Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 41

MUSIM hujan lebat telah pun bermula sejak beberapa hari yang lalu. Penempatan-penempatan yang berada di kawasan rendah sudah mula dinaiki air dengan pantas lalu menyebabkan banjir. Cuaca hujan juga turut berlaku di kawasan rumah Rafeeq dan Mona. Rina hanya diam termenung mengenangkan nasibnya yang masih diselubungi mimpi ahli sihir wanita itu. Makin lama makin mimpinya menjadi buruk sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya. Mona sangat membimbangkan keadaannya tetapi dia tidak tahu cara untuk menyelesaikan masalahnya.

            Ini kerana setiap kali ditanya kepada Rina mengenai mimpi buruknya, dia hanya sekadar menggeleng kepala memberi isyarat tidak mahu menceritakan segalanya. Dia juga sering menjarakkan dirinya daripada didekati Mona mahupun Rafeeq. Kebetulan ketika itu televisyen sedang dibuka dan seorang penyampai berita muncul dengan membawa berita mengenai keadaan banjir di kawasan rendah.

            Tatkala menyebutkan berita mengenai sesetengah mangsa banjir meninggal akibat mati lemas, Rina terus berkelakuan aneh dan menjerit tanpa sebab. Mona pantas cuba menenangkannya tetapi gagal. Sementara Rafeeq terus mematikan televisyen. Dia menjadi hairan melihat keadaan gadis tersebut. Perasaan traumakah?

            “Bertenang, Rina! Rina!” Puas Mona memujuknya namun masih gagal juga. Dia serta Rafeeq kian buntu. Pertama kali mereka berhadapan dengan perkara sedemikian.

            “Kau ada tak rantai kunci tu?! Kalau kau ada, buang cepat! Ianya satu sumpahan! Kau akan mati nanti!!” Mona hairan mendengar kata-kata Rina. Namun berbeza reaksi Rafeeq yang sudah mengetahui mengenainya.

            “Rantai kunci apa yang kau maksudkan, Rina? Akak tak faham,” balas Mona kehairanan. Rina yang kembali tenang itu lantas menunjukkan rantai kunci miliknya kepada Mona. Kedua-dua adik-beradik itu terus terkejut sebaik melihatnya. Mereka mula saling berpandangan untuk beberapa saat.

            “Akak tak ada rantai kunci macam tu. Kalau betul apa yang kau cakap tadi, kenapa kau tak buang aje rantai kunci tu?” Kata-kata Mona amat menyentapkan Rina. Dia sudah diberi peringatan daripada Hanim supaya membuang jauh rantai kunci itu tetapi tidak dilakukannya. Kali ini, kakak kepada Rafeeq pula memintanya berbuat demikian atas kata-katanya sendiri.

            “Aku tak boleh nak lakukannya,” luah Rina sedih. Lalu menitiskan lagi air matanya. Rantai kunci tersebut mempunyai banyak kenangan lamanya bersama rakan-rakannya. Terutama sekali dua orang rakan baiknya. Itulah sebab mengapa dia berkeras tidak mahu membuang rantai kunci itu.

            “Rina, tak elok fikir perkara yang lepas. Kita kena maju ke depan dengan meneruskan hidup kita. Fikir pasal masa depan kita. Kalau kau berterusan macam ni, hidup kau akan terus merana. Dan mungkin kau akan mati disebabkan sumpahan rantai kunci ni,” pujuk Mona.

            “Kau tak tau apa-apa pasal aku! Dah lama aku hidup merana sejak kematian kawan-kawan aku! Dah tujuh tahun lamanya!” Raung Rina sepuas hatinya. Mona tersentak mendengarnya. Dia tidak menyangka Rina sudah lama hidup dalam keadaan sebegitu. Sekali lagi dia cuba menenangkan Rina.

            “Lebih baik aku mati bunuh diri aje.” Luahan Rina amat mengejutkan Mona serta Rafeeq.

            “Jangan, Rina! Tak baik bunuh diri. Dosa besar!” Namun pujukan Mona tidak dipedulikan Rina. Bingkas dia bangun menuju ke dapur. Bimbang jika Rina benar-benar mahu membunuh diri, Mona pantas mengejarnya. Sementara Rafeeq mengambil rantai kunci milik Rina tadi dan merenungnya. Otaknya telah memikirkan satu idea yang mungkin boleh membantutkan niat bunuh diri Rina.

            “Rina, jangan! Tolonglah, akak merayu kat kau! Kau masih muda lagi. Mesti ada banyak benda kau nak buat, kan?” Mona cuba untuk memujuk Rina yang sudah bersedia memegang pisau dapur dan mengacukan ke arah lehernya.

            “Jangan datang dekat!” Jerit Rina berbaur ugutan. Mona terpaksa menghentikan langkahnya. Rina makin mendekatkan mata pisau dengan lehernya. Namun pada masa yang sama, dia berasa takut untuk melakukannya. Adakah tindakan membunuh diri adalah satu kesalahan besar?

            “Aku dah lama fikir benda ni dan sekarang aku akan lakukannya. Selamat tinggal, kak!” Setelah memikirkan banyak kali, Rina akhirnya tekad untuk membunuh diri. Ketika mata pisau telah mencalarkan sedikit lehernya, terdengar bunyi ketukan kuat dari arah luar dapur. Mona mahupun Rina tersentak mendengarnya. Niat membunuh diri terbantut seketika. Dia segera ke luar dapur sambil membawa pisau, namun Mona berjaya merampas daripadanya.

            Tidak mahu mengendahkan tindakan Mona, Rina terus ke depan sebelum terkejut melihat batu berlian dari rantai kuncinya telah dihancurkan oleh Rafeeq. “Apa yang kau dah buat, Rafeeq?” Tanyanya.

            “Sekarang kita dah seri. Dulu kau selamatkan aku daripada serangan kucing hitam. Sekarang aku selamatkan kau daripada membunuh diri. Puncanya adalah ini, kan? Sekarang kau tak dihantui sumpahan dan kau takkan mati disebabkannya,” jawab Rafeeq tersenyum.

            Rina terduduk melutut. Air matanya mengalir lagi sambil merenung ke arah rantai kuncinya itu. Mulutnya tidak mampu berbicara apa-apa lagi selain menangis tidak berlagu. Mona serta Rafeeq hanya diam memerhatikannya.

 

JAM sudah menunjukkan pukul tiga pagi. Disebabkan musim hujan, suasana pada awal pagi itu terlalu sejuk sehingga terpaksa menyelimuti seluruh badan. Rafeeq juga tidak terkecuali. Namun bukan disebabkan cuaca sejuk dia terjaga sehingga awal pagi, tetapi perasaannya yang tidak senang hati. Sejak menghancurkan batu berlian dari rantai kunci milik Rina, dia sudah mula berasa ada yang tidak kena dengan dirinya. Apabila malam tiba, perasaannya semakin kuat dirasai.

            Puas dia mencuba untuk tidur tetapi gagal. Mungkin terlalu banyak memikirkan hal-hal seperti kes kematian yang kian bertambah saban hari. Seketika kemudian, dia tersentak kerana terfikirkan sesuatu di luar jangkaan. Lantas dia bangkit dari katil dan keluar dari bilik. Riak wajahnya berubah dan berdiri kaku sebaik mendapati Rina yang sedang berdiri tidak jauh di hadapannya.

            “Nampaknya apa yang aku dapat rasakan sebelum ni memang betullah. Tak sangka kau muncul juga depan mata aku,” ujar Rafeeq tanpa berasa takut dengan keadaan Rina yang senyap itu.

            Hujan kembali turun dengan lebat, disertakan juga bunyi guruh dan petir kuat. Cahaya pancaran kilat sekali-sekala menerangi rumah Rafeeq yang gelap tidak dibuka lampu. Sekaligus menunjukkan wajah Rina yang pucat dan tidak bermaya. Rafeeq kian berdebar dengan perkara yang bakal berlaku nanti. Rina kemudiannya mengacukan pisau dapur yang dipegangnya ke arah Rafeeq lalu menyebut perkataan mati dalam bahasa Inggeris.

            Maka berlakulah pergelutan di antara Rafeeq dan Rina yang berkelakuan agresif itu. Meskipun gelap, Rafeeq dapat melihat dengan jelas tindak-tanduk gadis itu yang mencuba untuk membunuhnya. Mona yang berada di dalam biliknya sekadar berdiam diri sambil menunggu isyarat dari adiknya. Sambil itu dia berdoa agar mereka berdua tidak diapa-apakan.

            Setelah bergelut selama hampir lima minit, Rafeeq akhirnya menang dan melemparkan pisau jauh daripada mereka. Rina tidak dapat bergerak kerana telah dikunci oleh Rafeeq dengan tangan dan kakinya. Selepas Rafeeq memberi isyarat, Mona keluar dari bilik lalu membuka lampu rumah. Mona terperanjat besar melihat keadaan rumah mereka yang dipenuhi dengan perkataan mati dalam bahasa Inggeris. Dia juga sempat memandang wajah Rina yang pucat itu.

            “Kau siapa sebenarnya? Kau bukan Rina, kan?” Soal Mona ingin tahu. Rina masih membisu sambil merenung tajam ke arah Mona. Rafeeq cuba mengugutnya akan mematahkan tulang tangannya jika tidak menjawab soalan Mona.

            “Walaupun kau tak ada rantai kunci tu, tapi suatu hari nanti kau berdua akan mati! Manusia penuh dosa!” Akhirnya Rina membuka mulut dengan wajahnya yang bengis. Suaranya pula agak garau.

            “Kami tak berdosa pun! Kami tak buat apa-apa salah pun! Beritahu cepat, siapa kau sebenarnya?” Soal lagi Mona, terdesak.

            “Bohong! Kau dengan manusia lain sama saja! Iri hati dengan orang lain! Dan kau pula, terlalu bangga diri dengan diri sendiri. Bongkak!” Luah Rina yang cuba menuduh kedua adik-beradik itu. Mona hampir menangis disebabkannya. Rafeeq hanya diam membisu.

            “Kau nak tau siapa diri aku sebenarnya, kan? Baik, aku akan beritahu. Aku adalah penghukum manusia di muka bumi. Manusia yang penuh dengan dosa akan aku hukum sampai mati. Tak kira ada rantai kunci ataupun tidak,” beritahunya lalu ketawa berdekah-dekah. Suara ketawanya yang nyaring hampir mengalahkan bunyi hujan lebat di luar rumah.

            Tiba-tiba Rina jatuh pengsan tidak sedarkan diri. Keadaannya kembali seperti biasa. Rafeeq terus membawanya masuk ke dalam bilik, sementara Mona masih duduk di ruang tamu sambil memikirkan kata-kata Rina tadi.

            “Akak pergi masuk tidur dulu. Biar aku tidur kat luar ni. Takut pula terjadi kali kedua nanti,” kata Rafeeq yang kembali menemui kakaknya.

            “Rafeeq, akak rasa apa yang dia cakap tadi memang betul. Akak mengaku pernah iri hati dengan orang lain, tapi sekarang tak lagi. Macam mana dia boleh tau semua tu?” Sua Mona hairan. Rafeeq hanya diam memerhatikan kakaknya. Kemudian dia mengaku dirinya juga selalu bangga diri dengan kelebihan istimewa yang ada padanya.

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura