Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 20

Tahun 2008,

ZAMIR sekadar diam memerhatikan Pak Jan dari dalam rumah. Lelaki tua berbongkok satu itu masih mempunyai kudrat untuk menyapu daun-daun kering di halaman rumahnya. Selesai menyapu sehingga bersih, daun-daun kering tersebut dibakarnya. Mata Pak Jan asyik memerhatikan api yang sedang ‘memakan’ daun-daun tersebut. Zamir berasa hairan, tidak berasa sakitkah matanya kerana terlalu asyik memandang api?

            Usai membakar sehingga menjadi debu, Pak Jan melepaskan keluhannya. Halaman rumah Zamir diperhatikannya dengan senyuman. Zamir yang memandangnya amat terkejut kerana ini kali pertama dia melihat senyuman dari orang tua itu. Sukakah lelaki tua itu dengan pekerjaan tersebut? Zamir semakin kehairanan. Lantas dia melangkah keluar dari rumah sebaik sahaja Pak Jan beredar dari kawasan rumahnya.

            Sememangnya Zamir sudah lama memasang niat untuk mengekori Pak Jan. Mana tahu dia akan mengetahui di mana lelaki tua itu tinggal? Akibat leka mengekori Pak Jan, akhirnya baru Zamir tersedar bahawa dia sedang berada di dalam sebuah hutan. Perasaan hairan timbul kembali. Setahunya kampung yang diduduki tidak terletak berhampiran dengan mana-mana hutan. Anehnya, bagaimana dia boleh tersesat masuk ke dalam hutan?

            Kemudian langkah Pak Jan terhenti dan menoleh ke arah Zamir. Sebenarnya dia sudah tahu lelaki tersebut telah mengekorinya dari awal lagi. Zamir berasa cuak dan cuba memberi alasan mengapa dia bertindak mengekori Pak Jan.

            “Pa-Pak Jan, jangan salah faham. Aku cuma nak tau kat mana Pak Jan tinggal. Aku tak tau pula yang Pak Jan tinggal kat dalam hutan ni.”

            Pak Jan hanya diam membisu. Wajah Zamir dipandang serius menyebabkan Zamir makin bertambah cuak dan cemas. Setelah agak lama berbuat demikian, Pak Jan kembali menoleh ke hadapan dan meneruskan perjalanannya. Zamir terpaksa batalkan niatnya dan mahu pulang ke rumahnya semula. Namun dia buntu untuk memilih jalan yang mana. Bimbang nanti dia tersesat tidak menemui jalan keluar.

            “Kamu tunggu apa lagi di situ?! Bukan kamu mahu tau pasal aku?” Zamir tersentak dengan kata-kata Pak Jan yang muncul kembali di situ.

            “Memang aku nak tau pasal Pak Jan tapi aku batalkan niat aku. Aku minta maaf, Pak Jan. Tolonglah, keluarkan aku dari sini!” Rayu Zamir berharap. Dia tidak tahu apa yang sedang terjadi tetapi dia merasakan Pak Jan telah melakukan sesuatu yang membuatkan Zamir terperangkap di dalam hutan.

            “Bukan senang nak keluar dari sini tanpa kebenaran. Kamu kena minta izin daripada ‘dia’ kalau kamu nak selamat keluar dari hutan ni!” Kepala Pak Jan beralih ke arah satu sosok seperti manusia memakai jubah hitam, sedang berdiri tidak jauh dari Zamir.

            Zamir tidak mahu berfikir panjang mengenai lembaga tersebut. Lekas dia memohon maaf sambil merayu untuk keluar dari hutan tersebut dalam keadaan selamat. Lama benar dia berbuat demikian dalam keadaan hampir menangis.

            “Lain kali jangan cuba masuk campur!”

            Zamir tersentak dengan suara garau yang didengarinya. Suasana sekeliling diperhatikannya. Sungguh lega dibuatnya kerana tidak lagi berada di dalam hutan, sebaliknya berada di pinggir jalan kampung. Memang pelik dan aneh, tetapi Zamir berjanji pada dirinya sendiri agar tidak meragui kehadiran Pak Jan lagi. Biarlah ia kekal menjadi satu persoalan misteri.

 

Awal tahun 2014,

KETIADAAN Rina di rumah kembali membuatkan Zamir kembali sunyi. Dia sudah pun dihantar pulang ke asrama universiti setelah tamatnya cuti semester. Bagi menghilangkan rasa sunyi, Zamir cuba ceriakan hatinya dengan mengemas seluruh rumahnya. Ketika mengemas bilik anaknya, dia tidak sengaja menemui sebuah kotak kasut di bawah katil. Awalnya dia tidak berniat untuk membukanya dan meneruskan kerjanya. Kemudian dia menemui pula sesuatu yang pernah dilihatnya sebelum ini.

            Batu permata jernih itu dibersihkannya dengan teliti. Dia mula tertanya, mengapa batu tersebut ada di bawah katil anaknya? Adakah selama ini Rina telah menghilangkannya tanpa mengetahui batu tersebut ada di bawah katil? Atau anaknya sengaja meletakkannya di situ? Usai melakukan kerja mengemas bilik, dia berniat mahu menyimpan batu permata itu di dalam kotak kasut.

            Sebaik sahaja membukanya, Zamir terpandang beberapa kertas lama serta foto-foto lama yang disimpan di dalamnya. Sejak bila pula anaknya menyimpan barang-barang lama tersebut? Salah satu foto lama direnungnya. Dia mula berasa ngeri sebaik menyedari terdapat mayat seseorang yang sudah hangus dibakar di atas timbunan kayu api. Kepala Zamir digeleng lalu melepaskan keluhan. Entah apa sebab Rina menyimpan foto-foto ngeri itu.

            Kemudian dia membaca salah satu surat lama berbahasa Inggeris serta terjemahannya dalam bahasa Melayu. Ia mengandungi seorang wanita telah melakukan kesalahan besar kerana menggunakan ilmu sihir dan dijatuhi hukuman dibakar hidup-hidup di khalayak orang ramai. Zamir tergamam setelah membacanya. Seakan pernah mendengar perkara tersebut dari arwah moyangnya dulu.

            Tanpa sengaja dia terpandang lagi ke arah foto-foto lama. Ada sekeping foto yang agak berbeza dari foto-foto lainnya. Lantas diambilnya lalu diperhatikan foto lama tersebut. Terdapat tiga orang sedang bergambar bersama. Tahun yang tercatat pula menunjukkan beberapa tahun sebelum wanita tersebut dijatuhi hukuman mati. Dua daripadanya adalah seorang lelaki tua serta seorang budak lelaki yang diyakini adalah anak kepada wanita tersebut. Apa yang lebih memeranjatkan Zamir adalah wajah lelaki tua di dalam foto hampir mirip dengan wajah Pak Jan.

            Zamir terdiam lagi. Jadi siapakah Pak Jan sebenarnya? Segera dia membaca lagi surat-surat lama untuk mengetahui identiti sebenar lelaki tua itu. Namun tidak ditemui jawapannya. Terdapat juga sebuah diari milik wanita malang itu sebelum dihadapkan kematian ngeri. Tidak lama kemudian, Zamir merasakan ada sesuatu yang berada di belakangnya sekarang. Perlahan dia menoleh ke belakang sebelum kepalanya dihempas oleh sesuatu yangtumpul. Zamir pengsan tidak sedarkan diri di situ.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura