AKHIRNYA Rina telah sampai di hadapan rumahnya. Senyumannya terukir seketika. Seperti biasa, halaman rumahnya sentiasa bersih tanpa ada sebarang sampah atau sebagainya. Rumput pula ditebas setiap hari. Namun pada hari tersebut, kelibat Pak Jan tidak kelihatan. Tidak kesampaian niatnya untuk mengucap terima kasih. Mungkin orang tua itu sudah pulang awal ke rumahnya.
Rina terpegun saat melangkah masuk ke dalam rumahnya. Sangkanya sudah berhabuk kerana sudah lama ditinggalkan sejak kematian arwah bapanya. Ternyata sangkaannya meleset. Sepertinya ada orang memasuki rumahnya dan mengemas segala ruang dalam rumah. Rina mula terfikir, adakah semua ini kerja orang tua itu juga? Mengapa dia terlalu rajin untuk melakukannya seorang diri? Masih ada kudrat lagikah?
Rina melepaskan keluhan panjang kerana keletihan. Terasa malas mahu berfikir panjang mengenainya. Jika dia terserempak dengan Pak Jan nanti, pandailah dia menanyakan beberapa soalan kepada orang tua itu. Tubuhnya direbahkan di atas katil empuk di bilik tidurnya. Oleh sebab terlalu letih, matanya terkatup dengan sendirinya.
Sementara itu, di luar rumah Rina, kelibat Pak Jan ternyata masih ada di sekitar halaman rumah, lebih tepat di belakang rumah. Dia sudah menyedari kepulangan gadis tersebut dan sengaja tidak mahu bersemuka dengannya tadi. Kakinya diangkat lalu menapak ke hadapan hingga tiba di depan rumah. Pintu rumah dikuaknya sebaik menyedari pintu tidak dikunci dari dalam. Suasana di dalam rumah agak sunyi. Pak Jan berjalan perlahan menuju ke bilik tidur Rina yang tidak ditutup pintu. Kelihatan Rina sudah lena dibuai tidur. Pak Jan tersenyum sendirian.
Pada masa yang sama, di kampung Rina juga, lelaki misteri bertopi dilihat sedang berjalan sambil menikmati suasana kampung. Senyumannya yang melekat di bibir mula menarik perhatian beberapa orang gadis kampung yang kebetulan berada di luar rumah masing-masing. Dia tiba di kampung tersebut kerana satu tujuan. Tempoh hari, dia begitu kecewa kerana soalannya tidak dijawab oleh Faizal. Malah ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang kata. Namun kekecewaannya telah hilang sebaik firasatnya mengatakan orang tersebut sedang berada di kampung yang dijejakinya sekarang.
Siapa identitinya masih tidak diketahui. Namun begitu, mengatakan bahawa ada dalang di sebalik kes kematian telah menarik perhatiannya dan ingin bertanyakan beberapa soalan kepada orang tersebut. Langkahnya terus diorak ke depan tanpa rasa letih dan sebagainya. Kira-kira 10 minit kemudian, akhirnya dia sampai ke destinasi yang ditujui. Ternyata rumah yang ditujui adalah rumah Rina.
Ketika hendak mengetuk pintu rumah, tiba-tiba lelaki misteri bertopi itu merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Dia berundur seketika untuk beberapa langkah dan cuba melihat keadaan rumah. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari poket jaketnya dan mengacukannya ke arah rumah tersebut.
BANG! Rina pantas bangun dari tidur setelah terdengar bunyi tersebut. Cuak dia seketika sebelum berlari keluar dari bilik. Dia yakin bunyi tersebut datang dari luar rumahnya. Bila diingat semula, dia lupa untuk mengunci pintu rumahnya. Ada orang sedang mencerobohi rumahnyakah? Kemudian dia tersentak melihat seorang lelaki tidak dikenali sedang berada di ruang tamu rumahnya. Lantas dia mengambil penyapu sampah sebagai senjata bela diri.
“Siapa kau? Kau buat apa kat rumah aku ni?!” Sergahnya.
“Bertenang, gadis muda. Sekurang-kurangnya sediakanlah air untuk ‘tetamu’ kau ni,” balas lelaki misteri itu sambil tersenyum. Rina terdiam seketika. Warna kulit lelaki itu lebih kurang sama dengan warna kulit wanita berjubah yang sering dimimpikannya. Berkulit cerah dan berwarna putih. Ada apa-apa kaitankah dengan mereka berdua?
“Kau siapa, hah?! Kau hantu juga ke? Sudahlah! Jangan mengganggu hidup aku lagi!” Bentak Rina beremosi. Dia mula menggigil ketakutan kerana teringat akan perubahan kepala wanita berjubah kepada kepala tengkorak.
Lelaki misteri berubah hairan selepas mendengar kata-kata dari gadis tersebut. “Bertenang. Aku bukannya hantu. Tak ada apa-apa yang menakutkan kau kat sini,” pujuknya.
Rina berasa tenang sedikit tetapi dia masih belum mempercayai lelaki tersebut. Dia tetap berwaspada dan akan bersedia jika terjadi apa-apa terhadapnya.
“Siapa kau sebenarnya dan apa kau buat kat dalam rumah aku ni?” Soalnya dengan wajah yang bengang. Lelaki misteri itu sekadar tersenyum membalasnya. Tanpa sedarnya, hatinya telah diketuk oleh satu perasaan yang tidak pernah dialaminya selama ini.
“Identiti aku tak penting bagi kau. Kita bukannya akan selalu berjumpa dan berkawan. Anggap saja aku ni sebagai orang asing bagi kau. Tapi tujuan aku ke sini adalah untuk berjumpa kau. Ini pertemuan pertama kita, kan?” Balas lelaki itu, tersenyum lagi. Rina makin segan melihat senyuman dari lelaki itu.
“Kalau kau main-main dengan aku, siap kau! Apa hal kau nak jumpa aku?” Tanya Rina ingin tahu. Batang penyapu sampah masih diacukannya ke arah lelaki misteri itu. Lelaki itu tidak kisah dengan tindakannya dan cuba bersikap tenang.
Belum sempat lelaki misteri itu membuka mulutnya, dia serta Rina dikejutkan dengan bunyi benda terjatuh di dapur. Lantas Rina menoleh ke belakang sebelum terfikirkan sesuatu yang mencurigakan.
“Kau hanya datang ke sini seorang diri atau lebih daripada tu? Panggil kawan kau tu ke sini sekarang jugak!!” Bentak Rina marah. Dalam pada masa yang sama, dia begitu takut jika lelaki misteri itu mempunyai teman di dapur. Bimbang akan perkara buruk terjadi kepadanya nanti.
“Tak, jangan salah faham! Aku hanya datang seorang diri aje! Tak apa, kau tunggu kat sini. Biar aku periksa keadaan kat dapur,” balas lelaki itu yang cuba berlagak hero di hadapan seorang gadis cantik. Bagaimanapun Rina masih tidak mempercayainya dan menganggap lelaki tidak dikenali itu sekadar membohonginya sahaja.
Tidak lama kemudian, kedengaran pula bunyi teriakan kucing dari arah dapur. Rina yang begitu panik cuba menghampiri dapur sebelum melihat lelaki tersebut sedang diserang oleh seekor kucing hitam. Spontan, Rina memukul-mukul badan kucing hitam itu dengan penyapu sampah sehingga haiwan tersebut melepaskan gigitannya pada kaki lelaki misteri itu. Kucing tersebut sempat melarikan diri melalui pintu dapur yang terbuka luas. Hairan, sejak bila Rina membuka pintu dapur sebelum dia masuk tidur di biliknya?
“Kau lelaki ke apa, hah? Dengan kucing pun kau boleh mengalah!” Lenting Rina. Padahal dalam diam dia berasa kasihan melihat keadaan lelaki itu yang parah digigit kucing di kaki kirinya. Sekali lagi sifat egonya mengatasi sifat kasihannya.
“Maaflah. Kucing tu tiba-tiba datang menyerang dan menggigit kaki aku. Aku tak boleh nak mengelak lagi,” balas lelaki misteri itu sambil menahan kesakitan pada kaki kirinya. Belum pernah selama ini digigit oleh mana-mana haiwan.
Oleh sebab berasa kasihan, Rina segera ke biliknya semula untuk mengambil ubat minyak. Sebaik kembali ke dapur, dia mencapai dua helai kain tuala kecil yang tidak dipakai dan semangkuk berisi air. Pintu dapur pantas ditutup dan dikunci dari dalam. Tanpa mempedulikan lelaki misteri itu, Rina cuba merawat luka gigitan pada kaki kiri lelaki itu. Sekali-sekala lelaki misteri bertopi itu terjerit kecil kerana menahan kesakitan yang sedang dialaminya. Rina terasa geli hati melihat reaksi lucu dari lelaki itu.
“Dah siap! Dalam sehari dua nanti, kau buka balutan ni. Lepas tu pergi ke klinik untuk periksa kesan luka gigitan ni sebab aku tengok kesannya agak mendalam,” beritahu Rina yang seakan mahir dalam bidang perubatan.
“Thank you very much.” Ucap lelaki misteri itu sambil tersenyum. Kemudian cuba untuk bangun dalam keadaan kaki kirinya yang masih sakit itu. Rina pula terdiam saat dia terdengar ucapan terima kasih dalam bahasa Inggeris.
“Kau dah nak balik ke? Bukan kau datang ke sini nak berjumpa dengan aku ke?” Soal Rina. Dia hairan melihat lelaki itu yang berjalan menuju ke pintu rumah.
“Memang aku datang nak berjumpa dengan kau tapi untuk hari ni, kau berehatlah dulu. Lain kali aje aku datang ke sini lagi. Kau tunggu ajelah!” Balas lelaki misteri itu lalu beredar keluar meninggalkan rumah Rina.
Rina melepaskan keluhan kasarnya. Kepalanya diurut perlahan. Tanpa sebarang undangan, seorang lelaki berkulit putih datang ke rumahnya dengan tiba-tiba. Rina mengakui salahnya kerana tidak mengunci pintu rumah dari dalam. Kemudian muncul kucing hitam datang menyerang lelaki tersebut tanpa sebab. Pintu dapur pula terbuka luas dan Rina sendiri tidak membukanya sebelum kejadian tersebut.
Kepalanya yang tidak gatal digaru. Beberapa perkara yang berlaku mula bermain di fikirannya tetapi dia malas mahu memikirkannya dan mahu menyambung tidurnya semula. Setelah memasuki ke dalam biliknya dan menutup pintu, matanya terpandang sesuatu menakutkan di dinding biliknya. Riak wajahnya berubah mendadak.