Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 7

RINA terus terjaga dari tidur selepas mengalami mimpi buruk. Berkali-kali dia mengucap istighfar tanpa henti. Setelah menenangkan dirinya, salinan keratan akhbar yang berselerakan di atas katil disusun dan disimpan semula ke dalam fail. Mujur pada hari itu adalah hari cuti. Jam loceng di meja diperhatikannya. Setelah menyimpan fail ke dalam laci meja, sehelai tuala dicapainya dan mengambil bekas alat mandiannya.

            Bilik air ditujui sebelum bertembung dengan seorang pelajar bernama Olivia. Dia merupakan pelajar satu kelas dengannya dan berdarah kacukan Melayu-Inggeris. Olivia tersenyum memandangnya namun Rina lansung tidak membalasnya. Malah terus melangkah masuk ke dalam bilik air tanpa bersuara apa-apa.

            Selang beberapa minit, Rina sudah selesai mandi membersihkan diri. Sebelum membuka pintu bilik air, dia berharap Olivia tidak menunggunya di hadapan atau sebagainya. Buat masa sekarang dia tidak mahu bertembung dengan sesiapa. Namun setelah beberapa langkah keluar dari bilik air, dia ditegur oleh satu suara bernada sinis.

            Rina hanya diam membisu dan membiarkannya. Dia tidak kisah dirinya dibenci oleh sesiapa asalkan dia mahu bersendirian. Orang yang menegurnya tadi juga buat tidak endah. Langkahnya terus menuju ke bilik air.

            Usai mengenakan pakaian, jam tangan bertali kulit dipakainya. Hari ini dia bercadang keluar untuk pergi ke suatu tempat. Beg sandangnya dikemas dan memasukkan buku lakaran serta alat tulis ke dalamnya. Bakatnya dalam melukis dan melakar mula diketahui sejak di sekolah menengah rendah. Namun adakalanya dia pernah melukis sesuatu yang tidak dijangka tanpa dirinya sendiri. Sosok wanita berjubah hitam sering menjadi subjek lukisannya.

            Rambutnya yang panjang paras bahu diikat. Sementara rambut pendek di bahagian dahi disisir tepi. Selesai mengenakan sedikit solekan bedak, dia terus melangkah keluar dari bilik. Malang baginya,dia bertembung lagi dengan seseorang. Kali ini dengan Hanim. Senyuman yang melekat di bibir tadi lansung hilang. Namun Hanim sempat melihat senyumannya tadi.

            “Nak ke mana hari ni? Nak aku temankan?” Pintanya.

            “Tak payahlah. Aku boleh pergi seorang diri,” balas Rina dingin lalu pantas beredar dari situ. Namun langkahnya terhenti sebaik terdengar bunyi riuh-rendah dari tingkat atas.

            Hanim juga terkejut mendengarnya. Seakan-akan ada orang sedang bertengkar di tingkat atas. Sebaik melihat Rina yang menaiki tangga, Hanim turut bergegas menaiki tangga juga. Masing-masing tertanya apa yang sedang berlaku sebenarnya.

            Rina tersentak setelah mendengar jeritan seseorang yang menyebut perkataan ‘JANGAN’. Tubuhnya menjadi kaku seketika seakan terkena kejutan elektrik. Kakinya terasa menggeletar. Hanim sempat menyedarinya sebelum melihat wajahnya yang berubah pucat. Perlahan Rina mendekati sebuah bilik yang terbuka sedikit pintunya.

            “Rina,..” Hanim cuba memanggilnya namun diendahkan.

            Dia tidak pasti samada perlu ataupun tidak untuk masuk campur sebuah pertengkaran yang terjadi di dalam bilik tadi. Namun sebaik Rina sudah memasuki bilik berkenaan, Hanim terpaksa akur lalu mengikutinya.

            Seorang pelajar perempuan asyik menangis tanpa henti. Hanim pantas bertindak untuk menenangkannya. Rina pula berjalan perlahan mendekati tingkap bilik yang terbuka luas. Dari jauh sudah kedengaran bunyi ambulans yang memasuki kawasan universiti. Rina mahupun Hanim tercengang dengan bunyi tersebut.

            Sebaik melihat apa yang ada di bawah melalui tingkap, jantung Rina seakan mahu berhenti berdenyut. Air matanya menitis tanpa disedari. Riak wajahnya menunjukkan ekspresi takut dan trauma akan sesuatu. Rina akhirnya menangis dan menyandarkan tubuhnya di dinding. Hanim hairan melihat kelakuannya. Lalu dia cuba untuk menenangkannya. Berkali-kali Rina meminta tidak mahu ditenangkan sebelum kalah dalam dakapan Hanim. Tangisannya yang kuat kedengaran menambahkan lagi persoalan mengenai Rina.

 

RINA akhirnya dapat menenangkan dirinya. Dia kini berada di sebuah pondok berhampiran asrama sambil ditemani Hanim. Sebenarnya banyak soalan yang ingin ditanyakan kepada Rina, namun Hanim tidak mahu tergesa-gesa dan mahu memberikan sedikit masa kepada rakannya itu.

            “Kau dah okey sekarang?” Tanya Hanim tersenyum. Rina hanya berpaling ke arahnya tanpa berkata apa-apa. Matanya masih bengkak dek tangisannya tadi.

            “Kalau kau dah okey, tak apalah. Kau cakap nak keluar hari ni, kan?” Kata Hanim lagi. Rina masih membisu lagi. Pandangannya kembali ke arah hadapan. Hanim sengaja menunggunya, mungkin Rina mahu mengambil masa untuk bersuara kembali.

            “Tak jadi, kepala aku masih pening lagi ni.” Akhirnya Rina bersuara. Lega Hanim mendengarnya.

            “Kau nak balik ke bilik asrama tak?” Tanyanya. Rina pantas menggeleng. Lalu mengeluarkan buku lakaran serta pensel dari beg sandangnya. Hanim hanya diam memerhatikannya. Gaya Rina melorek dan melakar di atas kertas seakan seperti seorang pelukis professional.

            “Teruk kan zaman sekarang ni? Makin ramai orang mati sejak akhir-akhir ni. Macam kes jangkit-berjangkit pulak.” SuaHanim yang mahu meluahkan isi hatinya tentang kejadian pelajar bunuh diri tadi. Rina terhenti dari melukis seketika kerana tertarik dengan kata-katanya.

            “Memang kita sebagai benda hidup pasti akan mati, tak kira cepat atau lambat. Tapi kalau setiap hari berlaku kematian, terasa macam ada yang tak kena.”

            “Ada yang tak kena? Maksud kau?”Tanya Rina hairan.

            “Seolah-olah ada orang sedang mempermainkan hidup dan mati manusia. Dalam dunia ni, memang tak ada manusia yang baik sebaik-baiknya. Ada yang tamak, cemburu, bernafsu, inginkan pemberontakan, jahil dan sebagainya. Sifat-sifat negatif itulah yang mungkin menjadi punca kematian setiap hari di negara kita. Itu sekadar pendapat akulah. Saja aku nak luahkan sekarang sebab geram dengan apa yang berlaku tadi,” ujar Hanim.

            Rina diam sambil mengangguk kepala. Dia kembali menyambung lukisannya. Hanim memandangnya dengan senyuman.

            “Macam mana dengan kecuaian manusia?” Seminit kemudian, Rina pula bertanyakan kepada Hanim. “Contoh seperti kemalangan jalanraya?”

            “Itu pun termasuk juga, Rina. Sebagus mana pun manusia, kalau kita leka dan cuai, benda yang buruk boleh terjadi kat kita. Paling teruk, boleh mengakibatkan kematian,” jawab Hanim. Senyumannya sengaja dilemparkan ke arah Rina.

            Rina terdiam lagi. Lakaran tadi sudah disiapkannya. Keluhannya dilepaskan. Lakaran tadi dikoyak dari buku sebelum menyimpan buku dan pensel ke dalam beg. Dia diam memandang ke arah lakarannya yang ringkas itu.

            “Mungkin kata-kata kau tadi ada betulnya. Boleh dikatakan sikap manusia sendiri yang menjadi punca kematian mereka sendiri. Dungu betul!” Luah Rina lalu tertawa kecil. Hanim turut mengakui kata-katanya.

            “Suatu hari nanti, mungkin akan terjadi kat kita berdua pulak.” Hanim berubah hairan setelah mendengarnya. Apakah ada makna di sebaliknya?

            “Dah takdir kita, nak buat macam mana lagi?” Balasnya.

            “Tapi kau percaya tak, kalau kematian manusia bukan berpunca dari sikap manusia tu sendiri, tapi benda lain? Benda yang kita tak nampak dengan mata kasar,” beritahu Rina lalu duduk mendekati Hanim.

            “Be-benda apa? Apa kau cakap ni, Rina?” Soal Hanim sedikit takut.

            Lalu Rina menunjukkan lakaran yang disiapkannya tadi yakni sosok wanita berjubah hitam. Hanim tidak pasti samada Rina mahu mempersendakannya ataupun tidak. Namun lakaran tersebut agak menyeramkan baginya. Wajahnya lansung tidak kelihatan dek jubah kepala yang terlalu labuh. Pakaian jubah pula lusuh dan koyak-rabak.

            “Rina, kau jangan nak takutkan aku. Aku tau kau kesunyian, sebab tu kau lukis bukan-bukan macam ni.”

            “Aku tak main-main, Hanim! Aku dapat rasakannya. Benda ni adalah penyebab kematian manusia setiap hari! Aku rasa benda ni berdendam dengan manusia. Mungkin termasuk kita berdua dan seluruh pelajar universiti ni. Silap haribulan nanti, universiti ni akan meletup dan mengorbankan kita semua!”

            “Sudahlah tu, Rina!” Tidak semena-mena Hanim ‘menghadiahkan’ tamparan di pipi Rina. Rina terkedu seketika. Lakaran wanita berjubah tadi dilempar jauh. Lantas Hanim pergi meninggalkan Rina seorang diri di pondok.

            Rina akhirnya jatuh terduduk disitu. Ini pertama kali dia menerima tamparan hebat di pipi. Air matanya menitis ke pipi. Kemudian dia menyedari ada orang datang menghampirinya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura