BAB 9
BELALANG
hijau yang kaku di atas daun bunga Raya ditenung Kay lama. Hatinya tidak tenang.
Sebaik sahaja Kay bangun dari tidur, Rizqi sudah tiada di dalam kamar mereka.
Bila ditanya dengan ibu mertuanya di mana keberadaan si suami, Rizqi dikatakan
ke tempat kerja.
Buat apa dia ke sana? Bukankah Rizqi
bercuti sekarang ini? Bukankah Rizqi sepatutnya menumpukan perhatian kepadanya
dan bukannya pada kerja? Kay mengeluh lemah. Keliling laman besar rumah ibu
mertuanya itu diteliti. Kehijauannya menenangkan hati. Namun pada masa yang
sama, ada sesuatu yang membakar jiwanya.
Kay kembali menatap belalang yang
masih tidak berganjak pada daun bunga Raya tersebut. Sesungut si belalang
bergerak-gerak. Namun keempat-empat kakinya masih memaut teguh pada permukaan
daun. Perlahan-lahan tangan Kay bergerak ke arah belalang tersebut. Telapak
tangan kanan dan kirinya menekup daun bunga Raya itu. Kemudian dengan lembutnya
kedua-dua belah tapak tangan Kay menarik belalang itu masuk ke dalam kepungan
tangan yang kini berbentuk seperti gua.
Belalang itu diintai dari celahan
jejarinya. Seperti manusia yang punya hati dan perasaan, belalang itu bagai
dapat mengetahui apakah nasib yang bakal menimpanya. Ia melompat-lompat minta
dilepaskan. Namun Kay hanya bertenang dan membiarkan keadaan belalang tersebut
begitu sahaja buat beberapa ketika tanpa merasa takut mahupun geli seperti
wanita-wanita lain.
“Kay!”
Kay menoleh ke belakang. Kelihatan
ibu mertuanya menggamit dari pintu kaca yang berhadapan dengan ruang tamu.
“Kay! Masuklah!” panggil Fauziah.
Nafas Kay turun naik. Belalang yang
berada di tangannya itu dihenyak hancur dengan sekali gesekan sahaja oleh
kedua-dua belah tangan. Sisa-sisa belalang itu kemudiannya dibuang ke tanah.
“Ya, mak! Kay masuk sekarang,” sahut
Kay dengan nada tenang.
Sebelum kakinya melangkah masuk ke
dalam rumah, tangan kanannya yang bersisa hancuran belalang tadi dijilatnya
licin seperti menikmati ulam-ulaman. Kay tersenyum puas.
***
BELLA
mengerutkan dahi. Matanya diangkat tepat memandang Rizqi dan kemudian beralih
pula kepada Saiful yang kini sudah tersengih-sengih sendiri.
“Macam mana Belle? Awak bolehkan join team CSR kami?” Saiful bertanya
buat kali yang kedua. Sepanjang perbincangan tadi, Bella hanya mendiamkan diri
tanpa melontarkan sebarang komen.
“Saya….” Pandangan Bella bertaut
dengan Rizqi. Dia kemudian menunduk. “Saya sebenarnya suka buat amal kebajikan.
Saya suka menolong orang, tambah-tambah yang memerlukan dalam situasi yang
parah begini. Tapi….”
“Tapi?” Saiful menagih jawapan. Dia
perlu membuatkan segala keputusan selewat-lewatnya petang ini. Kumpulan
sukarelawan yang pertama akan memulakan tugas mereka esok. Namun angka yang
terlibat dalam misi bantuan ini masih terlalu kecil. Kurang dari 10 orang.
“Beginilah… saya berterus terang
aje,” kata Bella. “Saya bukan tak nak join
kumpulan Encik Saiful, tapi saya baru aje balik dari bercuti. Saya ada beberapa
perkara yang perlu diuruskan untuk program saya tahun depan. Lagipun anak-anak
saya nak masuk sekolah lagi beberapa hari lagi… saya takut saya tak boleh beri
komitmen.”
Saiful berkalih pandang ke Rizqi.
Bibirnya diketap kuat dan matanya memberi isyarat kepada Rizqi supaya mengilhamkan
suatu ayat yang mampu menarik Bella ke dalam pasukan sukarelawan mereka.
“Belle, tentang budak-budak tu awak
jangan risau. Saya dan Kay akan uruskan. Lagipun baju sekolah semua dah beli,
kan? Lagi satu… saya minta tolong sangat dengan awak supaya join misi ni sebab tak ramai yang ada
kat office sekarang boleh join mereka ni. Saya tak nak stesen kita
dicop tak prihatin di mata masyarakat ataupun ambil mudah dalam soal khidmat
masyarakat macam ni.
Awak pun tahukan… menjelang tahun
baru ni, semua orang cuti. Awak aje yang available.
Saya pun cuti. Tapi saya gagahkan juga datang ke pejabat. Jadi saya harap awak
jangan kecewakan kehendak bos awak. Saya janji… kita akan bincangkan soal
program awak minggu hadapan, lepas awak balik dari Kelantan. Apa saja
permintaan awak saya akan bawa ke pihak atasan. Maybe lepas ni ratingakan
naik?” ujar Rizqi sambil mengulum senyuman. Manis bicaranya ditutur demi
memancing jawapan ‘ya’ dari Bella Amira.
Kening Bella diangkat tinggi. Rizqi!
Memang pandai dia bermain kata! “Okay. Saya akan tuntut janji tu. Jadi, bila
pasukan pertama akan bertolak, Encik Saiful?”
“Esok.”
“What?
Esok?” Bella tidak menyangka misi bantuan itu akan diadakan secepat yang
mungkin. Tak habis penat pulang dari Australia, dah kena ke Pantai Timur pula?
“Ya, esok. Tiga hari saja. Boleh,
kan? Awak ajaklah team Eksplorasi
ikut awak sekali. Ain, Fatin, Rahman mesti free,
kan?” jawab Rizqi.
Bella hanya mengangguk-angguk. Namun
jauh di sudut hatinya, dia menyumpah seranah. Memang Rizqi cakap tak serupa
bikin. Hari itu cakap dia diberi pengecualian. Hari ini lain pula ceritanya!
Kalau boleh diketuk-ketuk kepala si Rizqi ni….
“Belle, Rizqi… saya anggap masalah
ini dah selesai ye. Esok Belle tunggu di hadapan pintu utama TV10 pukul lapan
pagi. Kita akan bertolak tepat pukul sembilan,” kata Saiful.
Sebaik sahaja Saiful meninggalkan
mereka berdua, sikap sopan Bella sebentar tadi dicampak ke tepi. Api amarah
sudah mulai menjalar ke urat kepalanya hingga telinga terasa seperti
mengeluarkan haba.
“Awak dan Kay nak jaga budak-budak
tu?” soal Bella tegas.
“Saya rasa macam nak batalkan honeymoon kami. Mungkin kami akan pindah
ke rumah baru secepat yang mungkin. Jadi saya nak bawa anak-anak kita tinggal
kat rumah baru tu dengan Kay sementara awak ke Pantai Timur,” jawab Rizqi
selamba tanpa menghiraukan nada amarah pada bicara Bella.
“Perempuan tu… nak jaga anak saya?”
“Yalah… kenapa?”
Bella menipiskan pandangannya
terhadap Rizqi. “Saya tak percayakan dia!”
“Awak ni kenapa? Apa salah dia
sampai awak tak nak dia jaga anak-anak kita? Awak sedar tak dia tu ibu tiri
mereka?” soal Rizqi bertubi-tubi. Panas juga hatinya mendengar bicara Bella.
“Saya tak kisah kalau dia jaga
anak-anak saya elok-elok. Tapi… kalau dia sentuh budak-budak tu walau
sedikitpun sampai dia orang mengadu dekat saya.... Saya akan pastikan dia akan
menyesal!” Bella memberi amaran. Langkah kakinya diangkat laju menuju ke pintu
keluar.
“Belle! Nanti jangan lupa singgah
rumah mak!”
Bam! Pintu pejabat Rizqi dihempas
kuat.
***
BELLA
tidak mahu ke rumah bekas ibu mertuanya. Dia tidak mahu lagi bertentang mata
dengan Kay yang dianggap sebagai lidah bercabang dua. Jikalau dia datang pun,
ia hanya akan membesarkan konflik di antara mereka. Cukup-cukuplah. Memang
sedari awal lagi dia tahu yang Kay memang tidak suka padanya. Kay juga cemburu
jikalau dia rapat dengan Rizqi.
Oleh itu, Bella cadangkan kepada
Rizqi supaya mengambil anak-anak mereka dari rumah dan seterusnya datang ke KFC
Kota Damansara. Dia akan mengambil anak-anaknya dari sana dan terus pulang ke
rumah. Dalam pada pertemuan itu, dia akan menyuruh Rizqi cuba memujuk anak-anak
supaya tinggal bersama Kay di rumah baru untuk tiga hari semasa ketiadaannya.
Bella berharap anak-anak kesayangannya akan menolak cadangan bijak ayah mereka.
“Mama nak pergi Kelantan? Buat apa?”
bicara Belina petah sebaik sahaja Rizqi berbicara soal kepergian Bella Amira
dalam misi bantuan mangsa banjir.
“Mama pergi sana sebab nak tolong
mangsa banjir. Kakak tengokkan kat TV pasal banjir tu? Rumah dia orang dah tak
ada, makanan pun dia orang tak ada. Kakak tak kesian kat mereka?” Rizqi
menjelaskan kepada Belina yang berada di pangkuannya.
“Papa… kita orang duduk rumah nenek,
kan?” Riza yang berada di pangkuan Bella pula bersuara. Comot bibirnya dengan
minyak dari peha ayam KFC yang sedang dimakan.
“Em... papa ingat macam ni.” Mata
Rizqi diangkat menatap mata coklat Bella. Bella membalas pandangan Rizqi dengan
jelingan. “Nak tak kalau papa bawa Riza dan Belina tinggal rumah baru papa?”
“Nak!” Belina dan Riza menjawab
serentak.
Rizqi tersenyum lebar. “Kita tinggal
sama-sama kat sana sampai mama balik, okay?”
“Siapa lagi yang tinggal dengan
kita, papa?” soal Riza tidak puas hati.
“Riza, kakak, papa dengan…” Rizqi berjeda
seketika. Matanya berkedip pada Bella.
Bella menjegilkan mata supaya Rizqi
meneruskan kata-katanya.
“Mak Cik Kay,” sambung Rizqi.
“Wah, Mak Cik Kay pun ada!” Belina
teruja. Manakala Riza pula sudah mempamerkan wajah monyoknya.
“Riza tak suka?” Rizqi perasan akan
reaksi wajah Riza yang berubah. Mengapa Riza kelihatan tidak selesa apabila
nama Kay disebut?
“Riza? Papa tanya tu.” Bella
menundukkan wajahnya untuk menatap wajah Riza. Air mata si anak kecil itu
tiba-tiba bergenang di tubir mata. Eh, dah kenapa nak menangis pula?
“Riza nak tinggal dengan mama.” Satu
persatu titik air mata berhamburan jatuh. Riza tidak mampu menahan perasaannya.
Hati Bella terus jadi luluh melihat
tingkah laku Riza. Kolam matanya juga mulai penuh.
“Hey, Riza? Kenapa menangis?” tanya
Rizqi yang tidak mengerti. Drama swasta apa pulak ni tiba-tiba anak beranak
menangis?
“Riza tak nak mama pergi….” Riza
meluahkan isi hatinya. Bella Amira dipeluk erat. Sedu sedan semakin
menjadi-jadi.
Kolam mata Bella ikut juga
tertumpah.Wajah Rizqi yang serba tidak faham itu makin menambahkan kesedihan di
hati.
“Eh, Belle? Kenapa Riza menangis?
Awak pun menangis?” soal Rizqi keliru.
“Awak ni tak faham-faham ke?! Dia
tak nak saya pergi. Dia tak nak saya tinggalkan dia,” balas Bella yang juga
kini sudah tersedu sedan. Air matanya turun berjurai-jurai mengalahkan air
terjun.
“Ish!” Rizqi menggaru-garu kepala.
Mak dengan anak cepat sangat beremosi! “Riza… mama ada kerjalah. Mana boleh
mama tak pergi. Nanti bos marah!”
“Papa pujuklah bos!” kata Riza yang
masih menekup wajahnya di sisi badan Bella.
“Dengar tu papa… pujuklah bos!”
Bella sengaja mengulangi kata-kata Riza. Hati dia pun sebenarnya tidak rela
meninggalkan Belina dan Riza sendiri.
“Eh mana bolehlah!” Rizqi
merendahkan suaranya. “Awak ni… kan dah janji dengan Saiful.”
“Bukan saya yang tak nak pergi.
Anak-anak awak yang tak bagi!”
Rizqi menepuk dahinya. “Awak pujuklah
dia!”
“Awak tengoklah dia dakap saya macam
mana! Awaklah pujuk dia. Awak nak dia tinggal dengan isteri awak, kan?” ujar
Bella.
Kembang kempis hidung Rizqi
mendengar bicara Bella. Dah sindir-sindir pula sekarang, ya! Tanpa membuang
masa, Belina yang berada di pangkuannya diletakkan ke tepi. Rizqi bangun dan
duduk mencangkung di hadapan Bella.
“Riza anak papa, meh sini papa
dukung dia!” pujuk Rizqi sambil mendepangkan tangan.
Namun Riza buat tak endah. Lagi
ketat pelukannya pada Bella.
“Alahai Riza… tak kesian kat papa
ke, sayang? Papa sedihlah kalau Riza tak nak tinggal dengan papa.” Rizqi kalah
dengan Bella dari segi skil pujuk memujuk anak. Tambah-tambah lagi Riza. Hati
keras seperti si ibu.
Rizqi memberi isyarat mata pada
Bella Amira. Bantulah dia! Dia bukan pandai nak memujuk anak-anak. Kalau mereka
suruh dia belikan mainan atau bawa jalan-jalan, dia tahulah!
“Riza… tak baik buat papa macam tu.
Kalih muka tu… pandang papa,” pujuk Bella pula.
Mendengarkan suara Bella memujuknya,
Riza terus meleraikan pelukan. Kepalanya berpaling pada Rizqi yang sedia dengan
depangan tangannya.
“Peluk papa cepat,” bicara Bella
lagi.
Akhirnya, Riza mengalah. Dibiarkan badannya didukung
oleh Rizqi. Anak beranak itu kemudian saling ketawa antara satu sama lain.
Bella Amira tersenyum pada Belina yang menyaksikan sikap Rizqi dan Riza. Hati
Bella tersentuh. Alangkah bahagianya jikalau dia dan Rizqi masih lagi suami
isteri. Namun semuanya sudah terlambat. Bella mengeluh kecewa.
Mungkin dia yang bersalah dan bukannya Rizqi dalam
isu penceraian mereka. Dialah yang terlalu angkuh dan selalu menyangka dialah
yang paling benar dalam setiap keputusan yang dilakukannya. Rizqi bagi Bella
adalah seorang suami yang lurus. Lelaki yang tidak banyak bicara dan sedia
mencintai isterinya dalam apa jua keadaan. Kini cinta suci Rizqi hanya
tertumpah pada Kay. Tanpa mengira perangai apa yang Kay tonjolkan atau
mendengar bicara orang tentang apa yang mereka fikir tentang Kay. Bella
kehilangan cinta itu. Dia hanya boleh berbahagia dengan sisa-sisa cinta yang
Rizqi berbagi pada anak-anak mereka.
Itu sahaja
yang dia ada. Ya, itu sahaja. Air mata Bella kembali berjurai turun.