MEMASUKI hari kelas, Rina bersiap sedia untuk menghadiri kelas kuliah. Dia hanya berlagak seperti biasa seolah-olah tiada apa yang berlaku kepadanya. Pertemuannya dengan Imran dua hari yang lalu sengaja dilupakan. Suasana sekeliling kelas diperhatikannya. Keadaan menjadi riuh-rendah sebelum kehadiran pensyarah. Segalanya normal baginya walaupun tiada rakan untuk berbicara. Sebuah buku novel dikeluarkannya untuk membaca sementara menunggu kedatangan pensyarah.
Dari tempat duduk, Hanim dan Olivia sekadar diam memerhatikan Rina. Masing-masing mahu mencuba untuk mendekati Rina namun masih tidak beranikan diri. Mungkin kerana bimbang Rina akan mengelakkan diri dan terus tidak mahu berkawan lagi.
“Biar aku seorang je pergi. Lagipun aku nak minta maaf pasal hari tu,” usul Hanim. Olivia pantas bersetuju dengannya. Dari tempat lain, ada seseorang sedang memerhatikan lagak mereka berdua. Nampaknya ada yang cuba mengambil langkah untuk mendekati Rina yang kesunyian itu.
“Ri-Rina...” Teguran Hanim sedikit mengejutkan Rina yang khusyuk membaca novel. Naim yang duduk di sebelahnya turut terdengar teguran Hanim. Senyumannya terukir. Apakah ada perkara menarik yang bakal berlaku nanti?
Rina meneruskan bacaannya dan berpura-pura tidak menyedari kehadiran Hanim di sisi. Dia tidak tahu apa tujuan Hanim menegurnya namun dia masih terkesan dengan tamparan gadis itu di pipinya. Tambahan pula, orang luar seperti Hanim tidak akan memahami situasi yang sedang dialaminya sekarang.
“Rina, aku minta maaf pasal tampar kau hari tu. Aku betul-betul bersalah dan menyesal. Aku minta maaf,” luah Hanim. Suasana berubah senyap dek luahan Hanim yang sedikit lantang itu. Masing-masing di dalam kelas termasuk Naim tertanya-tanya apa yang telah berlaku di antara Rina dan Hanim.
Tidak lama kemudian, pensyarah yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Tidak sempat untuk mendengar jawapan dari Rina, apakah dia akan memaafkan Hanim ataupun tidak. Rina hanya diam sambil mengeluh. Matanya merenung tepat ke arah Hanim yang duduk tidak jauh darinya. Mengapa dia mahu memohon maaf sedangkan dia sendiri tidak suka dengan lukisan wanita berjubah hitam?
Seminit kemudian, Rina menerima nota kecil dari Naim. Rina berpaling memandang wajahnya sebelum dibalasnya dengan kenyitan mata dari Naim. Nota kecil tersebut bertulis, ‘memaafkan orang adalah satu perkara yang baik.’
Fikiran Rina bercelaru. Mengapa ada orang di sekelilingnya mahu berkawan dengannya padahal dirinya mahu mengelakkan diri daripada mereka? Dia bukannya berniat untuk tidak mahu berkawan akan tetapi dia tidak mahu merasai kembali perasaan kehilangan orang yang tersayang. Egokah dirinya? Patutkah dia berbuat demikian buat selamanya?
KELAS kuliah sudah pun selesai. Masing-masing mahu keluar dari kelas untuk mengisi perut yang lapar pada pagi itu. Namun masih ada beberapa pelajar yang tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing termasuklah Hanim, Olivia dan Naim. Dan dua orang lagi pelajar, iaitu Sarah dan Faiz. Mereka berdua merupakan pasangan kekasih dan mereka akan selalu bersama walau di mana pun.
“Sarah, apa kau buat kat sini? Nak buat ‘hal’ kat dalam kelas ni?” Tanya Hanim sambil memerlinya.
“Apa kau merepek ni, Hanim? Perempuan tu,.. Kau nak berkawan dengan dia, kan?” Teka Sarah lalu menunding jari ke arah Rina. Rina masih diam membisu di tempat duduknya.
“Apa salahnya kalau nak berkawan? Dah dua tahun kita belajar bersama-sama. Tak kan nak biarkan dia keseorangan sampai kita habis belajar nanti? Kalau boleh, biarlah dia ada memori bersama dengan kita semua,” balas Hanim.
Sarah tidak mahu menegangkan keadaan. Dia hanya mengangguk sahaja tanpa berkata apa-apa. Sebenarnya dia hanya berminat untuk tahu mengapa Hanim menampar wajah Rina. Sewaktu Hanim ingin mendekati Rina, Rina bingkas bangun dari tempat duduknya. Masing-masing tersentak melihatnya.
“Buang masa! Aku tak berniat pun nak berkawan dengan kau orang semua!” Bentaknya lalu melangkah laju menuju ke pintu kelas.
“Rina, aku nak minta maaf!” KataHanim separuh jerit. Jika Rina tidak mahu membuka pintu hati untuk berkawan,tidak mengapalah. Asalkan dia dimaafkan atas kesalahan yang dilakukannyaterhadap Rina.
Mujur Rina memberhentikanlangkahnya. Buku limanya digenggam erat dengan riak wajahnya yang berubahserius. Sarah yang memerhatikannya tersenyum sinis. Situasi yang berlaku dihadapannya semakin menarik untuk dilihat.
“Baik, aku maafkan kau! Tapi jangan cuba cakap dengan aku lagi lepas ni! Faham?!” Sengaja Rina bersuara lantang supaya mereka semua dapat mendengarnya. Matanya sempat menatap wajah Naim buat seketika sebelum beredar keluar dari kelas.
Hanim yang merasakan kakinya yang lemah cuba duduk di kerusi. Olivia segera menenangkannya. Ternyata hati Rina sudah menjadi ‘batu keras’ yang tidak bisa untuk dicairkan lagi. Mungkin ianya sudah terlambat atau Rina sendiri masih dibelenggu dengan perasaan silamnya.
“Betul tu. Hanya buang masa saja. Jom, Faiz. Kita keluar makan,” ajak Sarah. Senyumannya sempat dilemparkan ke arah Hanim sambil menjeling tajam.
Sebaik melangkah keluar dari kelas,Sarah mula menyedari Rina yang masih berada berdekatan. Sedang menundukkan wajah sambil bersandar ke dinding. Sarah meminta untuk berbual dengan Rina sekejap sementara Faiz sekadar menunggu di kaki lima.
“Kenapa ada kat sini lagi?” Teguran Sarah mengejutkan Rina yang sedang bersedih itu. Wajah Sarah sedikit berubah sebaik menyedari kesedihan yang dialami Rina.
“Kenapa? Kau dah berubah hati dan mahu berkawan dengan kami?” Teka Sarah. Rina pantas menggeleng. Dahi Sarah berkerut hairan. Apa masalah Rina sekarang?
“Aku jadi pelik. Dulu aku cakap tak nak berkawan, kau orang boleh buat hal masing-masing tanpa pedulikan aku. Sekarang kenapa kau orang beria-ria nak berkawan dengan aku pulak? Sebab kita dah nak habis belajar ke?” Luah Rina.
Sarah melepaskan keluhannya buat seketika. “Entahlah. Aku sebenarnya tak ambil kisah pasal kau. Yang ambil kisah pasal kau adalah Hanim dan Olivia. Dan mungkin juga termasuk Naim sebab aku tengok dia asyik perhatikan kau aje.”
Rina diam seketika. Sejak bila mereka bertiga mula mengambil kisah tentang dirinya? Sekali lagi fikiran Rina bercelaru. Sarah tidak mahu pedulikan tentangnya. Lantas dia kembali mendekati teman lelakinya. Namun riak wajahnya berubah sebaik menyedari kejadian yang berlaku di hadapan matanya. Rina turut menyedarinya sebelum wajahnya berubah pucat secara mendadak.
RINA diam termangu sambil duduk di bawah pondok berhampiran kafeteria. Di kafeteria pula, Hanim dan Olivia juga diam memerhatikan Rina. Mereka ingin memujuk Rina yang sedang bersedih itu namun ditolak oleh Rina sendiri. Kini dia hanya mahu berseorangan sahaja tanpa ditemani sesiapa. Dia mengelamun lagi. Kata-kata Imran mengenai rantai kunci berlian diingatinya. Dengan perasaan seronoknya, dia menganggap rantai kunci tersebut sebagai pembawa nasib tuah kepadanya.Entah mengapa Rina pula berfikiran sebaliknya.
Secara kebetulan dia menyimpan rantai kunci miliknya di dalam beg. Lantas dia mengeluarkannya. Hatinya terasa sebak sebaik memandang rantai kunci tersebut. Sebelum ini pernah dia berniat mahu membuang rantai kunci itu, namun dia membatalkan niatnya. Ini kerana rantai kunci tersebut mempunyai banyak kenangan bersama rakan-rakan baiknya.Tanpa disedari Rina menangis lagi. Jauh di dasar hatinya, dia memang tidak mahu membuang rantai kunci yang bermakna itu.
Tidak lama kemudian, dia didatangi Sarah dengan matanya yang bengkak. Rina segera mengesat air matanya dan menyimpan semula rantai kunci ke dalam begnya. Bunyi loceng yang nyaring itu sempat didengar oleh Sarah yang mula duduk di sebelahnya.
“Tak sangka kau pun ada rantai kunci tu,” sapanya.
“Rantai kunci ni membawa makna dalam hidup aku,” balas Rina.
Kemudian masing-masing senyap membisu. Rina ingin bertanyakan sesuatu kepada Sarah tetapi dia sengaja memendamkannya. Agak lama mereka membisu sehinggalah Sarah kembali membuka mulut mengatakan Faiz telah disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital. Menurut doktor yang merawatnya, bisa ular di dalam badan Faiz sudah merebak jauh dan tidak dapat untuk diselamatkan lagi.
Sarah menangis lagi dan menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak sedar teman lelakinya itu sudah dipatuk oleh ular berbisa. Rina teragak-agak hendak memujuknya kerana dia sendiri tidak sanggup mendengar suara tangisannya. Tidak semena-mena bahunya disinggahi kepala Sarah. Rina tidak dapat menghalangnya dan membiarkan sahaja Sarah meluahkan perasaannya.