Bab 18 : Itulah Runi Naqiu Sebenarnya

Nazira masih lagi di dalam keadaan trauma apabila kebenaran tentang Runi Naqiu terbongkar satu-persatu. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa lelaki yang dipujanya itu telah mempermainkan dia sebegitu rupa. Tiba-tiba dia rasa jijik sekali dengan Runi Naqiu. Malahan mendengar nama lelaki itu pun dia tidak sudi.

Air mata Nazira berjejeran jatuh ke dataran pipinya yang mulus. “Ya ALLAH, aku buta dengan cinta palsunya selama ini. Bodohnya aku kerana mempercayai lelaki maya seperti dirinya. Bodohnya aku kerana tidak mempercayai kata-kata Syar. Maafkan aku Syar.” Nazira seakan-akan menyesal dengan apa yang terjadi terhadap dirinya.

Nazira menyapu air matanya sambil mengimbas kembali ketika dia dibawa pergi oleh Nur Syarida dan Faridadli.

--- --- --- --- ---

“Kau nak bawa aku ke mana ni Syar?” Tengking Nazira yang lemas diperlakukan oleh Nur Syarida seumpama lembu ditarik ke sawah. Sebenarnya dia agak takut kalau-kalau Nur Syarida memperlakukan tidak senonoh padanya kerana tempat yang dituju oleh wanita itu agak terpencil.

“Kau duduk diam-diam boleh tak? Bukankah kami dah cakap nak tunjukkan kebenaran tentang setan bertopeng tu pada kau? Lagi-lagi tanya soalan yang sama.” Intonansi suara Nur Syarida juga sudah naik ke oktaf tiga. Seksa betul hendak meyakinkan orang yang mabuk cinta.

“Kalau aku tak mahu tahu, tak boleh ke?” tanya Nazira lagi.

“Tak boleh sebab kami semua sayangkan kau. Kami tak akan biarkan kau menjadi salah seorang dari mangsanya. Sudah cukup dia mempermainkan banyak wanita. Sudah cukup dia memanipulasi minda wanita yang jatuh cinta dengannya. Kami nak hentikan permainannya. Tolonglah Naz, kau jangan banyak soal lagi.” Nur Syarida cuba memujuk Nazira yang terlalu degil pada hari itu.

“Kita nak ke mana ni?” Nazira menyoal lagi apabila melihat mereka sudah keluar dari kawasan yang dia kenal.

“Aduh Naz .... syhh.” Kali ini Faridadli terpaksa bersuara dek kerana rimas Nazira yang asyik bertanya soalan yang sama berulang kali. Bukankah lebih baik kalau Nazira merekodkan soalan itu. Senang sikit mereka hendak merekodkan jawapan yang sedondon dengan soalan yang dikemukakan oleh wanita itu.

Seketika kemudian, Nur Syarida mengajak Nazira masuk ke dalam sebuah bangunan yang jauh dari orang ramai. Di situ kelihatan dua orang lelaki yang sudah sedia menanti kehadiran mereka. Kedua-dua mereka melontarkan senyuman dan dibalas oleh Nur Syarida dan Faridadli tetapi bukan Nazira.

“Saya Azaharil Anuar suami kepada Ellis Elliza. Silakan duduk.” Azaharil Anuar memperkenalkan dirinya.

“Ellis Elliza? Macam pernah dengarlah.” Nazira cuba memutarkan memorinya namun, dia tidak dapat mengingat langsung siapakah gerangan wanita yang disebutkan oleh lelaki dihadapannya itu.

“Ellis Elliza adalah salah seorang mangsa permainan lelaki parasit atau si setan bertopeng. Dan saya Adryan Evan’s penyiasat persendirian yang profesional. Saya diupah oleh Encik Azaharil untuk membongkarkan kegiatan lelaki maya itu.” Adryan Evan’s pula memperkenalkan dirinya.

Nazira semakin terpinga-pinga. Sesungguhnya dia tidak memahami apa-apa. Mulutnya juga terkunci dengan rapat kerana dia tidak tahu apakah yang bakal berlaku pada hari itu.

“Kita akan tunggu dua orang lagi dan saya akan dedahkan siapakah Runi Naqiu yang sebenarnya. Lelaki yang cukup bahaya di kala ini. Lelaki yang boleh menguasai minda kebanyakan wanita yang mengenali dirinya. Lelaki yang mampu membuatkan wanita jatuh cinta dengannya hanya dengan menjual ayat-ayat cinta.” Terang Adryan Evan’s dengan panjang lebar.

Nazira menghela nafas berat. Adakah dia mampu untuk mendengar kebenarannya atau dia harus melangkah pergi dari sini sahaja? Namun, jika dia melangkah pergi, siapa pula mahu menghantarnya pulang. Dia datang bersama-sama Nur Syarida dan Faridadli. Huh!

“Assalamualaikum.” Kedengaran suara memberi salam. Semua mata berkalih arah menumpukan pada kelibat mereka yang datang.

“Fadhila Imani? Penulis novel tu, kan?” Nazira semakin terkejut dengan kemunculan kelibat Fadhila Imani bersama seseorang. Dia yakin bahawa itulah suami Fadhila Imani.

“Ya. Ramai yang terlibat dengan Runi Naqiu ni bukan saja orang biasa tetapi novelis juga salah seorang daripada mangsanya. Inilah kebenaran yang harus kau tahu. Aku tak nak kau terlalu jauh mencintai Runi sehingga boleh mencederakan diri kau sendiri.” Nur Syarida memegang lembut tangan Nazira yang kelihatan amat terkejut.

“Maaf terlambat. Saya Rozman suami kepada Fadhila Imani.” Rozman memperkenalkan dirinya kepada mereka semua.

“Duduklah. Kita di sini berkongsi pengalaman dan maklumat agar tiada siapa yang akan terjebak lagi dengan lelaki maya ini. Trend lelaki sekarang memikat wanita-wanita dengan ayat-ayat cinta sehingga mereka jatuh cinta dan kemudian, mempergunakan mereka untuk kesenangan diri sendiri.” Adryan Evan’s menjelaskan bunga-bunga situasinya.

“Hasil maklumat yang saya dapat sepanjang penyiasatan, Runi Naqiu merupakan seorang suami kepada seorang isteri dan bapa kepada dua orang anak. Ini kebenarannya.

Runi Naqiu Bin Ahmad

45 tahun

Beristeri

Tidak bekerja

Dulu penulis skrip & pernah menjadi pelakon tambahan.. Sekarang sudah tidak aktif dalam seni

Isteri : Nurleela Bt Hisham

Anak : Rizky Nurhisham ( 16 thn ),

Sofea Farhana ( 13 thn)

Alamat : No 30 Blok D

Felda Hasal,

81000 Kulai,

Johor.

Pekerjaan isteri : Sales & Marketing Department Legoland, Malaysia.

Adryan Evan’s menunjukkan slide berkenaan diri Runi Naqiu kepada mereka semua. “Jelas dia memikat wanita-wanita yang mengenali dirinya untuk kesenangan diri sendiri. Dia sebenarnya kesunyian apabila isterinya keluar bekerja sedangkan dia tidak mahu memikul tanggungjawab sebagai seorang suami untuk mencari rezeki buat keluarga. Dia berimpian ingin hidup goyang kaki di rumah sahaja dan dilimpahi harta kekayaan yang melimpah ruah hasil pemberian wanita-wanita yang berjaya masuk ke dalam perangkapnya.” Adryan Evan’s mula mendedahkan kegiatan Runi Naqiu kepada umum.

"Atau...mungkin juga dia ada rencana sendiri. Memandangkan dia tidak bekerja jadi dia mahu seseorang 'standby' untuk menyara dia dan anak-anaknya andai sesuatu terjadi kepada isterinya. Meninggal dunia misalnya." Adryan Evan's menyambung bicara.

"Runi Naqiu, dia seorang yang berfikiran jauh ke hadapan. Jadi dia mempunyai perancangannya tersendiri. Alangkah bagusnya kalau dia memikirkan bagaimana memajukan diri sendiri. Tapi sayang dia lebih berfikiran songsang." Adryan Evan's memandang seorang demi seorang yang berada di hadapannya.

“Mangsa-mangsanya adalah mereka yang berduit. Wanita yang bekerjaya adalah mangsa yang cukup disukainya. Dia tidak akan memikat gadis-gadis yang masih belajar kerana mereka tidak dapat memberi sumber pendapatan buat dirinya. Selain itu, dia juga mendambakan hubungan seks dengan wanita-wanita yang berjaya diperangkapnya. Jangan terkejut jika isteri-isteri orang telah berjaya dibawa ke kamar peraduan hanya dengan layangan cinta murah yang diberinya. Kalau berjaya dapat anak dara, lagilah dia menggemarinya kerana mereka masih segar. Namun, bukan anak dara yang masih belajar tetapi mereka yang mempunyai kerjaya tetap. Selepas diperangkap, sudah pasti senang dia hendak mengawal mereka agar terus terikat dengan dirinya.” Sambung Adryan Evan’s lagi. Kali ini agak panjang lebar.

Terlopong mulut Nazira mendengar kenyataan itu. Air liur yang menuruni rengkungnya bagaikan berbatu. Sakit sungguh jiwa raganya memandangkan dia juga salah seorang mangsa permainan cinta lelaki dusta itu. Memang setan bertopeng. Air hangat sudah bergenang di tubir mata Nazira. Hanya menanti waktu sahaja untuk gugur.

“Saya ingin menunjukkan video yang telah saya rakam dalam diam-diam akan kegiatan Runi Naqiu.” Adryan Evan’s mula menunjukkan video kecurangan Runi Naqiu dengan ramai wanita termasuk Ellis Elliza dan Fadhila Imani.

Fadhila Imani rasa bersalah lalu teresak di situ. “Abang, maafkan Dhila. Dhila tak tahu kenapa Dhila tergila-gilakan dia sedangkan dia bukan taste Dhila. Sejak pertama kali Dhila bertemu dengannya, Dhila tak boleh lupakan dia walau sesaat.” Fadhila Imani masih rasa bersalah terhadap suaminya.

“Sebenarnya, dia telah menggunakan sihir cinta pada semua wanita maya yang mahu diperangkapnya. Sihir cinta dari kata-katanya. Sihir cinta apabila kita merenungi matanya sebab itu dia mampu mengawal semua wanita untuk mendengar cakapnya.” Jelas Rozman kepada mereka semua.

“Iya. Sihir cinta salah satu ilmu sesat yang dipelajarinya. Ini video demi membuktikan kata-kata saya.” Adryan Evan’s menunjukkan video di mana Runi Naqiu mengamalkan ilmu sesat itu.

Nazira sudah tidak dapat menahan air matanya lalu tumpah di kala itu juga. Darjat Runi Naqiu yang sebelum ini cukup tinggi di matanya, kini jatuh merundum. Nazira mengambil tindakan drastik untuk menyekat Runi Naqiu dari laman-laman aplikasi di dalam telefon pintarnya. Bukan itu sahaja, dia juga telah menyekat Runi Naqiu di laman sosial muka bukunya. Dia tidak mahu berhubungan lagi dengan lelaki parasit seperti Runi Naqiu. Cukuplah dengan apa yang Runi Naqiu lakukan kepada dirinya. Dia tidak akan memperbodohkan diri sendiri demi seorang jantan seperti Runi Naqiu.

“Naz, aku tahu kau kecewa. Aku tahu dia cinta pertama kau tapi dia tak layak untuk kau yang cukup baik ni. Ada orang lain yang lebih layak untuk kau. Aku pun nyaris menjadi mangsa rogolnya. Syukurlah tunang aku Faridadli datang tepat pada masanya menyelematkan aku.” Nur Syarida membongkarkan kebenaran apa yang terjadi pada dirinya.

“Ya Naz, saya juga salah seorang mangsanya. Dia mengajak saya untuk mendustai suami sendiri dan juga ingin memutuskan tali perkahwinan yang kami bina. Tapi saya tak faham kenapa dia begitu tega untuk meruntuhkan masjid orang lain. Bukan saya saja, ramai wanita yang berumahtangga mengalami benda yang sama. Diajarnya isteri orang bagaimana menuntut fasakh." Jelas Fadhila Imani.

“Isteri saya juga dipikatnya demi memenuhi tuntutan nafsunya. Dia berniat merobohkan masjid yang kami bina agar isteri saya dapat bersama dengannya. Sedangkan saya tahu, dia cuma mahukan duit Ellis saja untuk menyara diri sendiri. Dia ajar isteri saya menuntut fasakh, dia tawarkan peguam yang dikenalinya untuk proses perceraian. Bila isteri saya tidak menurut kehendaknya, dikatanya isteri saya lembab, 'weak', 'liar' dan macam-macam lagi. Bila Ellis tidak juga menurut kemahuannya, dia bertindak berani menghantar mesej kepada saya, menyuruh saya menceraikan Ellis. Mungkin dia fikir dengan cara itu saya akan marah dan terus melepaskan Ellis."Azaharil Anuar menarik nafas berat sambil menggeleng kepala. Tidak disangka sama sekali akan berlaku dalam rumahtangganya.

“Terima kasih kerana menyedarkan saya tentang hal ini. Saya terlalu naif tentang cinta sehingga boleh terjebak dengan lelaki maya sebagaimana dirinya. Bodohnya saya kerana mempercayai kata-katanya sehingga mengabaikan kawan sekerja saya sendiri. Syar, maafkan aku ya. Terima kasih kerana sedarkan aku.” Nazira memeluk Nur Syarida dengan esakan kecil yang sukar untuk berhenti.

“Aku maafkan kau Naz. Dah menjadi tanggungjawab aku untuk menyedarkan kau tentang bahaya bercinta dengan si setan bertopeng tu. Aku sayangkan kau Naz.” Nur Syarida mengurut-urut belakang Nazira untuk meredakan tangisannya.

"Runi Naqiu ni mudah memancing kepercayaan wanita berbekalkan sejarahnya dahulu. Dulu dia pernah menjadi pelakon tambahan beberapa scene dalam drama. Tetapi itu dulu, hanya beberapa. Dia gunakan itu sebagai passport memikat wanita. ditunjuknya keratan akhbar yang ada berita tentang watak tempelannya. Gambar-gambar dalam facebook pun gambar dia di 'make up' semasa sesi fotografi. Jadi sudah tentu nampak kacak, kan!" Adryan Evans melepaskan tawa sambil menggeleng kepala.

"Hmmmm.. Dan wanita-wanita yang tidak berfikir panjang ni mudah sahaja percaya dengan ceritanya. Dia tu sebenarnya artis tak jadi. Konon banyak menghasilkan skrip, beratus-ratus skrip disimpannya. Mangsanya pula percaya dia ni kononnya artis. Kalau betul apa yang dia kata, tidak celikkah mangsa-mangsanya, di mana skrip yang dihasilkannya? Apa bukti yang dia artis dan penulis skrip? Lebih dahsyat katanya pengarah terkenal pun mahukan skripnya. Yang wanita-wanita ni pun percaya. Kalau betul, bodohlah dia lepaskan peluang rezeki depan mata." Adryan Evans menyambung lagi.

Kelihatan yang lain-lain kusyuk mendengar kata-kata Adryan Evans sambil mengangguk kepala. Baru terfikir agaknya akan permainan si Setan Bertopeng.

“Sebenarnya dia melakukan ajaran songsang itu untuk memperkukuhkan ilmu yang dipelajarinya. Meruntuhkan rumahtangga orang dan melakukan hubungan seks dengan wanita-wanita yang jatuh cinta dengannya adalah benda yang sangat dipinta dalam mengamalkan ilmu syirik ini. Menghalalkan apa yang haram dan mengharamkan apa yang halal adalah pegangannya kini. Cuma pesan saya, berhati-hatilah jika mengenali dengan mereka yang berada di maya kerana kita tidak tahu siapakah mereka yang sebenarnya. Jangan terlalu mudah percaya dengan keikhlasan yang ditunjukkan oleh mereka. Mungkin sahaja ada udang di sebalik batu yang kita tidak tahu." Pesan Adryan Evan’s sebelum mengkahiri pertemuan mereka pada hari itu.

----- ----- ------- ------ ------

“Alhamdulillah aku telah diselamatkan dari cengkaman dan genggaman si setan bertopeng itu. Apa yang terjadi ada hikmah disebaliknya. Aku telah bertemu dengan cinta hati aku selama ini. Dia adalah Adryan Evan’s. Tak sangka sungguh dalam diam dia menaruh hati pada aku. Cinta pandang pertama yang tidak aku percayai selama ini. Terima kasih ya ALLAH kerana berikan aku permata yang berharga.” Nazira mengesat air matanya untuk kesekian kali sebelum melayari mimpi-mimpi indahnya bersama Adryan Evan’s.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.