Home Novel Thriller/Aksi Jangan Percaya!
Jangan Percaya!
Syaida Ilmuna
1/3/2015 12:13:19
67,965
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

“KAK LONG!”

Bella Amira memeluk erat susuk ramping Diana, kakak sulung Rizqi yang menyambutnya di pintu. Manakala Riza dan Belina pula sudah berlari masuk ke dalam rumah sebaik sahaja kelibat sepupu-sepupu mereka, Haziq dan Natasya kelihatan menggamit di belakang ibu mereka.

Rizqi dibiarkan sendirian mengeluarkan beg-beg milik Bella dan anak-anak. Perang dingin yang entah ke berapa kali telah tercetus tadi dan masih lagi berlanjutan sehingga mereka sampai di rumah ibu Rizqi. Sungguh Rizqi akui, Bella bukan wanita yang mudah untuk dimanjakan!

“Belle! Alhamdulillah dah selamat sampai. Kak Long risau Belle dan anak-anak naik kapal terbang. Dari tadi asyik tengok televisyen je pasal nahas kapal terbang kat Surabaya tu. Lain kali, jangan naik flight dah tau!” pesan Diana panjang lebar. Sambil-sambil itu matanya menjeling pada Rizqi yang sibuk mengangkat beg masuk ke dalam rumah.

Bella yang perasaan akan pandangan Diana hanya tersenyum sinis. “Biarkan dia. Orang nak kahwin ni kena rajin sikit,” kata Bella selamba.

“Rizqi dah beritahu tak?” tanya Diana tiba-tiba. Bella ditarik ke tangga dan terus naik ke kamar miliknya. Pintu kamar ditutup rapat.

Bella kebingungan. “Beritahu apa?”

“Perempuan tu!” jawab Diana dengan matanya yang terbuntang luas. Mereka berdua membuka sesi gosip ahli mesyuarat tingkap seperti biasa.

“Kay? Kan Belle memang dah tahu dia nak kahwin. Malam ni dia nak kenalkan dengan kita semua,” balas Bella sambil menjungkitkan keningnya. Dia tidak faham dengan apa yang cuba Diana tuturkan kepadanya.

“Taklah! Dia tak beritahu ke yang dia nak kahwin Sabtu ni?”

Mata Bella pula yang hampir tersembul keluar. Dia nak kahwin dalam masa tiga hari lagi? Amboi!

“Tak pun.” Bella menjawab dengan nada biasa-biasa. Tidak dipertontonkan perasaan terkejutnya yang luar biasa tadi.

You have got to see her! Dia memang cantik, lemah lembut… macam perempuan Melayu terakhir kecuali pada wajahnya. Dia ada chinese mix sikit.” Diana cuba menguji hati wanita Bella. Masih cemburu? Ataupun Bella sudah lama tinggalkan sisa kenangannya bersama Rizqi?

“Really?” Bella tersenyum sinis. “Baguslah. Memang sesuai dengan Rizqi, kan?”

“Belle… memang tak jealouslangsung?” tanya Diana bagai tak percaya.

“Buat apa nak jealous?” Bella mula rasa tersesak dengan pertanyaan Diana. Dia bangun ke kamar mandi sambil mencapai tuala di pencangkuk. “Pinjam baju you, Diana. Baju I dalam beg tu semua kotor!”

“Belle! Rizqi, ex-husband Belle nak kahwin tau! Belle tak jealouslangsung?” Diana masih dengan pertanyaannya. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Bella sebentar tadi.

Come on Diana! Buat apalah I nak jealous. Kan I dengan Rizqi dah tak ada apa-apa. Hubungan kami cuma kawan dan sebagai ayah dan ibu kepada Riza dan Belina. Itu aje! Biarlah dia nak kahwin dengan siapapun. As long as perempuan tu baik dan tak akan dera anak-anak I. Titik!” jelas Bella Amira dengan penuh keyakinan. Bicaranya melebih kapasiti diri yang sebenarnya tak seberapa. Bukan mudah dia nak menangkis dilema dan perasaan. Tapi dia kini harus berpijak pada bumi yang nyata. Antara dia dan Rizqi, mereka tiada apa-apa.

“I pinjamkan you baju I yang paling cantik,” jawab Diana setelah berjeda dua saat. Bibirnya diketap kuat sambil matanya kuyu memandang lantai. Memang susah dia nak menerima hakikat bahawa Bella bukan lagi isteri Rizqi. Kini dia bakal menerima adik ipar baru pula.

“Thanks!” balas Bella sambil melangkah masuk ke dalam kamar mandi.

***

MOTIF floral pada kemeja putih yang dipakai Bella Amira menaikkan seri keremajaannya seperti umur 20-an dulu. Bak kata Diana sebelum dia keluar dari kamar tadi, Bella adalah ‘hot mama’ yang setanding dengan Erra Fazira dan Rita Rudaini yang masih lagi jelita. Punya karier dan anak-anak comel yang sedang meningkat besar, status janda yang dipegangnya bukanlah suatu masalah.

Sebaik sahaja Bella melintasi ruang makan, matanya tertancap pada susuk tubuh yang sedang sibuk menyusun pinggan dan kutleri di meja makan. Gadis itu dari arah belakang kelihatan lemah lembut dan begitu teliti dalam melakukan kerjanya. Tangan halus mulusnya mengelap pinggan satu persatu dengan perlahan dan berhati-hati. Saat tubuh gadis itu hendak berpaling ke arah hadapan, Bella bingkas bergerak ke dapur.

“Assalamualaikum Puan Fauziah!” Bella memeluk tubuh bekas ibu mertuanya erat. Wanita tua yang berusia 60-an itu hampir-hampir terlepas senduk kayu yang dipegangnya.

“Waalaikumussalam Belle! Ya ALLAH, terkejut mak!” jawab Fauziah sambil menghela nafas panjang. Api dapur dimatikan dan tubuh Bella didakapnya kuat.

“Mak masak apa?” Bella meleraikan pelukan. Dijenguk ke periuk yang masih bertenggek di atas dapur. Asam pedas!

“Adalah sikit-sikit menu kegemaran Belle, Rizqi, budak-budak ni, Diana dan….” Fauziah tersenyum nipis. “Kay,” jawabnya perlahan seperti berbisik.

Bella mengangguk-angguk. Memang semua orang kena berjaga-jaga dalam menyebut nama ‘Kay’ di hadapannya, ya?

“Belle dah jumpa Kay?” Fauziah memberi penekanan halus pada nama ‘Kay’. Takut-takut Bella tidak senang dengan perkahwinan kedua anaknya, Rizqi.

“Belum. Yang dekat ruang makan tu… rambut panjang ikat satu tu dia, kan?” Bella memberi gambaran figuratif kepada Kay yang belum dia terlihat wajahnya.

“Iya… Kaylah tu! Marilah mak kenalkan dia dengan Belle. Boleh buat kawan, kan?”

Bella tersentak mendengar bicara bekas ibu mertuanya. Buat kawan? Like seriously, mak? Hatinya mengejek.

Tangan Bella ditarik laju. Ruang makan yang tadi kosong sudah penuh dengan tawa riang anak-anaknya dan anak-anak Kak Long, Rizqi, Kak Long dan juga perempuan itu, Kay. Bella hanya tercegat di hadapan muka ruang makan sebaik sahaja matanya terpandang akan Kay. Perempuan muda yang berambut lurus. Pipinya mulus dan bibirnya nipis memerah secara natural tanpa mekap. Senyumannya manis namun ada sedikit kekasaran pada hujung pandangan matanya yang Bella sangka sebagai sikap defensive yang dimiliki Kay.

“Belle, marilah….” Fauziah terus menarik tangan Bella lagi dan membawanya duduk di kerusi bertentangan dengan Kay dan bersebelahan dengan Rizqi yang duduk di hulu meja.

Bella masih terdiam tanpa bicara. Senyuman dibuat-buat untuk mempamerkan rasa hormatnya pada Kay. Tak baik pula nak bermasam muka dengan orang yang memang tiada salah dengan kita. Dia ada hak, Bella. Rizqi ada hak nak berkahwin dengan siapa-siapa. Manakala Kay, dia tidak bersalah dalam permasalahan hati yang dimiliki Bella kini.

“Emm, Belina, Riza…. Papa nak kenalkan… ini Mak Cik Kay. Bakal ibu tiri Riza dan Belina,” kata Rizqi tersekat-sekat. Dia gementar dengan pandangan anak-anaknya terhadap Kay. Takut-takut mereka membenci calon isterinya.

Riza dan Belina saling menatap wajah Bella dengan mata berkedip-kedip. Tidak faham apa maksud ayah mereka mengenai ibu tiri. Mereka mahukan penjelasan dari Bella.

“Riza dan Belina dah salam Mak Cik Kay?” tanya Bella. Perasaannya kini jadi tak keruan. Nak jelaskan apa dengan budak-budak ni? Ah sudah!

Kedua-dua anaknya menggeleng.

“Pergi cepat!” arah Bella lembut tapi tegas.

Belina dan Riza terkocoh-kocoh berlari ke arah Kay yang masih tersenyum manis. Mereka berdua menyalami Kay dengan santun dan Kay nampak tenang apabila berhadapan dengan kanak-kanak tersebut. Dia tidak melihatkan ciri-ciri wanita yang membenci kanak-kanak. Malah dia bertindak mesra dengan menguis rambut Riza lembut dan mencium pipi Belina manja. Kelakuan Kay membuatkan hati Bella Amira sedikit tersentuh.

“Mak Cik Kay nanti akan tinggal dengan papa lepas papa kahwin nanti. Belina dengan Riza berkawanlah tau dengan mak cik,” sambung Rizqi lagi setelah anak-anaknya pulang ke tempat duduk mereka. Hatinya lega sedikit. Kini ada lagi satu masalah.

And… Kay, yang ini Bella Amira. Kami semua panggil dia Belle, bekas isteri saya,” ujar Rizqi dengan berhati-hati dalam menyebut perkataan ‘bekas isteri’.

“Oh Bella?” Kay bersuara manja. “Rizqi banyak cerita pasal awak dekat saya. You are such a good mother. Saya Kaylina. Boleh panggil Kay,” sambung Kay lagi. Tangannya dihulurkan panjang untuk menyalami Bella.

‘Banyak cerita pasal awak? Cerita apa?’ desis hati Bella curiga. Tangannya perlahan-lahan diangkat untuk membalas salaman Kay. Sambil itu matanya tertancap pada pergelangan tangan Kay yang mempunyai parut coklat bergaris panjang.

Sebaik sahaja tangan kedua-duanya melekat, Bella Amira terasa gegaran aneh sedang mengalir dari tangan Kay ke tangannya dan kemudian naik terus ke atas kepalanya. Mata Bella bertukar menjadi putih serta merta.

Imbasan hitam putih mula menerjah ke minda Bella. Senyuman seorang wanita berbibir nipis dan kemudian pandangannya bergerak ke arah tangan wanita itu. Kelihatan sebilah pisau tajam bergerigi. Pisau itu berlumuran darah!

Telinga Bella pula dihantui bunyi jeritan kanak-kanak bersahutan-sahutan. Ia seakan-akan suara Belina dan Riza. Kemudian suara garau menerjah kuat ke telinganya lagi. Kali ini memanggilnya kembali ke alam nyata.

“Bella Amira!” sergah Rizqi.

Kerusi Bella tertolak ke belakang dengan sendirinya sehinggakan kepalanya terhentak ke kabinet kayu yang bersandar pada dinding. Bella jatuh pengsan dari kerusi yang diduduki.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.