Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 38

PADA malamnya, Rina keseorangan di dalam biliknya seperti kebiasaan sebelum ini. Lukisan menakutkan di dinding tidak dipedulikannya lagi. Riak wajahnya masih sedih dengan kejadian yang berlaku pada tengahari tadi. Menurut doktor, keadaan Hanim tidak begitu teruk dan hanya mengalami patah lengan sahaja. Manakala Sarah tidak mengalami luka teruk dan terus dihantar pulang ke rumahnya.

            Rina sangat bersimpati atas kematian Naim sebagai rakan sekelas. Kematiannya amat mengejutkan Rina yang telah berlaku di depan matanya. Sekaligus mengakui kewujudan kuasa mistik dari rantai kunci berlian itu. Matanya merenung tepat ke arah dua utas rantai kunci miliknya. Adakah dia mahu membuangnya jauh ke lokasi tidak diketahui seperti mana yang dipinta oleh Hanim?

            Telefonnya digapai lalu melayari sebuah laman sosial untuk mengetahui berita tentang kematian yang berlaku pada hari ini. Termasuk Naim, ramai lagi yang terkorban pada hari yang sama menyebabkan jumlah angka kematian semakin mencecah tiga angka. Laporan tersebut telah disahkan oleh jabatan pihak polis. Rina mengeluh panjang. Hatinya mula tertanya adakah dunia sedang menghampiri ke penghujung?

            Kemudian dia mencari semula berita lama mengenai rantai kunci yang kini sudah tidak dijual lagi mana-mana kedai. Sebelum ini dia tiada kesempatan untuk membacanya, hanya sekadar baca tajuk artikelnya sahaja. Menurut artikel tersebut, seorang lelaki yang tidak mahu mendedahkan identiti telah membeli rantai kunci secara pukal di semua kedai yang menjualnya. Dakwanya, dia mahu membuang atau menanam kesemua rantai kunci itu. Niat serta tujuan sebenar tidak diketahui oleh sesiapa pada ketika itu.

            Walau siapapun lelaki tersebut, pasti dia tahu punca sebenar yang menyebabkan kematian manusia pada zaman sekarang. Rina ingin mengetahui siapakah lelaki tersebut tetapi tiada yang tercatat di mana-mana sumber Internet. Akhirnya dia mengalah dan mengetepikan persoalan tersebut buat seketika. Kotak lama di bawah katil dikeluarkannya dan mengambil sekeping foto lama di dalamnya. Foto tersebut memang sama dengan gambar yang dilihatnya di dalam telefon Hanim, iaitu gambar seorang wanita dan anak lelakinya beserta seorang lelaki dewasa.

            Wanita tersebut tidak lain tidak bukan adalah ahli sihir kejam. Sementara lelaki yang dirakam bersama mereka adalah orang yang sama yang dirakam foto bersama dengan beberapa ketulan biji batu permata. Bila difikirkan semula, Rina semakin jarang terserempak dengan Pak Jan di halaman rumah. Padanlah dia menyedari halaman rumahnya tidak sebersih seperti sebelum ini. Ke manakah Pak Jan menghilang? Adakah dia mempunyai kaitan dengan rantai kunci berlian?

            Dia membelek lagi barang-barang di dalam kotak tersebut sehingga menemui sebuah buku lama bersaiz poket. Di dalamnya penuh dengan tulisan bahasa Inggeris termasuk tujuh sifat negatif yang dimiliki manusia. Dia hairan mengapa ahli sihir wanita itu asyik fikir mengenainya? Terukkah manusia di depan matanya ketika hayatnya? Tidak lama kemudian, kepalanya sakit bagai dicucuk duri tajam. Lantas dia mengerang kesakitan kuat.

            Sekali lagi beberapa memori tidak diketahui menjengah masuk ke dalam otaknya. Dia melihat beberapa orang sedang memaki hamun ke arahnya serta ibunya. Situasi tersebut sedikit memberi gambaran ketakutan kepadanya betapa kejamnya orang yang hidup pada zaman tersebut. Kemudian beralih pula satu situasi yang amat mengejutkan di mana dia menyaksikan ibunya diseksa dan diperkosa oleh beberapa orang lelaki.

            Sebenarnya banyak lagi sikap serta perangai orang yang berlaku di hadapan matanya. Seperti tamak, marah, malas serta bangga diri. Setelah menyaksikan segalanya yang berlaku pada zaman abad ke-19, Rina kembali tersedar semula. Kepalanya masih sakit lagi. Barulah dia tahu bahawa buku nota kecil itu merupakan buku diari milik ahli sihir wanita itu. Mengingati memori yang tidak diundang itu, mengapa dia merasakan seperti dia pernah mengalaminya sendiri? Padahal dia telah lahir pada tahun 1990-an, iaitu lewat abad ke-20.

 

KEESOKAN harinya, Rina bersama dengan Faizal bergerak ke hospital untuk menziarahi Hanim dan Imran. Mujur keadaan kedua-duanya baik. Rina ingin menziarahi Hanim, sementara Faizal menziarahi Imran. Walaupun tahu Imran tidak menyukai kehadirannya, namun Faizal cuba bersemuka dengannya sebagai tanda keprihatinan seorang bekas guru terhadap anak didik. Setelah menapak masuk ke dalam wad yang menempatkan Imran, Imran terus berpaling muka ke arah lain. Hal tersebut sudah diduga oleh Faizal sendiri.

            “Macam mana dengan keadaan kamu sekarang?” Sapa Faizal yang cuba berbaik dengannya. Namun tiada sebarang balasan daripada Imran. Faizal menarik nafas panjang sebelum menghembuskannya. Dia tidak mahu hubungan dingin di antara mereka berpanjangan sampai bila-bila.

            “Imran, saya nak minta maaf sebab cakap benda buruk pasal rantai kunci tu. Saya tak ada niat pun, saya cuma mengandaikan aje. Tak semestinya betul ataupun tak. Buktinya pun tak ada lagi,” luah Faizal kesal. Imran masih berdiam diri sambil memandang ke arah jendela wad. Faizal mula buntu. Tidak tahu cara bagaimana lagi mahu berdamai dengannya.

            “Abang tak perlu nak minta maaf. Mungkin yang salah sebenarnya adalah aku sendiri. Aku dah terlalu taksub dengan rantai kunci dan percaya benda tu membawa nasib tuah. Tapi sebaliknya berlaku perkara lain.” Faizal terpegun sebaik mendengar luahan Imran. Sempat matanya melihat titisan air mata Imran yang menitis ke pipi.

            “Jadi kamu dah berubah fikiran?” Tanya Faizal ingin tahu. Kepala Imran diangguk perlahan. Lega Faizal melihatnya. Sekarang tiada lagi pertelingkahan di antara mereka selepas ini. Akan tetapi dia tertanya juga sejak bila Imran mula berubah fikiran? Sejak kemalangan yang menimpa dirinyakah?

            “Boleh saya nak tau apa yang membuatkan kamu berubah fikiran?”

            Imran diam seketika. Mungkin sedang mengambil masa untuk berbicara mengenainya. Seminit kemudian, barulah dia membuka mulut semula. “Sebelum kejadian berlaku, aku bawa Rina ke kedai makan tu. Dia nak berjumpa dengan tiga orang kawannya dan berbincang pasal sumpahan rantai kunci. Katanya, kematian seorang ahli sihir pada abad ke-19 menjadi punca segalanya. Dendam yang dibawa menjadi kuasa magis dan dimasukkan ke dalam batu berlian kat rantai kunci tu. Dari situlah rantai kunci dijadikan sebagai ‘punca’ kematian manusia sekarang.”

            Dahi Faizal berkerut seribu. Hampir sama dengan penjelasan Rina mengenai dendam orang mati. Tangan kanannya tidak henti bergerak dari mencatat perkara yang dijelaskan oleh Imran tadi. Mungkin ia merupakan satu maklumat penting. Nampaknya, dia menyimpulkan kes-kes kematian yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan unsur paranormal. Persoalannya, mahukah pihak polis menerimanya?

 

“HANIM, aku rasa ada yang tak kena dengan diri aku sebenarnya,” luah Rina berwajah sedih. Hanim kelihatan hairan mendengar luahannya. Dengan riak wajahnya sedemikian, adakah dia sedang dibebani masalah yang berat? Dia sedang mengalami tekanan emosi lagikah?

            “Kenapa? Ada apa-apa masalah nak dikongsikan ke?” Tanya Hanim tersenyum. Rina teragak-agak sebenarnya. Bimbang egonya akan jatuh jika dia menceritakan masalahnya kepada Hanim. Dia masih takut untuk berkawan baik dengan Hanim kerana tidak mahu mengalami perasaan trauma kehilangan kawan baik.

            “Rina? Cerita sajalah. Aku janji takkan bagitau kat orang lain pasal masalah kau. Ini adalah hal di antara kita berdua aje,” ujar Hanim, tersenyum lagi. Rina mengeluh panjang. Bukan itu yang menjadi masalah kepadanya sekarang. Namun memandangkan Hanim merupakan orang yang paling dipercayai, terpaksa dia membuka mulut meluahkan perkara sebenar.

            “Baik, aku akan ceritakannya tapi aku takut kalau kau tak percayakannya. Sebab ia melibatkan perkara pelik yang terjadi kat aku malam semalam.”

            “Eh, perkara pelik?! Pasal hantu? Tak apa, aku dengar aje apa kau nak ceritakan,” balas Hanim. Senyumannya masih melekat di bibir. Walaupun lain yang difikirkan oleh Hanim, namun Rina tetap hendak meluahkannya yang tiada kaitan lansung dengan hantu.

            “Pernah tak kau dengar atau terfikir yang kita ada memori orang yang kita tak kenal? Lepas tu kita dapat merasai pengalaman dari memori tu dan merasakan kita sendiri yang mengalaminya.”

            Hanim hampir ternganga setelah mendengarnya. Kepalanya digeleng perlahan. Rina mengeluh kehampaan. Hanim mengakui pertama kali dia mendengar kata-kata tersebut dari mulut Rina.

            “Itulah apa yang terjadi kat aku sebenarnya pada malam semalam. Aku tak faham kenapa ada memori orang lain dalam ingatan aku tapi aku merasakan aku sendiri yang mengalaminya. Ada apa-apa kaitan dengan rantai kunci berlian ke?” Soal Rina.

            “Aku rasa tak ada kaitan lansung, Rina. Mungkin kau ada masalah berkait dengan ingatan kau. Kau patut berjumpa dengan doktor pakar,” balas Hanim yang prihatin dengan masalah yang dihadapi olehnya.

            “Tapi siapa?” Hanim terdiam setelah diajukan soalan demikian. Dia sendiri tidak tahu siapa yang boleh menyelesaikan masalah Rina.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura