Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 27

KES pembunuhan yang berlaku telah menyebabkan universiti ditutup sementara dan kesemua pelajar yang terselamat dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Mereka yang mendengar khabar tersebut sangat gembira dan tidak sabar untuk pulang menemui keluarga masing-masing. Kecuali Rina seorang. Terpapar reaksi sedih pada wajahnya. Sekali lagi dia merasakan hanya dirinya seorang sahaja yang tinggal di muka bumi ini. Ditinggalkan oleh orang yang tersayang sangat sulit untuk diterima.

            Telefon pintarnya dicapai dan menaip satu mesej untuk dihantar kepada seseorang. Keluhannya dilepaskan. Setelah itu dia meluangkan masa untuk melakar dan melukis. Tanpa berfikir panjang, dia terus melukis. Dia sering melukis tanpa memikirkan apa yang mahu dilukis di atas kertas kosong. Tidak pasti samada itu hanya kelebihannya ataupun tidak. Kali ini dia melukis sebuah perkampungan yang seakan pernah dilihatnya sebelum ini ketika di alam mimpi. Lebih tepat lagi ketika bermimpikan wanita berjubah hitam.

            Selesai sahaja lukisan pertamanya, dia melukis lagi di bahagian muka surat sebelah. Kali ini pula dia dilihat sedang memotret seseorang. Dia lansung tidak memikirkan sesiapa pada ketika ini namun tangan kanannya sentiasa bergerak dan melukis tanpa sebarang kesilapan. Seolah-olah merasakan tangan kanannya bergerak dengan sendiri tanpa kawalannya.

            Sebaik sahaja selesai, Rina terdiam tatkala melihat potret lukisan hitam putihnya. Ia merupakan seorang budak lelaki yang berwajah sedih. Apa yang lebih mengejutkan ia mirip dengan anak lelaki wanita berjubah dalam mimpinya. Rina tidak faham dengan dirinya sendiri. Mengapa secara tiba-tiba dia memotret budak tersebut? Begitu juga dengan lukisan perkampungan tadi. Kemudian dia mula menyalahkan dirinya yang sering melukis bukan-bukan tanpa memikirkan apa yang hendak dilukisnya.

            Bunyi kiriman mesej diterima amat menyentakkannya buat seketika. Mesej tersebut dibacanya sebelum dibalasnya dengan kiriman mesej lain. Dia melepaskan keluhan lagi dan mahu beredar keluar menuju ke bilik air. Suasana agak sunyi di sepanjang koridor asrama. Masuk sahaja ke dalam bilik air, wajahnya dibersihkan dengan air paip. Setelah membasuhnya berkali-kali, kepalanya didongak ke depan cermin. Tanpa dijangka, muncul wanita berjubah hitam di hadapannya. Rina terus terperanjat dan terjerit kecil.

            Wanita itu hanya tersenyum ke arahnya tanpa berniat mahu menakutkan Rina. Lain pula yang terjadi kepada Rina yang kelihatan menggigil ketakutan. Dia ingin keluar dari situ tetapi kedua-dua kakinya terasa berat dan sukar diangkat. Biarpun tidak menunjukkan wajah menakutkan, Rina tetap takut dengan kewujudan wanita itu dan tidak mahu bertentang mata dengannya.

            “Kenapa? Sebelum ni kau nampak berani dan marahkan aku. Tapi sekarang kau nampak takut dan lemah,” ujar wanita itu, tersenyum.

            “Diamlah!! Kau tak wujud sebenarnya! Ini hanya mimpi saja, kan?!” Selar Rina bengang.

            “Kau masih fikir ini hanya mimpi saja?” Balas wanita itu sebelum kaca cermin pertama terpecah secara tiba-tiba. Rina sekali lagi menjerit, kali ini lebih kuat. Tubuhnya makin menggigil ketakutan. Wajah wanita itu dipandangnya lagi. Perlahan dia melihat perubahan wajah wanita itu yang bertukar seram dan ngeri. Hanya kepala tengkorak sahaja kelihatan dengan lubang mata yang berwarna hitam gelap itu.

            Rina menjerit lagi kerana panik dan terkejut. Suara jeritannya didengar berterusan tanpa henti menyebabkan seluruh penghuni asrama di koridor berkenaan terdengar suara jeritan Rina. Lantas beberapa daripada mereka termasuk Hanim dan Olivia segera menuju ke bilik air kerana mereka percaya suara tersebut datang dari tempat berkenaan.

            Sebaik sahaja tiba, mereka terkejut melihat keadaan Rina yang kelihatan seperti sedang mengalami histeria. Hanim cuba menenangkannya tetapi tidak berjaya. Begitu juga dengan Olivia. Suara jeritan Rina yang semakin nyaring membuatkan mereka semakin panik. Tiada seorang pun daripada mereka yang boleh menenangkan Rina daripada histeria. Hanim kemudiannya memegang tangan Rina untuk membawanya keluar dari bilik air. Olivia serta beberapa pelajar lain turut membantunya.

            Sarah yang menunggu di luar bilik air meluahkan rasa terkejut melihat keadaan Rina. Jantungnya berdegup laju tanpa sebab. Kemudian hatinya terdetik untuk melakukan sesuatu. Entah yang lain bersetuju ataupun tidak dengan tindakannya nanti. Namun dia tiada masa untuk meminta pendapat mereka. Baginya, Rina perlu ditenangkan terlebih dahulu. Lantas dia menghampiri mereka yang sedang mengelilingi Rina sebelum menampar kuat wajah Rina. Serta-merta pelajar lain termasuk Hanim dan Olivia terkejut dengan tindakan Sarah tadi.

            Namun ia amat berkesan kepada Rina apabila dia tidak lagi mengalami histeria. Dia kehairanan melihat orang sekeliling dan tertanya apa yang mereka buat di situ. Pipinya disentuh seketika setelah merasakan kesakitan. Ada orang telah menamparnyakah?

            “Eh, kau tak ingat ke?! Tadi kau terjerit-jerit kuat macam orang terkena histeria. Kami cuba nak tenangkan kau tapi tak berjaya,” beritahu Hanim. Olivia sekadar mengangguk kepala. Dahi Rina berkerut. Benarkah dia terjerit-jerit tadi? Perkara terakhir yang diingatinya adalah menjerit ketakutan setelah melihat kaca cermin di bilik air dipecahkan tanpa sebab.

            “Cermin kat bilik air tadi...” Suanya bersuara lemah.

            “Ya, kami dah tau. Kau yang pecahkannya tadi?” Tanya Hanim ingin tahu. Rina pantas menggeleng kepala dan menafikannya. Bingkas dia bangun dan memasuki ke biliknya semula. Pintu bilik dikunci rapat.

            “Kenapa dengan dia sebenarnya?” Luah Sarah hairan lalu beredar memasuki ke biliknya. Keadaan menjadi tenang semula. Mereka yang lain terus bersurai dan beredar menuju ke bilik masing-masing.

            Rina cuba menarik nafas panjang dan menghembuskannya. Berkali-kali dia melakukannya sehingga dia berasa tenang sedikit. Dia cuba melupakan kejadian yang berlaku baru-baru tadi. Telefonnya pantas diambil setelah terdengar bunyi kiriman mesej diterima. Kemudian dia merenung ke luar jendela biliknya. Kebetulan jendelanya menghadap ke arah pondok asrama. Kelibat orang yang dicari sudah nampak sebelum melambaikan tangannya. Orang tersebut hanya tersenyum manis saat membalas pandangan Rina. Sehingga sekarang dia masih tidak tahu apa makna sebenar di sebalik senyuman manis itu.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura