Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 35

MALAMNYA selepas mandi, Rina terus mencapai bantal serta telefonnya sebelum beredar keluar dari bilik tidurnya. Namun tanpa disangka kakinya tersepak sesuatu yang terkeluar dari bawah katil. Rina kehairanan melihat sebuah kotak kasut di bawah katilnya. Barang-barang miliknyakah? Niat untuk berada di bilik tidur arwah bapanya terbantut seketika. Punggungnya dilabuhkan di atas katil lalu membuka kotak kasut tersebut. Rina terkejut dan hairan melihat pelbagai barang lama di dalamnya termasuk sebiji batu permata jernih yang pernah ditemuinya ketika usia 11 tahun.

            Sepucuk surat lama dibuka dan dibacanya. Surat tersebut didakwa dikeluarkan oleh pemerintah British untuk melaksanakan hukuman mati ke atas seorang wanita yang merupakan seorang ahli sihir. Tarikh surat tersebut dikeluarkan pada abad ke-19. Rina mula terfikirkan sesuatu dalam otak fikirannya tetapi dia tidak dapat memastikannya lagi. Sepucuk lagi surat lama dibacanya. Kali ini menceritakan mengenai waran tangkap terhadap ahli sihir wanita tersebut. Ahli sihir tersebut telah didakwa telah menyebabkan beberapa kes kematian orang tempatan dalam keadaan mengerikan.

            Tiba-tiba Rina dikejutkan deringan bunyi telefonnya. Dadanya diurut perlahan. Lantas dia menjawab panggilan tersebut tanpa melihat nombor di skrin telefon. Sambil matanya pula masih menatap beberapa dokumen lama mengenai kes ahli sihir wanita berkenaan.

            “Hello, Rina. Hanim ni. Maaf menganggu kau malam ni.” Segera dia bersuara setelah panggilannya dijawab. Sebenarnya dia berasa teruja menghubungi Rina dalam talian memandangkan itu adalah kali pertamanya.

            “Oh, Hanim?! Ada apa call aku malam ni?” Sudah diduga oleh Rina sendiri bahawa pada malam tersebut akan dihubungi oleh rakan sekelasnya. Ini kerana ketika menghadiri upacara pengebumian mendiang Olivia, Hanim telah meminta nombor telefon daripadanya. Rina akhirnya akur dan memberikan nombor telefonnya.

            “Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau. Pasal rantai kunci berlian dan juga kisah wanita yang dihukum mati,” kata Hanim akan tujuan sebenarnya.

            “Panjang tak ‘cerita’ kau tu? Kalau panjang, esok sajalah kita berjumpa.” Rina sebenarnya tertarik dengan tujuan Hanim menghubunginya pada malam itu, namun dia mahu menyibukkan diri dengan membaca dokumen lama mengenai kes ahli sihir wanita itu.

            “Sepatutnya siang tadi aku nak bagitau kat kau tapi tak ada kesempatan. Aku rasa aku kena bagitau kat kau sekarang. Aku tak boleh tunggu esok hari!” Tiba-tiba kedengaran suara Hanim menangis dalam talian. Rina mula kehairanan. Apa yang tidak kena dengan Hanim sekarang? Perkara apa yang ingin disampaikan olehnya?

            “Rileks, Hanim. Bertenang. Aku tak boleh dengar dengan jelas kalau kau menangis. Apa kau nak cakap sebenarnya?” Pujuk Rina yang terpaksa akur dengan permintaan rakan sekelasnya. Keluhannya dilepaskan seketika.

            “Lepas aku dengar bekas cikgu kau cakap pasal rantai kunci tu, aku terus cari maklumat dalam Internet. Ada salah satu sumber cakap rantai kunci tu memang mempunyai sumpahan maut, dan ada yang cakap rantai kunci tu ada kuasa mistik yang membuatkan pemiliknya akan mati.”

            Rina terkejut mendengarnya. Sama seperti yang dikatakan oleh Faizal kepadanya siang tadi. Ini bermakna dakwaan rantai kunci berlian yang kononnya memiliki sumpahan ataupun kuasa mistik semakin menjadi kenyataan. Namun sejauh mana kebenarannya?

            “Lepas tu aku tanya kat salah seorang jiran sebelah yang merupakan seorang mak cik tua. Dia tau pasal kisah wanita yang dihukum mati, sama dalam lukisan kau hari tu. Katanya ia benar-benar terjadi pada abad ke-19 ketika zaman penjajahan British. Wanita tu sebenarnya seorang ahli sihir kejam yang menyebabkan beberapa kematian orang kampung.”

            Rina sekali lagi terdiam. Hampir terlepas telefon dari genggamannya. Matanya terpandang salah satu foto-foto lama lalu diambil dan ditatapinya.

            “Lepas kematian ahli sihir tu, muncul seorang lelaki dengan beberapa biji batu permata kecil sebelum menjualnya kepada orang tempatan. Kononnya batu tersebut boleh menghalau roh jahat ahli sihir wanita yang didakwa berkeliaran menghantui orang kampung. Tapi malangnya, jumlah kematian semakin meningkat. Lelaki yang menjual batu permata pula hilang tanpa dikesan.”

            Rina hanya diam tanpa kata. Air matanya menitis ke pipi bercampur dengan perasaan amarah dan geram. Foto yang dipegangnya dikeronyok lalu dilemparkan jauh daripadanya.

            “Rina, aku rasa lelaki yang menghilang tu adalah pembuat generasi pertama rantai kunci berlian sebelum diturunkan kepada keturunannya. Aku juga merasakan yang rantai kunci tu sebenarnya medium perantaraan bagi melunaskan dendam ahli sihir terhadap manusia,” sambung Hanim sebelum berhenti seketika.

            “Ja-jadi semua orang yang mati sebelum ni...” Rina kembali bersuara dengan nada yang menggeletar.

            “Kemungkinan besar, ya. Sebab itu lah aku rasa sedih sangat atas kematian Olivia dan juga kawan aku yang sambung belajar kat Sabah. Rina, kau pun ada rantai kunci tu juga, kan? Lebih baik kau buang jauh-jauh agar tak ditemui orang lain,” balas Hanim bernada sedih.

            Rina diam seketika sambil menatap ke arah dua utas rantai kunci yang digantungnya. Satu berwarna putih, dan satu lagi berwarna merah. Memang dia sangat takut dengan kematian, apatah lagi mati disebabkan dendam orang mati. Namun entah mengapa hatinya tidak mahu melakukan apa yang dipinta oleh Hanim.

            “Kau jangan risau pasal aku, Hanim. Aku takkan apa-apa. Esok kita akan berjumpa, kau ajak Sarah dan Naim. Kita bincang pasal hal ni esok hari. Okey? Nanti aku bagi alamat kat mana kita akan berjumpa,” ujar Rina.

            Hanim hanya mengiyakannya sebelum panggilan ditamatkan. Dia masih merisaukan keadaan Rina sekarang setelah mengetahui perkara sebenar mengenai kewujudan rantai kunci berlian. Adakah Rina akan tekad membuang rantai kuncinya itu?

            Rina sebenarnya masih tidak menyangka bahawa wanita yang sering muncul dalam mimpinya dan mengganggu hidupnya adalah seorang ahli sihir kejam. Menurut dokumen lama, wanita tersebut menjadi ahli sihir kerana dendamnya terhadap orang kampung yang telah menghina keluarganya sewaktu dia kecil. Kesemua mereka yang mati adalah orang yang didendaminya serta keluarga.

            Menurut sebuah catatan orang kampung, setelah kematian ahli sihir tersebut, rohnya mula berkeliaran dan mengganggu orang kampung lalu menyebabkan kematian. Ia didakwa masih mendendami seluruh orang kampung yang telah menjatuhkan maruahnya sebagai ahli sihir.

            Foto yang dilempar jauh tadi diambil dan ditatap semula. Wajah seorang lelaki yang dirakam bersama beberapa biji batu permata hampir mirip dengan wajah Pak Jan. Adakah lelaki tersebut merupakan waris keturunan Pak Jan? Adakah Pak Jan sendiri terkait dengan kewujudan rantai kunci berlian itu? Rina menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Pening untuk memikirkan segala perkara dalam satu masa yang sama.

            Dari luar rumah Rina yang masih bercahaya itu, kelihatan Pak Jan sedang tegak berdiri tanpa berbuat apa-apa. Awalnya wajahnya sangat masam dan serius. Seolah-olah mahu memarahi seseorang. Kemudian riak wajahnya berubah dengan bibirnya yang tersenyum sinis. Senyumannya agak membawa makna mendalam. Namun tidak diketahui apakah maksud di sebalik senyuman sinisnya.

            “Oh?! Kau kat sini rupanya? Jenuh aku mencari tadi.”

            Tiba-tiba Pak Jan dikejutkan dengan suara teguran dari arah belakang. Sangkanya adalah jiran sebelah rumah Rina. Rupa-rupanya si lelaki misteri bertopi. Hanya senyuman sahaja dilirik ketika membalas pandangan Pak Jan.

            Dengan reaksi mengejut seolah-olah mengenali lelaki tersebut, pantas Pak Jan melarikan diri di tengah-tengah kegelapan malam. Hairannya, si lelaki misteri bertopi tetap boleh mengejarnya meski tidak membawa lampu suluh. Entah apa yang sedang berlaku di antara mereka berdua ini.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura