Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 10

METER minyak menunjukkan yang kereta Aira telah kehabisan petrol. Dia segera membelok keretanya menuju ke stesen minyak Petronas. Memandangkan semua pam ada kenderaan yang sedang mengisi minyak, Aira terpaksa pergi ke bahagian belakang. Di sana turut menyediakan pam untuk isian petrol di samping pam untuk isian diesel dan juga gas asli.

Setelah memasukkan kad kredit dan menekan isian penuh, Aira terus mengisi minyak. Sambil menunggu minyak diisi, dia memandang suasana di sekeliling. Tiba-tiba bagai hendak terbeliak mata Aira apabila menyedari tangannya sedang memegang pam diesel.

Bagaimana boleh terambil pam diesel sedangkan Aira patut mengambil pam petrol yang di sebelahnya? Lebih malang lagi dia sudah isi hampir penuh tangki minyak keretanya dengan diesel.

Mujur Aira masih ingat pesanan rakannya, Hisham yang juga pernah mengalami kes yang sama. Kalau sudah terisi diesel, jangan panik. Paling penting jangan sesekali hidupkan enjin kereta. Sudahnya terpaksa dia masuk ke dalam kedai mesra dan berjumpa pekerja di kaunter.

“Dik, akak dah terisi diesel dalam tangki minyak. Boleh tolong tolak kereta akak ke tepi ?” ujar Aira meminta pertolongan.

“La…macam mana boleh terisi diesel?” tanya adik itu, terkejut.

“Tak tahulah dik. Mata tengok pam petrol tapi tangan terambil pam diesel,” jawab Aira sambil tersenyum.

“Maaflah kak, kebetulan cover khas untuk pam diesel ditanggalkan sebab itu akak tak perasan kut.”

“Tak apalah dik, ada orang tolong tolak kereta akak ke tepi pun jadilah sebab enjin tak boleh dihidupkan nanti rosak pulak.”

“Okey. Nanti saya suruh pekerja tolong akak,” ujarnya.

“Terima kasih ya,” ucap Aira.

Tidak berapa lama menunggu, dua orang pekerja datang membantu. Setelah kereta Aira ditolak ke tepi, Aira segera menghubungi Encik Zarif. Itu saja nama yang Aira terfikir untuk membantunya kerana Aira memang sudah biasa dengan Encik Zarif.

“Assalamualaikum Aira,” ucap Encik Zarif. Terkejut juga dia apabila Aira menelefonnya selepas waktu pejabat.

“Waalaikumussalam Encik Zarif, boleh tolong Aira?” Terus sahaja Aira meminta pertolongan.

“Aira punya pasal okey saja. Ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Encik Zarif.

“Sebenarnya balik tadi Aira isi minyak. Entah macam mana Aira terisi diesel pulak,” beritahunya.

“Aira ni,macam mana boleh terisi diesel?” tanya Encik Zarif terkejut.

“Entahlah sedar-sedar pam diesel yang dipegang. Kalau baru nak masukkan boleh tahan lagi. Ni Aira dah isi hampir penuh tangki baru nak perasan,” terang Aira.

“Apalah Aira ni…nak kata boyfriend lari, Aira memang tiada yang istimewa. Nak kata mati laki, tak kahwin lagi. Apa sebenarnya dalam kepala tu?” usik Encik Zarif sambil tertawa.

“Encik Zarif ni…sempat lagi nak mengusik!"

“Yalah, Aira bukannya tak pernah isi minyak. Dah bertahun-tahun.”

“Nak buat macam mana ni? Aira kena keluarkan diesel tu ikut outlet di tangki, nak minta tolong siapa ya?” tanya Aira.

“Payahnya, saya juga dah on the way balik rumah. Apa kata Aira telefon Fazril. Sekurang-kurangnya dia boleh minta kontraktor site service untuk tolong Aira. Mereka bekerja sampai pukul 6 petang,” cadang Encik Zarif.

“Okeylah kalau macam tu. Terima kasih Encik Zarif,” ucap Aira.

“Sama-sama,” balas Encik Zarif kemudian memutuskan talian. 

Hendak tak hendak terpaksa jugalah Aira tebalkan muka menelefon si Fazril, pakwe tidak jadi ini untuk membantunya.

“Assalamualaikum…” Suara Fazril seakan terketar pula. Mahu sahaja Aira tergelak mendengarnya.

“Waalaikumussalam Encik Fazril. Hmm… ini Aira cakap.” Aira sengaja memperkenalkan dirinya. Pasti sahaja Fazril tahu siapa yang menelefonnya. Seingat Aira, Fazril ada nombor telefonnya kerana mereka pernah bertukar nombor.

“Aira? Er… ada apa ya?” tanya Fazril seakan terkejut. Bukan pura-pura terkejut, memang terkejut bangat!

“Aira nak minta tolong. Boleh tak Encik Fazril telefon kontraktor site service untuk tolong Aira dekat stesen Petronas berhampiran UNITEN? Aira terisi diesel dalam kereta. Ni nak minta tolong keluarkan diesel ikut outlet di tangki minyak.” Terus sahaja Aira bercakap tanpa sempat Fazril bertanya lanjut.

“Okey, Aira tunggu dekat situ. Nanti saya minta bantuan kontraktor site service,” janji Fazril.

“Terima kasih Encik Fazril,” ucap Aira kemudian menarik nafas panjang. Baru perasan tadi bercakap dalam satu nafas. Patutlah semput semacam.

“Sama-sama,” ucap Fazril.

Aira berasa lega apabila dapat menghubungi Fazril. Tidak lama selepas itu, telefon Aira berbunyi. Tertera di skrin nama Fazril. Segera Aira menjawab panggilannya.

“Ya Encik Fazril, macam mana?” Aira terus bertanya.

“Dalam 15 minit begitu, Ah Chong akan sampai tolong Aira,” ujar Fazril.

“Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak Encik Fazril,” ucap Aira.

“Sama-sama,” balas Fazril.

Tidak berapa lama menunggu, akhirnya kontraktor site service datang dengan menaiki van.

“Kenapa ni kakak, sampai terisi diesel?” tanya Ah Chong menghampiri Aira.

“Nak buat macam mana, asyik teringat dekat awak saja sampai tak sedar terisi diesel.” Saja Aira bergurau.

“Ini hal kecil saja,” ujar Ah Chong sambil mengarahkan pekerjanya berbaring menyusup ke bawah kereta untuk membuka outlet di bahagian bawah tangki minyak. Dapat dua tong besar jugalah diesel yang dikeluarkan.

Selepas itu Aira membeli RM 20 petrol dan diisi ke dalam tong yang mereka bawa kemudian memasukkannya seperti biasa ke dalam tangki minyak menggunakan corong.

Seketika baru Aira menghidupkan enjin. Susah jugalah enjin hendak dihidupkan. Apabila enjin sudah hidup, semput-semput pula. Asap kereta jangan cakaplah, hitam sehitam-hitamnya.

Setelah semuanya okey, kontraktor site service pun berangkat pergi. Aira mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka. Kemudian Aira pun memandu kereta bergerak semula ke pam minyak untuk mengisi petrol lagi.

Sepanjang perjalanan balik, kereta Aira memang semput teruk. Apabila melalui jalan berbukit, pasti enjin kereta akan mati dengan tiba-tiba. Terkial-kial Aira menghidupkan enjin sampai kena hon dengan kereta yang di belakangnya. Aira rasa geram juga apabila ada yang sengaja bunyi hon berkali-kali. Itu yang buat dia bertambah bengang.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.