RINA masih belum berputus asa untuk membersihkan dinding biliknya dari lukisan menyeramkan itu. Pelbagai cara digunakan untuk menghilangkannya tetapi hasilnya tetap sama, tidak hilang walaupun kerap dibersihkan. Rina merengus kasar kerana geram. Sebuah bantal sengaja dilemparkannya ke arah lukisan tersebut. Dia berazam sesiapa sahaja yang sengaja melukis dinding biliknya tidak akan terlepas daripadanya.
Disebabkan lukisan menakutkan di dalam biliknya, Rina menjadikan bilik arwah bapanya sebagai tempat tidur. Emosinya kembali tenang lalu melepaskan keluhan panjang. Matanya ditenung tepat ke arah siling. Tanpa sedar, dia teringat segala kenangannya bersama dengan bapanya. Air matanya mengalir tanpa disedari. Rasa kesunyian mula muncul tanpa diundang. Sekali lagi dia tertanya, mengapa orang di sekelilingnya hilang dan pergi begitu sahaja tanpa datang kembali?
Tiba-tiba Rina dikejutkan dengan bunyi kuat dari arah bilik tidurnya. Perasaan sedihnya terus menghilang. Sebelum ke bilik tidur arwah bapanya, dia sempat mengunci bilik tidurnya dari dalam dan membawa kunci bersamanya. Anehnya bunyi yang kedengaran seolah-olah ada orang yang mahu keluar dari bilik tidurnya. Rina cuba mengintai keluar memerhatikan keadaan di luar bilik tidurnya. Memang tiada di situ melainkan dirinya seorang.
Dia tersentak lagi apabila bunyi tombol pintu digerakkan kembali. Rina kembali dalam ketakutan. Sudahlah dia hanya tinggal seorang diri di rumahnya. Dia terus masuk ke dalam bilik tidur arwah bapanya dan mengunci pintu dari dalam. Hatinya sangat berdebar ketika ini. Dia tidak mahu tahu apa yang bakal berlaku sekiranya seseorang itu berjaya keluar dari biliknya.
Selang beberapa minit kemudian, bunyi yang kedengaran tanpa henti tadi sudah menghilang. Sudah ‘senyap’kah? Tanpa mahu memikirkannya, Rina pantas menutup mata dan melupakan kejadian pelik tadi. Namun tidak boleh apabila namanya pula diseru oleh seseorang. Rina kembali naik panik dan cuak. Suara yang memanggil namanya seakan pernah didengarinya melalui mimpi. Wanita berjubah itukah?
“Dahlah! Jangan ganggu hidup aku lagi! Kalau kau berdendam dengan aku pun, kenapa tak minta aku mati aje?!” Bentak Rina kuat.
Kemudian namanya tidak dipanggil lagi. Suasana berubah menjadi senyap semula. Namun Rina tetap berwaspada dengan perkara yang bakal berlaku nanti. Bulu romanya masih tegak meremang dek perasaan takut dan seram yang dilaluinya.
“Walaupun kau termasuk golongan manusia yang aku dendami, tapi kau telah dikecualikan dari kematian. Namun suatu hari nanti, mungkin kau akan mati juga.”
“Jangan main-main dengan aku boleh tak?! Kau bukannya Tuhan pun bagi aku! Kau tak ada hak nak tentukan hidup mati aku!” Selar Rina. Entah mengapa dia agak berani berkomunikasi dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Suasana kembali senyap. Rina masih menunggu jawapan dari hantu tersebut tetapi tidak dibalasnya. Apakah sudah menghilangkan diri? Atau tersentap dengan kata-kata Rina tadi? Pun begitu, Rina tidak boleh bersikap tenang lagi. Jam di skrin telefon sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Keadaan sekeliling diperhatikan sambil memasang telinga. Masih tidak kedengaran suara dari wanita tersebut.
Tubuhnya direbahkan setelah lama menunggu. Matanya kian berat dan kantuk. Mungkin kerana letih berdepan dengan kejadian yang berlaku tadi. Beberapa minit kemudian, matanya terus tertutup dan lena dibuai tidur.
SEKALI lagi Rina bermimpi berada di perkampungan wanita berjubah hitam. Entah apa pula kali ini yang mahu ditunjukkan oleh wanita tersebut. Tidak lama kemudian, wanita tadi keluar dari rumahnya bersama dengan anak lelakinya yang masih kecil. Ketika dia melihat si wanita tersebut memimpin tangan anaknya dengan manja, hati Rina terasa tersentuh tanpa alasan kukuh. Kedua-dua tangannya diperhatikan. Kali terakhir dia menyentuh tangan arwah ibunya adalah ketika arwah ibunya meninggal dunia.
Perasaan tadi pantas dilupakan seketika dan terus mengekori mereka berdua. Sebenarnya hatinya terdetik untuk berbuat demikian tanpa niat tertentu. Mungkin kerana dia sedang bermimpi dan wanita tersebut dilihat sengaja mahu menunjukkannya sesuatu tidak lama lagi. Setelah jauh berjalan, Rina mulai kepenatan. Namun ia tidak patahkan semangatnya untuk terus berjalan lagi sehinggalah mereka tiba di suatu tempat yang luas. Di belakangnya pula adalah hutan tebal.
Tanpa disangka bukan hanya si wanita dan anaknya sahaja yang berada di situ. Seorang gadis cantik muncul dengan pakaian baju kebayanya. Gadis tersebut pasti merupakan orang Melayu tempatan. Melalui gaya percakapan mereka, mereka berdua nampak berkawan baik antara satu sama lain. Sewaktu si gadis tersebut menoleh mahu menyapa anak si wanita, Rina terus tersentak dan terkejut. Dalam diam, si wanita itu telah menyedari perubahan sikap Rina.
Rina mula tertanya, adakah dia masih bermimpi lagi? Matanya digosok laju sebelum mengintai semula si gadis tersebut. Memang tidak boleh dinafikan lagi. Wajahnya amat mirip dengan wajah Sarah, rakan sekelasnya. Adakah pelanduk dua serupa? Rina tidak mahu menegurnya hanya kerana si gadis itu memiliki wajah mirip dengan Sarah.
Kemudian mereka bertiga melangkah ke depan lagi sebelum berhenti seketika. Rina tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana tiada tempat sesuai untuk bersembunyi. Terpaksalah dia memerhatikan mereka dari jauh. Matanya mula terpandang ke arah satu palang kayu yang berada di hadapan mereka bertiga. Entah mengapa Rina merasakan pernah mengenali palang kayu tersebut. Tidak semena-mena kepalanya diserang kesakitan. Sebuah ingatan bukan miliknya tiba-tiba datang menerjah ke dalam fikiran. Dia melihat beberapa orang sedang mengelilinginya lalu melibaskan seutas tali sebat ke arah tubuhnya.
Disebabkan ingatan tanpa diundang itu, Rina diserang kesakitan pada tubuhnya. Kejadian tersebut disedari mereka bertiga lalu cuba untuk mendekati Rina yang sedang menjerit kesakitan. Si gadis itu berasa hairan dan cuba bertanya mengapa Rina jadi begitu. Sementara si wanita hanya senyap membisu. Mata Rina sempat memandang ke arahnya. Apa tujuan si wanita itu sebenarnya?
Rina akhirnya tersedar dari tidurnya. Cahaya terang dari luar tingkap telah menandakan waktu sudah menjelang pagi. Rina tidak begitu menyangka bahawa dia akan bermimpi perkara buruk sebegitu. Namun entah mengapa dia merasakan seakan pernah mengalaminya sebelum ini? Adakah dia pernah didera sebelum ini? Oleh siapa?
Dalam keadaan tangannya yang menggeletar, perlahan dia cuba untuk menyelak bajunya ke atas. Matanya tidak berani untuk melihat. Hanya tapak tangannya diletakkan di atas bahagian perut sebelum merasakan ada sesuatu seperti kesan parut luka di atasnya. Air matanya mengalir deras kerana tidak dapat menerima hakikat sebenar. Siapa yang pernah menderanya dan mengapa dia didera?