Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,992
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

BAB 4

Dua keping roti yang garing melompat keluar dari alat pembakar roti. Bella mengutipnya satu persatu dan dibawa ke meja makan. Belina dan Riza yang sedang sibuk menonton kartun Adventure Time di Cartoon Network dengan pantas merebut roti dari pinggan yang Bella pegang. Belum lagi dicalit mentega dan kaya, mereka berdua lebih gemar makan roti kosong yang dibakar begitu sahaja.

“Mama!” Riza mula bersuara. Pandangannya berkalih dari televisyen terus ke wajah Bella yang sedang sibuk meneliti roti yang disapu mentega.

“Ya?”

“Mama dah sihat?” soal Riza prihatin.

Bella mengangkat wajahnya. Dia mengulas senyuman. “Dah. Mama dah sihat. Kenapa? Riza risau?”

“Riza tak suka bila mama sakit. Nanti siapa nak tengok kita orang?” bicaranya sugul. Dia menoleh ke arah kakaknya, Belina yang tidak memberi sebarang reaksi. Belina sibuk memfokuskan minda dan telinganya ke televisyen.

“Papa ada. Mak Cik Kay ada.” Bella sengaja mengusik anak-anaknya. Dia mahu tahu apa pandangan Riza dan Belina terhadap ibu tiri mereka. Dah mula jatuh suka ataupun….

“Riza tak suka dia!” bantah Riza tiba-tiba. Gelas berisi milo ditolak ke depan. Kocakkannya menitik ke meja. Manakala Belina sekadar memandang tindakan Riza sipi-sipi. Dia juga terkejut dengan perilaku adiknya yang berusia lapan tahun itu.

“Riza?” Bella mengerut dahi.

“Kenapa marah sampai macam tu?” Dahi Riza diusap-usap. “Tak apalah… kalau Riza tak suka dia tak apa. Tapi jangan buat perangai depan dia atau papa. Nanti papa kecil hati.”

Riza memuncungkan wajah. Dia berpeluk tubuh. “Mak Cik Kay tu macam jahat je. Kenapa mama sakit lepas salam dengan dia?”

Bella terdiam. Tiba-tiba ingatannya kembali kepada déjà vu yang menghenyak mindanya semalam sehingga dia pengsan hampir 15 minit. Bella sejujurnya masih belum memahami apa maksud imbasan atau firasat itu. Dia juga seakan-akan pernah terlihat senyuman manis namun berbisa yang diukir dalam bayangan déjà vunya itu.

“Belina tengok Mak Cik Kay tu okay je, mama.” Belina akhirnya bersuara memecah kesunyian antara mereka bertiga. Dia mungkin merasa serba salah. “Dia baik, kan?”

“Ya.” Bella terpaksa mengaku setuju. “Ya, dia baik. Belina dengan Riza kena hormat dia, sama macam mana Belina dan Riza hormat mama. Faham?”

Belina mengangguk pantas. Manakala Riza pula turun dari kerusinya dan berlalu naik ke bilik dengan kaki menghentak kuat.

“Riza! Riza!!!” panggil Bella Amira menghalang tindak laku anak lelakinya. Kecil-kecil dah pandai tunjuk perangai.

Tak sempat dia bangun dari kerusinya, telefon pintar berdering meminta perhatian. Panggilan tertera nama Kak Long di skrin.

“Tak pe mama… biar Belina yang tengok dia.” Belina menawarkan diri dan segera naik ke atas.

***

“MAAFLAH, Kak Long ajak Belle keluar hari ni,” ujar Diana sambil menilik tin sardin cap ayam yang digemari anak-anaknya. Tin tersebut kemik di tepi. Diana meletakkan ia semula ke rak dan berjalan ke arah susunan tin sardin yang lain.

“Tak apalah kak. Lagipun saya kena beli barang-barang rumah. Lauk pun dah habis. Peti ais tu dah kosong dah,” balas Belle. Matanya memerhati tingkah laku Belina dan Natasya yang sudah laju berlari ke depan. Manakala anaknya Riza hanya bersendirian lima tapak darinya. Kak Long tinggalkan anak lelakinya dengan nenek di rumah.

“Kenapa dengan Riza?” Diana juga mulai perasaan dengan kelakuan Riza yang diam sejak dari tadi.

“Mood tak baik. Biasalah budak-budak, Kak Long. Ada aje yang tak kena.”

“Oh…” Diana mengangguk-angguk. “Mereka berdua ada cakap apa-apa fasal Kay?”

“Kay?” Bella menaikkan keningnya. Matanya menjeling pada Riza. “Belina okay. Tapi Riza… dia kurang suka dengan Kay. Tapi Kak Long jangan cakap dengan Rizqi pulak. Nanti dia terasa.”

“Eh! Kak Long bukan mulut murai!” Diana menjeling manja. Dia berhenti di bahagian minuman. Air bikarbonat oren diangkat masuk ke dalam troli.

“Bercakap tentang semalam….” Diana kembali menyambung bicaranya. “Belle nampak apa?”

“Nampak apa?!” Tersentak Bella dengan pertanyaan Diana. Masih ingat lagi dia tentang hal semalam?

“Alah… I know you had a déjà vu yesterday! Belle nampak apa? Ada yang tak kena dengan Kay?” Diana bersemangat ingin mengetahui hal semalam. Keadaan Bella memang nampak luar biasa!

“Nothing,” jawab Bella basa-basi. Dia malas hendak berbicara tentang hal itu. Cukup perkara itu selesai semalam. Dia tak mahu lagi ingat akan imbasan ngeri yang sehingga terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi.

Diana menahan troli yang ditolak Bella kasar. Pandangannya menusuk ke mata Bella. “Jangan tipu! Beritahu Kak Long… Mesti ada yang tak kena, kan? Dan ia berkaitan dengan Kay? Right? Or am I wrong?

Bella menghela nafas panjang. “Tak ada apalah, kak. Belle tak suka cerita fasal benda tu. Entah betul, entah tidak. Mana boleh percaya. Belle selalu anggap yang déjà vu berlaku ke atas Belle ni perkara yang tak munasabah. Kita tak boleh predict apa yang bakal berlaku pada orang lain ataupun pada diri kita sendiri.”

“Tapi apa yang Belle nampak selalunya betul, kan? Ingat tak dulu masa Belle beritahu Kak Long yang Belle nampak kereta Kak Long kemik teruk, walaupun masa tu kereta Kak Long sebenarnya okay? Dua tiga hari lepas tu… Kak Long kemalangan. Kalaulah Kak Long dengar cakap Belle, mungkin Abang Firhad tak akan….” Suara Diana tersekat-sekat. Air matanya mula merembes turun. Kenangan dahulu memang mengguris hatinya. Kehilangan arwah suami yang sentiasa membuatkan dia menyalahi diri sendiri setelah sekian lama perkara itu berlaku.

“Kak Long!” Bella bingkas memeluk tubuh bekas kakak iparnya erat. Air mata yang membasahi pipi mulus Diana diseka dengan ibu jarinya. “Perkara tu… Belle tak boleh nak beri komen apa-apa. Ia ketentuan ILAHI. Kita tiada kuasa nak menghalang. Belle bukan tukang tilik. Belle sendiripun tak suka dengan apa yang Belle rasa sekarang ni.”

“Tapi Belle!”

“Sudahlah Kak Long.” Bella menggenggam kuat tangan Diana. “Kita kena redha. Tentang Kay tu… Belle memang tak nampak apa-apa. Imbasan-imbasan tu tak beri apa-apa makna pun. Belle tak nak jump to conclusion. Kita doa ajelah yang baik-baik. Lagipun Kay nampak macam budak baik.”

Diana mengangguk perlahan. Dia menoleh ke arah anaknya dan anak-anak Bella yang tertegun seketika melihat perilaku mereka. Nasib baiklah tak ada orang lalu-lalang di sekitar lorong Food and Beverages ini.

“Kak Long tak beli hadiah untuk Rizqi dengan Kay lagi,” bicara Diana dengan suara serak. Dia berjalan mendahului Bella dan memimpin anaknya, Natasya ke hadapan bersama Belina.

Bella hanya memantau Riza dari jauh. Biarlah Riza bersendiri. “Belle dah beli masa kat Perth. Kak Long nak beli apa?”

Saat mereka melintasi ruangan yang mempamerkan barangan dapur, Diana bergerak laju ke arah peralatan memasak. Matanya tertarik kepada set pisau yang tersusun kemas di dalam kotak plastik lutsinar.

“Belle! Macam mana kalau kak bagi yang ni? Rajin-rajinlah sikit Kay tu memasak untuk Rizqi bila ada alat memotong yang tajam macam ni,” jelasnya.

Tangan Bella mencapai kotak lutsinar tersebut. Kelopak matanya berkedip-kedip apabila melihat pisau nipis yang bergerigi tajam di hujung kotak. Air liurnya ditelan dengan seksa.

“Pisau ni….” sebut Bella perlahan. Imbasan semalam menerjah ke mindanya. Pisau halus bergerigi tajam. Alur-alur darah mengalir menuruninya. Titik-titik darah itu menitis ke atas lantai kayu yang rata.

“Belle! Belle!” Diana menepuk bahu Bella Amira berkali-kali.

“Ah!” Kotak lutsinar itu diserahkan kepada Diana kembali.

“Kenapa?” Diana keliru. Bella mengelamun? “Okay tak hadiah ni? Lain dari yang lain, kan?”

“Lain… memang lain,” kata Bella teragak-agak.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.