Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,242
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

BAB 5

KAY duduk berhadapan cermin bulat meja solek sambil rambutnya didandan oleh mak andam. Baju kurung moden putih yang berlace motif bunga itu nampak cukup sesuai dengan tubuhnya yang ramping. Paduan nuansa warna tanah yang ditatarias pada pipi pula menyegarkan kulit wajahnya yang putih pucat sebelum ini. Dia nampak bernyawa. Jauh berbeza dari dahulu…. Ketika dia di zaman kegelapan hidupnya.

“Macam mana?” Mak andam sebaya umur kakak iparnya itu bertanya setelah dia selesai meletakkan selendang putih di atas kepala Kay.

Kay tidak bersuara namun cukup sekadar mengangguk dan tersenyum. Mak andam tersebut meminta diri untuk keluar. Tugasnya sudah selesai. Tinggal tunggu jamuan selepas akad nikah sahaja. Kemudian, dia sudah boleh pulang.

Suara kanak-kanak yang ketawa dan hentakkan kaki mereka berlari melalui koridor di hadapan kamarnya membuatkan Kay tersentak. Hatinya tiba-tiba rasa terganggu. Ketawa kecil anak-anak tersebut membingitkan telinganya yang sebentar tadi tenang tanpa sebarang bunyi. Kay bingkas bangun. Kain baju kurungnya dijingkat naik ke atas dan dia bergerak laju ke muka pintu.

Sebaik sahaja tombol pintu dipulas, kedengaran suara wanita dewasa bersuara di hadapan muka pintu. Kay tak jadi menolak pintu dan sekadar mencuri-curi dengar perbualan wanita dewasa itu bersama kanak-kanak yang bising tadi.

“Jangan lari-lari… nanti jatuh! Orang dah ramai kat bawah tu. Kakak bawa adik-adik masuk dalam bilik. Nanti kalau majlis dah habis, mama panggil turun. Okay?” bicara wanita itu lembut tapi penuh dengan ketegasan.

Kay tersenyum sinis mendengar perbualan wanita itu dengan anak-anaknya. Selendang yang berada di atas kepala dilucutkan turun. Kay dengan pantas membuka pintu dan menjenguk ke luar bilik.

“Bella?” serunya sebaik sahaja wanita ingin berlalu menuruni tangga.

Bella Amira berpaling. Kay? “Ya, Kay. Ada apa ya?”

“Boleh tolong Kay pakaikan selendang ni? Mak andam tadi dia pergi toilet. Tak sempat nak pakaikan…” bicara Kay lemah lembut.

Hati Bella bagai ditimpa batu besar. Dalam banyak-banyak orang dalam rumah ini…. Kenapa dia? “Boleh…” jawab Bella terpaksa.

Mereka berdua masuk ke dalam kamar. Kay duduk di atas kerusi meja soleknya dan Bella mengambil selendang putih itu dari tangan Kay. Perlahan-lahan seledang itu ditegangkan dan Bella meletakkan ia dengan lembut ke atas kepala Kay. Pin-pin halus diselitkan ke kiri dan kanan kepala supaya selendang tersebut tidak jatuh.

Kay hanya membiarkan Bella membuat kerjanya. Setelah Bella selesai menatarias, Kay mula bersuara.

“Bella….” Kay tersenyum simpul. “Bella tak cemburu ke… Kay berkahwin dengan Abang Rizqi?”

Bella terdiam mendengar pertanyaan tersebut. Hatinya menyumpah seranah. Kay ni bodoh atau sengaja pura-pura bodoh? Wanita mana yang tak terguris hatinya melihat bekas suami berkahwin dengan orang lain?

“Kenapa Kay tanya macam tu?” Bella memaniskan roman wajah. Perasaannya dikawal rapi.

“Mana tahu…. Takut nanti Bella menyimpan dendam.”

Bella ketawa kecil. Dendam? Untuk apa menyimpan dendam? “Eh, Bella tak pandai nak berdendam-dendam. Perkara ni dah berlalu lama di antara kami. Dah dua tahun lebih dah. Bella ada life sendiri. Dan Rizqi pun ada life dia sendiri. Kami mungkin nampak rapat sebab selalu berjumpa bila ada majlis-majlis keluarga macam ni. Tapi hakikatnya… we’re exes. We accept the fact that we can’t be together anymore.

Kay berjeda seketika. Matanya memandang ke arah mata Bella melalui cermin bulat di hadapannya. Jejarinya yang berkuku panjang ditekan pada telapak tangan. Semakin lama ditekan, semakin ia meninggalkan bekas yang dalam pada telapak tangannya. Sakit tekanan itu bagai ditusuk duri, namun Kay langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Kay… Bella kena turun bawah. Ada perkara lain yang Bella nak uruskan.” Bella meminta diri untuk berlalu. Dia tidak betah berdiam dengan begitu lama sambil saling berlawan mata antara satu sama lain.

“Baiklah. See you again, Bella,” jawab Kay tenang.

Sebaik sahaja Bella Amira meninggalkan Kay sendiri, telapak tangan kiri Kay yang berbekas itu diangkat. Lelehan darah mulai keluar dari kesan tekanan kuku yang dalam pada telapak tangan tersebut. Kay mencapai tisu dan mengelap darah tersebut bagai tiada apa yang berlaku.

***

FAUZIAH meneguk gelas kaca yang berisi air merah perlahan-lahan sehingga habis. Rengkung yang kering akibat terlalu banyak berbicara pada hari ini akhirnya disegarkan. Mana taknya dia jadi begitu, dari pagi sampailah ke malam tetamu datang tak henti-henti. Meskipun ia perkahwinan kedua Rizqi, teman-teman Rizqi yang terdiri daripada rakan-rakan media di TV10 itu terlalu ramai untuk disantuni satu persatu. Anaknya eksekutif produser rancangan hiburan yang terkenal. Pasti ada rakan artis, wartawan dan rakan dari stesen televisyen lain datang untuk meraikannya.

Nasib baiklah ada saudara mara, Diana dan juga Bella. Dapatlah juga dia bernafas seketika. Dia juga tak perlu melayan keluarga besan kerana Kay anak yatim piatu dan hidup sebatang kara. Keluarga Kay kini adalah keluarganya.

“Zee… teremenung jauh nampak.”

Fauziah tiba-tiba ditegur seseorang dari belakang. Dia menoleh. Kelihatan seorang wanita yang sebaya dengan umurnya memakai tudung serkup warna biru gelap mengambil kerusi dan duduk di sebelah kerusinya.

“Bila sampai? Tak beritahu Zee pun nak datang!” Fauziah menepuk peha wanita tersebut perlahan. Senyuman mula terukir di wajah.

“Lia ingat nak datang senyap-senyap je. Kalau beritahu Zee… mesti Zee beritahu Belle, kan?” Wanita itu mengerutkan dahinya tanda kerisauan. Matanya berlegar-legar menjadi susuk tubuh yang amat dia rindui.

“Belle dah berapa lama tak datang rumah Lia?”

“Sejak dari dia bercerai hari tu sampailah sekarang. Dah dua tahun lebih dah. Cucu-cucu pun saya dah lama tak jenguk,” kata Zahlia kecewa. Bella, anak kesayangannya merajuk terlalu lama. Oleh kerana rindu yang menggigit itu, dia gagahkan hati datang ke majlis persandingan Rizqi ini. Dia tahu Bella bakal mengabaikannya. Tapi cukuplah bagi dia untuk menatap anak dan cucu-cucunya itu sekadar dari jauh.

“Marah sangat dia, ya?” Fauziah menghela nafas panjang. Bella menantu yang baik. Tetapi… baik macam manapun seseorang itu, pasti ada khilafnya di mana-mana.

“Dia tak habis-habis menuduh akulah penyebab perpisahan dia dengan Rizqi. Walhal… aku cuma….” Zahlia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Kini matanya tertumpu pada Bella yang sedang duduk sendiri di meja yang berdekatan dengan pelamin sambil melayan Riza. Zahlia dapat merasakan kekecewaan di hati Bella. Walaupun dari raut wajah, Bella nampak ceria.

“Yang lepas tu… lepaslah. Dah takdir. Sama ada kau dah beritahu dia atau kau simpan saja hal tu, mereka akan tetap berpisah. Itu takdir ALLAH. Kita tak tahu apa yang TUHAN bakal beri kepada mereka. Mungkin Belle akan dapat lelaki yang lebih menghargai dia dari anak aku, Rizqi. Bellekan baik budaknya, Lia.” Fauziah memujuk bekas besannya.

“Benar kata kau Zee.” Zahlia menundukkan wajahnya memandang ke jejari yang sudah berkedut. Usianya makin meningkat tua. Setiap detik dalam hidupnya mengingatkan bahawa dia semakin dekat akan kematian. Namun hubungannya dengan Bella, semakin lama semakin menjauh.

“Bagaimana dengan hubungan Belle dan menantu baru Zee? Apa nama budak tu….” Zahlia menyambung bicara setelah berdiam dua tiga minit.

“Kay namanya. Mereka berdua setakat ni nampak elok. Tak ada pulak yang bermasam muka. Tapi….” Fauziah jadi serba salah nak bercerita. Tak tahu sama ada Zahlia patut tahu ataupun tidak.

“Tapi apa?” tanya Zahlia kerisauan.

“Belle… Belle dapat firasat pada malam Rizqi perkenalkan dia dengan Kay. Teruk juga dia kena. Mata Belle bertukar jadi warna putih!” kata Fauziah.

Debar jantung Zahlia jadi tak tenang. Dia merenung Bella dari jauh tanpa anaknya sedari. Tingkah laku Bella yang sedang mendukungi Riza sambil berbicara dengan Diana direnungnya dalam.

“Macam mana boleh jadi macam tu? Dia ada beritahu dia nampak apa?” soal Zahlia curiga.

“Tak adalah dia cerita dia nampak apa. Zee suruh Long korek-korek cerita… tapi dia tetap diamkan diri. Macam nak simpan sesuatu. Dia kata dengan Long, dia pun tak nak percaya sangat dengan apa yang dia nampak. Tapi… Lia pernah ke jadi macam tu dulu?” Fauziah pula cuba mengorek cerita dari besannya.

“Lia… pernah jadi macam tu sekali aje. Masa tu, Lia nampak kereta arwah suami terbakar. Lepas tiga bulan… memang betul kereta arwah terbakar. Ada orang khianat dengan dia. Tapi nasib baiklah dia selamat,” jelas Zahlia. Hatinya jadi tak senang. Ada sesuatu yang buruk bakal berlaku kepada keluarga Fauziahkah? Tapi… kenapa Bella rahsiakan kalau benar ia perkara buruk?

“Astaghfirullah….” Fauziah kerisauan. Bella memegang tangan Kay saat dia mendapat déjà vu. Perkara ini memang ada kena mengena dengan Kay. Entah-entah…. “Aku rasa tak sedap hati bila kau cerita macam tu. Aku takut ada perkara buruk bakal terjadi dekat menantu aku tu!”

“Kenapa pulak?”

“Bella jadi macam tu lepas bersalam dengan Kay. Tangan dia menggeletar, mata dia jadi putih. Lepas tu badan dia terhentak dekat kabinet dan kemudian pengsan. Macam dia tengok benda yang teruk. Benda yang beri kesan kepada emosi dia,” kata Fauziah sedih.

“Ya ALLAH….” Zahlia menekup wajahnya. Matanya diangkat sekali lagi merenung Bella sipi-sipi dari celah tangan. Kemudian tangannya diturunkan. “Kita doa yang elok-elok. Aku tak pernah lagi ada experience macam dia. Mungkin badannya lemah ketika tu.”

“Mungkin jugalah… dia baru balik dari Australia dengan anak-anak.”

Zahlia merenung Bella Amira sekali lagi dari jauh. Dia seakan-akan dapat merasa kegelisahan di hati Bella. Saat Bella mengalihkan wajahnya dari berbicara dengan Diana, matanya bertembung dengan Zahlia. Masing-masing tertegun, namun Bella dengan pantas menjeling dan berlalu masuk ke dalam kawasan rumah.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.