIR
epal hijau dihirup Bella perlahan-lahan. Manakala karipap dan mi goreng dipesan
Amir tadi tidak disentuh. Memang Bella tiada selera untuk makan. Tambah-tambah
lagi apabila dia teringatkan anak-anaknya di rumah yang masih lagi berlapar.
“Makanlah. Saya belanja semua ni,”
kata Amir ikhlas.
“Tak apa. Saya tak lalu. Anak-anak
saya kat rumah pun tak makan lagi tu,” jawab Bella jujur.
“Anak-anak? Awak ada berapa orang
anak?” tanya Amir keliru. Sangkanya Bella mesti baru berkahwin. Orangnya nampak
muda lagi. Macam tak pernah ada anak langsung.
“Dua orang. Seorang perempuan.
Seorang lagi lelaki. Belina dan Riza, namanya,” kata Bella sambil mengulum
senyuman. Ingatan Bella terhadap anak-anak membuatkan hatinya sedikit gembira.
“What
a nice name! Umur berapa? Kecil lagi ye? Setahun dua maybe?” tanya Amir penuh minat.
“Eh… anak-anak saya dah besarlah,
Amir. Umur 12 tahun dan seorang lagi tu lapan tahun. Awak umur berapa Amir?”
Bella menggeleng-geleng. Dia kata umur anak aku setahun dua? Oh my!
“Wow! Anak awak dah besar. Awak umur
berapa Belle? Saya 26 tahun. Dah tua dah,” jawab Amir berseloroh.
“Saya lagi tua. Tua sembilan tahun
dari awak. I’m just like your big sister!”
“Oh… 35 tahun? Impressive! Awak nampak muda. Saya ingat awak lebih kurang umur
saya je,” kata Amir tak percaya. Memang Bella Amira awet muda.
“Eh awak ni… dahlah! Buat saya
kembang pulak. Anyway thanks sebab
sudi teman dan belanja saya makan,” ujar Bella menutup malunya dipuji Amir.
“Sama-sama. Saya harap awak jangan
sedih-sedih lagi. Bos awak tu memang garang, kan? Saya pun takut tengok dia. But no worries! Kalau dia marah awak
lagi… awak beritahu je suami awak. Mesti dia marah bos awak tu balik. Mana ada
suami suka tengok isteri dia sedih, kan?” bicara Amir yakin. Dalam hatinya,
sempat juga dia menyumpah seranah Rizqi. Tegar sungguh lelaki sebegitu
menyakiti hati wanita semacam Bella.
Bella tersenyum mendengar bicara
Amir Daniyal. Suami? Khayalan saja semua itu! “Hmm… ye lah tu. Kalau saya ada
suami memang saya suruh dia hamun Rizqi balik semula. Malangnya saya tak ada. I’m a single mother. Um, saya kena balik
sekarang ni. Risau anak-anak saya kat rumah tu. Terima kasih sekali lagi, ye.”
“Oh….” Amir tercengang. Langkah
Bella yang laju meninggalkannya dipandang begitu sahaja. Sekali lagi dia
diheret perasaan tidak percaya! Bella Amira seorang janda?
***
‘BELLE,
mama dekat rumah kamu sekarang. Cucu mama lapar.’
Sepotong mesej yang diterima Bella
semasa memandu membuatkan hatinya tidak senang. Maka pedal minyak ditekan
menggila. Lampu isyarat dilanggar semua. Mama suka buat perkara yang dia tidak
suka.
“Mama buat apa datang rumah saya
tanpa beritahu saya dulu?” kata Bella sebaik saja memasuki ruang tamu.
Zahlia yang sedang menonton
televisyen bersama cucu-cucunya tersentak dengan kehadiran Bella yang mengejut.
Masuk-masuk dah menghamburkan amarah.
“Belle… cepatnya balik. Mama baru
aje mesej tadi….”
“Kenapa mama suka ganggu hidup Belle
lagi?” tanya Bella melulu. Hatinya panas melihat Belina dan Riza yang buat-buat
tidak kisah dengan amarahnya. Mereka hanya fokus menonton televisyen.
“Belle! Cuba bawa bertenang. Mama
datang sebab budak-budak ni yang telefon mama. Dia orang lapar sangat. Kamu
balik lewat… lepas tu budak-budak ni tak makan malam lagi. Itu yang mama datang
dan masakkan nasi, lauk untuk dia orang,” jelas Zahlia mempertahankan dirinya.
Dia penat dituduh Bella macam-macam. Apa saja yang dilakukannya memang tak
betul saja.
“Mama tak payahlah nak prihatin
dengan Belle dan anak-anak. Sebelum ni Belle boleh je uruskan dia orang tanpa
mama,” bicara Bella meninggi diri.
“Ya ALLAH!” Zahlia
menggeleng-geleng. Belina dan Riza disuruhnya ke dapur. Tak elok jikalau mereka
terus menerus mendengar pergaduhan dia dan anaknya. “Belle, kenapa Belle tak
hantar Belina dan Riza macam biasa ke rumah mertua Belle? Kan senang… makan
minum mereka terjaga.”
“Bekas mertua, mama… Belle sekarang
ni kan orang luar. Bukannya ada apa-apa lagi dengan keluarga Fauziah Mansor dan
anak-anak dia.” Hati Bella bertambah-tambah sakit apabila soalan ini timbul
dari lidah ibunya. Kenapa perlu diungkit sedangkan dia mahu melupakan! Dia
sudah tidak mahu lagi dikaitkan dengan keluarga itu. Hancur hatinya
mengenangkan sikap Rizqi semasa di control
room tadi.
“Belle… bekas mak mertua Belle
telefon mama seminggu lepas. Dia cakap yang Belle jauh hati dengan dia. Dia
risau Belle dah lama sangat tak hantar budak-budak tu ke rumah dia. Kenapa
Belle sampai perlu berseteru begini, sayang? Dia prihatin dengan Belle tau. Dia
rasa bersalah sangat sebab tak dapat nak beri kasih sayang sama rata dengan
semua orang,” jelas Zahlia.
“Dia tak payah buat semua tu atau
rasa semua tu, mama.” Bella menahan kolam matanya dari terus melimpah. Memang
perit hatinya apabila mengenangkan bekas ibu mertuanya itu. Mereka rapat.
Sungguh rapat!
“Belle lagi suka kalau dia berbaik dengan menantu
baru dia. Rizqi pun bukan suka Belle datang ke rumah tu. Asyik nak sakitkan
hati Belle je. Kat tempat kerja pun nak marah-marah Belle. Dahlah mama… Belle
tak suka nak cakap pasal benda ni. Mama boleh balik dan terima kasih sebab
masih prihatin dengan cucu-cucu mama tu,” sambung Bella lagi.
Zahlia mengeluh kecil. Kini dia faham berat apa yang
ditanggung oleh hati Bella. Bella masih menyimpan perasaan terhadap Rizqi. Tapi
apa yang dia boleh buat? Rizqi itu hak milik orang lain!
“Belle… jangan kerana gaduh dengan si ayah
budak-budak ni, anak-anak yang jadi mangsa. Belle tak kesian ke dengan
budak-budak ni? Mereka perlukan kasih sayang dari kedua-dua belah pihak. Kalau
Belle tak nak hantar Belina dan Riza ke rumah Fauziah, biar mama yang tengok
dia orang. Mama yang akan ambil cucu-cucu mama dari sekolah. Nanti bila Belle
balik, Belle ambil dia orang kat rumah mama, ye?” kata Zahlia memberi solusi.
Bella Amira terdiam. Dia merasakan solusi yang
diberikan ibunya itu bernas juga. Selain itu anak-anaknya ada yang menjaga.
Bukan Bella tak pernah memikirkan tentang soal jagaan makan minum anaknya
ketika dia bekerja. Dia sebenarnya buntu untuk berbuat apa. Ke sana tak boleh,
ke sini dia malu. Jadi jalan penyelesaian yang dilihat kejam ini terpaksa dia
ambil selain dia memikirkan ia adalah suatu perkembangan positif buat
anak-anaknya untuk belajar hidup berdikari.
“Nanti Belle tanyakan budak-budak tu kalau mereka
nak,” jawab Bella dalam nada ego. Wajah Zahlia hanya dipandang sipi. “Tapi…
mama kena janji. Jangan sekali-kali nak mengambil kesempatan terhadap anak-anak
Belle. Belle tak suka mama gunakan deria keenam mama tu pada Belina dan Riza. They are too young to get to know all this.”
“Mama janji, Belle. Terima kasih sebab Belle beri
mama peluang untuk jaga cucu-cucu mama. Mama rindu masa dulu-dulu kita. Kalau
Belle senang, Belle datanglah rumah mama…” ucap Zahlia dengan lapang dada.
Akhirnya hati Belle dilembutkan. Terima kasih, Ya ALLAH!
“Hmm….” Bella hanya mengangguk-angguk.
“Mama balik dulu. Kalau Belle tak makan lagi… mama
ada masakkan nasi putih dengan daging masak kicap. Daging tu mama masak dari
rumah.”
“Hmm… terima kasih. Belina, tolong tutupkan pintu
untuk nenek,” arah Bella yang tidak mahu lagi memanjangkan bicaranya dengan
Zahlia. Hatinya belum sepenuhnya terbuka.
Belina berlari laju menuju ke pintu. Dia menunggu
Zahlia di luar.
“Mama balik dulu. Belle jaga diri. Jangan
sedih-sedih lagi, ye,” pesan Zahlia sebelum keluar dari rumah. Bahu Bella
disentuhnya lembut.
Sebaik sahaja Zahlia keluar dari rumah, Bella pantas
menuju ke dapur. Bekas kuning yang berisi daging masak kicap itu dibuka. Aroma
rempah yang mencucuk hidung itu membuatkan tali perutnya bergetar. Lapar!
Nasi diletak penuh pinggan. Manakala sisa daging
masak kicap itu dihabiskannya licin. Mama memang pandai mengambil hati dengan
menyediakan lauk kegemarannya. Nurani Bella perlahan-lahan terbuka buat Zahlia.
***