Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 16

LANGIT sepatutnya cerah pada waktu itu tetapi berubah mendung serta-merta dengan tiupan angin yang tidak begitu kencang. Ramalan cuaca kadang-kala tidak benar dan tepat. Yalah, namanya pun ramalan. Hanya sekadar meramal sahaja, tidak pasti samada ia benar-benar berlaku ataupun tidak. Imran menyimpan kembali telefonnya lalu menyambung latihan bolasepak bersama rakan-rakannya. Tidak lama lagi, mereka akan menyertai sebuah pertandingan akan datang dan perlu berlatih dari sekarang.

            Sewaktu berlatih, Imran asyik terdengar bunyi loceng seakan sama dengan bunyi loceng rantai kunci. Latihannya terhenti seketika untuk mencari bunyi tersebut. Ternyata bunyi itu datang dari rakan-rakannya yang sengaja membawa bersama rantai kunci tersebut. Imran tertawa mendengarnya. Bermakna hanya dia seoranglah yang tidak membawa rantai kunci bersamanya.

            “Tapi aku hairanlah, kenapa baru sekarang kau orang bawa rantai kunci tu? Tak rasa rimas dengan bunyi ‘kiching-kiching’ tu?” Sua Imran ingin tahu.

            Kemudian rakan-rakannya tertawa tanpa sebab lucu. Imran hairan memerhatikan mereka. Apa yang lucu tentang pertanyaannya tadi?

            “Imran, kau sendiri cakap yang rantai kunci ni pembawa nasib tuah. Kami pun percaya jugak sebab banyak perkara bertuah berlaku dalam hidup kami sebelum ni. Dan sekarang kami berharap dengan adanya rantai kunci ni, hujan takkan turun semasa kita berlatih,” jelas salah seorang dari rakannya.

            Setelah mendengarnya, barulah Imran teringat. Suara ketawanya kedengaran. Bagaimana pula dia boleh terlupa tentang perkara tersebut? Kepalanya didongak ke atas. Hari sudah semakin gelap menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

            “Hari nak hujan ni. Nantilah kita sambung berlatih,” usulnya.

            “Apa kau cakap ni, Imran? Kita doa sajalah supaya hujan tak turun. Lagipun mendung aje ni. Kau tak payah risaulah. Apa kata kau pergi ambil rantai kunci kau punya? Kami akan tunggu kat sini,” balas rakannya. Kemudian tersenyum membalas pandangan Imran.

            Imran turut tersenyum dan menganggukkan kepala. Lalu dia kembali ke tempat duduk dan mencari rantai kunci yang disimpan di dalam begnya. Selang beberapa minit kemudian, kedengaran bunyi guruh di langit menyebabkan Imran sedikit terkejut. Rakan-rakannya yang berada di tengah-tengah padang diperhatikannya. Masing-masing sedang gelak ketawa seolah-olah tidak menyedari apa yang sedang berlaku.

            Imran cuba berfikir positif sambil mencari rantai kuncinya. Setelah dibelek beberapa kali, barulah dia teringat sesuatu. Dahinya ditepuk perlahan. Beg duitnya tertinggal di dalam kereta. Selalunya dia akan menggantung rantai kunci pada beg duitnya. Mahukah Imran berpatah balik ke tempat parkir kereta dan mengambil beg duitnya?

            Sebaik sahaja dia berpaling memandang rakan-rakannya, tiba-tiba satu bunyi dentuman kuat mula kedengaran. Imran terpaku seketika melihat apa yang terjadi di hadapan matanya. Wajahnya berubah cemas dan panik. Kakinya terasa lemah lalu jatuh terduduk. Beberapa orang dari barisan kejurulatihan mula muncul setelah terdengar bunyi panahan petir tadi. Masing-masing amat terkejut apabila mendapati kesemua pemain bolasepak yang berada di tengah-tengah padang maut dipanah petir.

            Imran masih diam kaku di situ. Sekadar memerhatikan anggota paramedik membantu memindahkan mangsa-mangsa ke tempat terteduh. Setelah segalanya selesai, hujan mulai turun dengan lebatnya. Si ketua jurulatih amat kecewa dengan perkara yang telah berlaku. Lalu dia menghampiri Imran dan menanyakan mengapa tidak memanggil rakan-rakannya supaya berteduh ketika cuaca mendung.

            Bukan maksud Imran tidak mahu menjawabnya, cumanya dia masih terkejut dengan kejadian tersebut. Dia tahu dirinya sedang dimarahi kerana tidak prihatian terhadap cuaca sekeliling. Kemudian dia terdengar cakap-cakap dari barisan kejurulatihan yang mengatakan kemungkinan besar pasukan bolasepak yang diwakili Imran bakal dibubarkan tidak lama lagi. Imran mengeluh panjang lagi. Tubuhnya disandarkan pada dinding. Bunyi hujan lebat terus kedengaran tanpa henti.

 

KEESOKAN harinya berita mengenai pemain bolasepak yang maut dipanah petir mula tular di laman sosial. Semua orang yang mengetahui berita tersebut amat terkejut dan berasa kasihan dengan kejadian yang telah berlaku. Rina tidak terkecuali daripadanya. Setelah membaca berita lanjutannya, barulah dia tahu kesemua pemain telah maut di tempat kejadian kecuali seorang pemain yakni orang yang cukup dikenalinya, iaitu Imran.

            Lantas Rina keluar dari kelas secara tiba-tiba dan memberi alasan hal kecemasan kepada pensyarah. Hanim serta Olivia tertanya apa yang sedang berlaku. Rina pantas berlari sehingga melangkah keluar dari pintu pagar universiti. Mujur ada teksi yang lalu berhampiran lalu ditahannya. Dalam fikirannya saat ini, dia hanya mahu ke rumah Imran sahaja walaupun tidak begitu pasti samada lelaki itu sedang berada di rumahnya atau tidak.

            Entah mengapa Rina sendiri merasakan begitu cemas dan panik padahal Imran itu sekadar rakannya sahaja. Malah dia sendiri mahu menjauhkan diri dan tidak mahu bertemu dengannya lagi. Rumah Imran terletak di kawasan kampung bersebelahan dengan kampung Rina. Sesampai di sana dan membayar tambang teksi, dia bingkas keluar dari kereta dan mengucapkan salam kepada tuan empunya rumah.

            Tiba-tiba namanya disebut perlahan oleh seseorang yang sedang berada di beranda rumah. Ternyata itu adalah Imran. Serentak itu, ibu Imran membuka pintu rumah dan menjawab salam Rina. Senyumannya dihadiahkan. Sebaik mengetahui tujuan Rina yang hanya mahu bertemu dengan Imran, si ibu Imran kembali menutup pintu dan berjalan menuju ke dapur.

            “Imran, kau okey? Aku dah tau pasal berita kejadian tu,” sapa Rina setelah dijemput duduk di beranda rumah. Imran kemudiannya menghadiahkan senyuman manis. Perasaan sedihnya dilupakan seketika. Rina hairan melihatnya.

            “Aku rasa seronok tengok kau datang ke sini. Terima kasih,” ungkap Imran sebak. Ternyata perasaan sedihnya tidak boleh disembunyikan lagi. Jujurnya dia memang berasa seronok dan gembira dengan kehadiran Rina, akan tetapi kejadian yang menimpa rakan-rakannya cukup memberi kesan mendalam terhadapnya. Seakan mengulangi perasaan yang dialami pada tujuh tahun yang lalu.

            “Aku faham perasaan kau, Imran. Perasaan kehilangan orang di sekeliling kita. Sebab itulah aku tak nak berkawan dengan sesiapa sekarang. Aku tak nak rasai perasaan tu lagi,” kata Rina berwajah sedih.

            Imran sekadar mendiamkan diri. Entah apa yang sedang difikirkannya sekarang. Oleh sebab Rina tidak mahu mengganggu Imran lagi, dia meminta mahu pulang. Namun tangannya pantas ditarik oleh Imran menyebabkan Rina tersentak. Rina segera menarik tangannya semula dengan perasaan geram. Tetapi dia batalkan hasrat untuk memarahi Imran yang sedang bersedih itu. Mungkin dia tidak mahu Rina pulang awal atau sebagainya. Akhirnya Rina terpaksa akur dan kembali duduk di beranda rumah.

            Ibu Imran muncul tidak lama kemudian dengan membawa sedulang air minuman serta beberapa ketul kuih-muih yang dihasilkan sendiri. Rina dijemput makan oleh ibu Imran sebelum wanita itu kembali ke dapur semula. Mungkin dia tidak mahu mengganggu perbualan antara mereka berdua. Rina dan Imran kembali senyap seribu bahasa. Seketul kuih mula dijamahnya bagi menghilangkan rasa bosan. Wajah Imran yang sedih itu dipandangnya lagi. Apakah dia sedang menunggu Rina untuk memujuknya?

            “Sampai bila kau nak bersedih macam ni? Kau nak aku pujuk kau? Jangan mimpilah! Aku tak pernah pujuk orang dan aku sendiri tak pandai pujuk orang,” ujar Rina jujur.

            Imran masih berdiam lagi. Rina makin buntu sekarang. Apa yang harus dilakukannya untuk memujuk diri Imran? Kemudian dia terfikirkan sesuatu. Lantas dia membelek sesuatu di dalam begnya dan mengeluarkan sesuatu yang sangat dikenali. Senyumannya terukir.

            “Sebelum ni kau pernah cakap kat aku yang kau anggap rantai kunci ni sebagai pembawa nasib tuah. Kebetulan aku ada membawanya. Mungkin ni boleh pujuk kau sekarang ni.” Sebenarnya Rina sendiri tidak pasti samada ia boleh memujuk Imran ataupun tidak. Seminit kemudian, Imran mula tersenyum kembali. Riak wajah Rina berubah gembira dan lega. Keluhannya dilepaskan.

            “Kau berterima kasihlah kat rantai kunci ni sebab ‘dialah’ yang memujuk kau. Bukan aku,” beritahunya yang cuba kembali bersikap dingin. Kemudian, Imran tertawa seketika. Rina naik hairan namun tidak dipedulikannya. Mungkin dia ada membuat lawak jenaka tanpa disedarinya.

            “Dahlah! Memandangkan kau dah okey, tak bersedih lagi, aku nak balik ke universiti dulu. Bye,” kata Rina lalu bangkit dari tempat duduknya. Air minuman sudah habis diminumnya.

            Baru sahaja Rina ingin melangkah keluar dari beranda rumah, rumah Imran didatangi sebuah kereta. Yang pastinya itu bukan kereta milik Imran. Rina dan Imran saling berbalas pandangan. Imran tidak tahu siapa yang datang ke rumahnya pada ketika itu. Sebaik sahaja si pemandu keluar dari perut kereta, Rina serta Imran serentak terkejut melihat wajah si pemandu tersebut.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura