Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 44

BERITA kehilangan Imran yang didakwa lari dari hospital telah dikhabarkan kepada Faizal. Faizal yang mendengarnya amat terkejut kerana remaja itu baru sahaja mengalami kemalangan dan patah tulang kaki. Perlukan masa yang lama untuk menerima rawatan di hospital. Sudah balik ke rumahkah? Faizal sambil ditemani Rafeeq pantas menuju ke kampung Imran yang terletak bersebelahan dengan kampung Rina.

            Sewaktu tiba di kampung berkenaan, Rafeeq merasakan ada satu kelainan pabila dia memerhatikan sekeliling. Seolah-olah dia merasakan ada satu tarikan paranormal di kampung tersebut. Suasana sunyi menyelubungi seluruh tempat. Bagaikan lansung tiada penghuni yang mendiami kampung. Sementara itu, Faizal berjalan berseorangan menghampiri rumah Imran. Salam yang diberi lansung tidak dijawab. Ibu Imran tiada di dalam rumahkah?

            “Aku rasa ada yang tak kena dengan seluruh kampung ni,” luah Rafeeq yang berasa tidak selesa itu.

            “Apa maksud kau?” Soal Faizal hairan. Dia mencuba membuka pintu rumah dan ternyata ia tidak berkunci dari dalam. Ada apa-apa perkara yang telah berlakukah? Terasa berdebar diri Faizal ketika memasuki rumah Imran. Ucapan salam dilaungkan lagi namun masih tidak berjawab.

            Rafeeq hanya berdiri di luar rumah sahaja. Perasaan tidak senangnya masih mengikat diri. Ketika melayani perasaannya, tiba-tiba dia tersentak dan segera menoleh ke sebelahnya. Tidak jauh daripadanya, terdapat kelibat lelaki tua berbongkok satu yakni Pak Jan. Senyumannya yang diukir begitu menakutkan.

            “Kau!” Pantas Rafeeq mengejarnya lagi. Tanpa disangka, walaupun sudah tua dan berbongkok, namun Pak Jan masih bisa berlari dengan pantas. Faizal yang ditinggalkan di rumah Imran dilupakan begitu sahaja.

            Faizal yang tidak menyedari tindakan Rafeeq tadi terus mencari Imran di dalam rumah. Sambil itu, dia asyik terhidu bau tengik bagai bau mayat busuk. Menyedari bau tersebut, Faizal makin merasakan sesuatu yang tidak kena. Mungkinkah ada berlaku pembunuhan di dalam rumah Imran? Siapa pula mangsa yang ditinggalkan di situ? Tanpa berfikir panjang, dia segera menghubungi pihak polis.

            Tanpa diduga, kepalanya dihentak oleh sesuatu dari arah belakang menyebabkan dia terus terjatuh dan tidak sedarkan diri. Panggilan yang berjaya dijawab dimatikan semula dan telefonnya dipecahkan dengan objek tumpul.

 

SETELAH jauh mengejar, akhirnya Rafeeq berhenti seketika setelah Pak Jan yang dikejar turut berhenti di suatu tempat di dalam hutan. Rafeeq mengeluh kepenatan. Pak Jan dengan wajah marahnya bertanya kepadanya di manakah lelaki itu menyembunyikan Rina.

            “Sembunyikan Rina? Apa kau cakap ni, orang tua? Aku tak fahamlah,” balas Rafeeq yang sengaja tidak menjawab soalan Pak Jan. Kedengaran Pak Jan merengus dengan kasar. Wajahnya tampak bengang. Rafeeq sekadar tersenyum sengih membalas pandangannya.

            “Siapa kau sebenarnya? Apa hubungan kau dengan Rina?” Soal Pak Jan lagi. Nadanya agak serius. Sekali lagi Rafeeq tersengih tatkala ditanyakan hubungannya dengan Rina. Dia baru sahaja berkenalan dengan gadis tersebut dan tanpa disangka dia telah jatuh hati kepadanya.

            Kemudian senyumannya hilang sebaik menyedari kehadiran makhluk lembaga berjubah hitam di belakang Pak Jan. Keluhannya dilepaskan. Waktu siang masih berpanjangan dengan cuaca yang mendung. Mujur hujan tidak turun ketika itu. Dan ketika inilah dia mula terfikirkan nasib Faizal yang berada di dalam rumah Imran tadi.

            “Walau siapa pun kau, kau takkan boleh hentikan sumpahan ni! Manusia yang berdosa perlu dihukum mati! Supaya dunia ni bebas dari dosa-dosa manusia!”

            Makhluk tersebut bersuara dengan garaunya. Rafeeq dapat merasa suasana seram setelah mendengarnya sebelum tertawa kecil. Pak Jan hairan melihat kelakuannya. Tidak takutkah lelaki itu pada makhluk yang sedang muncul di belakang Pak Jan?

            “Oh, yakah?! Setahu aku semua rantai kunci sekarang dah dipecahkan dan dihancurkan. Bukan ke sumpahan tu tak ada gunanya lagi?” Sua Rafeeq. Wajah Pak Jan berubah mendadak setelah mendengarnya. Benarkah apa yang telah didengarnya? Lantas berpaling ke arah makhluk berjubah hitam itu. Rafeeq tertanya apa yang sedang diberitahu oleh Pak Jan. Dia bimbang jika ada perkara lain yang boleh berlaku setelah sumpahan ahli sihir itu tiada.

            Kemudian Pak Jan kembali berpaling mengadap Rafeeq dengan wajah yang tenang dan senyuman yang lebar. Rafeeq kembali berasa tidak senang diri. Jantungnya berdegup laju.

            “Jangan ingat kau dah selamat, orang muda. Sumpahan ni takkan berakhir dan kematian tetap akan berlaku. ‘Mereka’ akan bangkit tak lama lagi, itu yang aku menantikan selama ni! Orang muda, kau ingat sumpahan tu hanya pada rantai kunci tu saja? ‘Mereka’ juga ibarat sumpahan yang akan mengejar manusia berdosa! Cubalah kalau kau berani menghalang ‘mereka’,” ujar Pak Jan sambil ketawa berdekah-dekah. Makhluk berjubah hitam hilang secara tiba-tiba.

            Rafeeq meluahkan rasa geramnya kerana tersilap anggapan. Terkadang kelebihan istimewa yang dimiliki tidak selalunya berpihak kepadanya. Lantas dia berlari keluar dari hutan dengan mudah. Dia kembali ke rumah Imran semula untuk menemui Faizal. Anehnya Faizal hilang tanpa jejak walaupun keretanya masih ada di luar. Kemudian dia menemui telefon milik Faizal yang telah pecah gara-gara dihancurkan oleh seseorang.

 

RAFEEQ tiba di rumahnya semula dan mendapati pintu rumahnya terbuka luas. Perkara pertama yang terlintas di fikirannya adalah mencari kakaknya. Masuk sahaja ke dalam rumah, habis ruang tamunya bersepah dan berselerakan ke sana-sini. Dinding yang sudah dicat warna lain kini dihiasi lagi dengan tulisan yang sama. Perasaannya makin geram kerana tidak menyedarinya begitu awal. Lantas dia menuju ke bilik kakaknya dan mendapati Mona sedang duduk memeluk tubuhnya sendiri. Kehadiran Rafeeq amat melegakan hatinya lalu berpelukan seketika.

            “Rafeeq, tadi Rina,.. Dia,...” Terhenti-henti Mona bersuara gara-gara ketakutan dan panik.

            “Ya, aku tau. Jom, kita kena cari dia sekarang!” Kata Rafeeq lalu membawa Mona ke luar rumah dan memasuki ke dalam kereta.

            “Kenapa kita kena cari dia? Dia hampir nak bunuh akak tadi! Dahlah, Rafeeq! Kita kena keluar dari tempat ni. Kita tak boleh masuk campur hal ni lagi!” Pujuk Mona yang masih bernada takut itu. Rafeeq memahami perasaan kakaknya yang ketakutan itu namun dia perlu menyelesaikan masalah sebelum kian bertambah teruk.

            “Kalau macam tu, biar aku hantar akak keluar dari tempat ni. Biar aku seorang selesaikan masalah ni! Sumpahan tu perlu dihentikan segera!” Tegas Rafeeq serius.

            “Tapi Rafeeq! Kalau kau nak hentikan sumpahan tu, Rina harus,...” Lansung terhenti kata-kata Mona. Dia tidak sanggup menyambung kata-katanya walaupun berniat mahu menghentikan sumpahan ahli sihir.

            Rafeeq tahu apa yang ingin disampaikan oleh kakaknya. Perbualan mereka terhenti di situ. Enjin kereta dihidupkan semula dan pantas beredar dari rumah tumpangan sementara itu. Hatinya berazam mahu mencari Rina sehingga dia berjaya menghentikan sumpahan maut itu.

Previous: Bab 43
Next: Bab 45

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura