Bab 9: Fitnah Alaf Baru

Ellis Elliza tersenyum manis apabila melihat kelibat Runi Naqiu yang sudah tiba di Kopitiam Killeney. Kemudian tiba pula Fadhila Imani yang juga sedang mempamerkan sengihan menggodanya. Hmm ... perjumpaan secara berjemaahlah nampaknya hari ini. Sekali pandang, seakan madu-madu bertemu untuk bermesra.

“Dah lama kan kita tak jumpa macam ni? Kak Ellis dan Abang Runi apakhabar?” Fadhila Imani bermanis muka.

“Kak Ellis baik-baik saja. Dhila macam mana pula? Novel terbaru dah siap?” Tanya Ellis Elliza seperti biasa.

“Hmm .. dalam 80 peratus nanti akan siap sepenuhnya. Insya Allah. Abang Runi?” Mata Fadhila Imani menjunam ke arah Runi Naqiu.

Runi Naqiu yang berpura-pura sibuk membelek telefon pintarnya mula memberi perhatian pada Fadhila Imani. “Abang macam nilah Dhila. Alhamdulillah sihat. Dhila tak bawa apa-apa ke untuk abang hari ni?” Runi Naqiu menayang sengihan nakal.

“Ada. Dhila bawa donut. Kegemaran Abang Runi, kan? Dunkin Donut.” Fadhila Imani menghulurkan sekotak donut untuk Runi Naqiu.

“Maaf Dhila. Abang tak makan dunkin donut ni. Abang cuma makan donut biasa saja. Abang berikan pada Kak Ellis ya? Kalau Dhila sendiri yang buat donut tadi, sudah tentu abang takkan beri pada sesiapa pun.” Runi Naqiu menyerahkan kotak itu kepada Ellis Elliza membuatkan hati Fadhila Imani cukup bengkak. Masam sahaja wajah Fadhila Imani ketika itu lebih masam daripada asam keping.

“Tak apa ke Dhila, Kak Ellis ambil donut ni? Amirul dan Alyssa pasti suka dengan donut ni. Wow! Macam-macam perisa ada ni." Ellis Elliza bersuara sambil menilik donut di dalam kotak. Ellis Elliza sememangnya berniat hendak membeli donut untuk anak-anaknya namun dibatalkan apabila mendapat donut percuma.

“Ambillah Kak Ellis. Orang dah tak sudi nak buat macam mana. Sekurang-kurangnya tak adalah pembaziran berlaku.” Penat aku bawa donut ni dari KL, suka-suka hati dia saja bagi pada orang lain. Sekali sekala cubalah ubah cita rasa. Ini tidak, asyik dengan donut kampung tu saja. Tak jemukah? Huh! Fadhila Imani memaksa dirinya untuk memberikan sebuah senyuman. Nampak sangat kelatnya. Tiada manis langsung senyuman yang dipamerkan.

“Terima kasih ya Dhila. Ini, Kak Ellis bawakan laksa Sarawak buat Dhila dan Runi. Baru cuba resepi ni dari kawan Kak Ellis, orang Sarawak. Kebetulan dia balik Sarawak, Kak Ellis pesan sekali rempah laksa ni. Entah menjadi atau tidak.” Ellis Elliza menghulurkan bungkusan pada Fadhila Imani dan juga Runi Naqiu.

“Terima kasihlah Kak Ellis.” Balas Fadhila Imani dalam keadaan yang terpaksa.

“Sedapnya. Dah lama tak rasa masakan dari air tangan Ellis.” Runi Naqiu mendekatkan bibirnya ke telinga Ellis Elliza lalu membisikkan ucapan terima kasih dalam nada yang cukup romantis. “Terima kasih sayang. Abang pasti teringat-ingat akan masakan El.”

Ellis Elliza mengulum senyuman. Ada rasa bahagia yang terbit di hatinya. Entah kenapa, bila sahaja berhadapan dengan Runi Naqiu hilang semua marahnya walaupun sebentar tadi dia sudah merangkakan beberapa ayat semburan untuk menyedarkan Runi Naqiu. Entah apalah ilmu yang lelaki ini pakai sehingga mampu menyejukkan hatinya yang agak panas sebentar tadi. Siap bawa makanan lagi.

Berbulu mata Fadhila Imani memandang adegan mesra alam itu. Tanpa sedar bibirnya mencebik meluat. Dia tidak sukakan situasi itu. Baginya, Runi Naqiu hanya miliknya seorang. Lelaki itu tidah boleh menjadi milik orang lain. Entah apalah yang merasuki diri Fadhila Imani ketika itu hinggakan rasa cemburunya cukup membuak-buak. Jika boleh, dia mahu sahaja menampar Ellis Elliza agar wanita itu sedar bahawa Runi Naqiu tidak akan menjadi miliknya.

Tiba-tiba sahaja telefon pintar Runi Naqiu berdering. Terangkat sedikit kening Runi Naqiu memandang kepada pemanggilnya. Lalu Runi Naqiu bangun dari terus duduk bersama-sama dua orang yang telah bergelar isteri. “Runi jawab telefon dulu ya. Maaf.” Runi Naqiu terus berlalu dari situ.

Seketika kemudian, Fadhila Imani juga bangun membuntuti Runi Naqiu dan meninggalkan Ellis Elliza keseorangan yang dilanda keterpingaan. Nampak sangat wajah Fadhila Imani tidak menyenangi dirinya. Ellis Elliza tidak faham kenapa Fadhila Imani harus berubah secara mendadak.

“Haih, apa kena dengan Dhila ni? Nampak macam tak senang saja dengan aku. Entahlah. Macam-macam.” Ellis Elliza terus menunggu Runi Naqiu sambil berfikir masalah Fadhila Imani.

----------------------------------------------------------------------------------

Nur Syarida memandang pada telefon pintarnya dengan dahi berkerut seribu.

“Takkanlah.” Nur Syarida membuka luas matanya memandang sekali lagi ke arah telefon pintarnya dalam rasa tidak percaya.

“Dah buang tabiat ke? Hesy ...” Nur Syarida mendengus sendiri sehingga menimbulkan kehairanan di hati Nazira.

Apa yang tak kena dengan Syar ni? Lain macam saja aku tengok. Entah-entah mamat tu lamar dia kot. Itu yang macam ayam berak kapur. “Kenapa dengan kau ni Syar? Ada yang tak kena ke? Hati Nazira semakin melonjak ingin tahu. Reaksi yang ditunjukkan oleh Nur Syarida sememangnya agak berlainan dari kebiasaan.

Nur Syarida mula mempamerkan sengihannya pada Nazira.

“Sengih-sengih apa? Ceritalah. Ada yang terbaru ke? Mamat maya tu lamar kau ke?” Nazira terus menyerang dengan lidah yang tidak bertulang.

“Woo ... woo ... woo ... dia tak lamar aku okey. Ni bukan kisah dia tapi ada kes lain. Rumit.” Beritahu Nur Syarida dalam nada yang amat serius.

Terangkat seketika kening Nazira menari K-Pop. “Psstt .. apa yang rumit tu.” Balas Nazira dalam gaya mami kepoh.

“Kepohla kau ni.” Marah Nur Syarida.

“Aku tak kira. Cepat beritahu aku.” Paksa Nazira.

Nur Syarida mula merapakat dirinya pada Nazira. “Kau tengok datuk miang ni. Ada ke dia WeChat dengan aku. Dah buang tabiat ke apa? Siap ajak aku berdating lagi dengan dia. Hee ... tak mau aku.” Tahu dek Faridadli, masak rentung dia. Semput Nur Syarida melihat pada mesej yang diterima oleh Datuk Al-Arizal Farass. Siap berpanggilan ‘baby’ lagi. Hee geli ... geli. Nur Syarida menayangkan aksi geli-gelemannya membuatkan Nazira mengekek di situ tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

“Padanlah dengan kau yang miang di maya. Kini dah dapat teman sealiran. Layan sajalah. Manalah tahu kau akan dinaikkan pangkat.” Giat Nazira lagi. Sengaja hendak melihat reaksi Nur Syarida yang sememangnya aktif di maya.

Terbeliak mata Nur Syarida memandang Nazira. Selambanya Nazira mengenakan dirinya. Rasa macam hendak pitam pun ada juga. “Kau nak aku kena pancung ke? Kang bini-bini dia datang serang aku. Kalau bujang empat tak apalah juga. Ni bujang satu. Mulut kau jangan masin sangat.” Nur Syarida tidak senang dengan gurauan Nazira kali ini.

Lagi sakan Nazira mengekek melihat tingkah Nur Syarida yang kelihatan agak gabra pada waktu itu. “Sejak bila kau ni sensitif sangat. Tak salah kalau kau penuhkan status bujang satu dia tu.” Nazira masih tidak mahu surut menggiat Nur Syarida.

“Sudahlah kau ni. Tak kuasa sungguh nak layan. Aku tak berkenanlah dengan Datuk Al-Arizal ni. Kalau pandang aku macam hendak terkeluar biji mata lagaknya. Nak kata aku ni seksi sangat, mana ada.” Nur Syarida masih tidak puas hati dengan tingkah Datuk Al-Arizal Farass yang tidak jemu memburu dirinya.

“Bibir dan mata kau tu seksi sangat. Tu yang dia berkenan. Entah-entah bini-bini dia nanti akan masuk meminang kau.” Nazira ... Nazira ... Sungguh kejam mendera hati dan perasaan Nur Syarida.

“Hoi! Cukuplah. Aku tak maulah dengan dia tu. WeChatlah dengan bini-bini dia tu. Cari aku buat apa. Aku nak keluar.” Nur Syarida benar-benar bengang lalu dia mengambil tas tangan dan terus keluar dari situ.

Nazira terus mengekek ketawa. Buat pertama kali dia berjaya menyakitkan hati Nur Syarida yang sering menyakitkan hatinya.

-------------------------------------------------------------------------------

“Dah lama ke Fiqa tunggu Runi?” Runi Naqiu melunakkan suaranya untuk menggoda Rabiatul Syafiqa di Skype pada malam itu.

Eh, perasannya. Bila masa aku tunggu dia. Dia yang ganggu tidur aku. “Bila masa pula Fiqa tunggu Runi. Bukan Runi yang ajak Fiqa Skype?” Rabiatul Syafiqa tidak mahu mengalah dengan Runi Naqiu.

Kedengaran Runi Naqiu ketawa di hujung talian. “Runi saya testFiqa. Runi tau Fiqa dah nak tidur tapi Runi rindulah nak dengar suara Fiqa.” Ayat Runi Naqiu lagi.

“Ingat Fiqa ni test drive ke? Pandailah nak gula-gulakan Fiqa.” Rabiatul Syafiqa membalikkan ayatnya pada Runi Naqiu sehingga terlantun ketawa lelaki itu.

“Fiqa tak rindukan Runi ke?” tanya Runi Naqiu tiba-tiba.

Menarik nafas panjang Rabiatul Syafiqah mendengar pertanyaan Runi Naqiu yang mampu meluruhkan jiwa sanubarinya.

Hailah ... soalan apa ni? Macam mana aku nak jawab? Di maya aje pun, takkanlah boleh main rindu-rinduan. Dia ingat aku ni minah jiwang ke apa. Layan kerja aku lagi baguslah daripada nak merindui orang yang aku belum kenal sepenuhnya. Omel hati kecil Rabiatul Syafiqah. Dia tidak mahu menjawab pertanyaan Runi Naqiu. Dia mendiamkan diri sejuta bahasa. Malas pula hendak layan soalan jiwang-jiwang begini. Bukan stail dialah.

Setelah lama Runi Naqiu menunggu, akhirnya terpaksa kembali bersuara semula. “Fiqa, kenapa diam? Fiqa tak suka dengan Runi ya?” Duga Runi Naqiu lagi.

“Bukan macam tu...” otak Raiatul Syafiqah masih mencari ayat yang sesuai untuk dipersembahkan kepada Runi Naqiu. Buntu pula dia hendak mencipta jawapan yang bernas.

“Kalau macam tu, kiranya Fiqa suka dekat Runilah ya? Haa .. Fiqa jangan nak bohong dengan Runi. Runi tahu Fiqa suka Runi, kan?” Tekan Runi Naqiu.

“Fiqa memang suka bual dengan Runi tapi tak bermakna Fiqa suka dengan Runi okey. Sila jangan perasan.” Rabiatul Syafiqah masih cuba mencipta alasan untuk menutup getar di hatinya.

“Kalau Fiqa tak suka Runi, Fiqa takkan layan Runi. Jadi, Runi tak perasan okey. Mengaku sajalah yang Fiqa sukakan Runi.” Pantang mendapat peluang, Runi Naqiu pasti akan menggoyahkan hati wanita-wanita yang mendampingi dirinya.

“Runi, Fiqa nak tidurlah. Esok pagi Fiqa kena jumpa dengan penerbit drama untuk bincangkan adaptasi novel penulis di bawah laman web Fiqa. Maaf Runi tak dapat nak berbual panjang.” Akhirnya Rabiatul Syafiqah mendapat akal untuk berundur dari terus menjawab soalan Runi Naqiu yang sememangnya gila. Nampak terdesak sangat menyuruh orang mengaku suka dan rindu pada dirinya pun iya juga. Heee ...

“Baik. Tapi... sudi tak Fiqa whatsapp dengan Runi?” Pinta Runi Naqiu dalam nada yang cukup lunak.

Gedegup! Begitulah dada Rabiatul Syafiqah dilanda taufan La Nina. Manisnya permintaan nombor telefon alaf baru. Hailah ... boleh tergolek aku macam ni. Apa aku nak jawab ya? Lidah Rabiatul Syafiqah masih kelu untuk bertutur.

“Fiqa, ambil nombor ni.” Runi Naqiu menyuruh Rabiatul Syafiqah menyalin nombor yang diberi. Sesudah selesai, Runi Naqiu meminta Rabiatul Syafiqah whatsapp dengannya jika senang.

“Terima kasih Runi. Nanti Fiqah Whatsappya? Selamat malam.” Rabiatul Syafiqah meminta diri untuk berundur dari terus berada di Skype.

“Selamat malam Fiqa. Mimpikan Runi ya. Jangan lupa Whatsapp tau.” Pesan Runi Naqiu lagi.

“Ya Insya ALLAH. Nanti Fiqa whatsapp Runi.” Balas Rabiatul Syafiqah dengan malas sekali.

“Satu lagi sebelum Fiqa tidur.”

“Apa dia?”

“Nombor Runi ni bukan semua ada tau. Runi tak suka bagi nombor Runi pada sembarangan orang tapi Runi tengok Fiqa ni baik, sebab itulah Runi bagi. You are very lucky to have my number.” Ucap Runi Naqiu lagi membuatkan hati Rabiatul Syafiqah semakin kembang setaman.

“Baiklah. Assalamualaikum.” Mata Rabiatul Syafiqah sudah tidak larat hendak diangkat lagi.

“Waalaikumussalam.” Balas Runi Naqiu dengan senyuman yang meleret di atas bibir. Seorang lagi bakal berada di dalam genggamannya. Pekerjaan Rabiatul Syafiqah juga hebat dan mampu menanggung perbelanjaan yang mewah.

----------------------------------------------------------------------------

Aku ada cerita baik punya. Kau orang nak dengar tak? Fadhila Imani mula menaip sesuatu di dalam grup whatsappnya bersama rakan-rakan yang meminati hasil karyanya. Tapi pada hari itu hanya tiga orang sahaja yang online. Jadilah daripada tidak ada langsung.

Cerita apa yang kau nak sampaikan pada kami ni, Dhila? Tanya Kak Yan mula berminat.

Cerita tentang novel terbaru Dhila ke?” tanya Lovely Nur pula.

Bukan. Ni cerita tentang Ellis dan Runi. Cerita panas dan hot. Perhangat Fadhila Imani lagi.

Cer Citer ... cer citer ...Nur Natrah yang baru masuk terus berminat untuk mendengar gosip tentang Ellis Elliza bersama Runi Naqiu.

Semalam, Dhila, Ellis dan Runi ada keluar bertiga. Tahu tak si Ellis tu punyalah gedik, tak sedar berstatus isteri tapi masih cuba menggoda Runi. Fadhila Imani sudah memasukkan jarum gosipnya agar mereka semua tidak sabar-sabar hendak mendengar ceritanya. Apa yang dilakukankan kerana terdorong oleh perasan cemburu yang teramat sangat. Tambah-tambah lagi apabila Runi Naqiu tidak melayan dirinya ketika perjumpaan itu dan yang paling dia sakit hati apabila pemberiannya diberikan pula pada Ellis Elliza. Tidak bolehkah Runi Naqiu mengambilnya dahulu dan memberikan pada Ellis Elliza kemudian setelah dia pulang? Di atas sifat itulah yang mendorong dirinya mereka cerita yang tidak benar pada mereka semua. Barulah dia akan berpuas hati.

Dia buat apa? Tanya Kak Yan yang sememangnya berminat ingin tahu terutama sekali tentang status perhubungan Ellis Elliza dan Runi Naqiu yang nampak sangat mesra di maya.

Bayangkan di tengah-tengah orang ramai di Killeney kopitiam dia boleh pegang-pegang tangan Runi. Kemudian, saling berbalas bisikan. Hei, apa benda tu? Dia seakan telah menduakan suaminya, tahu tak? Teruk betul perangai isteri zaman sekarang kan? Memang panas cerita yang disampaikan oleh Fadhila Imani kepada mereka semua.

Biar betul Dhila? Takkanlah Ellis yang lembut tu nak buat begitu dengan lelaki bukan suaminya? Lovely Nur seakan tidak percaya dengan cerita yang disampaikan oleh Fadhila Imani.

Yalah. Aku pun macam tak percaya saja dengan cerita kau ni Dhila. Nur Natrah juga seperti Lovely Nur.

Aku yang ada di sana. Aku yang tengok dengan mata kepala aku sendiri, takkan aku nak buat cerita. Tolonglah. Aku bukannya kaki gosip okey. Aku cuma beritahu apa yang aku nampak. Jolok Fadhila Imani lagi.

Teruknya perangai. Hesy ... kesian suami diakan. Mudah-mudahan dia cepat sedar dan tak berlaku curang lagi. Kak Yan pula lima puluh peratus ingin percaya dan lima puluh peratus lagi seakan tidak mahu percaya tetapi bila Fadhila Imani tampak bersungguh-sungguh, dia jadi ragu-ragu pula untuk tidak mempercayai apa yang diberitahu.

Kita sama-samalah doa agar dia sedar dan insaf. Kasihan suami dia mendapat isteri yang curang. Selamba sahaja Fadhila Imani mencucuk mereka lagi.

Eh, dahlah. Tak nak dengar lagi tentang Ellis. Kita tukar cerita lain. Nur Natrah tidak sedap hati pula untuk terus mendengar cerita Fadhila Imani yang entahkan betul atau tidak.

Okey. Fadhila Imani agak berpuas hati dan terus melayan rakan-rakan pembaca yang semakin rapat dengan dirinya.

Kebetulan Nur Natrah yang agak rapat dengan Ellis Elliza telah mengkhabarkan apa yang disampaikan oleh Fadhila Imani kepada tuan punya badan. Nur Natrah cukup mengenali Ellis Elliza. Tidak mungkin Ellis Elliza berperangai begitu. Ellis Elliza mesti diberitahu.

Terperanjat Ellis Elliza mendengarnya. Dia tidak menyangka bahawa Fadhila Imani yang dianggapnya sebagai adik sanggup memfitnah dirinya. Air mata Ellis Elliza merembes keluar dari takungan bagaikan air paip yang rosak dan tidak mahu berhenti mengalir.

Sebaik sahaja selepas Nur Natrah meletak telefon, Ellis Elliza menelefon Runi Naqiu untuk mengkhabarkan tentang fitnah daripada Fadhila Imani. Hatinya luluh apabila orang yang disayanginya sanggup melukakan hatinya dengan menaburkan fitnah.

Runi Naqiu berjanji pada Ellis Elliza dia akan menyelesaikan kes ini dengan Fadhila Imani sendiri.

Firman Allah s.w.t.

“Hai orang-orang yang beriman! kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu”

(Ayat 6 : Surah Al-Hujurat)

-----------------------------------------------------------------------------

“Bagaimana? Dah dapat apa yang saya mahu?” tanya Azaharil Anuar kepada seorang pemuda yang berada di hadapannya.

“Ya. Sudah. Ini profilnya dan ini pula hasil video yang telah saya rakam untuk beberapa hari pengintipan.” Jelas pemuda itu.

“Bagus. Ini upahnya. Terima kasih dan syabas untuk hasil tugasan yang cemerlang.” Azaharil Anuar berjabat tangan dengan pemuda itu.

Pemuda itu menyambut huluran tangan Azaharil Anuar sambil mempamerkan senyumannya. “Kalau ada apa-apa lagi, jangan lupa hubungi saya. Encik Azaharil tahu di mana mahu mencari saya.” Ujar pemuda itu sebelum pergi.

“Ya. Saya tahu di mana nak cari awak. Assalamualaikum.” Ucap Azaharil Anuar.

“Waalaikumussalam.” Balas pemuda itu sebelum beredar.

Senyuman Azaharil Anuar meleret melihat isi sampul surat yang berada di hadapan matanya. Kali ini tiada siapa dapat lari dari kenyataan. Apa yang diperlukan sudah berada di hadapan mata. Penipuan harus dibongkarkan dengan segera demi menyelamatkan mangsa-mangsa yang diburunya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.