Home Novel Komedi/Romantik Komedi HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
HITAM-HITAM SI TAMPUK MANGGIS
Asmah Hashim
6/4/2015 14:50:01
124,926
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
BAB 1


Separuh hari dia menangis, pelbagai lagu sudah didengari, naik rimas Zaiton dibuatnya. Rasa hendak diambil plaster atau apa sahaja yang mampu ditekup mulut teman serumahnya itu. Apalah punya buruk menangis macam budak kecil. Hendak kata hilang duit, tidak? Hendak kata hilang maruah, ops! Tidak mungkin. Zaiton menggeleng laju, lihat fizikal kawannya itu tiada siapa yang sudi hatta diberi percuma, dia tersenyum sendiri. Bukan mengejek, tetapi itulah hakikatnya. Kalau sudah tidak cantik, takkan dia hendak mengatakan cantik, tidak begitu? Zaiton mencebik. Geram pula dia mendengar tangisan temannya itu. Sakit telinga, sakit hati, sakit segala-galanya.

“Hoi! Dahlah tu… sakit jiwa aku dengar suara kau! Kalau merdu tak apa! Ini sama dengan katak yang panggil hujan turun sebab, ular nak makan aku! Ular nak makan aku!” tempelak Zaiton dengan mata dijegilkan ke arah Roseyatimah yang menangis di hadapan televisyen sambil memeluk bantal busuknya. Paling buruk, mulutnya menguncah keropok kentang. Apalah punya teruk teman serumahnya itu. Ini bukan kes gagal dalam bercinta tetapi kontraknya sebagai setiausaha tidak diperbaharui, terpaksalah dia mencari kerja lain. Itu yang beria-ia gadis itu menangis. Boleh banjir rumah sewa mereka kalau berterusan Roseyatimah menangis.

“Kau tahu, aku sedih tau!” kata Roseyatimah dengan nada sedih. Pilu benar suaranya.

“Aku tahulah, aku nampak, tu… ada air mata!” usik Zaiton.

“Mereka langsung tak kasihan kat aku! Ingat senang nak cari kerja sekarang ni? Aku tak nak tanam anggur!” luah Roseyatimah dengan mata yang digenangi air mata. Hiba benar hatinya.

“Tanam anggur? Kau nak tanam kat mana pula? Kau ingat boleh hidup subur ke kalau kau tanam anggur? Aku tahulah ada ladang anggur di Perlis, tapi bukan senang nak jaga!” kata Zaiton.

Roseyatimah terus berhenti menangis. Wajah teman serumah dan pernah sekuliah dengannya itu dipandang seketika. Kering air matanya.

“Tanam anggur apa pula? Aku cakap tanam anggur tu, maknanya mengganggur@ kan sama dengan anggur!” kering air matanya. Apalah punya teruk temannya itu, bahasa kiasan pun tidak tahu.

“Erk…” Zaiton ketawa. Terasa kebodohan diri sendiri. Semakin galak dia ketawa.

“Aku ingatkan kau nak tanam anggur!” Zaiton gelak lagi. Terasa geli hati mendengar kata-kata sendiri.

Roseyatimah menyambung tangisannya. Terbayangkan dirinya yang tidak bekerja. Hendak balik kampung? Buat malu sahaja. Satu kampung sudah tahu, dia seorang setiausaha di sebuah syarikat yang besar, usai tamat belajar. Yang mereka tidak tahu, dia hanya kerja kontrak sahaja di situ.

“Sudahlah Rose, teruk aku tengok muka kau! Kau sendiri tahu wajah kau yang tidak jelita tu, bila menangis, aduhai!” Zaiton menggeleng laju. Penat memujuk. Jenis keras kepala, susah betul hendak berkira.

“Kau hina aku Ton? Aku sedar diri Ton, aku tak cantik. Tak macam kau, putih melepak, alis lentik, bibir bak delima mekar, pipi pauh dilayang. Mana nak sama dengan aku yang lebih kurang Dayang Senandung. Kulit aku sajalah yang macam Dayang Senandung, yang lain macam wajah kera kat dalam hutan tu!” tutur Roseyatimah dengan rasa sedih yang masih berbaki.

“Hmm… terima kasihlah kerana puji aku. Sedar pun diri! Cuma… aku peliklah. Kenapa kau pilih bidang kesetiausahan, takkanlah kau tak tahu, kerja seperti ini hanya untuk mereka yang cantik-cantik sahaja. Kau… hish… kalau aku jadi majikan pun, rasanya aku fikir berpuluh kali sebelum ambil kau. Atau pun tunggu sehingga tiada manusia di dunia ini, yang ada hanya kau!” Zaiton memandang wajah Roseyatimah yang tidak habis-habis lagi menyanyi. Ops! Menangis.

“Kau ni nak pujuk aku ke, atau nak perli?” Roseyatimah mula mencekak pinggang. Bantal busuknya yang sudah hampir bertukar warna dicampakkan ke muka Zaiton.

“Ala… nak gurau sikit pun tak boleh?” ngomel Zaiton dengan wajah kelat.

“Aku tengah sedih, kau ajak aku bergurau?” Roseyatimah rasa hendak bunuh sahaja temannya itu. Bukan hendak memujuk hatinya yang lara, malah sengaja menambah perahan asam limau di atas hatinya yang terluka parah itu.

“Aku nak ceriakan kau! Takkan aku nak menangis meraung macam kau, nanti tak pasal-pasal jiran sebelah kata ada langsuir dalam rumah ni, tak naklah aku!” Zaiton menyengih.

“Langsuir? Langsoya adalah!” jerkah Roseyatimah.

“Dahlah tu, nak marah pula? Jom pergi makan… aku dah lapar ni. Separuh hari kau nenangis sambil mengunyah keropok kentang goreng tu, minum pula air mata Dayang Sulu, teruk betullah kau!”

“Aku dah kenyang!” Roseyatimah menolak ajakkan Zaiton. Dia benar-benar sedih. Bukan main-main.

“Mana tak kenyang! Satu bekas keropok Mister Potato kau ngap sampai habis!” cebik Zaiton. Dia bingkas bangun. Baiklah dia cari benda makan untuk mengisi perutnya yang sudah mula mengikur rentak lagu nyanyian Roseyatimah. Nama sudahlah seperti pelakon era-50an. Kalau pelakon Roseyatimah, seorang yang ayu, lembut dan sedap mata memandang. Tetapi,Roseyatimah di hadapannya, boleh mati tercekik kerana terkejut melihat rupanya.

“Kau nak ke mana?” tanya Roseyatimah.

“Jalan-jalan, cari makan!”nyanyi Zaiton mengikur rentak lagu satu program TV3, Jalan-Jalan Cari Makan.

“Kau nak tinggal aku sendirian di dalam rumah ini, Ton? Kalau aku mati kerana tercekik air mata, macam mana?” soal Roseyatimah.

“Tercekik air mata? Kau biar betul Rose? Agak-agaklah nak bergurau? Kalau tercekik gigi palsu, biasalah aku dengar! Ini air mata? Kalau kau kumpul air mata kau sejak pukul 12.30 tengahari tadi sehingga sekarang pukul 7.00 malam, aku rasalah setengah mug yang ada di hadapan mata kau tu pun tak penuh!”Zaiton mengetap gigi. Hendak saja dia telan teman, sahabat dan kawannya itu. Kenapalah dapat kawan seperti ini. Sengal dan poyo tidak kena tempat. Bukan dia yang mati tercekik air mata, tetapi dia yang mati kerana kebulur.

“Jomlah pergi makan! Selepas maghrib kita pergi ya? Kau berhentilah menangis. Sakit telinga aku dengar suara kau seperti speaker rosak!” Zaiton mengeluh. Baharu separuh hari dia melayan kerenah Roseyatimah yang telah diberhentikan perkhidmatannya. Kalau berhari-hari begini, Roseyatimah tidak gila, dia yang dihantar ke Tanjung Rambutan.

Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.