BAB 15
TERNGIANG-NGIANG
lagi di telinga Zahlia akan bicara kasar Bella terhadapnya tengah hari tadi.
Tangan lembut Bella pantas saja menepis tangan tua lagi berkedutnya bagaikan
dia ini tiada nilai kepada anaknya itu. Berdendam sungguh Bella Amira
kepadanya, ya? Marah sungguh Bella kepadanya sehingga kemaafan itu tidak mampu
diperoleh lagi.
Salahkah dia? Salahkah dia menjadi
seorang ibu yang prihatin kepada anak tunggalnya? Semenjak kematian suami
hampir 10 tahun yang lalu, Zahlia mencurahkan segala kasih sayangnya pada
Bella. Anak-anak Bella adalah cahaya dalam hidupnya. Rizqi pula Zahlia anggap
sebagai pelindung kepada si jantung hati, Bella.
Hubungan akrabnya dengan Fauziah
membuatkan dia berkongsi segala cerita dengan wanita itu. Dari hal rumah
tangga, kasih sayangnya kepada Bella dan juga rahsia yang dimilikinya dan
anaknya. Rahsia mengenai keupayaan deria keenam mereka. Mempunyai firasat dan
dapat membaca minda manusia yang mereka kehendaki. Itupun dengan izin ALLAH, TUHAN
yang Maha Mengetahui Segala-galanya.
Pada awalnya, Bella Amira gemar
berkongsi akan pengalaman deria keenam yang dimilikinya itu kepada Zahlia. Bella
hanya dapat merasai tentang perkara yang bakal berlaku ataupun telah berlaku
sebelumnya. Dia tidak boleh membaca minda manusia lain. Kebolehan Bella terhad.
Zahlia juga bersyukur kebolehan anaknya itu sampai di situ saja. Itu sudah
cukup untuk Bella. Dia tahu Bella bukanlah sekuat mana. Dia tidak berupaya
untuk mengawal emosinya. Takut-takut nanti Bella akan trauma seperti dirinya
awal-awal dahulu.
Tetapi setelah Bella mendirikan
rumah tangga dan mempunyai anak-anak, Bella mula mengabaikan deria keenam yang
dimilikinya. Dia lebih suka menjadi manusia biasa. Hidup seperti orang
biasa-biasa. Bebas dari firasat atau bayangan yang datang menghantui. Sampai
suatu ketika, Bella mula menyalahkan keturunan keluarganya atas sebab dia
memiliki deria ini.
Dia mula mengungkit dengan mengatakan Zahlia memakai
ilmu hitam dan saka. Walhal, Zahlia tidak pernah mengamalkan semua itu. Zahlia
bertegas mengatakan ia datangnya dari ALLAH. Kurniaan yang bukan dipintanya dan
diterimanya dengan penuh kesabaran. Tetapi Bella kurang mengerti lalu
perlahan-lahan makin menjauhkan dirinya dari Zahlia dan juga dari Penciptanya.
“Belle, kuliah malam jumaat ni datang tak? Mama
jemput ustaz datang rumah.” Zahlia cuba bertanya buat kali yang ketiga setelah
Bella hanya berdiam sambil meneleku telefon pintarnya.
Bella melepaskan nafas kasar. “Bella ada hal. Ada shooting malam tu, ma. Lagipun Rizqi
sibuk. Kalau dia tak ada, Bella tak naklah datang.”
Zahlia hanya menggeleng-geleng. Dia tidak tahu cara
bagaimana lagi yang dia harus lakukan supaya Bella mendengar bicaranya dan
memahami kasih sayangnya. Namun semuanya bertambah rumit apabila Zahlia dapat
menghidu sesuatu yang tidak kena dengan Rizqi. Dia mengambil keputusan untuk
memberitahu firasat hatinya kepada Bella.
“Belle… mama rasa Belle kena tahu tentang hal ni,”
ujar Zahlia berhati-hati. Dia tidak mahu mengecewakan hati Bella yang dia amat
sayangi.
“Tentang apa mama?” Bella bertanya dalam nada acuh
tidak acuh. Fokusnya hanya tertumpu pada Riza yang ketika itu hanya berumur dua
tahun.
“Rizqi selalu balik lewat, kan?”
Bella menaikkan kening kirinya. Terkejut.
Pandangannya beralih pada Zahlia, manakala Riza yang berada di atas walker.
“Mana mama tahu?” soalnya serius.
“Belle tahukan mama akan tahu tentang hal ni.”
“Apa yang mama tahu?” Bella menginginkan jawapan
segera. Hatinya juga memang selalu saja berasap cemburu akan perilaku Rizqi
yang tidak tentu arah semenjak dua menjak ini.
“Dia… ada perempuan lain?” Batu keresahan di hati
Zahlia akhirnya dilepaskan.
“Kenapa mama cakap macam tu?” Bella seakan-akan
tidak setuju.
“Di fikirannya ada orang lain. Selain Bella… dan
anak-anak,” kata Zahlia.
Air mata Bella menitis satu persatu. Minda menolak
mentah-mentah akan telahan Zahlia. Tetapi naluri hatinya kuat mengiyakan bicara
si ibu. Apa yang boleh Bella lakukan?
Zahlia merasakan dialah punca perpisahan Bella dan
Rizqi. Setelah firasatnya mengenai Rizqi diberitahu kepada Bella, tidak kurang
dari dua bulan selepas itu Bella dan Rizqi berpisah. Membawa haluan
masing-masing. Bella juga pernah berjanji yang dia tidak akan menerima Rizqi
kembali.
Kemaafan itu memang sukar diperoleh dari Bella.
Entah apa salah Rizqi selain dari menduakannya. Zahlia tidak tahu. Malah Bella
juga tidak pernah menyatakannya apa. Tetapi hatinya kuat mengatakan Bella tidak
suka diduakan. Benci apabila janji-janji dimungkiri. Bagi Bella, kemaafan itu
terlalu suci. Sampai bila-bilapun hatinya akan terluka. Terluka dan pada masa
yang sama masih mencintai Rizqi sedalam-dalamnya.
Zahlia menekur wajah. Titisan-titisan air mata
menitis keluar dari takungan tangan jatuh ke meja tulisnya.
“Maafkan mama, Bella Amira. Mama tak patut masuk
campur soal perkahwinan Bella dan Rizqi. Mama cuma sayangkan Bella. Hari ini
dan untuk selamanya… biar mama sayang Bella dari jauh saja. Mama maafkan
kesalahan Bella yang mengguris hati mama. Semoga segala urusan hidup Bella
dipermudahkan,” bicara Zahlia tersedu-sedan. Dia percaya, doa seorang ibu
seperti dia dapat menyelamatkan Bella dari belenggu masalahnya.
***
KOTAK
cereal Coco Cruch dihempas Bella ke atas meja. Belina menggigit bibirnya.
Manakala Riza pula tidak berani untuk mengangkat mata ke arah Bella. Takut
mereka berdua dengan perilaku Bella. Baru keluar dari mulut raksasa Mak Cik
Kay, kini mereka masuk pula ke dalam lahar amarah ibu mereka. Kini kedua-dua
orang anak kecil ini buntu dengan apa yang harus mereka lakukan. Diluah mati
emak, ditelan mati bapa.
“Makan! Lepas makan… basuh pinggan
sendiri!” arah Bella. Dia menuju ke ruang tamu dan memetik alat kawalan jauh.
Kedua-dua orang adik beradik itu
tiada selera untuk menjamah sarapan pagi mereka. Masing-masing saling menyalahi
antara satu sama lain atas apa yang berlaku.
“Riza… minta maaflah dengan mama!”
Belina mencubit peha Riza.
“Akaklah pergi minta maaf kat mama!”
Riza membalas pula.
“Okay… apa kata kalau kita pergi
minta maaf dekat mama sama-sama?” Belina melontarkan ideanya.
“Okay, jom!” Riza menarik lengan
kakaknya berjalan menuju ke ruang tamu.
“Mama!” Belina dan Riza menyeru.
Tangan kanan Bella ditolak-tolak mereka.
“Kenapa?” Bella menjeling sipi.
Matanya kembali menatap skrin televisyen.
“Kami nak minta maaf. Kakak dengan
Riza sayang mama!” ujar Belina memujuk.
“Kalau sayang mama… kenapa tipu
mama?”
Riza menggigit jejarinya. Belina
pula menundukkan wajah.
“Dia ugut anak-anak mama, ye?” Bella
meneka. Kalau Kay tak mengugut mereka dengan sesuatu yang menakutkan, sudah
pasti anak-anaknya itu akan memberitahu hal yang sebenar.
“Mama… Belina dengan Riza tak nak
tinggal dekat rumah papa lagi. Kita orang nak duduk dengan mama je. Dengan mama
atau nenek,” kata Belina memberi kata putus.
Dahi Bella berkerut-kerut. Kenapa
susah sangat nak mengaku yang Kay tu pukul mereka? Sanggup pula mereka menipu
dia hanya untuk menangkan Kay? Ah, sudah! Kalau difikir-fikir boleh gila
jadinya.
“Hmm, okay mama maafkan.” Bella
mengambil pendekatan untuk berlembut dengan anak-anaknya. Kalau ditekan-tekan
takut nanti terganggu pula emosi kanak-kanak ini. “Tapi… Riza dengan Belina
kena janji dengan mama akan satu perkara.”
“Apa ma?” tanya Riza bingung.
“Kalau lepas ni… Mak Cik Kay kacau
anak mama lagi, mama nak Belina dan Riza beritahu mama cepat-cepat. Biar mama
ajar dia cukup-cukup! Lepas tu adukan dekat papa. Biar papa tahu perangai
isteri dia macam mana!” kata Bella berkobar-kobar.
Namun dia terlupa anak-anaknya itu masih kecil dan
tidak begitu memahami secara mendalam maksud isi bicaranya. Bella
sebenar-benarnya mahu Rizqi menghukum Kay dan melihat sisi baik dalam dirinya
sebagai seorang ibu kepada anak-anak mereka. Dalam pada masa yang sama juga,
Bella tidak tahu bahawa anak-anaknya juga terlalu takut untuk berhadapan dengan
Kay. Kay yang digelar raksasa maha jahat itu bukanlah lawan mudah bagi mama
Belina dan Riza yang superhebat ini.
“Okay mama!” Kedua-dua anak Bella
mengangguk-angguk kononnya faham.
***