Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,873
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 13

BAB 12

“LONG! Long! Ke sini kejap!”

Diana bergegas masuk ke ruang tamu. Kopi yang dihirupnya panas tadi ditinggalkan di atas dapur.

“Kenapa mak? Ada apa?” tanya Diana cemas.

“Ni haa mak dapat calldari mama Belle. Dia cakap Belle sakit. Mungkin esok Belle balik KL. Macam mana ni Long? Mak call adik kamu ni tak berangkat,” ujar Fauziah risau.

“Eh Rizqi tak angkat call?” Diana curiga. Bukankah Rizqi dan telefon pintarnya itu bagaikan kembar? Takkanlah tak angkat telefon. Melainkan…

“Iyalah Long! Mak telefon dekat tiga kali. Tak berangkat! Long telefon dia. Cakap Belle nak balik esok. Suruh dia hantarkan budak-budak tu malam ni jugak. Belle tu mesti nak jumpa anak dia kan…. Lepas tu minta tolong Rizqi ambilkan Belle petang esok. Terus hantarkan dia ke sini,” arah Fauziah panjang lebar.

“Banyaknya list nak mintak tolong! Kay tak bising ke mak?” Diana mengerutkan dahi. Sudahlah hubungan Bella dan Kay tidak begitu baik.

“Alah… nak bising apanya? Kalau dia bising, dia kena ingat… anak-anak Rizqi tu nak letak mana? Anak-anak tiri dia jugak.” Fauziah sudah mula bosan nak melayan masalah cemburu buta Kay yang tak berasas. Bukannya Bella dan Rizqi ada apa-apa hubungan lagi!

“Okay Long telefon sekaranglah mak,” kata Diana sambil mencapai telefon pintarnya.

***

IPHONE 5 Rizqi berdering. Bunyinya membuatkan kepala Rizqi bergoncang dan telinganya berdesing. Dalam kepeningan, Rizqi mencapai telefon pintarnya. Namun ia kemudian pantas dirampas Kay yang datang arah belakang.

“Pakai baju dululah sayang. Biar saya aje yang jawab call ni,” sapa Kay lembut. Rambut Rizqi yang lembap dek basahan air itu digosoknya lembut.

“Oh… okay. Awak jawablah. Beritahu nanti saya call balik. Saya rasa macam tak sihatlah. Kepala berat. Tak sangka bangun lewat macam ni. Dah dekat pukul 11 pagi,” rungut Rizqi sambil memicing matanya pada jam bulat yang tergantung di dinding.

“Okay sayang,” jawab Kay sambil mengelus rambut suaminya. “Nanti turun breakfast kat bawah, ye. Anak-anak awak semua dah makan.”

Rizqi hanya mengangguk sambil menggosok-gosok belakang kepalanya yang terasa sengal-sengal bagai telah dihentak. Manakala Kay pula berjalan keluar dari kamar dengan telefon Rizqi di tangan. Sekali lagi telefon tersebut berdering. Nama Diana tertera di skrin.

“Hello.” Kay menjawab perlahan.

“Hello! Rizqi ke tu?”

“Kay bercakap. Kak Long ke tu?” Kay menjeling tajam. Apa pula mereka nak dengan suaminya pagi-pagi begini?

“Iya, Kak Long ni. Rizqi ada tak? Kak Long dan mak telefon dia berkali-kali tak jawab. Dia pergi mana?” Diana meluahkan kerisauannya. Tak pernah Rizqi buat perangai begini sebelum ini.

“Dia keluarlah Kak Long. Tertinggal telefon,” bicara Kay selamba menipu.

“Lah ye ke? Hmm… nanti kalau dia balik suruh dia ASAP call akak tau. Ada hal penting,” kata Diana kecewa.

“Ada hal apa yang penting sangat tu, kak?”

“Aaa… adalah Kay. Nanti Rizqi cerita dengan Kay lepas dia bincang dengan akak.” Diana cuba berselindung. Seboleh-bolehnya dia memang tidak mahu mengundang sengketa antara suami isteri itu. Cukup-cukuplah Bella dan Rizqi dahulu bergaduh suami isteri. Kali ini biar Rizqi bahagia.

“Bagi tahu ajelah, kak. Kay bukan siapa-siapa. Isteri dia juga, kan?” Kay tidak puas hati. Ada benda yang mereka nak sorokkan dari dia?

“Emm….” Hati Diana berbelah bahagi. Kay tak cemburukah nanti? Nanti Rizqi mempersalahkan dia pula kalau mereka bergaduh.

“Kak Long… Kay tak suka kalau orang berahsia dengan Kay,” bicara Kay menekan.

“Macam nilah Kay, sebenarnya Belle sakit sekarang ni. Esok dia akan pulang ke KL. Jadi nak minta tolong Rizqilah… suruh dia hantarkan budak-budak tu malam ni kat rumah mak. Esok Rizqi kenalah ambil Belle dekat TV 10. Boleh tak sampaikan pada Rizqi?” ujar Diana berhati-hati.

Bicara antara mereka berjeda dua saat. Kay menarik nafasnya tinggi dan kemudian membalas, “Okay, nanti Kay sampaikan. Apa-apa Kay beritahu Kak Long.”

Klik. Telefon pantas dimatikan. Hati Kay kini dibakar cemburu dan amarah.

Bella Amira. Macam tahu-tahu saja dia akan apa yang berlaku ke atas Rizqi dan budak-budak tersebut.

***

“RIZA….” Suara serak Bella bersuara. Matanya berkedip-kedip saat cahaya dari sinaran matahari mulai mencucuk retina.

“Belle! Kau dah sedar!” Fatin dan Ain dengan pantas mendekati Bella. Sahabatnya yang terbaring di atas tilam lusuh itu diusap-usap ubun-ubunnya.

“Mana Riza?” Bella masih mamai. Kelibat Riza sepertinya kelihatan di mana-mana. Anaknya itu berwajah muram dengan tangisan tak kering di tubir mata.

“Riza dengan ayahnyalah Belle. Kita sekarang dekat pusat pemindahan mangsa banjir. Ingat tak?” jelas Fatin. Dia mengerling pada Ain yang diam tak terkata apa.

“Kat pusat pemindahan?” Mata Bella dibuka luas. Pandangannya kini segar. Wajah-wajah cemas Ain dan Fatin kini menghiasi jendela pandangannya.

“Iya. Kau ingat tak? Jangan cakap kau hilang ingatan lepas jatuh tadi!” ujar Ain.

“Aku jatuh? Ya ALLAH… patutlah….” Bella menggeleng-geleng. Sekali lagi dia yang didatangi firasat buruk. Kali ini imbasan yang menerjah ke mindanya agak luar biasa. Ia seakan-akan suatu alamat yang memberinya petanda akan perkara buruk yang bakal berlaku di masa hadapan. Belum pernah lagi Bella merasa selemah ini. Sepertinya alamat yang didapatinya tadi telah merenggut segala tenaga yang dia ada.

“Kau okay tak? Kalau tak okay… esok pagi-pagi kita orang nak bawa kau balik ke KL. Man tengah bincang dengan satu rombongan sukarelawan. Mereka nak balik esok pagi. Jadi kita bolehlah tumpang mereka,” kata Fatin. Keliru dia melihat keadaan Bella. Kenapa macam lemah semacam aje?

“Balik? Ya… aku nak balik Fatin… Ain! Aku betul-betul nak balik sekarang jugak!” Bella menggenggam tangan sahabat-sahabatnya. Perasaannya kini jadi tak tertahan. Hatinya pula bagai ditusuk belati apabila teringatkan Riza dan Belina. Bagai ada yang tak kena. Suara Riza dan Belina asyik saja bermain-main di hujung telinga.

“Okay! Kau bersabar ye, Belle. Esok awal-awal pagi kita balik tau? Don’t worry my dear. Your son and daughter will be okay. Jangan endahkan sangat emosi tu. Nanti merana diri,” bicara Fatin.

Bella Amira memilih untuk mendiamkan diri. Hatinya yang terseksa siapa tahu? Fatin dan Ain boleh kata apa saja. Jangan emosi memakan dirilah… Jangan terlalu ikutkan perasaanlah! Yang Bella tahu, ada sesuatu yang tidak kena. Dia yakin Riza dan Belina dalam kesusahan. Mereka perlukan dia! Di saat ini, bayangan-bayangan pelik yang Bella alami itu bagaikan cahaya yang menyuluh ke suatu kebenaran. Kebenaran yang masih belum diketahui oleh Bella sehingga kini.

***

“SAYANG! Awak dah habis makan?” Kay mendakap belakang Rizqi lembut. Rambut suaminya diusap-usap. Rizqi memang kacak walaupun ketika sakit. Sebab itulah hatinya pedih jikalau ada wanita lain dikaitkan dengan Rizqi.

“Dah… nak habis dah. Budak-budak mana ye?” tanya Rizqi.

“Oh… budak-budak?” Kay tersengih. “Ada kat atas. Main apa entah. Saya pun tak tahu,” jawabnya tersenyum. Sedaya upaya dia cuba menutup penipuannya. Keadaan Riza yang berbirat di belakang badannya itu tidak boleh ditunjukkan kepada Rizqi.

“Oh ye ke? Mereka dah makan?”

“Dah… anyway, tadi masa awak tengah tukar baju… Kak Long telefon. Dia cakap Bella mungkin balik esok sebab dia sakit. Jadi… Kak Long minta awak hantar budak-budak tu malam ni jugak.” Kay cepat-cepat menukar tajuk perbualan dari tertumpu kepada anak-anak Rizqi sahaja. Isu Kak Long tentang Bella tadi diutarakan.

“Oh really?” Rizqi bagai tak percaya. “Belle sakit? Tapi dia okay je kan hari tu…. Lepas tu budak-budak tu nak kena hantar malam ni? Pelik.”

“Hmm, mungkin Belle rindukan anak-anak dia. Kita tak tahu kan…. Sebab tu lah kot dia sakit. Lagi satu, Kak Long minta awak ambil Belle esok petang. Boleh tak?” tanya Kay dalam nada menyampah. Bosan dia dengan isu Bella yang tak habis-habis. Dia harus mencari jalan supaya Bella dan Rizqi tidak lagi berhubungan.

“Oh… boleh….” Rizqi mengusap-ngusap belakang kepalanya yang masih sengal. Berat di kepala ini masih belum hilang. Tenaga badannya pula seperti mengering secara tiba-tiba. Walhal semalam dia memang tak apa-apa. Cerdas seperti selalu.

“Ke awak tak sihat sebenarnya ni? Awak tak larat, ye?” Kay pantas meneka. Rizqi masih terasa sengal di kepalanya. Ini peluang yang harus Kay pergunakan sebaiknya!

“Hmm… entahlah. Saya memang rasa tak sihat hari ni. Macam badan saya ni kena sedut segala tenaga-tenaga yang ada,” akui Rizqi.

“Kalau macam tu… biar saya je yang hantar budak-budak tu malam ni. Awak rehat aje kat rumah. Nanti saya beritahu Kak Long yang awak minta tolong dia ambilkan Bella. Boleh?” kata Kay.

“Ah… tak susahkan awak ke, Kay? Awak boleh bawa kereta saya tu?” Rizqi terasa serba salah. Lagi pula sebelum ini dia tidak pernah tahupun yang Kay boleh memandu.

“Tak adalah sayang! Demi awak… saya akan buat apa saja. Lagi satu… saya memang boleh bawa kereta. Saya tak pernah beritahu awak, ye?” bicara Kay tersenyum simpul.

“Tak.” Rizqi menggeleng. Dahinya pula berkerut-kerut cuba mengingat. Ah! Banyak benda yang tidak dia tahu tentang Kay. Perkenalan yang singkat itu hanya diakhiri dengan perkahwinan yang tergesa-gesa. Rizqi akui dia serik menyulam cinta bertahun-tahun lamanya dan akhiri sesebuah perhubungan itu dengan perpisahan. Sejujurnya juga, dia tidak betah hidup tanpa wanita!

“Kalau macam tu saya nak naik ke atas dan beritahu budak-budak tu. Suruh mereka kemas-kemas barang. Awak… habiskan lunch tu tau?” kata Kay.

Rizqi hanya mengangguk. Menurut saja bicara Kay yang dia rasakan benar. Bijak juga Kay yang dia sangka gadis kampung ini. Ligat otaknya menyelesaikan satu-satu hal.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.