Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 31

TIGA hari selepas majlis kenduri, Aira dan Zafri bersiap untuk balik. Aira tidak boleh berlama di kampung walaupun masih bercuti. Dia juga perlu balik ke apartmennya untuk berkemas sebelum berpindah ke rumah Zafri. Memang banyak yang perlu dia kemaskan kerana dia tidak berkemas langsung. Saja hendak berlambat-lambat.

Zafri diam sahaja apabila Aira memberitahunya yang dia hanya akan ke rumah pada keesokan harinya. Dia betul-betul tidak faham dengan perangai Aira. Di rumah Puan Ainun, dia sudah berasa lega apabila Aira okey sahaja melayannya. Keluar sahaja dari rumah Puan Ainun, lain pulak ceritanya. Perangai Aira sudah balik kepada asal.

Zafri malas hendak bertekak dengan Aira pasal hal ini. Rasanya kalau orang lain sudah tidak boleh bersabar dengan perangainya. Setuju berkahwin, tetapi selepas itu kata tidak bersedia. Sudah berkahwin, tetapi bagai tidak beristeri pula rasanya. Suruh isteri pindah segera ke rumah, berbagai alasan pula diberi. Apabila Zafri hendak menolong Aira berkemas di apartmennya, Aira tidak bagi pula.

Tidak sangka pula begini jadinya. Aira pula selamba sahaja buat apa yang dia suka tanpa memikirkan perasaan Zafri. Aduh! Pening Zafri dengan isteri bertuah ini. Boleh diserang sakit jantung andai hari-hari Aira buat perangai. Sabar sajalah. Zafri memujuk dirinya. 


AIRA telah memulakan tugas pada hari Isnin. Sebagai arkitek landskap yang bekerja secara kontrak, dia tidaklah diberi bilangan cuti yang sama seperti pekerja tetap. Walaupun masih ada baki cuti, namun Aira tidak mahu menghabiskannya. Siapa tahu ada kecemasan yang memerlukannya bercuti pada saat yang diperlukan.

“Ani, jom kita pergi lunch. Lama kita tak keluar sama, hari ini aku belanja,” ajak Aira.

“Alhamdulillah, rezeki jangan ditolak. Kak Leha tak ikut sama?” tanya Ani.

“Kak Leha ada hal, kita pergi dua orang tapi dekat-dekat sini aje.”

“Aku tak kisah.” Ani segera bangun dan mencapai dompet dan telefon bimbitnya.

“Anak-anak macam mana?” tanya Aira. Sudah agak lama juga Aira tidak berkunjung ke rumah Ani.

“Biasalah budak-budak tu. Kalau satu hari tak buat ibu mereka bertempik macam tarzan memang tak sah.”

“Janganlah jadi tarzan, bergegar nanti apartmen di Presint 9 tu, nanti kau juga yang segan.”

“Tak adanya aku nak segan, mereka pun tahu aku macam mana sebab dah hari-hari macam tu,” jawab Ani sambil tertawa.

Di apartmen Presint 9, siapa yang tidak kenal ibu muda ini? Sebut namanya mungkin ramai yang tak kenal, tetapi kalau sebut ibu yang pagi-pagi lagi sudah pasang radio kuat-kuat, semua orang tahu. Aira tersenyum bila terkenangkannya.

“Macam mana rasanya bila sudah bergelar isteri?” tanya Ani ketika mereka sampai di Presint 16.

“Jadi isteri ada rasa lain ke? Aku rasa sama saja,” jawab Aira sambil tersenyum.

“Aira ni, tak ubah-ubah lagi perangai tu,” tegur Ani.

“Entahlah, tak tahu nak kata apa bila dah jadi isteri orang ni.”

“Dapat suami handsome dan baik kira berbaloilah walaupun kahwin lambat.”

Handsome memanglah handsome, itu yang buat aku tak larat nak pandang pak cik salih ni.”

“Tengok tu, ada ke panggil suami pak cik salih?” Ani menegur Aira sambil menggelengkan kepala.

“Saja nak seronok-seronok,” balas Aira. Depan Ani bolehlah dia hendak bergelak ketawa. Apabila berada di rumah, terus bertukar senyap.

“Zafri tak marah ke?” tanya Ani.

“Nak marah apa? Dia pun bukannya tahu,” jawab Aira kemudian memesan nasi ayam untuk mereka berdua.

“Habis tu dekat rumah panggil apa?”

“Hendak tak hendak terpaksalah panggil abang jugak, masakan nak panggil kanda pulak.”

“Cuba ikhlaskan diri tu sikit, tak baik tau.”

“Aku pun tak tahu macam mana boleh terkahwin dengan pak cik salih ni.”

“Bunyi macam terpaksa aje.” Jawapan Aira buat Ani semakin berminat dengan ceritanya.

“Tak tahulah nak kata rela dalam paksa atau terpaksa dalam kerelaan,” keluh Aira.

“Aira ni, macam-macam. Dah kahwin buat cara dah kahwin jangan nak ikut perangai waktu bujang lagi.”

“Mula-mula kahwin dulu, Ani macam mana ya?” tanya Aira sambil menjamah nasi ayam bersama kuah sup.

“Aku kahwin suka sama suka, buang angin pun wangi,” jawab Ani sambil tertawa.

“Hisy kau ni… mengarut betul!”

“Sebab tu anak aku macam gerabak kereta api. Lepas satu, satu keluar. Bersambung-sambung sampai tak beri peluang aku rehat!”

“Tak apalah, dapat banyak pahala. Bukan sikit tau, ribu-ribu.” Pandai sahaja Aira bercakap.

“Aira bila lagi?” tanya Ani pula.

“Aku baru aje berkahwin, nanti-nantilah. Suami pun tak habis kenal lagi,” jawab Aira. Pasal anak memang belum masuk dalam agenda kehidupannya.

“Suami ni kena tambat dengan anak-anak, baru dia tak cari lain,” nasihat Ani.

“Masalahnya talinya pun entah di mana-mana,” jawab Aira pula. ,Hendak menambat Zafri? Entah-entah aku yang kena tambat,’ desisnya.

“Lain macam saja bunyinya. Kau ni sebenarnya jumpa Zafri dekat mana? Tak pernah cerita pun, alih-alih terus kahwin.”

“Itu rahsia JKR, lagipun seganlah nak cerita,” jawab Aira dengan senyuman di bibir.

“Tak payahlah nak segan dengan aku. Dekat mana sebenarnya jumpa pak cik salih handsome  ni?” Beria-ia Ani ingin tahu.

“Dah rahsia JKR, dekat mana lagi kalau bukandi tepi jalan?” Sudahnya Aira beritahu juga.

“Betul ke? Tak percayalah.”

“Tak percaya sudah, aku tak bohong.”

“Hmm… cuti kahwin suami kau ajak pergi mana?” tanya Ani.

“Tak ke mana-mana, duduk rumah aje,” jawab Aira. Aira tahu Zafri telah merancang, tetapi sengaja dia memberi alasan.

“Tak pergi berbulan madu? Masakan hari-hari kau tengok Zafri, Zafri tengok kau aje?” tanya Ani pelik.

“Sebenarnya hendak pandang Zafri pun tak berkesempatan!”

“Sudahlah kau, Aira!”

“Aku sendiri terpaksa curi-curi pandang sebab memang tak boleh bertentang mata dengan dia.”

“Jadi boleh curi-curi sajalah, pegang-pengang pun tak adalah ya?” Saja Ani mengusik Aira.

“Yalah, nanti lain pulak jadinya.”

“Aira ni tak lagilah maknanya.”

“Hisy Ani ni, tak fikir lain! Aku yang buat tak reti, dia pun biasa aje.”

“Kau ni…” Ani meneguk air sambil memandang wajah Aira.

“Berkahwin bukan itu sahaja. Banyak benda lain lagi hendak dibuat,” jawab Aira selamba.

“Yalah tu… tapi macam nak tambat suami kalau begini gayanya?”

“Ikat dengan tali ajelah.” Saja Aira melawak.

“Dah ada peluang jadi isteri ni, jadilah isteri mithali.”

“Jadi isteri mithali? Jauh lagi perjalanan tu.”

“Bukan mudah untuk jadi isteri yang baik. Kalau dia nak air pepsi, kena beri air pepsi. Bukan boleh suka-suka hati beri dia air paip sinki!”

“Kau ni… kelakar betul!” ujar Aira sambil ketawa kecil mendengarnya.

“Ha, gelak!” tingkah Ani.

“Pak cik salih tu senang saja, hari-hari dia minum air mineral. Tak payah susah-susah nak buat air untuk dia. Bila haus pandailah dia ambil sendiri, bukan tak biasa.”

“Astaghfirullahalazim… teruknya kau ni Aira.”

“Hidup aku senang sebenarnya. Hari cuti aje baru fikir nak masak apa. Hari lain semua Kak Jah dah buat.”

“Suka hati kaulah, asal bahagia. Tapi ingat, jangan sampai buat suami kecil hati nanti tak senang hidup kau tu.” Ani memberi nasihat. Pelik betul dengan rakan yang seorang ini. Orang berkahwin, dia pun hendak kahwin juga. Namun, apabila sudah berkahwin hidup tidak serupa orang lain pula. Tidak faham Ani dibuatnya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.