Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 15

SELESAI sudah kelas kuliah pada petang itu. Semua pelajar berkemas dan bergerak keluar dari kelas. Begitu juga dengan Rina. Tidak mahu menunggu lama, dia segera keluar melalui pintu belakang. Seperti biasa, Hanim dan Olivia ingin menegurnya tetapi tidak dipedulikannya. Sarah pula hanya buat tidak tahu-menahu sahaja. Apa yang diujarkan Rina pagi tadi ada benarnya. Mengapa sekarang mereka beria-ria mahu berkawan dengan Rina sedangkan sebelum ini mereka boleh buat hal masing-masing tanpa pedulikan Rina.

            Sewaktu berjalan menghampiri kafeteria, langkah Rina sedikit diperlahankan sebaik telinganya tertangkap bunyi yang tidak asing baginya, iaitu bunyi loceng dari rantai kunci. Baru sahaja ingin berpaling ke belakang, seseorang sedang berjalan melewati di sebelahnya. Bunyi loceng semakin nyaring kedengaran. Rina tidak mengenali pelajar tersebut tetapi dia cuba memasang mata untuk memerhatikan tingkah laku pelajar tersebut. Tidak jauh dari situ, Naim memerhatikan Rina dengan perasaan pelik.

            Sesampai di kafe, dia hanya membeli dua bungkus roti serta dua kotak air minuman. Matanya masih menumpukan ke arah pelajar tadi. Setelah itu, dia duduk di tempat duduk kosong. Tidak disangkanya pelajar tersebut mahu makan di kafe. Naim semakin kehairanan dengan tingkah laku Rina. Timbul persoalan mengapa gadis itu seakan sedang memerhatikan seseorang di kafe? Apakah niatnya? Oleh sebab penasaran, terus dia berjalan mendekati Rina dan duduk di sebelahnya. Rina terdiam seketika sambil memandang wajah lelaki itu. Sebuah kenyitan mata dihadiahkan.

            “Apa kau buat kat sini?” Soal Rina hairan.

            “Sepatutnya aku yang tanya soalan tu. Apa yang kau buat kat sini?” Ajuk Naim tersenyum. Rina geram melihatnya namun tidak dipedulikannya. Kerana dia mahu terus memerhatikan pelajar yang memiliki rantai kunci berlian tadi. Kelihatan beberapa rakan datang dan makan bersamanya. Pelajar tersebut kelihatan mesra dengan mereka. Melihat persabahatan mereka, hati Rina seperti telah diketuk oleh sesuatu. Sudah lama dia tidak merasai perasaan rakan di sisi. Namun disebabkan egois serta trauma masa silamnya, dia terpaksa mengetepikannya.

            “Kau ada suka seseorang ke?” Pertanyaan Naim amat mengejutkan Rina. Mulutnya hampir terbuka luas. Pertanyaan tersebut dianggap kurang biadap baginya.

            “Kau jangan tanya soalan bukan-bukan, boleh tak? Buat masa sekarang, aku nak bersendirian! Faham?!” Bidas Rina separuh bisik. Dia tidak mahu kata-katanya didengari orang terdekat. Pun begitu, Naim masih tersenyum seakan tidak tergugat dengan kata-kata gadis itu.

            “Jangan jadi ego, Rina. Aku tau kau dalam kesunyian tanpa kawan. Suatu hari nanti, kau akan menyesal disebabkan kata-kata kau sendiri,” katanya. Rina terdiam. Seolah-olah Naim dapat membaca fikirannya.

            Tiba-tiba suasana di kafe menjadi kecoh seketika. Rina terpaku setelah menyedari pelajar yang diperhatikannya tadi sedang mengalami serangan jantung dan memerlukan rawatan kecemasan. Naim juga bergerak pantas membantu pelajar tersebut. Jantung Rina berdetak laju. Wajahnya berubah pucat dan nafasnya tercungap-cungap. Dadanya terasa sakit seperti sedang dicucuk oleh sesuatu. Dia tidak menyangka berlaku situasi yang sama terhadap dirinya sebanyak dua kali pada hari sama. Pertama tadi sudah berlaku ketika menyedari teman lelaki Sarah yang terbaring kaku setelah dipatuk oleh ular berbisa.

            “Rina, kenapa ni? Kau sakit lagi ke?” Tegur Hanim panik. Rina tidak mahu menjawabnya dan mahu beredar dari situ. Namun kakinya terasa lemah. Air matanya mengalir ke pipi. Mungkin disebabkan sakit di dadanya.

            “Dia akan mati! Dia akan mati!!” Luah Rina separuh jerit. Kepalanya dipegang setelah merasai kesakitan. Hanim serta Olivia semakin hairan melihatnya. Perkara yang sama juga berlaku ketika kejadian teman lelaki Sarah dipatuk ular tadi.

            Tidak lama kemudian, suasana kecoh makin bertambah buruk apabila salah seorang dari mereka memekik bahawa pelajar yang mengalami serangan jantung tadi telah disahkan meninggal dunia oleh seorang pensyarah. Hanim serta Olivia terdiam. Rina pula menangis tanpa henti. Perasaan traumanya kembali menyerang. Olivia menyangka Rina hanya mengalami masalah tidak mahu berkawan dan mahu bersendirian. Akan tetapi kini dia tidak menyangka bahawa gadis itu sedang menanggung masalah yang lebih berat daripada itu.

 

MALAMNYA, setelah dirinya berasa tenang, dia terus duduk di meja belajar lalu mengeluarkan buku lakaran serta pensel kayu. Dalam keadaan seperti tidak terkawal, Rina terus melakar sesuatu di atas kertas. Gerakan tangan kanannya agak laju. Bawah matanya masih membengkak kerana menangis terlalu lama. Kemudian dia terhenti sebaik pintu bilik diketuk oleh seseorang. Namun dia tidak mempedulikannya lalu meneruskan lakarannya. Masih lagi subjek yang sama, iaitu sosok wanita berjubah.

            “Rina, buka pintu ni! Kami ada hal nak cakap dengan kau. Rina, bukalah! Aku tau kau ada kat dalam,” panggil Hanim sambil diperhatikan Olivia. Namun usahanya sia-sia apabila Rina tidak mahu membuka pintu biliknya. Olivia juga melakukan perkara yang sama tetapi pintu masih tetap tidak dibuka.

            “Kau orang berdua boleh tak berhenti dari mengganggu Rina?” Kemudian Sarah datang menyampuk. Kedua-dua tangannya disilangkan. Hanim dan Olivia hairan mendengarnya dan tertanya mengapa dia berkata demikian.

            “Apa kau cakap ni, Sarah? Sekarang niat kami bukan setakat nak berkawan saja, malah cuba nak selesaikan masalah yang dihadapi Rina. Dia nampak seperti tertekan. Kita kena bantu dia,” jelas Hanim yang cuba menjelaskan keadaan. Olivia mengangguk mengiyakannya.

            “Itu masalah dia, biar dia selesaikan sendiri. Apa hak kita untuk masuk campur? Dia sendiri tak nak berkawan dengan kita,” selar Sarah. Apa yang cuba dikatakannya memang ada betulnya. Tetapi Hanim masih tidak mahu mengalah lagi.

            “Tapi aku tak boleh tengok dia menghadapinya sendirian. Mata aku dah cukup terseksa tengok keadaan dia pada petang tadi. Kau pun tau, kan?” Giliran Sarah pula terdiam. Dia mengakui juga berasa kasihan melihat keadaan Rina yang seakan sedang mengalami trauma.

            “Suka hati kaulah! Kalau Rina masih menolak pertolongan kau, aku tak mau cakap apa-apa lagi. Olivia, kau jangan cuba nak masuk campur!” Bentak Sarah yang cuba menghalang Olivia daripada mengikuti langkah Hanim.

            Olivia tergamam seketika. Wajah Hanim dipandangnya lalu diberi isyarat supaya Olivia kembali ke biliknya semula. Biarlah Hanim melakukannya sendirian. Akhirnya Olivia terpaksa akur dan berjalan kembali ke bilik. Sarah sekadar diam memerhatikan mereka sebelum menaiki tangga ke tingkat atas.

            Setelah suasana kembali menjadi sunyi, tiba-tiba Rina pantas membuka pintu dan menarik kasar tangan Hanim supaya masuk ke dalam bilik. Pintu kembali ditutup rapat. Wajah Hanim dipandang tajam. Namun Hanim tidak tergugat dengannya. Kemudian matanya terpandang beberapa kertas lukisan yang berselerakan di atas lantai. Kesemuanya merupakan lukisan yang sama, iaitu sosok wanita berjubah hitam.

            “Kau cakap hantu perempuan ni yang bunuh manusia, kan?” Hanim cuba memulakan perbualan walaupun masih teragak-agak pada awalnya.

            “Bukan kau tak percaya dengan semua tu?” Pantas Rina membalas dengan nada perli. Hanim terdiam setelah ‘ditampar’ dengan kata-katanya. Kemudian mereka berdua senyap membisu. Rina bertindak berpura-pura melupakan kehadiran Hanim di situ dan meneruskan lakarannya. Wajahnya agak tegang pada ketika itu.

            “Ke-kenapa kau yakin yang hantu tu bunuh manusia?” Sekali lagi Hanim kembali membuka mulut. Kali ini agak lama Rina mengambil masa untuk menjawab. Mungkin dia sedang berfikir atau sebagainya.

            Sebenarnya Rina tidak mahu menjelaskan jawapannya kerana dia sendiri tidak pasti akan perkara tersebut. Dalam mimpinya, wanita tersebut telah dihukum kejam oleh penduduk sekeliling. Dan setelah wanita itu mati, rohnya bangkit untuk membalas dendam terhadap manusia yang menghukumnya. Persoalan mula timbul, jika wanita itu ingin membalas dendam, sudah pasti terhadap orang yang telah menjatuhkan hukuman ke atasnya. Akan tetapi mengapa pula berdendam dengan orang lain yang tiada kaitan apa-apa mengenai hukuman dan sebagainya?

            “Maaflah, Rina kalau tanya soalan pelik kat kau. Sepatutnya aku datang nak tolong kau. Boleh aku tau apa yang berlaku kat kau petang tadi?” Hanim cuba beralih topik setelah menunggu agak lama dari Rina. Mungkin dia tidak mahu menjawab atau sebagainya.

            “Aku sebenarnya trauma dengan orang yang dah mati. Lagi-lagi orang yang mati tu memiliki rantai kunci berlian bersamanya,” jawab Rina bernada tenang. Rantai kunci miliknya yang digantung diperhatikan. Hanim yang mendengar jawapan itu berasa hairan dan pelik.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura