KETIKA menunggu hujan reda di stesen perhentian bas, salah seorang bangkit dari duduk sambil menunjukkan wajah panik. Kepalanya asyik digeleng seakan tidak percaya dengan status terbaharu yang telah dimuatnaik di laman sosial. Status tersebut berbentuk amaran dan peringatan supaya menghancurkan batu berlian yang ada pada rantai kunci itu. Untuk membuktikannya, status tersebut juga disertakan alasan berbuat demikian dan lampiran beberapa foto.
Gadis yang sedang membaca status tersebut masih tidak mempercayainya dan menganggap ia sekadar berita palsu sahaja. Dia cuba untuk menenangkan diri sambil diperhatikan rakannya yang kehairanan itu. Seketika kemudian, seorang lagi bertindak panik dengan status tersebut. Lalu dia melemparkan rantai kunci miliknya dan menghentaknya dengan kaki. Tindakannya diperhatikan ramai orang termasuk gadis tadi. Ramai yang kehairanan dan tertanya.
“Sesiapa yang ada rantai kunci macam ni, baik kau orang pecahkan batu berlian tu! Bahaya! Ada sumpahan maut!” Lelaki tersebut cuba beri amaran seperti mana yang dijelaskan dalam status di laman sosial.
Kemudian barulah orang ramai mulai panik dan membaca status tersebut di laman sosial yang semakin menjadi viral itu. Mereka bertindak melakukan perkara yang sama, iaitu menghancurkan batu berlian tersebut. Melainkan si gadis tadi yang masih teragak-agak. Dia masih tidak percayakan rantai kunci kesayangannya mempunyai sumpahan maut.
“Percayalah! Benda ni boleh buat kau mati. Aku percayakannya sebab kawan kita dah mati disebabkannya. Takkan itu kau dah lupa?!”
Gadis itu terus menangis setelah mendengar kata-kata rakannya. Lantas dia melemparkan rantai kuncinya jauh daripadanya dan membiarkan orang lain yang menghancurkan batu tersebut. Tindakan yang mencetuskan kekecohan itu telah menarik perhatian Nazrin dan Hasrul yang secara kebetulan meronda di tempat berhampiran. Bagi mengetahui keadaan sebenar, mereka terus menuju ke tempat tersebut dan menenangkan keadaan yang kecoh itu. Terus mereka menjadi senyap setelah ketibaan dua orang anggota polis itu.
“Kenapa bising-bising ni? Ada sesiapa yang mahu jelaskan perkara ni?” Soal Nazrin tegas. Sementara itu, Hasrul sibuk memerhatikan serpihan batu yang telah dipecahkan. Dia naik hairan dan tertanya. Setelah lama menelitinya, barulah dia tahu batu tersebut datang daripada mana.
“Nazrin, tengok ni!” Pantas dia memanggil rakannya. Nazrin turut hairan dengan serpihan batu pecah yang berada di merata-rata tempat. Orang-orang di sekeliling diperhatikan semula dengan wajah kehairanan.
“Memang betullah rantai kunci tu ada kuasa sumpahan,” bisik Hasrul. Sebenarnya mereka berdua telah menyiasat mengenai rantai kunci berlian dan mengetahui bahawa rantai kunci tersebut mempunyai kuasa mistik yang menyumpah orang untuk mati. Nazin pada awalnya tidak mempercayakannya dan mahu mencari orang yang membuat kenyataan tersebut. Malangnya orangnya sudah meninggal dunia secara tiba-tiba.
“Ada orang buat status di laman sosial pasal benda ni. Rantai kunci ni ada sumpahan maut dan kami tak nak mati disebabkannya!” Kata seseorang yang bersuara lantang. Nazrin dan Hasrul juga membaca status tersebut tetapi tidak disangka pula ada orang benar-benar menghancurkan batu berlian itu.
“Hasrul, hubungi Faizal sekarang!” Arah Nazrin. Hasrul akur dengan permintaan tersebut. Nazrin meminta semua orang supaya bertenang dan membersihkan tempat stesen tersebut dengan mengutip kesemua serpihan batu yang pecah itu.
“Hello, Faizal! Kau ke yang buat status yang minta orang supaya pecahkan batu rantai kunci tu?” Terus Hasrul bertanya kepadanya setelah panggilannya dijawab. Nazrin sekadar diam sambil mencuri dengar perbualannya.
“Ya. Aku dah tau segalanya. Rantai kunci tu memang ada sumpahan maut. Kematian seorang ahli sihir kejam pada abad ke-19 telah menyebabkan dendam kat semua orang termasuk kita. Dendamnya bertukar menjadi sumpahan dan berada dalam batu berlian tu sejak sekian lama. Keadaan mula bertambah buruk bila batu berlian tu dibuat baru dan dijadikan sebagai rantai kunci,” jelas Faizal dalam talian.
“Bi-biar betul?! Mana kau tau semua tu?” Luah Hasrul terkejut. Kemudian dia diminta oleh Nazrin untuk memasang pembesar suara. Dia ingin tahu apa yang dijelaskan oleh Faizal.
“Aku dapat tau dari bekas anak murid aku dulu. Kau orang boleh berjumpa dengannya kalau kau orang tak percayakan apa aku cakap tadi,” balas Faizal.
“Macam mana pula dengan kes orang dibunuh? Itu juga terjadi disebabkan sumpahan rantai kunci ke?” Soal Nazrin mencelah.
“Itu aku tak berapa pasti. Samada pembunuh tu diupah untuk membunuh orang ataupun pembunuh tu memang sengaja bunuh orang yang ada rantai kunci,” teka Faizal.
“Apa maksud kau dengan tanggapan kedua kau tadi?” Soal Nazrin lagi, hairan.
“Maksud aku, mungkin pembunuh tu tau pasal kisah dendam ahli sihir kejam dan mula obses untuk bunuh orang yang ada rantai kunci,” jawab Faizal. Nazrin sekadar mengangguk perlahan dan memahami apa yang disampaikan oleh Faizal.
“Bekas anak murid kau tu,.. Kat mana kami boleh berjumpa dengannya?” Soalnya buat kali terakhir.
“Kat hospital. Imran namanya. Dia baru mengalami kemalangan dan patah tulang kaki,” jawab Faizal. Nazrin mengiyakannya lalu menamatkan panggilan dengan Faizal. Dia dan Hasrul terus bergerak ke utara tanah air pada hari itu juga. Mereka ingin bertanya selebihnya mengenai kisah dendam ahli sihir kejam.
SETELAH memakan perjalanan selama berjam-jam, Nazrin dan Hasrul akhirnya tiba di hospital yang ditujui. Mereka terus berjalan menghampiri kaunter pertanyaan dan menanyakan lokasi wad yang menempatkan Imran. Setelah ditanya demikian, dua orang jururawat yang bertugas di kaunter pertanyaan mula saling berpandangan seketika. Nazrin dan Hasrul hairan melihat mereka berdua.
“Maafkan kami, encik. Tapi pesakit bernama Imran hilang secara tiba-tiba sejak pagi tadi. Kami dah arahkan pihak hospital dengan polis untuk cari pesakit Imran. Encik berdua ni ahli keluarganya ke?” Tanya jururawat tersebut.
Giliran Nazrin dan Hasrul pula saling membalas pandangan. Keluhan masing-masing dilepaskan serentak. Tidak disangka pula orang yang ingin ditemui lari dari hospital. Kemudian Nazrin tersentak dan meluahkan rasa hairan.
“Tunggu sekejap! Kami diberitahu yang Imran mengalami patah tulang kaki. Macam mana dia boleh lari dari hospital?”
“Itu yang kami tertanya sebenarnya. Kami ingat mungkin ada orang lain datang menjemputnya pulang tanpa kebenaran pihak hospital,” balas jururawat itu.
Nazrin mengeluh kasar sambil diperhatikan rakannya. Hasrul tahu pasti rakannya sedang kecewa dengan situasi yang telah berlaku. Kedua-dua jururawat itu memohon maaf kepada mereka berdua atas kehilangan Imran.
“Tak sangka pulak jadi macam ni,” keluh Hasrul yang turut berasa kecewa. Tidak lama kemudian, mereka berdua didatangi salah seorang pesakit yakni Hanim yang kebetulan sedang berjalan-jalan di situ.
“Betul ke tadi saya dengar Imran keluar dari hospital? Awal betul!” Sua Hanim tanpa menanyakan siapa mereka berdua. Nazrin serta Hasrul hairan seketika dengan pertanyaan tersebut. Tangan kanannya yang dibalut tebal sambil digantung menggunakan kain anduh diperhatikan.
“Awak pula siapa? Awak kenal siapa Imran tu?” Soal Nazrin ingin tahu.
“Nama saya Hanim. Saya tak kenal Imran sebenarnya tapi dia kawan rapat kepada kawan saya,” jawab Hanim tersenyum. Nazrin mengangguk faham.
“Kawan awak tu tau pasal kisah dendam ahli sihir kejam tak?” Soalnya lagi. Hasrul terkejut dengan pertanyaan tersebut. Terus sahaja dia menanyakan soalan tersebut kepada gadis itu. Lain pula dengan reaksi Hanim yang terdiam setelah mendengarnya. Macam mana dua orang lelaki ni tau pasal kisah tu? Getus hatinya.
“Mari ke wad saya. Banyak perkara yang saya nak beritahu kat kau orang berdua. Sebelum tu boleh saya tau siapa awak berdua?”
“Nama saya Nazrin, dan ini rakan saya, Hasrul. Kami berdua adalah polis dari ibu kota,” jawab Nazrin. Sebaik mendengarnya, Hanim terdiam lagi buat kali kedua.