BAB 10
SEAWAL
lima pagi lagi Bella sudah terjaga dari tidurnya. Memang hatinya berat untuk
mengikuti misi bantuan ke Pantai Timur. Hatinya asyik teringatkan Riza dan
Belina yang bakal dijagai oleh Rizqi dan Kay, si ibu tiri.
Bukan Bella tidak percaya pada
Rizqi. Dia tahu Rizqi seorang ayah yang prihatin. Sayangkan Belina dan Riza seperti
nyawanya sendiri. Namun Bella tidak akan sekali-kali percaya pada si lidah
bercabang dua itu, Kay. Semenjak dari peristiwa berdarah di dapur ibu mertuanya
beberapa hari lepas, Bella sudah serik untuk bertembung mata dengan Kay.
Bella tahu dia ada niat jahat. Firasat yang Bella
dapati beberapa hari lepas memang menjurus ke arah Kay. Dia yakin senyuman nipis
yang dia lihat pada firasat itu adalah senyuman Kay. Malah pisau tirus yang
berdarah dalam bayangannya itu juga ada bersangkut paut dengan Kay.
Sepanjang perjalanan Bella ke
Kelantan, hatinya asyik merintih doa kepada TUHAN. Semoga ALLAH lindungi
anak-anaknya dari perkara yang tidak diingini. Semoga ALLAH jauhi anaknya dari
putar belit si lidah bercabang dua itu. Dan juga… semoga ALLAH lindungi Rizqi
dari terus termakan kata-kata hasutan Kay.
Tepat pukul dua petang, Bella dan
ahli pasukan sukarelawan dari TV 10 tiba di Kampung Manjor, Kuala Krai.
Walaupun hujan pada ketika itu masih lagi renyai-renyai, namun misi kemanusiaan
ini harus juga diteruskan. Semangat untuk membantu mereka yang memerlukan
membara-bara apabila mereka melihat sisi kemusnahan perkampungan yang dahulunya
ceria bertukar seperti padang jarak padang terkukur. Tiada apa lagi yang
tinggal. Kemusnahan rata-rata hampir 80% penduduk di perkampungan tersebut
kehilangan tempat tinggal.
Mereka hanya mengharap belas ihsan sukarelawan yang
datang membantu. Rumah-rumah mereka kini hanyalah khemah dan pondok yang dibina
dari atap zink yang merupakan sisa-sisa dari bahagian rumah mereka yang tinggal
dan lantai pula hanya berlapikkan tikar plastik lembap. Ada pula di antara
penduduk kampung yang tinggal empat keluarga berhimpit-himpit dalam satu satu
rumah. Ia memang menyayat hati. Kemusnahan yang tidak pernah mereka jangka akan
terjadi sehebat ini.
Pasukan
sukarelawan TV 10 yang terdiri daripada 15 orang itu mula mengagih-agih barang
bantuan kepada penduduk kampung. Ada di antara mereka pula memilih untuk
bertegur sapa dengan penduduk kampung dan membantu mereka dalam usaha untuk
membaikpulih rumah yang rosak. Walaupunbagaimanapun, Bella hanya memilih untuk
berdiam diri dan memerhati. Dia seperti tiada hati dalam membantu teman-teman
sukarelawan yang lain. Sudut timbunan kayu kayan dari rumah papan yang rosak
menjadi tempatnya untuk bersendiri. Sikapnya bagi sukarelawan yang lain tak
ubah bagai kera sumbang. Diam dan tak suka bergaul dengan orang lain.
Melihatkan hal sebegitu menimpa Bella, Fatin dari
kejauhan hanya mampu mengeluh. Dah nampak sangat macam orang kena kahwin paksa!
Datang nak membantu orang susah pun macam kena paksa! Kalau dah rindu sangat
dekat anak-anak, kenapa paksakan diri datang ke sini? Kan dah jadi tak ikhlas
namanya!
“Belle!” sapa Fatin bersama sebotol air minuman di
tangan. Botol itu diserahkan kepada Bella.
“Kau ni jadi kera sumbang kat sini kenapa? Baik tak
payah ikut je kalau nak jadi bos kat sini,” sindir Fatin tajam. Tak kisahlah
Bella tu penerbit ke, atau apa-apa jawatan yang lebih tinggi daripadanya, kalau
dah salah memang kena tegur!
“Sedapnya mulut mengutuk….” bicara Bella perlahan.
Botol berisi air minuman itu diteguk Bella sekali. “Aku kena paksalah datang
sini… bukannya datang sebab nak tolong pun.”
“Ish! Siapa yang paksa kau ni? Rizqi?”
“Siapa lagi? Dia cakap kalau aku pergi… dia boleh
tolong kita soal bajet program,” jawab Bella.
“Ish, ish, ish… Buruk perangai Rizqi
tu, kan? Aku rasa perangai kau pun buruk jugak.” Fatin sekali lagi menyindir.
Pedas dan terbakar!
“Kau ni dah kenapa? Kalau kau nak
tolong… kau boleh pergi tolong. Tapi aku… aku justtak ada mood
sekarang ni. Asyik teringat dekat anak-anak je,” luah Bella.
Fatin menggeleng-geleng. Macam dia
seorang aje yang ada anak, ya? “Dengar sini… aku nak beri nasihat sikit. Kau
nampak tak kakak kat depan tu,” kata Fatin sambil menjuihkan bibirnya ke arah
seorang wanita hamil yang bertudung serkup merah jambu. Wanita itu tekun
mencari-cari sesuatu dari celahan rumah kayunya yang ranap.
“Kau rasa dengan tengah cari apa?”
sambung Fatin.
Bella menjungkitkan bahunya.
Anak-anak rambut yang menjulur ke dahi ditolak ke belakang dengan kasar.
“Tekalah! Dia cari apa? Bosanlah kau
ni,” desak Fatin.
Bella mengerutkan dahi. Dah gila apa
perempuan ni? “Mana aku nak tahu! Dia cari barang-barang rumah dialah kot. Mana
tahu ada yang berguna.”
“Salah! Dia… tengah cari baju untuk
anak dia. Baju baby untuk anak dia
yang tak lama lagi nak lahir tu. Aku rasa umur dia lebih kurang umur kaulah,
Belle,” kata Fatin dengan suara yang semakin serak. Air matanya hampir-hampir
tertumpah.
Bella terdiam mendengar jawapan dari
Fatin. Hatinya menjadi sakit. Seperti ada yang mencucuk-cucuk. Penjelasan yang
diberitahu Fatin membuatkan dia terasa seperti manusia yang paling bodoh di
dalam dunia. Tiada hati perut. Tiada perasaan belas kasihan!
“Dia mesti tak sabar nak tunggu
kelahiran baby tu, kan? Tapi dalam
masa yang sama… mesti dia risau. Risau nak lahirkan anak dalam serba
kekurangan. Risau pakaian apalah dia nak balut pada anaknya yang nanti akan
kesejukan. Risau makanan apa yang dia nak beri pada anaknya sedangkan dia pun
berlapar dahaga. Risau di manalah dia nak tinggal kalau dia dah bersalin nanti,”
kata Fatin lagi.
Bella mengalirkan air matanya. Dia
merasa bersalah yang amat. Bagaimanalah hatinya boleh menjadi sekeras batu
sebentar tadi? Duduk sendiri tak berbuat apa. Lagak ma’am besar yang datang dari bandar. Lumpur dan selut dilihatnya
sebagai menjijikkan. Tiada satupun yang membuatkan dia minat untuk terus bangun
dan membantu penduduk-penduduk di sini.
“Kerisauan kau kalau dibandingkan
dengan kerisauan perempuan dekat depan tu bagi akulah… tiada apa-apa. Kau
risaukan anak kau yang bagi aku cukup serba-serbi keperluannya. Untung Riza dan
Belina ada ayah macam Rizqi. Cakap apa ajelah, mesti tak sampai seminit dia
belikan, kan? Kalau kau risau tentang keadaan mereka dengan ibu tiri mereka tu,
bagi akulah kan… itu semua lahir dari perasaan over protective kau pada anak-anak. Kau takut kalau ada orang lain
buat perkara tak elok dengan anak kau dan kau pulak tak letakkan kepercayaan
pada Rizqi untuk melindungi mereka. Tolonglah Bella Amira… sedar dan bangun ke
dunia realiti!” Fatin menambah bicaranya panjang lebar.
Bella menghamburkan air matanya
habis-habisan. Menangis tersedu-sedan dia di situ. Benarlah kata Fatin, dia
risaukan perkara yang remeh temeh. Kalau dibandingkan dia dengan si ibu yang
sarat mengandung di hadapannya itu, apalah berat sangat dugaan hidupnya? Hidupnya mewah dan keperluan anak-anaknya
cukup. Manakala, ibu ini hanya menagih harapan di sebalik serpihan kayu kayan
rumah papan yang telah musnah! ALLAH… berdosanya dia!
***
PETANG
Jumaat itu, Rizqi membawa Kay dan anak-anaknya ke rumah banglo yang baru
dibelinya di Shah Alam. Kawasan
perumahan yang dinamai Villa Ixora ini masih lagi sunyi. Hanya ada empat lima
buah rumah yang berisi keluarga. Kebanyakan rumah lain masih lagi kosong. Walau
bagaimanapn, sebelah kanan rumah banglo mereka telah didiami sebuah keluarga
besar yang dengarnya berasal dari Johor. Rizqi sempat bertegur sapa dengan
mereka sebelum masuk meneroka dalaman rumah.
Belina dan Riza teruja. Perkara
pertama yang menarik perhatian mereka semasa menjejakkan kaki ke banglo itu
adalah kolam renang yang dibina bersebelahan kawasan ruang tamu. Belina
beriya-iya mahu terjun ke dalamnya. Namun keinginan Belina dihalang Rizqi
kerana dia mahu membersih kolam tersebut terlebih dahulu.
Manakala Riza pula gemar
bersendirian seperti biasa. Kehijauan laman banglo itu menarik minatnya untuk
meneliti setiap satu pokok yang tertanam di situ. Sambil itu dia juga bermain
dengan ulat gonggok yang bertenggek di atas buaian besi.
“Belina dan Riza suka tak?” tanya
Rizqi.
Kedua-dua menjerit gembira. Tak
sabar untuk bermalam di rumah tersebut hari ini. Namun lain pula bagi Kay, dia
berdiam tak berkata sepatah. Kegembiraan di wajah anak-anak itu hanya
membuatkan hatinya robek.
“Kay… saya ada satu benda nak
tunjukkan dengan awak,” ajak Rizqi yang menarik tangan Kay ke ruangan dapur.
Anak-anaknya dibiarkan bersendirian.
“Awak suka tak?” Rizqi mempamerkan
ruang dapur yang sebesar separuh dari ruang tamu. Keluasan dapur itu lengkap
diisi dengan barangan elektrik, meja memotong sayur, kabinet menyimpan
peralatan memasak dan pinggan mangkuk serta dapur memasak yang serba canggih.
Kay tersenyum. “Suka. Luas sangat
dapurnya.”
“Senang awak nak memasak nanti.”
Kay tidak mengendahkan jawapan
Rizqi. Matanya tertumpu pada pintu kecil di ruang dapur. “Ini bilik apa?”
tanyanya.
“Ini?” Rizqi membuka pintu kecil itu. Gelap.
Lampu ditekan. Cahaya kamar itu hanya menyimbah malap. “Stor rasanya….”
“Oh….” Kay tersenyum lagi. Mindanya
mula berputar dengan 1001 macam idea. “Kalau kita letak peti ais yang besar tu
dalam ni boleh?”
“Peti ais dalam ni?” Rizqi
menggaru-garu kepala. Kan elok-elok peti ais kat luar. Kenapa nak sumbat dalam
bilik ni? “Buat apa ye? Peti ais tu kan elok kat luar?”
“Bukan peti ais tu… peti ais yang
besar tu. Yang orang simpan daging tu. Awak beli dan kita masukkan dalam ni,
nak tak?” jelas Kay.
“Oh… beli lagi satu peti ais?”
“Iyalah. Nanti boleh asingkan barang
basah dan kering dalam ni,” ujar Kay.
“Boleh aje kalau macam tu! Saya okay
je. Nanti awak listkan barang apa yang kita kena beli lagi dan mungkin kalau
awak nak ubah-ubah dalaman rumah ni… awak beritahu saya je. Saya akan suruh
kontraktor buat,” ucap Rizqi. Bahagia dia dengan sikap menyenangkan Kay. Lemah
lembut aje. Bicaranya pun tak memaksa. Bukan macam Bella… buka mulut je nak
bergaduh!
Kay menghela nafas lega. Akhirnya, keinginannya
akan tercapai setelah hampir 15 tahun menahan diri. Bersabarlah hati. Sekejap
saja lagi….
***
BAU
haruman lavender menusuk ke hidung Rizqi saat dia memasuki kamar peraduannya.
Lampu malap berwarna jingga dipasang. Manakala kelibat Kay yang sudah
sepatutnya berada di dalam kamar tidak pula kelihatan.
Rizqi terpandang akan segelas susu
coklat yang diletakkan di atas meja sudut bersebelahan dengan katil bersaiz king milik mereka. Kay minum susu sebelum
tidur? Patutlah tadi beriya menyuruh dia membeli susu sebelum datang ke mari.
Mungkin habit sehariannya tergendala semenjak berkahwin dengan Rizqi.
Bagi Rizqi, Kay seorang yang perahsia. Kebanyakan
hal mengenainya masih belum diketahui Rizqi. Sikap perahsia Kay membuat Rizqi
semakin tertarik terhadapnya. Dia suka akan cabaran dan meneroka sesuatu yang
tidak diketahui olehnya.
Bunyi air di dalam bilik membuatkan Rizqi tersentak.
Kay ada rupanya di dalam kamar mereka! Mati-mati dia ingat Kay masih lagi di
dapur. Bukan perempuan memang gemar bertenggek di dapur? Ada saja projek yang
mereka lakukan tanpa pengetahuan suami dan anak-anak. Tup-tup dah masak satu
lauk. Tup-tup dah siap setalam kuih. Kan?
Kay keluar
dari kamar mandi. Wajahnya yang kelihatan bercahaya setelah dioles pelembap dan
krim malam sudah bersedia untuk direhatkan. Dia memberi senyuman manis apabila
Rizqi menatapnya lama.
“Budak-budak dah tidur?” tanya Kay basa-basi. Tuala
yang tersangkut di tepi almari dicabut turun dan dipedapkan ke muka
perlahan-lahan. Dia seterusnya membuka ikatan sanggul pada rambut. Rambut lurus
dilepaskan ke dada.
“Dah. Puas saya nak tidurkan si Riza tu. Ada-ada
saja dia. Rindu Bellelah… nak dengar suara Bellelah….” Rizqi menggeleng-geleng.
Dia membaringkan badannya ke katil.
“Oh… ye ke?” Kay mengalihkan wajahnya ke cermin.
Wajah cemberutnya ditonjolkan. “Awak dah nak tidur? Minumlah susu coklat tu
dulu.”
“Eh? Untuk saya ke ni?” Rizqi bingkas bangun dari
katil. Matanya dialihkan ke susu coklat yang masih setia di meja sudut
bersebelahannya.
“Iyalah. Saya suruh beli tadi untuk awak minum.” Kay
berkalih dari cermin. Gelas susu itu diangkat dan diserahkan ke tangan Rizqi.
“Minumlah… baik untuk kesihatan kalau minum sebelum tidur.”
Rizqi tersengih. Ini rutin baru! Dia belum pernah
lagi minum susu sebelum tidur. Kali terakhir dia membeli susu adalah semasa
Bella mengandungkan Riza. Selain dari itu dia memang jarang sekali meminum cecair
putih mahupun coklat atau strawberry itu tersebut.
“Aaa… awak nak saya minum ke?” Rizqi menelan air
liurnya.
“Yelah… minumlah. Demi saya!” Kay melabuhkan
punggungnya bersebelahan dengan Rizqi. Bahu lelaki itu dipicit-picit.
“Okay. Demi awak. Saya minum.” Gelas susu itu
dicapai. Rizqi meneguk susu coklat tersebut perlahan sambil tersenyum.
Kay pula hanya melihat perilaku Rizqi dengan
kegembiraan berbunga di hati. Rizqi memang benar sayangkan dia! Tapi… dia?
Adakah dia menyayangi Rizqi seperti mana sayangnya Rizqi kepadanya? Kay
menggigit bibirnya kuat.
‘Tunggu dan lihat saja!’ bisik hati Kay keras.