SEBAIK pulang dari tapak pembinaan, Aira berehat
sebentar di tempatnya. Selepas itu dia membuka internet pula. Saja
hendak membaca e-mel yang masuk. Sudah dua hari dia tidak memeriksanya.
Semalam kerja banyak di tapak pembinaan sampai tidak sempat Aira duduk di
tempatnya.
Tiba-tiba
kedengaran siaran radio terpasang dengan sendirinya. Terpaksalah Aira tadah
telinga mendengarnya.
“Awak tu dalam bidang perlandskapan, masakan tak reti-reti? Cinta akan
tumbuh macam pokok, membesar dan menghijau. Kalau tak dipupuk dan dibaja
akhirnya akan layu dan mati. Renung-renungkan.”
Kedengaran Kak
Leha memberi nasihat entah kepada Aira, entah kepada orang lain. Aira
pun tidak pasti. Dengar cara Kak Leha bercakap seperti ditujukan kepadanya, tetapi Kak Leha sibuk menghadap mesin fotostat.
Ini
yang Aira susah hendak kata. Mungkinkah Kak Leha membebel sorang-sorang sebab tension
dengan kerja yang macam biskut? Sekejap ada sekejap tiada, tetapi selalunya ada
memanjang sampai tidak menang tangan.
“Sekali-sekala tidak salah andai seorang perempuan memberi bunga kepada
lelaki,” ujar Kak Leha.
Sambil
itu dia meneruskan kerja-kerja membuat salinan dokumen. Kejap-kejap kertas A4
tersangkut pula. Bersusah payah Kak Leha mengeluarkan kertas yang tersangkut
sampai berpeluh-peluh. Yalah, angin pengahawa dingin tidak menghala ke situ.
Amboi,
Kak Leha ini mimpi apa malam tadi? Aira sendiri tidak hairan pun dengan bunga
yang banyak di site, inikan pula orang lelaki. Aira hendak ketawa
mendengarnya.
“Tidak janggal andai tiba-tiba buat
kejutan dengan meletakkan bunga di atas mejanya. Kak Leha tengok di site
ada berbagai bunga yang cantik-cantik, tinggal nak petik saja,” cadang Kak Leha pula.
Aira tunjuk
muka tidak reti walau seperti faham apa yang Kak Leha cuba sampaikan.
“Rasanya bila ternampak bunga itu pasti dia terpempan seketika. Namun tak
sukar untuk meneka siapa yang meletakkannya,” sambung Kak Leha.
Aduhai,
ada sambungan lagi? Kak Leha ini beri ceramah atau mengigau? Namun Aira masih
buat muka bodoh dan pura-pura tidak mengerti.
“Hello, I’m talking to you Cik Aira Latisha…” tegur Kak Leha apabila dia berpaling
ke arah Aira. Sementara Aira pula masih termenung dan bagai berada di dunianya
sendiri.
“Cik Aira Latisha,” panggil Kak Leha sambil mengetuk meja Aira.
“Ya Kak Leha, Puan Aishah nak jumpa Aira ke?” Saja dia mengubah topik. Namun,
akhirnya Aira mengaduh sakit apabila Kak Leha mencubit lengannya.
“Penat aje Kak Leha bagi hint panjang berjela, Aira buat tak reti
pulak.” Kak Leha sudah memarahi Aira.
“Mana nak tahu Kak Leha cakap dengan Aira.” Sengaja Aira memberi alasan.
“Aira ni kan, sengaja buat tak tahu. Saja nak bagi Kak Leha berangin.”
“Tak baik marah-marah nanti rezeki lari,” usik Aira pula.
“Malaslah Kak Leha nak bercakap dengan orang yang tak reti bahasa ni,” balas Kak Leha.
Sudahnya
Kak Leha berlalu menuju ke tempatnya. Geram sungguh hatinya apabila Aira
sengaja buat tidak faham. Kalau ikutkan hati, Kak Leha hendak cekik-cekik sahaja
si Aira ini.
Entah
apalah mimpi Kak Leha bercakap pasal hati dan perasaan dengan Aira, namun dia hanya tersenyum mendengarnya. Ingatkan
Kak Sha seorang sahaja yang rajin menegur dan memberi nasihat kepada diri Aira
yang tidak berapa baik ini. Rupanya ramai pula yang prihatin dan mengambil
berat tentang dirinya.
Di
pejabat, Aira sedar Fazril suka padanya namun Aira buat biasa sahaja. Biasa
bagi Aira tetapi mungkin luar biasa bagi orang lain. Fazril tidak bekerja di
bawah Puan Aishah sebaliknya di bawah Encik Rahman. Pengurus yang boleh tahan handsomenya, tetapi sudah beristeri dan punya anak lima.
Aira
jarang berurusan dengan Fazril kerana dia lebih banyak terlibat dengan logistik dan perkhidmatan infra. Begitu
pun, pusing-pusing jumpa juga sama ada
sengaja atau pura-pura tidak sengaja. Biasalah, sekali-sekala Aira pun hendak berlakon
juga. Jadi heroin dalam drama sendiri pun seronok juga.
Ada
ketikanya memang Aira kena berjumpa dengan Fazril apabila ada kerja yang
berkaitan dengan logistik. Tetapi Fazril pula macam segan dengan Aira. Aira
sebenarnya tiada rasa apa-apa pun. Entah apa yang buat Fazril segan dengannya, dia pun tidak pasti.
Sudahnya
Aira pun segan sama lalu lebih suka
berurusan dengan Encik Nazli yang turut bekerja di bawah Encik Rahman. Ingatkan inilah peluang
Aira hendak kenal lebih rapat dengan si jejaka, namun siang-siang lagi Fazril
sudah menjauh pula.
Tidak
dapatlah hendak tolong. Kalau sudah malam-malam lagilah tiada peluang.
Elok-elok Aira hendak jatuh cinta langsung jatuh longkang sebab tidak nampak.
Aira terpaksa senyum sendiri sebab tiada siapa-siapa yang tersenyum padanya.
Sebenarnya
bukan sekali malah sudah berkali-kali rakan sepejabat mengusik Aira dengan
Fazril. Cuma dia yang pura-pura tidak ambil pusing sangat. Paling-paling pun
Aira buat pusingan U apabila bertembung dengan mereka yang suka mengusiknya.
Apabila sudah tiap-tiap hari orang mengusik Aira, lama-lama hati berdetik juga.
Sudahnya
dalam diam Aira menyimpan perasaan di dalam hati. Kalau tidak diam, satu dunia
pulak tahu. Nanti dia juga yang malu, bukan ahli keluarga orang lain. Perasaan
yang disimpan ala kadar sahaja agar tidak kecewa sangat seandainya hanya diri sendiri sahaja yang bertepuk sebelah tangan.
Tidak
dinafikan Fazril ini boleh tahan juga orangnya. Meskipun begitu, sepuluh kali
pandang pun Fazril tetap sama. Tall, dark and hondsome.Tetapi tidak
tahulah apakah dia boleh tahan atau tidak dengan perangai Aira yang kepala
angin.
Sewaktu
serius, Aira asyik bekerja sahaja sampai tidak peduli orang lain. Namun,
sekelip mata boleh berubah mengikut keadaan semasa. Ketika akhir bulan memang
Aira seorang yang pemurah lagi dermawan. Tetapi kalau datang bulan, jangan
kacau nanti tidak pasal-pasal lebam muka.
Aira
bukan main peramah, tetapi si Fazril ini
pendiam dan pemalu sangat. Kalah Aira yang apabila berjalan bagai
bergegar lantai pejabat kabin di tapak pembinaan. Dengan safety boots yang
besar gedabak, silap hari bulan mahu
terperelus juga.
Setakat
orang lain menyampaikan yang si Fazril ini suka padanya, Aira tidak boleh
terima juga nanti orang lain sahaja yang lebih. Padahal Fazril tiada apa-apa
pun sudahnya Aira sendiri juga yang malu. Dia kena menjaga air mukanya
walaupun dirinya tidak selawa mana pun.
Inilah
susahnya kalau sama-sama tidak hendak memulakan langkah. Aira pun tidak faham
dengan si Fazril ini. Kalau betul sama-sama pendam perasaan nasiblah. Masakan
Aira yang hendak mulakan, nanti nampak sangat diri bagai terdesak pula. Andai
Aira sudah terdesak sekalipun, dia boleh saja cakap dengan si Fazril itu, tetapi takut dia pula yang pengsan terkejut.
Setahu
Aira, biasanya seorang lelaki itu akan tahu kalau seorang perempuan ada hati
padanya. Entah kenapa pula si Fazril ini blur sangat. Inilah
akibatnya andai masing-masing mengharap yang sebelah sana mulakan dahulu.
Sudahnya jodoh yang Aira cari dan tunggu tidak muncul-muncul, orang yang
disukai pula sama-sama tidak memberi sebarang petanda dan respons. Entah sampai
bilalah Aira kena tunggu.