Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 5

“AYAH tengok gambar siapa tu?” tegur si kecil yang kemudiannya merampas gambar gadis idaman dari tangannya. Tidak sempat pula hendak menyoroknya.

“Oo…ayah tengah angau ya?” Pandai pula si kecil hendak mengusiknya.

“Bijaknya anak ayah cakap. Angau tu apa?”

“Bila lama tak jumpa, angaulah tapi orang besar-besar saja. Budak kecil tak pandai angau,” jawab si kecil dengan petahnya. Dia terkedu mendengar jawapan yang diberi.

“Mana sayang ayah belajar?” Diri sendiri pun baru tahu maknanya. Itu pun hampir tidak jumpa perkataan itu di dalam kamus. Sebaliknya si kecil yang belum masuk tadika pula yang sudah terlebih tahu.

“Belajar dari TV la. Tiap-tiap hari tengok dan dengar, lama-lama fahamlah,” jawab si kecil sambil tersenyum. Dia mengangguk-angguk kepalanya.

“Manisnya auntie ni, memang padan dengan ayah,” kata si kecil lagi. Bibirnya turut mengukir senyuman.

“Hmm…tapi sampai sekarang masih tak jumpa-jumpa. Tak tahu dekat mana nak cari,” jawabnya sambil merenung si kecil.

“Ayah ni, kenapa susah-susah? Masuklah gambar ini dalam surat khabar,” cadang si kecil.

“Kita tak boleh suka-suka buat macam tu nanti malulah auntie ni. Entah-entah boleh buat dia marah, siapa tahu?” Tiba-tiba diri juga baru tersedar, manalah tahu gadis yang dicari telah berpunya atau bersuami? Bukankah sia-sia sahaja apa yang dilakukan selama ini?

“Oh… okey,” jawab si kecil walau riak wajahnya menunjukkan tidak puas hati dengan jawapan yang diberi. 

Dia menarik nafas panjang kemudian memeluk si kecil yang kini duduk di atas ribanya sambil menonton televisyen.

Sebenarnya sudah berkali-kali dia mengamati gambar gadis itu. Puas dia mencari apa sebenarnya yang menarik perhatiannya, namun dia masih belum menemui jawapannya. Gadis itu tidak secantik Siti Nurhaliza juga tidak sejelita Erra Fazira. Tetapi ada sesuatu yang mencuri hatinya, ada sesuatu yang membuat hatinya berdetik.

Sehari tidak memandang gambarnya boleh pitam dibuatnya. Tidak sangka sampai begitu parah rindu bayangannya pada gadis Melayu yang entah di mana. Sungguh tidak diduga diri boleh angau dengan gadis yang tidak dikenali langsung. Lainlah andai pernah bertegur sapa dan berbual mesra. Jangankan bercakap, namanya pun dia tidak tahu, itu yang anehnya.

Tekadnya kini adalah untuk lebih bersungguh-sungguh menjejaki gadis ini sampai dapat. Andai dahulu dia masih boleh bertangguh kerana mungkin ketika itu dia belum terdesak tetapi tidak untuk kali kini. Tidak kira apa cara sekalipun, dia akan usahakan juga untuk menjejakinya.

Walaupun dibariskan gadis jelita di depannya, hanya gadis itu juga yang akan dipilih. Hanya gadis itu yang akan menjadi bidadarinya, dulu, kini dan selamanya.

Andai ditakdirkan terjumpa gadis itu, dia tidak akan membuang masa lagi. Dia tidak akan berfikir panjang untuk terus menyuntingnya sebagai suri hati. Dia tidak akan teragak-agak untuk terus merisik, meminang, bertunang, bernikah semuanya dalam satu masa, kalau bolehlah!

Hakikatnya tetap kena ikut prosedur juga, jangan terburu-buru. Terukir sebuah senyuman manis di bibirnya mengingatkan harapannya yang menggunung. Harapan seorang jejaka yang benar-benar yakin akan menemui gadis idaman hati, yang akan menjadi penyeri hidupnya.


“MARLINDA tak sedih ke? Bercinta bagai nak runtuh Istana Menanti, tapi tak kahwin juga akhirnya,” tanya Aira pada sahabat baiknya.

Melihat wajah Marlinda, bagai tiada langsung kisah duka yang berlaku pada dirinya. Aira rapat dengan Marlinda sejak mula-mula projek boulevard dimulakan. Marlinda bertugas sebagai arkitek projek. Tapi kemudiannya ditukar ke projek lain pula.

“Masakan tidak? Penat-penat aku susun dan ikat bata dengan simen, tapi tak mampu juga hendak bina istana impian,” ujar Marlinda perlahan.

“Setahu Aira, kau begitu mahir membuat bancuhan simen dengan nisbah pasir dan kapurnya sekali. Takkan runtuh juga?” Sengaja Aira hendak memeriahkan suasana.

“Agaknya kedai hardware tu bagi aku kapur sirih kut?” balas Marlinda sambil tersenyum.

“Siannya kau, tapi Aira tak nampak pun rasa kesal atau marah di hati kau?” soal Aira. Dia sendiri hanya pernah dua kali berjumpa dengan Hazrul. Boleh tahan orangnya tetapi hendak buat macam mana, sudah tiada jodoh mereka.

“Air mata aku jatuh ke perut sebab itu Aira tak nampak,” ungkap Marlinda dengan penuh makna.

“Kau ni, ada-ada saja.”

“Kenapa perlu dikesalkan dengan apa yang telah terjadi? Menangis air mata darah sekalipun tidak akan tercapai hajat di hati,” tutur Marlinda pula.

“Dalam keadaan kecewa punu masih boleh relaks saja?” tegur Aira.

“Begitulah dengan kehidupan ini. Andai kita pilih untuk bersedih, sengsaralah yang kita dapat. Andai kita pilih untuk gembira, kebahagiaanlah yang datang bertandang,” jawab Marlinda.

Entah bagaimana kata-kata itu boleh keluar dari mulutnya, Marlinda pun tidak pasti. Bahagiakah dirinya sekarang ini? Pastinya dia tidak mampu menipu diri sendiri.

“Itu yang buat Aira suka berkawan dengan Marlinda. Sentiasa positif dan berbaik sangka,” puji Aira sambil memandang wajah Marlinda yang sentiasa ceria.

Rasanya ini kali ketiga sahabatnya putus cinta. Itu yang Aira tahu, yang Aira tidak tahu entah berapa kali pula. Namun Marlinda tetap begitu, tenang dan sabar menjalani kehidupan.

“Hmm… Aira pulak bila nak berkahwin?” tanya Marlinda pula.

“Patutnya tanya siapa calonnya dahulu baru boleh tanya bila nak kahwin,” ujar Aira pula, membetulkan pertanyaan sahabatnya

“Okey, Aira sudah ada calon ke?” tanya Marlinda sambil tersenyum.

“Sedang mencari, rasa macam dah jumpa tetapi diri saja yang perasan sendiri,” ujar Aira kemudian tertawa di hujung kata-katanya. Marlinda turut tertawa mendengarnya.

“Hmm… samalah kita. Mari kita iklankan di dalam surat khabar, siapa tahu di situ rupanya jodoh kita.” Saja Marlinda hendak berlawak.

“Maaflah, mati hidup balik tidak akan Aira lakukan. Biarlah lambat berkahwin dari memalukan diri sendiri,” balas Aira.

“Salahkah kalau buat begitu?” tanya Marlinda sambil memandang tepat ke wajah Aira.

“Memanglah tidak salah, berani ke kau nak buat?” Aira mencerlungkan matanya. Biar betul si Marlinda ini?

"Kalau aku buat macam mana?” tanya Marlinda, masih dengan senyuman di bibir.

“Jangan Marlinda… bukan keluarga kau saja yang malu, dengan Aira sekali rasa tempiasnya,” jawab Aira.

“Apa nak jadi, apa nak jadi… sampai sekarang tak kahwin lagi,” Marlinda sudah mula menyanyi, mujur dengan suara perlahan. Kalau tidak, segan juga si Aira.

“Aira nak sambung sebenarnya tetapi dah terlupa lirik…” balas Aira.

“Kekasihku yang pertama namanya si Syafik, orangnya handsome tetapi berperangai pelik…”

“Dah, dah Marlinda… nanti orang ingat awak tu gila meroyan pulak,” tegur Aira pula.

“Makanan kita bila nak sampai ni? Aira dah pesan ke belum?” tanya Marlinda.

“Bukan kau yang pesan ke?” tanya Aira balik.

“Aduhai Aira, aku dah lapar ni. Aira ni teruk betullah…” marah Marlinda.

“Aira pulak? Siapa yang nak belanja siapa sebenarnya ni? Bukan kau ke yang ajak Aira makan sini?”

“Yalah, aku belanja. Aira tolong pesan makanan.”

“Adik, akak nak pesan makanan,” jerit Aira pada pelayan restoran. Sudah duduk selama ini, boleh tidak ingat hendak pesan makanan? Aira mengeluh.

“Kau ni Aira, tak boleh ke angkat tangan atau beri isyarat? Elok-elok ada orang nak masuk meminang langsung cancel,” marah Marlinda.

“Kita ni tak ada topik lain ke? Hidup ini bukan itu aje. Macam-macam benda lain lagi kena buat.”

“Tak apa, lepas habis waktu pejabat nanti, kita shopping dekat Alamanda nak?”

“Tak naklah, Aira nak balik rumah berehat aje.”

"Hmm... lagilah orang tak tahu kewujudan Aira."

"Insya-ALLAH... mesti ada kumbang yang sesat kat apartment aku."

"Iyalah tu..." Marlinda tersenyum sambil menggeleng.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.