PERTEMUAN yang diatur oleh Rina diadakan di sebuah kedai makan tidak jauh dari kampungnya. Hanim, Sarah mahupun Naim hanya bersetuju dengan lokasi tersebut kerana masing-masing mengetahui kedai tersebut yang turut terletak berdekatan dengan sebuah sekolah. Disebabkan Rina tidak pandai membawa sebarang kenderaan, dia meminta Imran untuk membawanya. Lagipun tiada kenderaan awam lalu di kawasan kampungnya.
Semasa dalam perjalanan, Rina menyedari perubahan sikap Imran yang berubah dingin dan kurang melirik senyuman saat membalas pandangan Rina. Rina menyangka perubahan sikapnya disebabkan kata-kata bekas guru mereka yang ‘menuduh’ rantai kunci berlian memiliki sumpahan maut. Walaupun hanya sekadar teori, tetapi ia tetap dianggap menyakitkan hati Imran.
“Imran, boleh aku tanya sesuatu?” Tanya Rina sambil matanya memandang ke tingkap kereta. Sengaja tidak mahu bertentang mata dengan Imran.
“Apa dia?” Balas Imran bernada dingin. Rina melepaskan keluhannya. Dia agak tidak berapa suka dengan sikap Imran sekarang.
“Kenapa kau sangat percayakan rantai kunci tu memiliki nasib tuah?” Satu soalan yang agak ‘panas’ diterima oleh Imran. Rina masih tidak mahu berpaling ke arahnya. Sekadar diam menunggu jawapan dari lelaki tersebut.
Sebenarnya diam Imran membawa makna tertentu. Mereka hampir tiba di lokasi kedai makan dan Imran dilihat memang sengaja tidak menjawab soalan Rina untuk seketika. Rina tidak memarahinya, cuma kecewa dengan dirinya yang tidak menyoalnya lebih awal tadi. Dia betul-betul ingin tahu alasan Imran mempercayai rantai kunci tersebut dan menganggapnya sebagai pembawa nasib tuah kepadanya. Memanglah setakat ini Imran tidak berdepan dengan kematian, namun di masa depan siapa yang tahu?
Kelihatan Hanim dan Sarah sudah tiba awal daripada mereka. Lambaian tangan dibalas dengan senyuman biasa. Rina masih tidak mahu menganggap mereka berdua sebagai rakannya lagi. Rina dipelawa duduk bersama mereka sementara Imran duduk di tempat lain. Sarah sempat menatap ke arahnya lalu tersenyum lebar. Sikapnya yang dingin lagi menampakkan wajahnya yang tampan melalui mata Sarah.
“Dia nampak hensemlah. Apa namanya?” Tanya Sarah separuh bisik. Hanim terus menyikunya kerana cuba menyibuk dengan hal peribadi Rina.
“Imran,” jawab Rina ringkas. Tidak lama kemudian, dia menerima satu mesej dari telefonnya. Lalu dibuka dan dibacanya. Rupanya mesej tersebut kiriman dari Imran. Rina menyimpan kembali telefon ke dalam beg sandangnya setelah membaca mesej tersebut. Hanim sedikit hairan memerhatikan gelagatnya.
Selang seminit kemudian, Naim akhirnya tiba di kedai makan sambil disambut oleh mereka kecuali Rina seorang. Kebetulan Naim mengambil tempat duduk di sebelah Rina menyebabkan Rina terpaksa mengalihkan kerusi dekat dengan Sarah. Hanim dan Sarah hanya diam dan memahami mengapa Rina bertindak demikian.
“Kenapa kita nak berjumpa kat sini?” Tanya Naim ingin tahu. Senyumannya sengaja dilemparkan bagi menandakan yang dia tidak akan berniat melakukan apa-apa yang tidak diingini. Kemudian Sarah dan Rina berpaling memandang Hanim. Walaupun Rina yang mengatur tempat pertemuan, namun Hanim yang sebenarnya mahu bertemu dengan mereka.
Hanim segera mengeluarkan sebuah fail berisi beberapa helai kertas yang berisi kandungan mengenai rantai kunci berlian. Sebuah buku nota turut dikeluarkannya. Segala apa yang telah disampaikan kepada Rina malam semalam disampaikan semula kepada mereka bertiga. Walaupun Rina mempunyai bukti yang lebih kukuh, tetapi dia tidak berniat untuk membawa dan menunjukkan kepada mereka. Kerana sebelum itu, dia perlu tahu mengapa dokumen lama tersebut boleh ada di dalam biliknya?
Perbualan mengenai rantai kunci berlian mula dihidu oleh orang sekeliling terutama sekali Imran. Dia tetap memasang telinga untuk mendengar setiap penjelasan walaupun berasa geram untuk seketika. Dia mengakui pernah mencari maklumat yang sama tetapi dia tetap menafikannya dan beranggap ia hanya sekadar maklumat palsu sahaja. Pandangan Rina terhadapnya membawa makna tertentu. Adakah dia mahu Imran menyedari hakikat sebenar?
Tahun 2006
SEKUMPULAN budak dilihat sedang bermain bola di sebuah padang kecil. Keadaan di langit semakin berubah gelap kerana ditutupi awan tebal. Seketika kemudian diselangi pula dengan bunyi guruh di langit. Imran terhenti seketika sambil mendongak ke langit. Hanya sekejap sahaja bunyi tersebut dan tidak lagi kedengaran selepasnya.
“Oi, Imran! Apasal kau berhenti tadi? Kita dah kehilangan bola sekarang. Jom, cepat!” Tegur rakannya. Imran hanya mengiyakannya sambil memohon maaf. Mungkin hanya cuaca gelap dan mendung sahaja tanpa hujan. Ketika itu, dia tidak tahu-menahu mengenai ramalan cuaca di berita tv mahupun di dada akhbar.
Hampir 10 minit berlalu, keadaan di langit masih sama, gelap dan mendung. Bunyi guruh hanya sekali-sekala berbunyi sekaligus mengejutkan mereka yang sedang bermain bola. Seorang penunggang motosikal datang singgah dan meminta mereka supaya balik ke rumah masing-masing kerana cuaca yang hendak hujan ketika itu. Akur dengan permintaan tersebut, mereka terus pulang ke rumah termasuk Imran.
Sejurus selepas melangkah masuk ke dalam rumah, hujan mulai turun dengan lebat. Imran terus menjenguk ke luar tingkap dan memerhatikan cuaca hujan yang lebat itu. Jika mereka tidak diminta untuk balik ke rumah dengan lebih awal, pasti mereka akan pulang dengan keadaan basah kuyup. Tidak diduga kedengaran bunyi petir yang kuat sekaligus mengejutkan Imran di tingkap.
“Imran, mari sini! Jangan duduk dekat dengan tingkap,” tegur ibunya. Imran terus berlari menghampiri ibunya. Walaupun sudah berusia 12 tahun, dia masih takut mendengar bunyi petir yang maha kuat itu.
“Pergi masuk ke bilik kamu dan ulangkaji pelajaran. Esok kamu ada peperiksaan kat sekolah,” pesan ibunya tersenyum. Imran sekadar mengangguk lalu beredar pergi ke biliknya.
Sebaik masuk ke dalam bilik, Imran terus teringat akan sesuatu. Dia cuba mencari sesuatu di atas meja belajar namun tidak kelihatan benda yang dicari. Di atas katil pun tiada, apatah lagi di bawahnya. Dia juga mencari di dalam almari pakaian sebelum wajahnya berubah cemas. Barang yang dicari bukannya berharga sangat tetapi dia akan berasa ‘rugi’ jika kehilangannya.
Ketika meraba-raba di poket seluar pendek, Imran mengeluh kelegaan yang amat panjang. Dan pada masa yang sama dia agak malu dengan dirinya sendiri. Mencari sesuatu barang di merata-rata tempat padahal benda tersebut sudah ada di depan mata. Suara ketawanya kedengaran perlahan. Laci meja dibukanya lalu memasang semula loceng kecil pada rantai kunci tersebut.
Barulah dia ingat semula. Dia sengaja menanggalkan loceng tersebut dari rantai kunci bagi mengelak terdengar bunyinya. Dia berniat mahu membawa rantai kunci bersamanya ke mana sahaja dia pergi. Walaupun rantai kunci berlian amat popular dalam kalangan murid perempuan, namun ada juga sebahagian besar murid lelaki turut meminati dan membelinya sebagai hiasan beg sekolah mereka. Imran suka tersenyum lebar saat merenung rantai kunci tersebut. Bagaikan ada sesuatu yang menarik.
Keesokan harinya adalah hari pertama peperiksaan di sekolah Imran. Malangnya Imran mengakui lupa untuk mengulangkaji pelajaran kerana tertidur awal. Mujur dia membawa dokumen penting sebelum memasuki dewan peperiksaan. Imran pada mulanya agak gementar dan bimbang tidak dapat menjawab soalan yang senang. Lalu dia berdoa dan berharap dapat menjawabnya dengan mudah.
Semasa menjawab soalan yang sukar baginya, Imran terdengar satu bunyi yang sangat dikenali. Ternyata ada seorang guru petugas peperiksaan membawa beg di mana rantai kunci berlian digantung pada beg tersebut. Imran tersenyum lebar lagi. Perasaan tertekan tadi telah hilang. Salah satu soalan dibaca lalu dijawabnya dengan mudah.
BEBERAPA bulan kemudian, keputusan peperiksaan telah pun keluar. Imran sangat berdebar menantikan keputusannya yang ditampal di papan kenyataan sekolah. Semua murid sebaya dengannya terburu-buru mengetahui keputusan masing-masing. Imran tidak mahu tergesa-gesa walaupun terdesak ingin tahu. Matanya sempat memandang ke arah Rina serta dua orang rakannya, Siti dan Nurul yang gembira dengan keputusan peperiksaan masing-masing.
Setelah keadaan sedikit lengang, barulah Imran mencari peluang untuk mencari namanya. Matanya membulat seketika, seakan tidak percaya keputusan yang diperolehinya. Rakan-rakannya mengucapkan tahniah kepadanya kerana memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Imran dalam diam masih tidak percayakannya kerana dia begitu yakin tidak dapat menjawab soalan dengan mudah sebelum ini.
Entah disebabkan nasib tuah atau sebagainya, Imran hanya menerimanya dengan hati terbuka. Bagi mengelak diketahui bahawa dia tidak mengulangkaji pelajaran sebelum peperiksaan, dia terpaksa berbohong kepada sesiapa yang bertanya mengenainya.