AIRA
sudah mula bosan. Rasanya sudah hampir setengah jam dia pusing-pusing di
kawasan banglo mewah di Seksyen 3 Bandar
Baru Bangi ini. Namun bayang Amy pun dia tidak nampak. Walaupun keretanya ada penghawa dingin, tetapi bagai tidak terasa sejuk langsung ditambah dengan
cuaca yang agak panas.
Hati
Aira turut hangat apabila Amy masih tidak dapat dihubungi. Berkali-kali dia cuba menelefon Amy untuk memastikan di mana lokasi sebenarnya namun, asyik
tidak dapat. Ah, pasti ada masalah dengan telefon Amy! Akhirnya dia mengambil
keputusan memberhentikan kereta di tepi jalan berhadapan sebuah banglo yang agak besar dan mewah. Lagipun di situ agak
redup kerana ada pokok besar.
Pagi
tadi adik Amy yang menghantar Amy, tetapi tidak dapat menjemputnya pulang kerana
terpaksa pergi ke Kelang. Memandangkan Aira tinggal di Kajang, maka dialah
yang jadi mangsa untuk menjemput Amy kerana dia yang paling hampir untuk
dihubungi. Lagipun bukan mudah hendak mendapatkan teksi di kawasan rumah banglo
yang rata-rata memiliki lebih dari 3 buah kereta di banglo masing-masing.
'Hai,
siapalah yang tinggal di banglo ini? Tidak penatkah untuk memastikan banglo ini
sentiasa kemas dan bersih? Tidak bosankah tinggal di rumah yang besar tapi
sunyi-sepi saja? Eh, apa yang aku lalutkan ni? Baik aku berehat sekejap sambil
memejamkan mata,' detik Aira dalam hati. Pasal Amy pandailah dia mencari jalan
untuk menghubungiku. Aira bercakap sendiri.
Baru
beberapa saat Aira melelapkan mata, tiba-tiba dia dikejutkan dengan satu
dentuman. Jantung Aira berdegup kencang dan berasa cemas sekali apatah lagi
apabila badannya terhenyak kuat ke arah pintu.
“Allahuakbar!” Aira terjerit secara spontan. Rupanya sebuah kereta pacuan empat roda berwarna biru berundur dan telah menghentam bahagian kiri keretanya. Cemas dan
marah bercampur-baur. Masakan tak nampak kereta aku ini walau nak berundur
sekalipun? Sempat juga Aira merungut.
Aira
bergegas keluar. Dalam kepala sudah siap ayat yang akan dilafazkan untuk
memarahi pemandunya. Sekali lagi Aira terkejut apabila mendapati tiada pemandu
di dalam kereta tersebut. Alahai! Ini mesti kes tidak tarik handbrake. 'Apa la malang nasibku hari ini? Dahlah Amy entah di mana, kereta pulak kena
langgar,' keluh Aira. Tidak lama selepas itu kelihatan seorang lelaki berlari ke
arah Aira.
“Maaf Cik, bos saya terlupa tarik handbrake la ni…minta maaf banyak-banyak,” ujarnya. Sekejap dia memandang Aira,
sekejap memandang ke arah rumah pula.
“Cuba awak tengok kereta saya tu, remuk tau tak?” Aira sudah mula naik angin. Hendak
menangis pun ada juga. Silap hari bulan di situ juga dia mengamuk dan membebel
tidak henti-henti.
“Maaf la Cik… nak buat macam mana? benda dah nak jadi,” ujar lelaki tu sambil memandang
Aira.
“Awak cakap senanglah. Saya tak kira, awak kena baiki hari ni juga,” tegas Aira.
“Nak baiki macam mana? Hari inikan hari Ahad, mana ada bengkel kereta yang
buka?” ujarnya.
'Betul juga tapi macam mana aku nak pergi kerja esok pagi,' detik
Aira dalam hati.
“Itu saya tak nak tahu. Yang pasti kereta saya kena dibaiki hari ini jugak!”
“Cik, kalau nak baiki pasti ambil masa. Pintu kena tukar baru, tepi ni
kena ketuk. Nak kena cat lagi, enjin pun kena periksa juga.”
Walaupun penerangannya masuk akal
namun Aira tetap dengan ketegasannya. “Makan masa ke, apa ke saya tak kira. Kalau kereta saya tak siap hari ni,
macam mana saya nak pergi kerja?” soal Aira.
“Macam nilah Cik, apa kata Cik bincang dengan bos saya,” cadang lelaki tersebut cuba
meredakan Aira yang sudah diserang angin kus-kus. Sudahlah berdiri di tengah
panas, ditambah hati yang marah, bertambah mencukalah muka Aira.
“Pergi panggil bos awak tu cepat,” arah Aira.
“So sorry about the accident.” Tiba-tiba kedengaran suara lelaki.
Apabila Aira berpaling, kelihatan seorang lelaki berdiri berhampiran.
Masa bila pulak dia ni muncul? Aira tertanya sendiri.
“Are you okay?” Lelaki itu bertanya sambil merenung Aira.
Aira sudah tidak terkata.
Entah kerana menahan marah atau kerana terpukau melihat mat salih yang begitu tampan sekali. Anak matanya berwarna
biru, hidungnya mancung. Aduhai… sempat juga dia menelitinya.
“Don’t worry, I will repair your car as
soon as possible.” Dia bersuara apabila mendapati Aira
hanya membisu. Matanya tidak lepas dari memandang Aira. Naik segan pula Aira
dibuatnya.
“Ha, yalah tu…” ujar Aira macamlah mat salih itu faham. Selebihnya baru perasan tiba-tiba jadi cool pula, padahal tadi bukan main
marah lagi.
“I know It’s will take time to repair your car.
For time being, you can use my car,” ujarnya lagi seperti mengetahui apa yang bermain di fikiran Aira.
“Hmm…okeylah,” ujar Aira acuh tak acuh.
“Shall we, I will show you the car,” ajaknya.
Tanpa membuang masa Aira
mengekorinya sambil lelaki Melayu tadi mengalihkan kereta pacuan empat roda.
“Miss, which car would you like?” tanyanya sambil matanya tidak lekang
dari merenung Aira.
'Ada yang tidak kenakah?' Aira mula rasa tidak selesa.
Mak
Ai! Banyaknya kereta mat salih ni? Tauke
kereta apa? Patutlah siap offer kereta kepada Aira. Kelihatan sebuah
kereta Mercedes di garaj sebelah kiri sementara sebuah BMW dan Mini Cooper di sebelah kanan. Rupanya ada
dua lagi kereta sport di tepi banglo.
Tiba-tiba
Aira tertanya sendiri, masakan nak pinjamkan kereta semewah ini untuk
kegunaannya? Namun okey juga. Boleh juga
sesekali melaram dengan kereta mewah. Aira
sudah mula pasang angan-angan.
“Miss, are you okay?” tanya mat salih itu apabila Aira hanya berdiam.
“Ya…” Aira termalu sendiri apabila menyedari lelaki mat salih itu tersenyum
memandangnya.
“Kereta lain ada tak?” Secara spontan Aira bertanya.
Mat salih itu merenung Aira seakan kehairanan.
Terlupa pula Aira lelaki yang berdiri di depannya adalah mat salih. “Ops sorry…Actually I need a car to work, not a
luxury car,” ujar Aira yang turut tersenyum dan
tersipu malu.
“Its okay. You can choose anyone you like,” ujarnya.
Biar
betul mat salih ni? Belum sempat Aira menjawab pertanyaannya, tiba-tiba telefon
Aira berbunyi. Rupanya Amy yang menelefon.
“Hah, kau kat mana Aira? Bila nak sampai?” tanya Amy.
“Nak sampai macam mana? Pakwe kesayanganku kena langgar dek kereta mat
salih," kata Aira sambil menjeling mat salih itu. Alamak! Dia sedang tersenyum
memandangku? Dia fahamkah dengan apa yang aku cakapkan? Sekali lagi Aira
tersipu malu.
“La…macam mana boleh kena langgar? Handsome tak mat salih tu?” tanya Amy ingin tahu.
“Kau ni, nantilah aku cerita. Kau sekarang ni berada di mana sebenarnya?” soal Aira pula.
“Lama sangat tunggu kau jadi aku pergi ke Petronas dekat Seksyen 4.
Lagipun telefon aku dah habis bateri, ni aku pinjam telefon orang,” terang Amy.
“Kau tunggu aku dekat situ nanti aku datang,” ujar Aira.
“Kau nak ambil dengan apa?” tanya Amy hairan.
“Ni la aku nak cerita.”
“Apa dia?” tanya Amy tidak sabar.
“Aku tak tahu la sama ada mat salih ni kurang betul atau kurang bijak,” ujar Aira sambil menoleh ke arah mat
salih itu. Aduhai, rupanya dia sedang memerhati Aira. Cepat-cepat Aira
berpaling ke arah lain.
“Kenapa?” tanya Amy kehairanan.
“Dia nak pinjamkan kereta dia kepada aku. Kalau kereta Wira ke, Waja ke,
kira standardlah kan? Ni, dia nak pinjamkan kereta mahalan…”
“Wau! Kereta apa? Mercedes, Volvo atau BMW?” tanya Amy beria-ia.
“Macam-macam ada. Cakap saja kereta apa yang kau nak?” tanya Aira pula.
“Mini Cooper ada tak? Aku dah lama mengidam kereta tu,” tanya Amy. Aira tersenyum.
Sebenarnya hanya kereta itu sahaja yang paling sesuai dengan Aira. Kecil dan
tidaklah nampak terlalu mahal walau sebenarnya harganya sahaja boleh bina
sebuah rumah yang cantik juga.
“Kau ni, macam tau-tau saja. Kau tunggu
kat situ,” jawab Aira pantas.
“Sorry, which car Miss?” tanyanya sambil mengangkat kening.
“Mini Cooper please...” jawab Aira tanpa ragu-ragu.
“Sure. Wait a minute. I will take the key for you,” katanya sambil bergegas masuk ke
banglonya. Aira rasa macam tidak percaya pula apabila mat salih itu hendak bagi
dia pakai kereta mewahnya. Tidak risaukah kalau Aira kebas terus kereta dia?
Seketika dia keluar dan menghulurkan kunci kepada Aira. Segera Aira
menyambutnya.
“Can I have your phone number please,” pintanya.
“Sure…” ujar Aira sambil mencari kad bisnesnya namun tidak bawa
pula. Terpaksalah Aira menulisnya di atas cebisan kertas kemudian menghulurkannya
kepada mat salih tadi.
“Thanks. I will call you when your car are ready,” janjinya sambil meneliti cebisan
kertas yang Aira beri.
“Okey,” jawab Aira pendek.
“Oh! Wait Miss Aira Latisha. Here is petrol card, you can use
it at Petronas station,” ujarnya. Amboi, pandai pulak mat salih ni menyebut nama Aira. Tidak
pelat langsung.
“Thank you so much.” Nasib baik mat salih ini turut
memberi kad petrol sekali, jimat duit Aira.
“Are you sure you can drive Miss?” tanya mat salih itu seakan ragu-
ragu pula.
“Sure…” ujar Aira dengan yakin. 'Tahulah diri ini tak tinggi macam
kau, tapi tak payahlah pandang rendah pula. Melampaulah tu,' desis Aira.
Dia pun bukannya tidak pernah memandu kereta Mini Cooper, siap Mercedes dan
Volvo lagi tetapi kereta orang lainlah. Lainlah kalau aku mengurat mat saleh
ni, bisik Aira dalam hati.
Ada
hati juga si Aira dengan mat salih handsome ini. Berangan jangan tidak
berangan Aira. Kita tidak akan tahu siapa jodoh kita sehinggalah tiba saat akad
nikah. Selagi belum tiba saat itu, sesiapa sahaja boleh jadi calonnya. Aira
tersenyum lagi.