Dua tahun kemudian,
HANIM bersama Imran dilihat sedang menziarahi kubur seseorang. Masing-masing sedang berdoa agar roh orang itu dapat hidup dengan aman. Dari luar pintu tanah perkuburan, Rafeeq hanya diam memerhatikan mereka sebelum melangkah masuk ke dalam. Menyedari kehadiran Rafeeq, Hanim bingkas bangun bagi menyambut kedatangannya. Dia tidak menyangka lelaki itu turut datang menziarahi kubur yang sama.
“Macam mana dengan keadaan dia sekarang?” Sapa Rafeeq separuh bisik. Matanya tepat Imran yang masih duduk bersila menatap kubur Rina. Beberapa helaian rumput dicabutnya untuk membersihkan kubur itu.
“Macam biasa. Sejak dari kejadian tu, dia lansung tak cakap apa-apa. Dia ikut saja apa aku cakap dan tak pernah lawan cakap. Mungkin dulu dia memang macam ni. Kesian pulak aku tengok,” luah Hanim bernada sedih.
“Ada dia pernah bertindak pelik atau sebagainya sebelum ni?” Soal lagi Rafeeq.
“Hanya pernah sekali dia cuba untuk bunuh diri tapi aku berjaya menghalangnya. Lepas tu dia terus menangis sambil panggil mak dia,” jawab Hanim. Hatinya terasa sebak sebaik mengingati perkara tersebut. Lalu menitis air mata yang tidak dapat ditahan itu.
Seakan menyedari situasi yang melanda Hanim, Imran segera menoleh memandang ke arahnya. Hanim mengesat air matanya lalu melemparkan senyuman lebar. Dia tidak mahu menunjukkan kesedihannya kepada Imran. Mata Imran masih menghadap ke arahnya tanpa kerdipan lansung. Rafeeq hairan seketika namun Hanim memintanya supaya bertenang.
Imran kemudiannya memberikan seutas rantai kunci berlian kepada Hanim. Rafeeq terkejut melihatnya. Dia tidak menjangkakan bahawa rantai kunci tersebut masih ada lagi. Sudah lamakah dia menyimpannya?
“Rafeeq, aku mohon jangan lakukan apa-apa. Dia sangat sayangkan rantai kunci ni. Dia selalu bagi kat aku di saat aku bersedih mengenangkan arwah Rina dan Sarah. Umpama dia nak ceriakan hati aku dengan bunyi loceng rantai kunci ni,” ujar Hanim.
Hanim kembali mendekati Imran sambil mengucapkan terima kasih. Dia tidak berasa sedih lagi setelah diberikan rantai kunci tersebut. Seperti mana yang diminta oleh arwah Rina sebelum ini, dia telah menganggap Imran sebagai adiknya sendiri walaupun umur mereka sebenarnya sama. Ironinya, Imran memang berkelakuan seperti seorang budak setelah kejadian dua tahun yang lalu. Segala perkara yang berlaku ketika itu lansung tidak diingatinya.
“Macam mana dengan mak ayah kau pulak? Dia orang boleh terima Imran sebagai adik angkat kau?” Tanya Rafeeq ingin tahu. Hanim diam seketika setelah diajukan soalan demikian. Senyumannya diukir lagi sambil memandang wajah Imran.
Kemudian mereka berdua bangkit lalu berjalan beredar meninggalkan Rafeeq. Rafeeq sempat melihat mereka saling berpimpinan tangan bagai pasangan kekasih. Dia sekali lagi hairan mengapa Hanim tidak menjawab soalannya tadi. Ada sebabkah?
“Hanim, ada perkara yang kau tak nak beritahu kat aku?” Langkah Hanim terus terhenti. Begitu juga dengan Imran. Hanya berhenti sekejap sahaja sebelum kembali berjalan ke hadapan. Hanim sekadar diam sambil menoleh ke arah Rafeeq. Kemudian, bibirnya bergerak mengungkap ayat yang tidak didengari Imran namun bisa dibaca oleh Rafeeq.
Rafeeq melepaskan keluhan panjang. Memang sudah dijangkakan akan jawapan bisu yang diberikan oleh Hanim tadi. Kepalanya perlahan digeleng lalu berjalan mendekati kubur bersebelahan dengan kubur Rina, yakni kubur Faizal. Sejak pertemuan pertamanya, dia lansung tidak menduga apa-apa perkara mengenai arwah lelaki itu. Namun dia mula berasa hairan dan pelik mengenai hubungannya dengan arwah Rina dan juga Imran. Ternyata dia merupakan kelahiran semula penjaga anak ahli sihir. Menurut kisah lama, penjaga tersebut telah menjaga anak si ahli sihir setelah kematiannya akibat dihukum kejam.
Kasih sayang yang diberikan kian bertukar dendam setelah anak si ahli sihir meninggal akibat membunuh diri. Dia menyalahkan orang-orang kampung kerana kerap membuli anak si ahli sihir sehingga dia berasa tertekan dan mahu mengakhiri nyawanya sendiri. Difahamkan si penjaga tersebut turut mati bunuh diri dan meninggalkan nota bahawa dia akan ‘kembali’ untuk membalas dendam.
Sementara arwah Sarah pula merupakan kelahiran semula rakan rapat kepada si ahli sihir. Setelah diselidik beberapa maklumat sejarah lama, memang benar rakan rapatnya memiliki wajah persis dengan arwah Sarah. Pada awalnya, Rafeeq tidak mengesyaki apa-apa mengenai arwah Sarah. Malah arwah sendiri tidak begitu rapat berkawan dengan arwah Rina. Namun setelah kemalangan yang menimpa arwah sebelum ini, kelakuannya mula berubah dan pantas menarik perhatian Rafeeq. Sebenarnya dialah membunuh kesemua pelajar universiti serta menembak mati anggota polis termasuk Hasan dan Hasrul. Bagi mengelak identitinya diketahui, dia sengaja memakai pakaian lelaki dan mengenakan jaket berhud di kepala.
Setelah kematian mereka bertiga buat ‘kali kedua’, keadaan di seluruh negara kembali aman tanpa berita kematian secara mendadak setiap hari. Segalanya kembali menjadi normal semula. Namun jauh dari lubuk hatinya, Rafeeq masih membimbangkan sesuatu yakni kehadiran Imran sebagai kelahiran semula anak si ahli sihir. Bimbang dia akan berdendam dengan manusia yang penuh dengan dosa. Manakan tidak, dia telah memulakan ‘langkah kanannya’ dengan menarik nyawa kedua-dua ibubapa Hanim. Hairannya, Hanim tidak berbuat apa-apa dan menganggap Imran tidak melakukan apa-apa kesalahan. Apakah dia sedang mempertahankan Imran?
SETIBANYA di rumah, Imran terus memasuki biliknya tanpa bersuara apa-apa. Hanim menduga pasti dia tidak menyenangi dengan kehadiran Rafeeq tadi. Keluhannya dilepaskan lalu bergerak menuju ke dapur. Dia mahu menyiapkan makan tengahari untuk mereka berdua. Kemudian dia tersedar rantai kunci milik Imran masih ada dengannya. Walaupun sudah bertahun lama rantai kunci itu dibuat, namun keadaannya masih lagi elok seolah baru keluar dari kilang.
Hanim berniat mahu memulangkan rantai kunci itu kepada Imran tetapi patutkah dia bertindak sekarang? Bimbang dia dianggap seperti mengganggunya pula. Kepalanya digeleng laju dan membuang segala fikiran negatifnya. Lalu dia mendekati bilik Imran dan mengetuk pintu. Tidak sampai seminit kemudian, pintu bilik dibuka sebelum menarik masuk Hanim ke dalam. Hanim tersentak dengan tindakan Imran.
“Maafkan akak sebab ganggu kau buat masa sekarang tapi akak nak pulangkan rantai kunci ni kat kau.” Tanpa sedar, Hanim berada dekat dengan Imran menyebabkan dia tersipu-sipu malu. Imran pula memandang wajahnya dengan perasaan serius. Situasi yang cengang itu makin membuatkan Hanim bertambah malu lalu menyerahkan semula rantai kunci berlian kepada Imran.
Malangnya, tangannya dipegang erat oleh Imran dan berniat tidak mahu melepaskannya. Hanim hairan dengan kelakuan Imran sekarang. Kemudian Imran menunjukkannya sebuah lukisan ritual pelik di dinding biliknya. Hanim tersentak lalu terkejut.
“Imran, lukisan apa ni? Apa kau nak buat?”
“Aku nak teruskan dendam mak aku,” jawab Imran dengan nada serius. Setelah dua tahun lamanya dia tidak bersuara, akhirnya kini dia bersuara dan Hanim merupakan orang pertama mendengarnya. Perasaannya amat terkejut sehingga tidak mampu berkata apa-apa.
Meskipun menerima reaksi sebegitu, Imran tetap tersenyum membalas pandangan Hanim sambil membelai lembut rambut serta pipinya. Memang dia menganggap gadis itu sebagai kakak angkatnya, namun pada masa yang sama dia sudah mula menyukainya dalam diam.
“Tolong hentikan semua ni, Imran. Kau kena berubah dan hidup dengan diri kau sekarang. Jangan fikirkan lagi benda yang dah lepas. Semuanya mak kau dah ‘uruskan’. Tolonglah, akak merayu kat kau,” rayu Hanim sambil matanya berkaca.
“Tapi aku,...” Imran tanpa sengaja mengeluarkan air matanya. Dia begitu sakit hati saat mengingati penderitaan ibunya sebelum ini. Penderitaan yang dialami telah menyebabkan ibunya berubah menjadi ahli sihir. Setelah ibunya mati, dia pula membunuh diri. Kini dia dilahirkan semula sebagai Imran dan mungkin itu merupakan peluang baginya untuk berdendam terhadap manusia berdosa.
“Sudahlah tu, Imran. Akak tak nak kau lakukan apa-apa kesalahan lagi. Akak sangat sayangkan kau,” pujuk Hanim lalu memeluk tubuh Imran secara spontan. Perasaan malu memang ada tetapi ditahannya. Tangisan Imran makin kuat kedengaran. Pelukannya semakin erat.
“Berjanji dengan akak, Imran. Jangan buat apa-apa kesalahan lagi. Jangan bunuh orang sesuka hati kau. Boleh tak?” Kepala Imran diangguk-angguk. Air matanya dikesat. Dia menyimpulkan anak jarinya dengan anak jari Hanim sebagai tanda perjanjian. Masing-masing kemudiannya membalas senyuman manis.
Lukisan ritual pelik di dinding ghaib secara tiba-tiba. Hanim berasa lega dibuatnya. Dia berharap tiada lagi perkara tersebut berulang selepas ini. Dia kemudiannya mengajak Imran ke dapur untuk membantunya menyiapkan makan tengahari bersama. -TAMAT-