Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 12

HAMPIR menjelang petang, barulah Rina pulang ke asrama universiti semula. Dalam diam dia sebenarnya berasa seronok keluar bersama seorang rakan lamanya. Tidak kisah rakannya itu lelaki ataupun perempuan. Imran juga meluahkan perasaan yang sama tetapi pengalaman berdepan dengan pak cik tua yang digelar Pak Jan itu memang sukar untuk dilupakan. Biarpun seorang warga tua, entah mengapa Imran merasakan seram sejuk ketika berbual dengannya.

            “Kita mungkin tak akan berjumpa lagi lepas ni. Boleh minta nombor telefon?” Pinta Imran tersenyum sinis. Telefon pintarnya sudah siap dikeluarkan dan menunggu jawapan dari Rina sahaja.

            Mulanya Rina berniat tidak mahu memberikannya kerana dia hanya mahu sendirian dan tidak mahu diganggu oleh sesiapa. Namun itukah apa yang diinginkannya? Sejak kejadian tragis yang menimpa rakan-rakannya, dia berazam tidak mahu berkawan dengan sesiapa lagi. Dia tidak mahu merasai kehilangan orang yang tersayang lagi.

            Namun kehadiran semula Imran sebagai satu-satunya rakan sekolah lamanya sedikit memberi cahaya petunjuk kepadanya. Patutkah dia membuka hatinya untuk menerima seorang rakan?

            “Imran, kalau aku bagi nombor telefon kat kau, apa yang kau akan buat?” Soal Rina secara tiba-tiba. Imran tertawa disebabkan soalan lucu darinya. Dahi Rina berkerut memerhatikannya.

            “Aku tanya serius ni! Jawablah!” Pantas Rina datang mendekatinya.

            “Dah tentulah aku akan selalu hubungi kau. Sebagai kawan baik,” jawab Imran tersenyum. Wajah Rina dipandang lama.

            “Kawan baik? Imran, cukuplah! Aku rasa aku tak boleh bagi nombor telefon kat kau. Sorry,” ujar Rina lalu berjalan beredar dari situ.

            “Nanti dulu! Kenapa, Rina?” Soal Imran hairan. Dia memang serius mahu berkawan baik dengan Rina. Dari zaman sekolah rendah sehinggalah sekarang.

            “Tau tak yang aku yang dah cukup perit dengan kehilangan kawan baik aku?! Kalau kau nak jadi kawan baik aku, tak apa, aku boleh terima. Tapi bila kau mati, siapa yang akan sengsara kalau bukan aku?!” Bidas Rina lalu menitiskan air matanya.

            “Siapa cakap aku akan mati, hah?!” Wajah Imran berubah serius, lantas berjalan mendekati Rina. “Dalam dunia ni, tak ada seorang pun manusia yang dapat menentukan hidup mati kita. Takdir kita bukan manusia yang merancang,” sambungnya bernada geram.

            Rina terus mendiamkan diri sambil menangis. Kepalanya sekali-sekala digeleng laju. Seakan tidak menerima apa yang dikatakan oleh Imran tadi. Imran cuba memujuknya setelah berasa kasihan mendengar tangisan Rina. Namun dihalang oleh gadis itu sendiri.

            “Tolong jauhkan diri dari aku!” Katanya sebelum berlari memasuki kawasan asrama. Imran mengeluh kasar. Dia tidak tahu hendak mengatakan apa lagi terhadap si gadis itu. Dia menyangka perasaan traumanya sudah berakhir, rupa-rupanya tidak. Rina masih lagi takut untuk menghadapi perasaan kehilangan orang tersayang atau orang di sekelilingnya.

 

MALAMNYA, bunyi ketukan pintu kedengaran di salah sebuah bilik. Ternyata bilik tersebut adalah bilik Hanim dan si pengetuk pintu adalah Olivia. Gadis berdarah kacukan itu hanya tersenyum dan meminta mahu berbual dengan Hanim untuk seketika. Hanim mengangguk kepala dan menjemput masuk Olivia ke dalam biliknya.

            “Aku dengar kau ada bercakap dengan Rina pagi tadi. Betul ke?” Tanya Olivia memulakan perbualan. Hanim hanya mengangguk kepala. Timbul pula rasa bersalahnya terhadap Rina setelah tindakannya yang menampar pipi gadis itu. Dia ingin memohon maaf tetapi bimbang jika maafnya tidak diterima oleh Rina.

            “Dia tunjukkan aku sebuah lukisan menakutkan dan cakap yang kita semua akan mati sebab ada hantu yang berdendam dengan kita,” beritahu Hanim. Olivia berasa hairan mendengarnya.

            “Hantu dengan berdendam dengan kita? Maksud kau?”

            “Bukan ‘kita’ tapi kita sebagai manusia. Aku tau bunyinya agak pelik. Masa bila pulak ada hantu berdendam dengan manusia pada zaman moden ni? Bunyinya agak karut,” luah Hanim. Walaupun rasa bersalah kerana menampar pipi Rina, namun dia memang tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Rina.

            “Lepas tu, apa yang kau cakap kat dia?” Tanya Olivia lagi.

            “Aku tampar pipinya,” balas Hanim ringkas. Olivia terkejut mendengarnya.

            “Aku tau aku salah tapi apa yang dia cakap tu mengarut! Aku tak boleh terima!” Hanim cuba mempertahankan dirinya yang kelihatan sedikit panik itu.

            “Memang apa yang Rina cakap tu mengarut tapi agak-agaklah sampai nak tampar pipinya. Kita kan nak berkawan baik dengan Rina? Kena bercakap baik dengannya. Kalau dah jadi macam ni, susahlah kita nak mendekati Rina lepas ni,” jelas Olivia. Hanim mengakui salahnya.

            Kemudian masing-masing senyap membisu. Hanim mula dibelenggu rasa bersalahnya sementara Olivia dilihat sedang memikirkan sesuatu. Keluhannya kerap kali dilepaskan. Entah apa yang sedang difikirkan oleh Olivia sekarang ini.

            “Petang tadi aku ada keluar untuk beli makanan kat kantin. Lepas siap beli, aku balik ke asrama. Pada masa itulah aku ternampak Rina sedang berbual dengan seorang lelaki. Mungkin kawan dia atau sebagainya.”

            Hanim mula tertarik dengan kata-kata Olivia. “Rina dengan kawan dia? Lelaki?”

            “Tak pasti mereka tu berkawan atau pasangan kekasih tapi aku tertarik dengan perbualan mereka. Bukan niat aku nak mencuri dengar tapi aku dah terdengar semuanya. Dengarnya macam mereka saling bertengkar,” sambung Olivia lagi.

            “Apa yang dia orang bualkan?” Tanya Hanim ingin tahu.

            “Aku tak faham sebenarnya tapi Rina seolah-olah takut nak berkawan dengan orang lain. Sebab dia pernah kehilangan kawan baik sebelum ni. Lelaki tu pula nak berkawan baik dengannya tapi Rina menolaknya. Sebab dia takut kalau lelaki tu mati, dia akan sengsara dan mengalami trauma,” jelas Olivia.

            “Maksudnya Rina takut akan kehilangan orang di sekelilingnya?” Teka Hanim. Olivia pantas mengangguk kepala.

            Barulah Hanim memahami situasi Rina sekarang. Padanlah mengapa dia tidak mahu bercakap atau berkawan dengan sesiapa pun. Di dalam kelas dia hanya bercakap berkait dengan pembelajaran sahaja. Tidak lebih daripada itu. Hanim melepaskan keluhannya sambil beristighfar. Sememangnya dia tidak tahu masalah sebenar yang dihadapi oleh Rina.

            “Pasti sukar untuk Rina selepas kehilangan kawan baiknya. Mungkin dia masih belum terima kenyataan sebenar,” luah Olivia berasa kasihan. Hanim sekadar mengangguk mengiyakannya.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura