Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 26

SELEPAS kejadian mengejutkan terjadi di universiti sehingga mengorbankan sebahagian pelajar, kes kematian semakin meningkat secara mendadak berlaku di kawasan sekitar termasuk di kampung, pekan dan juga bandar. Setiap detik satu kematian akan berlaku, tidak kira dalam kejadian apa-apapun. Situasi tersebut menimbulkan rasa panik dan ketakutan dalam kalangan orang ramai. Kejadian serta berita yang dilaporkan kian menjadi viral di laman sosial dan mengejutkan lebih ramai orang di luar sana termasuk dua orang lelaki ini.

            Nazrin serta Hasrul diam tanpa bicara. Sekadar melepaskan keluhan sahaja. Kematian memang akan berlaku pada setiap hari. Akan tetapi kejadian seumpama ini berlaku di luar jangkaan mereka dan mengakui pertama kali berdepan kes seteruk itu. Kes bunuh diri, kebakaran, serta kemalangan antara kes yang paling ‘viral’ setakat ini. Anehnya, setiap mayat atau mangsa yang ditemui, rantai kunci berlian pasti ada bersama dengan mereka. Hal itu juga turut menghairankan mereka berdua. Apakah itu suatu kebetulan?

            “Pening kepala aku fikirkan semua kes ni. Rasa macam ada yang tak kena aje,” keluh Nazrin sambil mengurut-urut kepalanya. Keluhannya dilepaskan lagi.

            “Ada yang tak kena? Maksud kau?” Luah Hasrul hairan. Kepalanya ditoleh memandang rakannya.

            “Aku sendiri tak tau nak cakap macam mana,” balas Nazrin sebelum terhenti seketika. Kelihatan dia sedang terfikirkan sesuatu. Hasrul masih menunggu apa yang ingin disampaikan oleh rakannya.

            “Sebelum ni aku pernah cakap rantai kunci tu pembawa nasib malang, kan?” Pantas Hasrul mengangguk mengiyakannya. Kemudian Nazrin menyambung lagi. “Aku rasa bukan setakat nasib malang aje tapi lebih membawanya kepada kematian. Orang yang tertekan atau kemurungan akan membunuh diri. Orang yang leka dan cuai akan mati dalam kemalangan. Seolah-olah ada seseorang mahu mereka ni mati dengan cepat.”

            “Kenapa kau fikir macam tu?” Soal Hasrul kehairanan dan tertanya-tanya.

            “Entahlah tapi itulah apa yang terlintas di fikiran aku sekarang ni,” jawab Nazrin mengeluh. “Tapi kalau ada mastermind dalam kes ni, aku tertanya macam mana dia orang buat manusia yang lemah ni mati.” Sambungnya lagi.

            “Macam mana pula untuk kes pembunuhan yang terjadi kat universiti utara tanah air? Menurut siasatan polis, kesemua mangsa telah dibunuh walaupun tak ada saksi yang membuktikannya,” soal Hasrul lagi.

            “Pembunuh tu mungkin orang upahan yang diupah oleh mastermind dan menyasarkan mangsa yang memiliki rantai kunci berlian tu,” balas Nazrin.

            Hasrul terdiam seketika. Kedengaran suara keluhannya dilepaskan. Kata-kata rakannya tadi mungkin boleh dijadikan sebagai petunjuk kes. Lebih kurang beberapa jam yang lalu, dia telah menerima panggilan daripada Faizal dan diberitahu bahawa rantai kunci tersebut berkemungkinan mengandungi sumpahan maut dan akan menyumpah pemiliknya supaya mati. Kedengarannya agak berunsur paranormal dan Hasrul kurang mempercayainya.

            Akan tetapi adakah perkara sedemikian boleh terjadi pada zaman moden ini? Mengapa boleh wujud unsur sumpahan pada rantai kunci tersebut? Jika wujud mastermind sekalipun, mengapa dia menyumpah orang-orang yang terpilih ini untuk mati? Disebabkan dendamkah? Atau sekadar  untuk ‘bermain-main’?

 

FAIZAL memberhentikan keretanya di suatu kawasan berhampiran dengan tempat pembuangan sampah. Kedengaran bunyi ambulans sedang berlegar tidak jauh dari situ. Pasti ada kes yang berlaku lagi. Keluhannya dilepaskan. Sebanyak dua bakul rantai kunci berlian dikeluarkan dari perut kereta dan membawanya ke suatu tempat. Disertakan juga sebatang penukul besi, minyak gasolin serta pemetik api. Sekurang-kurangnya dia akan melakukan sesuatu supaya menamatkan sumpahan maut itu. Sebelum itu, dia telah menyerbu beberapa kedai yang masih menjual rantai kunci itu dan membelinya secara borong. Dia tidak mahu sesiapa yang akan mati selepas ini.

            Tiba di kawasan sesuai, ratusan rantai kunci dipungah keluar dari kedua-dua bakul. Termasuk juga puluhan rantai kunci yang dikutip di setiap tempat kejadian. Tanpa membuang masa, Faizal terus memecahkan batu-batu berlian sehingga hancur lebur. Bunyi loceng turut kedengaran sebelum dihempas kuat menggunakan penukul besi. Emosinya mula terganggu apabila memikirkan nasib yang terjadi kepada arwah isterinya. Kelakuannya berubah seperti orang berfikiran tidak waras dan memukul kesemua batu itu. Jauh dari situ, ada seseorang sedang memerhatikan tingkah laku Faizal.

            Usai tindakannya tadi, minyak gasolin dituangkannya ke atas lambakan rantai kunci tadi. Dan kemudian pemetik api dihidupkan seterusnya mencetuskan api yang marak secara tiba-tiba. Pantas Faizal mengundur ke belakang. Mujur tidak terjadi apa-apa kepadanya. Hela nafasnya agak kuat kedengaran. Hatinya terasa puas hati.

            “Oh..?! Kau bakar semua rantai kunci ni?” Tegur seseorang dari belakang. Rupa-rupanya orang itu adalah lelaki misteri yang bertopi. Senyumannya dilemparkan namun tidak dibalas oleh Faizal.

            “Kau ingat dengan membakar semua ni akan selesaikan masalah kes kematian tu?” Sua lelaki misteri itu.

            “Aku akan buat apa yang aku nak buat. Sekurang-kurangnya takkan ada lagi yang menjual rantai kunci ni di mana-mana kedai,” balas Faizal bernada tenang. Lelaki misteri itu kemudiannya menganggukkan kepala. Entah sengaja berbuat demikian atau memang bersetuju dengan Faizal.

            “Macam mana pula dengan orang kat luar sana yang masih menyimpan rantai kunci tu?” Soalnya ingin tahu. Faizal diam seketika. Itulah apa yang asyik difikirkannya ketika ini dan belum mendapat keputusan lagi. Tidak mungkin dia akan mencuri pula? Tambahan pula, dia tidak tahu berapa ramai orang yang memiliki dan menyimpan rantai kunci tersebut.

            “Susah, kan? Kematian tetap akan berlaku kalau kau tak buat apa-apa,” ujar lelaki itu.

            “Kalau kau ada idea, beritahulah kat aku! Jangan harapkan aku seorang aje!” Bentak Faizal secara tiba-tiba. Senyuman yang terpalit pada bibir lelaki misteri itu terus hilang.

            “Kau tau tak aku dah lama curiga dengan kau? Entah-entah rantai kunci ni bukan satu sumpahan tapi hanya sekadar pembawa nasib malang aje. Ada orang lain cakap kejadian kematian yang berlaku disebabkan tanggungjawab seseorang yang bersifat tak berperikemanusiaan. Jangan-jangan orang tu adalah kau, bukan?” Teka Faizal. Matanya merenung tajam ke arah lelaki misteri bertopi itu.

            “Oh?! Boleh beritahu aku siapa orang yang cakap pasal hal tu?” Lelaki misteri itu hanya berlagak tenang dan tidak membalas kata-kata Faizal. Sebaliknya menanyakan soalan kepada penyiasat persendirian itu.

            “Jawab soalan aku dulu!” Pantas Faizal membalas. Akur dengan kehendaknya, lelaki misteri itu menggeleng kepala dan menafikan tekaan Faizal tadi. Sejujurnya dia bukanlah jenis orang yang tidak berperikemanusiaan.

            “Yakah? Jangan hanya cakap saja. Mungkin di depan aku, kau berlagak alim tapi kat belakang aku, siapa yang tau?” Lelaki misteri itu hanya tersenyum sinis kerana tertarik dengan kecurigaan Faizal terhadap dirinya.

            “Baiklah, kalau kau tak percayakan aku, sudahlah. Aku tak nak panjangkan hal remeh-temeh ni. Apa-apapun, boleh tak kau jawab soalan aku tadi?” Pinta lelaki misteri itu. Dia masih ingin tahu siapa yang mengatakan bahawa kejadian kematian yang berlaku adalah disebabkan tanggungjawab dari seseorang.

            Faizal diam seribu bahasa. Dia masih memikirkan samada dia perlu menjawabnya ataupun tidak. Ini kerana dia masih belum mempercayai lelaki misteri itu secara seratus peratus. Bimbang perkara lain pula yang akan terjadi nanti.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura