Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
68,065
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 10

BAB 10

SEAWAL lima pagi lagi Bella sudah terjaga dari tidurnya. Memang hatinya berat untuk mengikuti misi bantuan ke Pantai Timur. Hatinya asyik teringatkan Riza dan Belina yang bakal dijagai oleh Rizqi dan Kay, si ibu tiri.

Bukan Bella tidak percaya pada Rizqi. Dia tahu Rizqi seorang ayah yang prihatin. Sayangkan Belina dan Riza seperti nyawanya sendiri. Namun Bella tidak akan sekali-kali percaya pada si lidah bercabang dua itu, Kay. Semenjak dari peristiwa berdarah di dapur ibu mertuanya beberapa hari lepas, Bella sudah serik untuk bertembung mata dengan Kay.

Bella tahu dia ada niat jahat. Firasat yang Bella dapati beberapa hari lepas memang menjurus ke arah Kay. Dia yakin senyuman nipis yang dia lihat pada firasat itu adalah senyuman Kay. Malah pisau tirus yang berdarah dalam bayangannya itu juga ada bersangkut paut dengan Kay.

Sepanjang perjalanan Bella ke Kelantan, hatinya asyik merintih doa kepada TUHAN. Semoga ALLAH lindungi anak-anaknya dari perkara yang tidak diingini. Semoga ALLAH jauhi anaknya dari putar belit si lidah bercabang dua itu. Dan juga… semoga ALLAH lindungi Rizqi dari terus termakan kata-kata hasutan Kay.

Tepat pukul dua petang, Bella dan ahli pasukan sukarelawan dari TV 10 tiba di Kampung Manjor, Kuala Krai. Walaupun hujan pada ketika itu masih lagi renyai-renyai, namun misi kemanusiaan ini harus juga diteruskan. Semangat untuk membantu mereka yang memerlukan membara-bara apabila mereka melihat sisi kemusnahan perkampungan yang dahulunya ceria bertukar seperti padang jarak padang terkukur. Tiada apa lagi yang tinggal. Kemusnahan rata-rata hampir 80% penduduk di perkampungan tersebut kehilangan tempat tinggal.

Mereka hanya mengharap belas ihsan sukarelawan yang datang membantu. Rumah-rumah mereka kini hanyalah khemah dan pondok yang dibina dari atap zink yang merupakan sisa-sisa dari bahagian rumah mereka yang tinggal dan lantai pula hanya berlapikkan tikar plastik lembap. Ada pula di antara penduduk kampung yang tinggal empat keluarga berhimpit-himpit dalam satu satu rumah. Ia memang menyayat hati. Kemusnahan yang tidak pernah mereka jangka akan terjadi sehebat ini.

Pasukan sukarelawan TV 10 yang terdiri daripada 15 orang itu mula mengagih-agih barang bantuan kepada penduduk kampung. Ada di antara mereka pula memilih untuk bertegur sapa dengan penduduk kampung dan membantu mereka dalam usaha untuk membaikpulih rumah yang rosak. Walaupunbagaimanapun, Bella hanya memilih untuk berdiam diri dan memerhati. Dia seperti tiada hati dalam membantu teman-teman sukarelawan yang lain. Sudut timbunan kayu kayan dari rumah papan yang rosak menjadi tempatnya untuk bersendiri. Sikapnya bagi sukarelawan yang lain tak ubah bagai kera sumbang. Diam dan tak suka bergaul dengan orang lain.

Melihatkan hal sebegitu menimpa Bella, Fatin dari kejauhan hanya mampu mengeluh. Dah nampak sangat macam orang kena kahwin paksa! Datang nak membantu orang susah pun macam kena paksa! Kalau dah rindu sangat dekat anak-anak, kenapa paksakan diri datang ke sini? Kan dah jadi tak ikhlas namanya!

“Belle!” sapa Fatin bersama sebotol air minuman di tangan. Botol itu diserahkan kepada Bella.

“Kau ni jadi kera sumbang kat sini kenapa? Baik tak payah ikut je kalau nak jadi bos kat sini,” sindir Fatin tajam. Tak kisahlah Bella tu penerbit ke, atau apa-apa jawatan yang lebih tinggi daripadanya, kalau dah salah memang kena tegur!

“Sedapnya mulut mengutuk….” bicara Bella perlahan. Botol berisi air minuman itu diteguk Bella sekali. “Aku kena paksalah datang sini… bukannya datang sebab nak tolong pun.”

“Ish! Siapa yang paksa kau ni? Rizqi?”

“Siapa lagi? Dia cakap kalau aku pergi… dia boleh tolong kita soal bajet program,” jawab Bella.

“Ish, ish, ish… Buruk perangai Rizqi tu, kan? Aku rasa perangai kau pun buruk jugak.” Fatin sekali lagi menyindir. Pedas dan terbakar!

“Kau ni dah kenapa? Kalau kau nak tolong… kau boleh pergi tolong. Tapi aku… aku justtak ada mood sekarang ni. Asyik teringat dekat anak-anak je,” luah Bella.

Fatin menggeleng-geleng. Macam dia seorang aje yang ada anak, ya? “Dengar sini… aku nak beri nasihat sikit. Kau nampak tak kakak kat depan tu,” kata Fatin sambil menjuihkan bibirnya ke arah seorang wanita hamil yang bertudung serkup merah jambu. Wanita itu tekun mencari-cari sesuatu dari celahan rumah kayunya yang ranap.

“Kau rasa dengan tengah cari apa?” sambung Fatin.

Bella menjungkitkan bahunya. Anak-anak rambut yang menjulur ke dahi ditolak ke belakang dengan kasar.

“Tekalah! Dia cari apa? Bosanlah kau ni,” desak Fatin.

Bella mengerutkan dahi. Dah gila apa perempuan ni? “Mana aku nak tahu! Dia cari barang-barang rumah dialah kot. Mana tahu ada yang berguna.”

“Salah! Dia… tengah cari baju untuk anak dia. Baju baby untuk anak dia yang tak lama lagi nak lahir tu. Aku rasa umur dia lebih kurang umur kaulah, Belle,” kata Fatin dengan suara yang semakin serak. Air matanya hampir-hampir tertumpah.

Bella terdiam mendengar jawapan dari Fatin. Hatinya menjadi sakit. Seperti ada yang mencucuk-cucuk. Penjelasan yang diberitahu Fatin membuatkan dia terasa seperti manusia yang paling bodoh di dalam dunia. Tiada hati perut. Tiada perasaan belas kasihan!

“Dia mesti tak sabar nak tunggu kelahiran baby tu, kan? Tapi dalam masa yang sama… mesti dia risau. Risau nak lahirkan anak dalam serba kekurangan. Risau pakaian apalah dia nak balut pada anaknya yang nanti akan kesejukan. Risau makanan apa yang dia nak beri pada anaknya sedangkan dia pun berlapar dahaga. Risau di manalah dia nak tinggal kalau dia dah bersalin nanti,” kata Fatin lagi.

Bella mengalirkan air matanya. Dia merasa bersalah yang amat. Bagaimanalah hatinya boleh menjadi sekeras batu sebentar tadi? Duduk sendiri tak berbuat apa. Lagak ma’am besar yang datang dari bandar. Lumpur dan selut dilihatnya sebagai menjijikkan. Tiada satupun yang membuatkan dia minat untuk terus bangun dan membantu penduduk-penduduk di sini.

“Kerisauan kau kalau dibandingkan dengan kerisauan perempuan dekat depan tu bagi akulah… tiada apa-apa. Kau risaukan anak kau yang bagi aku cukup serba-serbi keperluannya. Untung Riza dan Belina ada ayah macam Rizqi. Cakap apa ajelah, mesti tak sampai seminit dia belikan, kan? Kalau kau risau tentang keadaan mereka dengan ibu tiri mereka tu, bagi akulah kan… itu semua lahir dari perasaan over protective kau pada anak-anak. Kau takut kalau ada orang lain buat perkara tak elok dengan anak kau dan kau pulak tak letakkan kepercayaan pada Rizqi untuk melindungi mereka. Tolonglah Bella Amira… sedar dan bangun ke dunia realiti!” Fatin menambah bicaranya panjang lebar.

Bella menghamburkan air matanya habis-habisan. Menangis tersedu-sedan dia di situ. Benarlah kata Fatin, dia risaukan perkara yang remeh temeh. Kalau dibandingkan dia dengan si ibu yang sarat mengandung di hadapannya itu, apalah berat sangat dugaan hidupnya? Hidupnya mewah dan keperluan anak-anaknya cukup. Manakala, ibu ini hanya menagih harapan di sebalik serpihan kayu kayan rumah papan yang telah musnah! ALLAH… berdosanya dia!

***

PETANG Jumaat itu, Rizqi membawa Kay dan anak-anaknya ke rumah banglo yang baru dibelinya di Shah Alam. Kawasan perumahan yang dinamai Villa Ixora ini masih lagi sunyi. Hanya ada empat lima buah rumah yang berisi keluarga. Kebanyakan rumah lain masih lagi kosong. Walau bagaimanapn, sebelah kanan rumah banglo mereka telah didiami sebuah keluarga besar yang dengarnya berasal dari Johor. Rizqi sempat bertegur sapa dengan mereka sebelum masuk meneroka dalaman rumah.

Belina dan Riza teruja. Perkara pertama yang menarik perhatian mereka semasa menjejakkan kaki ke banglo itu adalah kolam renang yang dibina bersebelahan kawasan ruang tamu. Belina beriya-iya mahu terjun ke dalamnya. Namun keinginan Belina dihalang Rizqi kerana dia mahu membersih kolam tersebut terlebih dahulu.

Manakala Riza pula gemar bersendirian seperti biasa. Kehijauan laman banglo itu menarik minatnya untuk meneliti setiap satu pokok yang tertanam di situ. Sambil itu dia juga bermain dengan ulat gonggok yang bertenggek di atas buaian besi.

“Belina dan Riza suka tak?” tanya Rizqi.

Kedua-dua menjerit gembira. Tak sabar untuk bermalam di rumah tersebut hari ini. Namun lain pula bagi Kay, dia berdiam tak berkata sepatah. Kegembiraan di wajah anak-anak itu hanya membuatkan hatinya robek.

“Kay… saya ada satu benda nak tunjukkan dengan awak,” ajak Rizqi yang menarik tangan Kay ke ruangan dapur. Anak-anaknya dibiarkan bersendirian.

“Awak suka tak?” Rizqi mempamerkan ruang dapur yang sebesar separuh dari ruang tamu. Keluasan dapur itu lengkap diisi dengan barangan elektrik, meja memotong sayur, kabinet menyimpan peralatan memasak dan pinggan mangkuk serta dapur memasak yang serba canggih.

Kay tersenyum. “Suka. Luas sangat dapurnya.”

“Senang awak nak memasak nanti.”

Kay tidak mengendahkan jawapan Rizqi. Matanya tertumpu pada pintu kecil di ruang dapur. “Ini bilik apa?” tanyanya.

“Ini?” Rizqi membuka pintu kecil itu. Gelap. Lampu ditekan. Cahaya kamar itu hanya menyimbah malap. “Stor rasanya….”

“Oh….” Kay tersenyum lagi. Mindanya mula berputar dengan 1001 macam idea. “Kalau kita letak peti ais yang besar tu dalam ni boleh?”

“Peti ais dalam ni?” Rizqi menggaru-garu kepala. Kan elok-elok peti ais kat luar. Kenapa nak sumbat dalam bilik ni? “Buat apa ye? Peti ais tu kan elok kat luar?”

“Bukan peti ais tu… peti ais yang besar tu. Yang orang simpan daging tu. Awak beli dan kita masukkan dalam ni, nak tak?” jelas Kay.

“Oh… beli lagi satu peti ais?”

“Iyalah. Nanti boleh asingkan barang basah dan kering dalam ni,” ujar Kay.

“Boleh aje kalau macam tu! Saya okay je. Nanti awak listkan barang apa yang kita kena beli lagi dan mungkin kalau awak nak ubah-ubah dalaman rumah ni… awak beritahu saya je. Saya akan suruh kontraktor buat,” ucap Rizqi. Bahagia dia dengan sikap menyenangkan Kay. Lemah lembut aje. Bicaranya pun tak memaksa. Bukan macam Bella… buka mulut je nak bergaduh!

Kay menghela nafas lega. Akhirnya, keinginannya akan tercapai setelah hampir 15 tahun menahan diri. Bersabarlah hati. Sekejap saja lagi….

***

BAU haruman lavender menusuk ke hidung Rizqi saat dia memasuki kamar peraduannya. Lampu malap berwarna jingga dipasang. Manakala kelibat Kay yang sudah sepatutnya berada di dalam kamar tidak pula kelihatan.

Rizqi terpandang akan segelas susu coklat yang diletakkan di atas meja sudut bersebelahan dengan katil bersaiz king milik mereka. Kay minum susu sebelum tidur? Patutlah tadi beriya menyuruh dia membeli susu sebelum datang ke mari. Mungkin habit sehariannya tergendala semenjak berkahwin dengan Rizqi.

Bagi Rizqi, Kay seorang yang perahsia. Kebanyakan hal mengenainya masih belum diketahui Rizqi. Sikap perahsia Kay membuat Rizqi semakin tertarik terhadapnya. Dia suka akan cabaran dan meneroka sesuatu yang tidak diketahui olehnya.

Bunyi air di dalam bilik membuatkan Rizqi tersentak. Kay ada rupanya di dalam kamar mereka! Mati-mati dia ingat Kay masih lagi di dapur. Bukan perempuan memang gemar bertenggek di dapur? Ada saja projek yang mereka lakukan tanpa pengetahuan suami dan anak-anak. Tup-tup dah masak satu lauk. Tup-tup dah siap setalam kuih. Kan?

Kay keluar dari kamar mandi. Wajahnya yang kelihatan bercahaya setelah dioles pelembap dan krim malam sudah bersedia untuk direhatkan. Dia memberi senyuman manis apabila Rizqi menatapnya lama.

“Budak-budak dah tidur?” tanya Kay basa-basi. Tuala yang tersangkut di tepi almari dicabut turun dan dipedapkan ke muka perlahan-lahan. Dia seterusnya membuka ikatan sanggul pada rambut. Rambut lurus dilepaskan ke dada.

“Dah. Puas saya nak tidurkan si Riza tu. Ada-ada saja dia. Rindu Bellelah… nak dengar suara Bellelah….” Rizqi menggeleng-geleng. Dia membaringkan badannya ke katil.

“Oh… ye ke?” Kay mengalihkan wajahnya ke cermin. Wajah cemberutnya ditonjolkan. “Awak dah nak tidur? Minumlah susu coklat tu dulu.”

“Eh? Untuk saya ke ni?” Rizqi bingkas bangun dari katil. Matanya dialihkan ke susu coklat yang masih setia di meja sudut bersebelahannya.

“Iyalah. Saya suruh beli tadi untuk awak minum.” Kay berkalih dari cermin. Gelas susu itu diangkat dan diserahkan ke tangan Rizqi. “Minumlah… baik untuk kesihatan kalau minum sebelum tidur.”

Rizqi tersengih. Ini rutin baru! Dia belum pernah lagi minum susu sebelum tidur. Kali terakhir dia membeli susu adalah semasa Bella mengandungkan Riza. Selain dari itu dia memang jarang sekali meminum cecair putih mahupun coklat atau strawberry itu tersebut.

“Aaa… awak nak saya minum ke?” Rizqi menelan air liurnya.

“Yelah… minumlah. Demi saya!” Kay melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Rizqi. Bahu lelaki itu dipicit-picit.

“Okay. Demi awak. Saya minum.” Gelas susu itu dicapai. Rizqi meneguk susu coklat tersebut perlahan sambil tersenyum.

Kay pula hanya melihat perilaku Rizqi dengan kegembiraan berbunga di hati. Rizqi memang benar sayangkan dia! Tapi… dia? Adakah dia menyayangi Rizqi seperti mana sayangnya Rizqi kepadanya? Kay menggigit bibirnya kuat.

‘Tunggu dan lihat saja!’ bisik hati Kay keras.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.