Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 37

PENJELASAN mengenai rantai kunci berlian sangat mengejutkan Sarah serta Naim setelah mendengarnya daripada Hanim. Rina hanya diam membisu kerana sudah diceritakan pada malam semalam. Hanim juga menjalankan siasatan terhadap kes kematian yang melibatkan pelajar universiti. Termasuk kes pembunuhan beramai-ramai, pelajar yang mati sebelum ini juga pernah memiliki rantai kunci tersebut. Sarah tidak menafikannya kerana mengingati arwah Faiz yang juga mempunyainya.

            “Menakutkan betullah. Nasib baik dari dulu lagi aku tak beli rantai kunci tu. Memang aku rasa cemburu tengok orang lain tapi dalam hati aku masih tak berkenan dengan rantai kunci tu,” ujar Sarah mengeluh. Rina diam mendengarnya. Melihat wajahnya, terus Rina mengingati mimpinya tempoh hari.

            “Rina, kau buang tak lagi rantai kunci kau tu?” Tanya Hanim mencelah. Mendengarnya, Rina terus memandang ke arahnya. Sehingga sekarang, dia masih belum melakukannya. Tiada niat lansung untuk membuangnya. Dia hanya tersenyum membalasnya bersama dengan anggukan kepala. Bagaimanapun jawapannya tidak memuaskan hati Hanim. Kejadian orang mati semakin meningkat saban hari. Dia tidak mahu Rina pula menjadi ‘mangsa’ seterusnya.

            “Kau pula, Naim? Aku tau kau pun ada rantai kunci tu juga, kan? Kau tak takut dengan kematian yang semakin dekat dengan kau? Mana tau nanti kau dan Rina akan mati hari ni?” Celah Sarah, cuba untuk menakutkan Naim dan juga Rina. Senyuman sinisnya dilemparkan.

            “Jangan cakap macam tu. Tak baik tau! Aku baru tau hari ni pasal sumpahan mistik rantai kunci tu. Manalah aku terfikir nak buang rantai kunci tu?!” Luah Naim sedikit ketakutan. Sarah tertawa kecil saat melihat wajah Naim yang cuak itu.

            “Kau ada bawa tak rantai kunci tu?” Soal Hanim. Naim mengiyakannya lalu mengeluarkannya dari poket seluar. Rantai kunci tersebut digantung bersama dengan kunci keretanya. Hanim sekadar mahu melihatnya untuk meneliti. Kemudiannya tertarik dengan batu berlian yang menjadi hiasan rantai kunci. Ia bukanlah batu berlian yang  asli. Dia juga perasan kesemua rantai kunci turut mempunyai benda yang sama.

            “Entah-entah batu berlian ni yang menyimpan sumpahan tu,” beritahunya.

            “Maksudnya kalau kita buang batu berlian ni atau pecahkannya, kita takkan mati?” Teka Naim. Hanim hanya menggeleng kerana tidak pasti samada benar ataupun tidak.

            “Aku sayanglah nak buang rantai kunci ni. ‘Berharga’ tau tak? Dulu kan pernah popular benda ni? Takkan tak tau?” Keluh Naim lalu mengambil semula rantai kunci miliknya.

            “Itu semua kami dah tau tapi kau tak takut mati ke? Berapa kali aku nak tanya kau, hah? Dulu memang popular tapi sekarang tak! Dah jadi sumpahan bagi kita semua. Baik, kalau kau nak mati sangat, kau simpanlah. Aku haraplah kau mati dengan cepat,” luah Sarah marah. Suaranya yang lantang mula didengari orang lain yang turut makan di situ. Termasuk juga Imran.

            “Yang kau nak marah ni apa hal? Aku tak cakap pun nak simpan rantai kunci ni. Tak baik tau seorang rakan doakan rakannya mati dengan cepat,” bidas Naim geram. Situasi kian menjadi tegang di antara mereka berdua. Hanim meminta mereka berdua supaya bertenang dan mengetepikan hal tadi.

            Sementara itu, Rina yang diam membisu mula merasakan sesuatu yang tidak kena. Jantungnya berdegup laju tanpa sebab. Dia cuba melihat sekeliling sebelum terpandang seutas rantai kunci yang dimiliki oleh seorang wanita yang makan di situ. Seorang budak lelaki kemudiannya mengambil rantai kunci tersebut dan bermain dengannya. Tiba-tiba kedua-dua tangannya menggeletar seolah-olah menggigil kesejukan. Ada sesuatu yang bakal berlaku di situkah?

            Sejurus selepas Rina merasai kegigilan tangannya, sebuah kenderaan tiba-tiba meluru begitu laju ke arah kedai makan tersebut sebelum merempuhnya tanpa belas kasihan. Kesemua pelangganyang makan di situ tidak sempat mengelak dan menjadi mangsa rempuhan tersebut termasuklah mereka berlima.

            Rina tersedar seketika setelah terdengar bunyi bising, dan dia sangat terperanjat melihat wajah Imran yang begitu dekatnya. Rupa-rupanya dia sedang berada dalam dakapan Imran yang melindunginya daripada rempuhan kereta tadi. Rina pantas bangun dan mengelak daripadanya. Imran tersenyum lega melihatnya. Rina tersipu-sipu malu untuk membalasnya, namun dalam diam lega setelah melihat senyuman dari lelaki tersebut.

            Rina bangun berdiri untuk melihat situasi yang sedang berlaku. Wajahnya berubah mendadak kerana tidak menjumpai di manakah mereka bertiga. Jangan-jangan mereka sudah... Segera dia membantu pekerja kedai makan yang terselamat untuk menyelamatkan mereka yang lain. Rina berharap sangat mereka hidup dan terselamat termasuk Naim.

            Wajah Rina berubah sebaik menjumpai tubuh kaku budak yang bermain rantai kunci tadi. Budak tersebut sedang dipeluk erat oleh ibunya yang turut ‘kaku’. Tanpa sedar air matanya mengalir kerana berasa sebak dan sedih. Tidak lama kemudian, dia terdengar suara orang menjerit meminta tolong dan suara tersebut amat dikenalinya. Rina cuba mencari arah suara tersebut, begitu juga dengan para pekerja kedai makan. Pada masa yang sama, beberapa buah van ambulans serta jabatan pertahanan awam telah tiba di lokasi tersebut.

            Kini barulah Rina sedar bahawa Imran sebenarnya telah mengalami patah tulang kaki sewaktu melindunginya tadi. Dia hanya tersenyum membalas pandangan Rina sebelum dibawa masuk ke dalam van ambulans. Mengapa lelaki tersebut sanggup mengorbankan diri untuk melindunginya? Bukannya dia begitu ‘berharga’ sangat kepada Imran melainkan Imran sendiri menganggapnya demikian.

            Salah seorang pekerja mengatakan ada seseorang sedang berada di bawah kereta yang merempuh kedai makan tadi. Rina amat terkejut mendengarnya. Beberapa anggota dari jabatan pertahanan awam sambil dibantu pekerja kedai makan untuk mengangkat dan menolak kereta ke tepi. Mujur si pemandu sudah dibawa keluar, malangnya dia sudah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bunyi loceng dari rantai kunci berlian kedengaran di telinga Rina. Dia sangat bersimpati dengan si pemandu tersebut.

            Apabila sudah berjaya diangkat tepi, Rina terkedu melihat mereka bertiga yang benar-benar berada di bawah kereta tadi. Dan salah seorang daripadanya telah disahkan meninggal dunia, yakni Naim. Wajahnya penuh dengan kesan darah. Manakala Hanim dan Sarah menangis berpelukan. Mereka berdua hanya mengalami kecederaan ringan dan Hanim mengalami patah tangan.

            “Sarah! Hanim!” Jerit Rina. Perlahan mereka berdua memandang ke arahnya.

            “Rina, aku nak minta maaf! Aku tak sangka Naim akan mati hari ni. Aku menyesal dengan apa yang aku cakap tadi!” Luah Sarah kesal. Air matanya masih mengalir ke pipi. Puas dia dipujuk oleh Hanim, namun tidak berhasil.

            Hanim berjaya diangkat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Sementara Sarah dirawat segera oleh petugas paramedik. Wajahnya masih mempamerkan rasa kekesalan. Beberapa orang lain juga terselamat dan ada juga yang mati termasuk ibu dan anaknya tadi. Tidak lama kemudian, beberapa buah kereta polis telah tiba di tempat kejadian. Salah seorang daripada pegawai polis yang tiba, iaitu Hasan hanya diam memerhatikan Rina yang berdiri kaku sambil berwajah sedih.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura