Bab 5 : Pelbagai Andaian

(Petang selepas Majlis Perlancaran Novel Fadhila Imani)

“Abang Runi.” Tegur seseorang ketika janji temu mereka pada petang itu.

“Eh ... Shimah, kan?” tanya Runi Naqiu ketika Shimah tiba di stesyen bas Jalan Tar.

“Iya. Dapat juga kita berjumpa akhirnya, kan? Selama ni kita hanya berchatting di dalam fb aje.” Shimah malu-malu ketika bertentangan mata dengan Runi Naqiu. Walaupun Runi Naqiu tidaklah setampan yang diharapkan tetapi ada sesuatu yang mampu mengusik hatinya.

“Iya. Jom kita pergi makan di kedai mamak? Abang dah laparlah.” Runi Naqiu mempelawa Shimah untuk makan petang bersamanya.

Shimah mengangguk kepalanya. Ketika hendak melintas jalan, tiba-tiba Shimah memegang tangan Runi Naqiu membuatkan pemuda itu terhenti bebola matanya pada Shimah.

Ni apa hal pegang-pegang aku? Kalau lawa tu tak apalah juga. Ini dahlah kurus, tak ada shape! Hmm, not my taste. Hee ... jatuh standard aku. Gelilah. Pedasnya bahasa Runi Naqiu di dalam hati. Nasib baik tidak terucap di bibir. Kalau tidak, pasti hati dan perasaan Shimah akan terguris bagaikan belati.

“Maaf ya Abang Runi. Shimah fobia nak melintas jalan. Selalunya Shimah pegang tangan kawan Shimah. Maaf.” Shimah segera memohon maaf ketika melihat perubahan pada roman wajah Runi Naqiu.

“Eh, tak apa. Abang tak kisah pun. Shimah nak pegang lama-lama pun tak apa.” Runi Naqiu memaniskan wajahnya bak madu lebah.

Shimah hanya melayangkan senyuman sahaja. Tidak mungkin dia akan pegang tangan Runi Naqiu untuk kali yang kedua kecuali jika mereka hendak melintas jalan. Bukannya dia bodoh dan tidak perasan akan riak wajah Runi Naqiu sebentar tadi. Itu sudah cukup memberitahu pada dirinya, bahawa Runi Naqiu berada di zon tidak selesa. Atau lebih tepat lagi tidak suka. Dia sedar dirinya tidak seindah ciptaan makhluk TUHAN yang lain, namun dia bersyukur kerana dilahirkan dengan sempurna tanpa cacat cela.

Sesudah selesai makan petang, Shimah segera meminta diri untuk pulang. Dia takut tidak sempat sampai ke kampus. Risau pula jika dia bakal dikenakan tindakan tatatertib. Runi Naqiu melepaskan Shimah dengan senang hati kerana gadis itu bukanlah kesukaan dirinya. Langsung dia tidak boleh pandang pada Shimah. Entah, hatinya tidak tertarik langsung. Dia bersyukur kerana Shimah memendekkan pertemuan mereka.

"Bila dah sampai nanti jangan lupa mesej abang ya, Shimah." Runi Naqiu berpesan menunjukkan keperihatinan yang sebenarnya dibuat-buat.

Shimah hanya mengangguk kepalanya dengan senyuman tawar. Pertemuan pertama dengan Runi Naqiu tidak Seindah yang dibayangkan. Runi Naqiu banyak mendiamkan diri dari berbual dengan dirinya. Runi Naqiu seakan tidak berminat langsung dengan dirinya. Shimah hampa kerana berdepan dengan Runi Naqiu tidak sama sebagaimana di alam maya.

--------------------------------------------------------------------------------------

Ellis Elliza sedang menyidai pakaian di ampaian sesudah pulang ke rumahnya yang terletak di Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Namun, tiba-tiba sahaja dia teringat akan Runi Naqiu. Sudah sampaikah di Batu Pahat? Ini kerana Ellis Elliza dijemputkan oleh Azaharil Anuar sehari selepas selesainya majlis pelancaran novel Fadhila Imani. Mereka pulang pada awal pagi kerana Azaharil Anuar ada temujanji dengan doktor peribadi keluarganya. Manakala Runi Naqiu masih lagi berada di Kuala Lumpur. Pantas Ellis Elliza mengeluarkan telefon pintarnya dan terus mendail nombor telefon Runi Naqiu.

“Assalamualaikum abang. Dah sampai Batu Pahat ke?” tanya Ellis Elliza sambil menanti jawapan daripada Runi Naqiu.

“Waalaikumussalam. Err ... abang tak jadi balik Batu Pahat hari ni. Abang stay kat sini sehari lagi. Kawan-kawan abang nak sangat jumpa abang. Mati-mati dia orang nak abang stay satu malam lagi. Lagipun abang fikir inilah peluang yang abang ada untuk jumpa semua kawan-kawan abang.” Runi Naqiu agak tergagap ketika memberitahu Ellis Elliza.

Tiba-tiba jantung Ellis Elliza berdetak, hadir satu perasaan aneh di hati wanita itu.

“Abang, El fon abang nanti. Ada 'incoming call',” Ellis Elliza tiba-tiba minta talian ditamatkan dengan segera. Hatinya berasa tidak sedap sama sekali.

“Baik El.” Runi Naqiu agak lega apabila Ellis Elliza sudah menamatkan taliannya.

“Aku rasa macam ada yang tak kena ni. Sekejap aku telefon sepupu Dhila. Dhila kata dia nak balik kampung terus.” Pantas nombor telefon sepupu Fadhila Imani yang bernama RoseCdah Ranie didailnya.

“Assalamualaikum Rose.” Ellis Elliza terus memberi salam ketika panggilannya dijawab oleh RoseCdah Ranie di talian.

“Waalaikumussalam Kak Lis. Dah sampai JB ke?” tanya RoseCdah Ranie.

“Akak dah sampai ni. Rose dengan Dhila dalam perjalanan ke Perlis ke? Dhila ada cakap nak balik kampung dengan Rose sekali. Dhila ada di situ? Akak nak cakap kejap dengan dia.” Pinta Ellis Elliza.

Tiba-tiba sahaja kedengaran RoseCdah Ranie menangis perlahan. “Kak Lis ... Rose sorang-sorang dalam bas ni. Dhila tak jadi balik. Dia kata nak balik dengan kakak ipar dia. Rose takut tau Kak Lis. Dahlah pertama kali sampai KL, boleh dia hantar Rose ke stesyen bas saja.” RoseCdah mengesat air matanya.

Terpana Ellis Elliza mendengar maklumat terkini daripada RoseCdah Ranie. “Astagafirullahalazim. Kenapa boleh jadi macam tu? Bukan tiket dah beli ke?” tanya Ellis Elliza ternyata tidak puas hati.

“Tiket hangus macam tu aje. Teruk betullah Dhila tu. Kalau Rose tau dia tak nak balik dengan Rose, Rose takkan datang majlis perlancaran novel dia. Kak Lis doakan Rose selamat sampai Perlis ya?” RoseCdah Ranie menarik air hingus sambil mengesat air mata yang tumpah dengan belakang tapak tangan.

“Sampai hati Dhila tinggalkan Rose sorang. Dah berjanji tapi dimungkiri. Alasan tak boleh pakai. Kalau nak ikut kakak ipar pun bawalah Rose sekali. Kalau kereta tak muat dia kena naik bas dengan Rose. Teruk betul perangai. Rose jangan risau, Kak Lis yakin Rose akan selamat sampai. Rose jaga diri ya. Assalamualaikum.” Ellis Elliza menarik nafas panjang mendengar sesuatu yang tidak terjangkau dek akalnya. Namun, secara automatik hatinya dipanah debaran rasa yang amat kencang sekali. Amarahnya menyerbu hingga ke pembuluh darah.

“Runi masih di KL. Dhila pula tiba-tiba tukar program. Baru semalam Dhila kata memang dah rancang awal nak balik kampung sekali dengan Rose. Anak-anak Dhila semua dia hantar ke kampung. Hmmm.. Dhila kan cinta sangat pada Runi. Tak mustahil mereka ... Astaghfirullahalazim. Apa yang kau merepek ni Lis. Ni fikiran syaitan yang merasuki kau. Baik aku fon Runi semula.” Jari jemari Ellis Elliza terketar-ketar menekan nombor telefon Runi Naqiu. Tiada jawapan. Ellis Elliza resah. Dia mencuba sekali lagi. Tidak bersambut. Ellis Elliza gelisah. Dia mencuba sekali lagi. Dia menunggu beberapa ketika sebelum panggilannya berjawab.

“Assalammualaikum El. Ya sayang?" Runi Naqiu menyebut nama Ellis Elliza sesudah panggilan berjawab.

“Waalaikumussalam. Abang dengan siapa sekarang ni? Abang ada kat mana ni?” Ellis Elliza terus menembak Runi Naqiu dengan lidahnya yang tidak bertulang. Sekali dia beri bom jangkalah.

Kedengaran suara Runi Naqiu ketawa di talian. “Abang ada dengan kawan-kawan abang. Abang ada di kedai makan dengan mereka. Kenapa El?” tanya Runi Naqiu bersahaja.

“Betul ke abang ada di kedai makan?” Ellis Elliza seakan tidak percaya dengan kata-kata Runi Naqiu.

“Betullah El. Abang tak tipu El.” Runi Naqiu meyakinkan Ellis Elliza.

“Kalau ada di kedai makan kenapa sunyi sepi aje? Abang tu bukannya berduit kalau nak makan di restoran mewah dan privasi. Abang cakap betul-betul, abang ada dengan Dhila, right? Dalam bilik?” Tekan Ellis Elliza seakan terbau sesuatu yang tidak enak sedang berlaku.

“Astagfirullahalazim. Hey, watch your mouth lady. El ingat abang teruk sangat ke sampai tak kenal batas agama?” suara Runi Naqiu mula bergetar di talian. Nafasnya berombak kencang menahan debaran di dada.

“Setan kalau nak menggoda, orang yang kuat iman pun boleh tumbang tau. Betul abang ada dengan kawan-kawan abang? El tahu Dhila pun tak jadi balik Perlis. Hati El tak sedap. Baik abang berterus-terang dengan El.” Ellis Elliza mengugut Runi Naqiu pula.

“Betul El. Takkan abang nak tipu.” Runi Naqiu tetap statik dengan jawapannya.

“Baik. El percaya tapi ingat abang. Kalau abang tipu, ALLAH tahu apa yang abang buat walaupun El tak tahu. Remember that. El nak mandi ni. Assalamualaikum.” Ellis Elliza tidak mahu lagi memanjangkan perbualan di antara mereka yang hanya akan mengudang perbalahan bibir. Dia yakin Runi Naqiu tidak menipunya.

“Waalaikumussalam.” Runi Naqiu menamatkan panggilan Ellis Elliza.

“Kak Lis telefon Abang Runi ke?” tanya Fadhila Imani yang sudah berada di dalam selimut bersama Runi Naqiu di dalam bilik hotel yang disewa.

“Kak Lis tu cuma ambil berat pada abang. Dhila jangan risaulah. Tak ada siapa tahu apa yang terjadi di antara kita. Janji pandai makan pandai simpan. Dhila sayang abang, kan?” Runi Naqiu mula menggoda Fadhila Imani yang sangat cintakan dirinya. Dia tahu akan perasaan Fadhila Imani. Betapa Fadhila Imani mencintainya hingga wanita itu menyatakan kesanggupannya untuk bercerai. Fadhila Imani juga mempelawa Runi Naqiu datang sehari lebih awal ke Kuala Lumpur agar mereka boleh berdua-duaan. Siap tawarkan sebilik dengannya lagi. Tetapi terpaksa ditolak oleh Runi Naqiu kerana dia telah berjanji untuk datang bersama Ellis Elliza. Rupa-rupanya Runi Naqiu sudah ada rancangan lain. Tidak dapat sebelum majlis Fadhila Imani, dia buat selepas majlis. Licik idea kotor insan yang bernama Runi Naqiu ini!

Fadhila Imani dan Runi Naqiu juga ada masanya bertemu secara sembunyi.

“Ya. Dhila sangat sayangkan abang. Abang hanya milik Dhila. Apa yang Dhila buat ni untuk membuktikan betapa Dhila cintakan abang. Tapi Dhila tetap risau kalau-kalau Kak Lis dapat tahu, bagaimana?” kerisauan sedikit terbit di hati Fadhila Imani kerana apa yang berlaku antaranya dengan Runi Naqiu tiada siapa yang tahu. Sememangnya mereka mahukan ini dan sebab itulah mereka berada di sini pada hari yang bersejarah ini.

Runi Naqiu juga sudah merancang akan bertemu kawan-kawannya selepas tengah malam nanti. Jumpa sejam dua cukuplah. Bila orang syak dan bertanya, dia ada bukti!

“Kalau antara kita tak buka mulut pada Kak Lis, dia takkan tahu. Malahan sesiapa pun takkan tahu. Dhila dah bersedia?” Tanya Runi Naqiu sambil membelai rambut Fadhila Imani yang tidak bertudung. Cantik. Panjang, lurus dan menggebu. Memang menggoda sungguh. Siapa yang tidak mahu mendampingi perempuan panas seperti Fadhila Imani.

"Kan elok kalau Dhila tak payah pakai tudung terus. Rugi kecantikan yang Tuhan beri tapi disembunyikan. Kalau jadi isteri abang, tak payah pakai tudung." Runi Naqiu terus membelai rambut Fadhila Imani.

Fadhila Imani tersenyum mendengar kata-kata Runi Naqiu. Seronok bila dipuji. Makin suka bila Runi Naqiu menyebut perkataan ‘isteri’. Namun, tiba-tiba dia teringat sesuatu.

“Abang Runi, Dhila rasa Kak Lis telefon Rose. Sebab tu dia tekan abang. Biar Dhila fon Kak Lis agar dia tak syak yang bukan-bukan.” Idea jahat Fadhila Imani datang menerjah untuk menutup sesuatu yang terlarang bakal dinikmatinya sebentar lagi.

Good idea. Silakan. Mudah-mudahan Kak Lis mempercayai Dhila.” Runi Naqiu sabar menanti sehingga Fadhila Imani selesai membuat panggilan pada Ellis Elliza.

Fadhila Imani tersenyum puas sesudah selesai menerangkan dengan bersungguh-sungguh pada Ellis Elliza kenapa dia tidak jadi balik pada hari itu. Alhamdulillah Ellis Elliza mempercayainya. Kini kerisauannya tamat dengan sempurna. Fadhila Imani menghantar renungan menggoda buat Runi Naqiu dan pada malam yang tidak berbulan mahupun berbintang telah menyaksikan satu kemaksiatan telah berlaku dek kerana hasutan syaitan durjana. Syaitan bersorak girang setelah mereka dapat menyesatkan anak-anak Adam sebagaimana perjanjian mereka dengan ALLAH SWT. Begitulah rapuhnya benteng keimanan manusia jika tidak diterap dengan betul. Sungguh malang bagi manusia yang telah tersasar jauh dari landasan yang sebenar. Kasihan sungguh mereka yang tergolong di dalam golongan ini.

Allah berfirman :

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬ (٣٢

dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.(Al Isro’ 32).

--------------------------------------------------------------------------------------

(Selepas Majlis Perlancaran Novel Fadhila Imani)

“Kau dah sihat ke Atul?” tanya Rozlina ketika mereka berada di dalam kereta. Sambil memandu, sambil dia menjeling ke tingkap belakang melihat sepupunya yang pengsan sebentar tadi. Entah betul dia pengsan ataupun buat-buat pengsan. Rabiatul Syafiqah bukannya boleh harap, panjang akal wanita itu jika hatinya tidak merelai untuk membuat sesuatu.

“Hmm? Aku? Dah sihat ni. Perut aku laparlah. Jom makan.” Selamba sahaja Rabiatul Syafiqah mengajak Rozlina dan Nazira makan.

“Amboi, tadi macam dah lembik tak bermaya sangat. Lepas habis majlis, terus kau bersemangat ya? Entah-entah kau buat-buat pengsan tak tadi?” Rozlina melepaskan bom kata buat Rabiatul Syafiqah.

“Ada ke pula orang pengsan buat main-main. Kau tengoklah Naz, boleh dia ragui Atul.” Rabiatul Syafiqah menagih simpati Nazira.

Nazira ketawa kecil melihat gelagat kedua orang sepupu ini. “Betullah dia tak sihat tu. Takkan pengsan nak buat main-main.” Nazira menggelengkan kepalanya sekali gus menyebelahi Rabiatul Syafiqah.

“Kau tak kenal lagi si Atul ni Naz. Panjang akalnya dari biasa. Dengar je nama ...”

“Eh, dah sampai kedai Arablah. Masuk-masuk, aku nak makan Chicken Mandy.” Potong Rabiatul Syafiqah sebelum sempat Rozlina menyebut nama Runi Naqiu. Terkantoi dia nanti.

Hmm .. pandai dia mengelak. Hampeh betul Atul ni. Rozlina mencebik tidak puas hati.

“Hari ni aku belanja. Kau orang nak makan apa pun, silalah pesan. Jangan malu-malu.” Rabiatul Syafiqah memberi ganjaran pada mereka untuk menutup terus mulut si Rozlina yang becok itu.

“Wah, terima kasih Atul. Untungnya aku.” Nazira begitu teruja setelah mendengar tawaran Rabiatul Syafiqah yang tidak lokek itu.

“Hmm ... dia suap kau aje tu Naz untuk tutup cerita dia yang sebenar.” Rozlina masih tidak puas hati dengan Rabiatul Syafiqah yang telah menderanya untuk memapah wanita itu hingga ke kereta.

“Aku rasa dia pengsan betullah. Kau ni cuba jangan berprasangka sangat. Jom makan. Tak baik merungut depan rezeki.” Nazira menutup terus mulut Rozlina ketika mamat Arab sudah datang untuk mengambil pesanan mereka.

Selamat aku. Ha ha ha ... Sekali sekala kena papah syok juga. Nasib kaulah Roz, siapa suruh suka suki heret aku jumpa Runi. Aku belum bersedia lagi. Tapi rugi juga sebab aku tak sempat tengok rupa Runi macam mana. Hensem kot? Dalam chat sweet aje! Tak apalah, rezeki di lain hari masih ada. Rabiatul Syafiqah buat-buat tidak nampak dengan pandangan tajam Rozlina. Dia terus pesan makanan yang diingini oleh tekaknya.

Sakit betul hati Rozlina melihat gelagat selamba Rabiatul Syafiqah. Hasratnya untuk menyatukan wanita itu dengan Runi Naqiu masih tidak kesampaian. Teringat kembali pertemuannya dengan Ellis Elliza. Terbayang kemesraan Runi Naqiu dan Ellis Elliza. Tidak mustahil Runi Naqiu jatuh hati pada wanita yang bernama Ellis Elliza itu . Orangnya ala-ala model. Cantik, tinggi, putih, lembut, soft spoken. Hmmm.. dah kahwin ke belum Ellis Elliza itu ya? Tengok rupa macam bujang. Tapi mana tahu dia jaga badan. Pelbagai andaian bermain di minda Rozlina ketika itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.