Home Novel Seram/Misteri Rantai Kunci Misteri
Bab 40

LELAKI berkulit putih itu dipandang lama oleh Rina dengan perasaan mencurigakan. Namun lelaki itu tidak mempedulikannya dan berlagak tenang seperti biasa. Senyumannya terus dilemparkan. Dia tidak menyangka akan bertembung dengan Rina di dalam hutan yang tiada jalan keluar itu. Mujur dia sempat selamatkannya daripada ditangkap oleh Pak Jan yang tidak berfikiran waras itu.

            Kini Rina sedang berada di rumah lelaki tidak dikenali itu. Sekurang-kurangnya ada juga tempat tinggal sementara untuk dia menetap daripada rela duduk di rumahnya sendiri. Dia tidak mahu dibayangi lukisan atau tulisan menakutkan lagi. Bukan sekadar lelaki itu seorang, malah ada seorang lagi gadis cantik yang tinggal bersama. Setelah diperkenalkan diri, barulah Rina mengetahui kedua-dua mereka berdua adalah adik-beradik yang telah kehilangan ibubapa.

            “Jadi, kau adalah Rafeeq?” Lelaki itu sekadar mengangguk kepala sambil membalasnya dengan senyuman. Namun Rina lansung tidak tersenyum, malah berwajah masam dan tegang.

            “Macam mana kau boleh jumpa aku kat dalam hutan yang tak ada jalan keluar tu? Macam mana kau boleh jumpa hutan tu?” Rina mula mengajukan soalan pertama. Pada awalnya Rafeeq menoleh memandang kakaknya untuk beberapa saat sebelum kembali memandang Rina semula. Rina menjangkakan pasti mereka berdua sedang merahsiakan sesuatu daripadanya.

            “Sebagaimana kau masuk ke dalam hutan tu, macam itulah aku dapat masuk dan terserempak dengan kau kat sana. Macam kau juga, aku pun nak cari jalan keluar tapi tak jumpa,” jawab Rafeeq tersenyum.

            “Habis macam mana kita dapat keluar dari hutan tu tadi?” Soal Rina lagi. Rafeeq diam seketika sambil diperhatikan oleh kakaknya. Rina sempat menjeling ke arah kakak Rafeeq yang memiliki rambut lurus yang panjang sehingga ke pinggang. Bukan rambut berwarna hitam, tetapi berwarna perang. Orang berdarah kacukankah? Namun berbeza dengan rambut Rafeeq yang berwarna hitam.

            “Mungkin secara kebetulan kita temui jalan keluar dari hutan tu?” Rafeeq sekadar menekanya tanpa jawapan pasti. Rina hairan mendengarnya. Sudah jenuh dia mencari jalan keluar dan Rafeeq pula dengan mudahnya dia menemui jalan keluar. Rina mengeluh kepenatan. Mungkin kerana terlalu penat, dia mula berfikiran bukan-bukan.

            “Rina, kalau kau nak berehat, rehatlah dulu. Nanti kita bincang kemudian,” pesan kakak Rafeeq tersenyum. Gadis itu juga memiliki kulit cerah seperti Rafeeq.

            Rina hanya mengangguk kepala tanpa sebarang suara. Kebetulan matanya sudah berat untuk ditahan dan berniat mahu tidur seketika. Rafeeq kemudiannya diminta untuk ke dapur bersama kakaknya dan membiarkan Rina tidur sendirian di ruang tamu.

 

RINA tidak menyangka akan bermimpi sekali lagi berada di perkampungan ahli sihir wanita itu. Walaupun hanya dia seorang sahaja berpakaian pelik, tetapi kehadirannya sekadar diendahkan oleh orang-orang di sekitarnya. Entah apa yang bakal berlaku di dalam mimpinya nanti. Dia terus berjalan ke hadapan tatkala hatinya terdetik untuk pergi ke rumah ahli sihir wanita itu. Setibanya dia di sana, dia melihat gadis yang mirip dengan wajah Sarah sedang melangkah masuk ke dalam rumah ahli sihir itu. Dia mula teragak-agak samada mahu singgah ke rumah tersebut ataupun tidak.

            Ketika asyik berfikir, Rina tersentak apabila dirinya dipanggil oleh gadis tersebut. Senyuman sinisnya dilemparkan. Rina bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepadanya nanti. Sebaik sahaja ahli sihir itu menunjukkan wajahnya, Rina jadi tercenggang dan terpaksa akur dengan kehendak mereka berdua yang mempelawanya masuk ke dalam rumah. Rina berwaspada dengan keadaan sekeliling rumah jika ia merupakan satu perangkap. Namun perasaannya menghilang sebaik terlihat anak lelaki ahli sihir itu sedang terlantar di katil. Kaki sebelah kirinya pula berbalut tebal. Anaknya sedang mengalami patah tulang kakikah?

            Dengan wajah yang sedih bercampur geram, ahli sihir itu pun berkata, “Semua perbuatan mereka tak boleh dimaafkan! Mereka harus dihukum sebab buat anak aku macam ni. Mereka harus dihukum!”

            Rina terdiam dan terpaku. Sebab itukah ahli sihir itu mahu membalas dendam ke atas orang-orang kampungnya? Namun masih tidak jelas mengapa ahli sihir itu mahu berdendam terhadap manusia yang hidup pada zaman sekarang.

            “Oi! Kenapa kau cakap kau adalah bayang-bayang aku? Adakah itu sebabnya aku sentiasa bermimpi pasal kau dan anak kau? Bermimpi pasal kampung kau yang bakal lenyap ni? Jawab cepat!” Terus Rina mengajukan soalan tanpa menghiraukan kehadiran gadis yang mirip dengan Sarah serta anak ahli sihir itu. Baginya, mereka berdua sekadar mainan mimpi sahaja. Perhatiannya hanya ke arah ahli sihir wanita itu sahaja.

            “Maaf, aku tak boleh jawab soalan tu,” balas ahli sihir itu. Mata kepalanya masih menumpukan ke arah anak lelakinya yang sedang baring itu. Rina sangat bengang dengan jawapan yang diberikan oleh ahli sihir itu.

            “Kenapa tak boleh jawab? Kau sendiri yang ‘buat hal’ tapi kau sendiri tak nak jawab soalan aku!”

            “Aku tak boleh jawab soalan kau sebab aku sendiri tak tau jawapannya! Bila aku sedar, apa yang berada di depan mata aku sekarang adalah kau dan segala kehidupan kau!” Selar ahli sihir itu dengan nada tegas. Tidak semena-mena suasana bertukar kepada suasana yang pernah dialami sebelum ini, iaitu dikelilingi api panas.

            “Apa maksud kau?” Rina hairan dengan kata-kata yang didengarnya tadi. Dia lansung tidak memahaminya. Ahli sihir itu sekali lagi tidak mahu menjawab soalannya.

            “Walaupun aku dah berpuluh-puluh tahun mati, tapi dendam dalam hati aku masih lagi membara! Sejak tujuh tahun lalu, sudah banyak nyawa manusia melayang disebabkan sumpahan dan dendam aku!” Katanya dengan bersuara lantang. Disambut pula dengan suara ketawanya yang nyaring.

            Rina sekali lagi hairan. Tujuh tahun yang lalu? Jika tidak salah, pada ketika itulah berita tentang kematian manusia mula meningkat secara mendadak sejurus selepas berita tentang kebakaran di salah satu kelas sekolah lamanya tersebar luas. Mungkinkah benar ia berkait dengan rantai kunci berlian?

            “Aku sangat berterima kasih kepada kau kerana telah lahir ke zaman dunia yang penuh dengan dosa-dosa manusia,” ucap ahli sihir wanita itu dengan senyuman mengerikannya. Rina masih tidak mengerti apa yang dikatakannya.

            “Aku tak tau dan tak faham apa yang kau cakapkan tadi tapi aku takkan benarkan kau menghukum orang lagi! Dia orang berhak dihukum melalui undang-undang aje. Yang salah, akan dihukum penjara atau mati digantung. Yang benar, akan meneruskan hidup dengan aman. Itulah keadaan dunia zaman sekarang!”

            Pantas Rina menampar sendiri wajahnya berkali-kali di hadapan ahli sihir wanita itu. Kononnya dengan cara tersebut dia dapat bangkit dari tidur dan memutuskan mimpinya dengan ahli sihir itu. Ahli sihir itu sekadar tersenyum memerhatikan tindakan Rina yang seakan sedang menyakitkan diri sendiri. Lama-kelamaan suasana sekeliling semakin menghilang secara perlahan termasuk kelibat ahli sihir itu. Bagaimanapun Rina tidak berhenti dan terus menampar dirinya sehingga dia betul-betul tersedar dari tidur.

 

RINA akhirnya tersedar dan mendapati kakak Rafeeq berada dekat dengannya. Dia melihat tangannya sedang dipegang oleh gadis cantik itu. Wajahnya pula agak kebimbangan. Rina segera menarik tangannya semula lalu menyentuh pipi kirinya yang pedih akibat ditampar walau ketika dalam mimpi.

            “Kau okey? Kau bermimpi buruk ke tadi?” Soal Mona bernada bimbang. Rina mengambil masa seketika untuk menjawab soalan tersebut. Memang benar dia menampar pipinya ketika bermimpi, akan tetapi tidak disangka pula kesannya boleh dirasai di alam nyata.

            “Apa yang aku buat tadi?” Tanyanya ingin tahu.

            “Tadi masa kau tengah tidur, kau asyik tampar pipi kau berkali-kali. Akak cuba hentikannya tapi gagal. Lepas akak berjaya pegang kau, barulah kau tersedar dari tidur,” jawab Mona. Rina jadi kebingungan seketika. Apa yang berlaku di dalam mimpi bakal berlaku di alam nyata jugakah? Dia sendiri tidak tahu dan tidak mengerti.

            “Nasib baik tak teruk. Tak lama lagi, eloklah tu. Jom, kita ke dapur. Akak dah masak masakan untuk kau. Mesti perut kau tengah lapar lepas bermimpi buruk tadi,” pelawa Mona dengan senyuman manisnya.

            Memang secara kebetulan perut Rina berkeroncong selepas disebut perkataan ‘lapar’. Terpaksa dia mengaku kelaparan kerana dari tadi dia tidak makan apa-apa sebelum memasuki hutan yang tiada jalan keluar itu.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miura