MASA
begitu pantas berlalu dan sedar-sedar sudah masuk bulan Ogos. Aira sudah tiada
pilihan lain. Entahlah, dengan beraninya
dia terpaksa juga menerima cadangan Kak Sha sebab hanya itu calon yang ada.
Lagipun ibunya asyik telefon kerana Abang Lokman juga telah bertanya.
Mengenangkan
Abang Lokman, betul-betul buat Aira menyampah. Entah daripada siapalah Abang
Lokman dapat nombor telefonnya. Selepas Abang Lokman menelefon Aira buat kali
pertama di pejabatnya, Aira terus menyimpan nombor telefonnya.
Ingatkan
apabila dua tiga kali panggilan tidak berjawab, dia akan senyap. Rupanya tidak
serik-serik dia menelefon Aira sampai tidak
kira masa. Sudahnya Aira hantar SMSmengatakan yang dirinya sudah
berpunya, baru Abang Lokman senyap.
Aira
melangkah berat keluar dari bilik Puan Aishah. Dia bagai tidak terkata dengan
apa yang baru didengarnya. Hari Sabtu ini, dia kena ikut Puan Aishah outstation
pergi ke Yong Peng, Johor.
Mereka
akan melawat nurseri dan memeriksa pokok yang akan ditanam di tapak pembinaan
di Putrajaya. Aira terpaksa ikut Puan Aishah kerana arkitek landskap yang
sepatutnya pergi bersama terpaksa balik kampung, ayahnya sakit.
Kelmarin,
dia baru sahaja menghubungi ibunya menyatakan yang dirinya akan balik bersama
Zafri untuk diperkenalkan kepada ibu dan abang long. Kini terbayang wajah abang
long yang pasti akan melenting apabila dapat tahu yang Aira tidak dapat balik.
Kak
Sha juga perlu dihubungi, ini yang buat Aira malas. Semalam Kak Sha baru saja
memberitahu yang Zafri tiada masalah untuk ikut dia balik kampung pada hari
Sabtu ini. Alih-alih, Aira pula yang tidak boleh balik sebab kena pergi outstation.
Padahal, minggu ini sahaja yang ada ruang kosong untuk dia balik kampung. Andai
minggu yang akan datang, belum tentu lagi Aira berpeluang balik kampung.
Bila
mengenangkan sekarang ini sudah masuk bulan Ogos, lagi buat Aira tertekan.
Bulan kemerdekaan adalah bulan yang paling sibuk lebih-lebih lagi menjelang
sambutan hari kemerdekaan. Silap hari bulan, pada hari cuti umum pun kena bekerja
juga.
Dalam
kemalasan yang amat sangat, dia terpaksa juga menelefon Kak Sha. Ibu dan abang long
tidak payahlah dihubungi. Biarlah mereka hendak marah semasa dapat tahu Aira
tidak dapat balik. Andai beritahu sekarang, awal-awal lagi sudah kena marah.
“Assalamualaikum,” ucap Kak Sha, menjawab panggilan Aira.
“Waalaikumussalam Kak Sha,” balas Aira. Suaranya kedengaran lemah sahaja.
“Kenapa suara Aira macam orang yang tak bermaya?” tanya Kak Sha ingin tahu.
“Ni yang malas nak beritahu Kak Sha,” jawab Aira masih tidak mahu berterus
terang.
“Apa pula masalah kali ini? Aira ni…tak babis-habis dengan masalah,” ujar Kak Sha.
“Kak Sha, Aira tak boleh balik Sabtu ni sebab kena ikut bos pergi periksa
pokok kat Johor.” Terpaksalah Aira beritahu perkara yang sebenarnya kepada Kak Sha.
“Ini yang Kak Sha menyampah nak dengar. Sudahlah dengan Zafri pun tak
jumpa-jumpa lagi, dah tambah satu masalah baru,” marah Kak Sha. Tidak faham betul
dengan perangai Aira yang ada saja alasan.
“Nak buat macam mana? Dah kena ikut bos,” jawab Aira pula.
“Masakan nak suruh si Zafri tu jumpa keluarga Aira sorang-sorang? Nak
jumpa dengan abang lLong yang garang pulak tu,” marah Kak Sha.
“Ibu dan abang long pasti tertunggu-tunggu kepulangan Aira bersama calon
suami. Hendak ke Zafri jumpa keluarga Aira sorang-sorang?”
“Terpaksalah, nak buat macam mana lagi? Minggu depan Zafri ada kerja. Nak
tunggu sama-sama free baru balik
kampung entah bila lagi,”balas Kak Sha, menahan geram di hati.
Sudahlah
pertemuan antara Zafri dan Aira yang telah diatur asyik batal saja. Akhirnya
sampai ke sudah tidak berjumpa lagi. Nampaknya keluarga Aira pula yang jumpa
Zafri dahulu.
“Nanti Kak Sha tolong beritahu Zafri ya,” pinta Aira.
“Kak Sha jugak yang kena tebalkan muka beritahu Zafri. Aira ni memang
sengaja nak buat Kak Sha sakit jiwa!” marah Kak Sha.
“Janganlah cakap macam tu Kak Sha, bukannya Aira sengaja. Dah tak boleh
balik, nak buat macam mana?” ujar Aira. Sedar semua ini menyusahkan orang lain, namun
bagaimana lagi? Arahan bos, dia kena patuh.
“Pandai ajelah Aira nak beri alasan. Yang nak menghadap muka Zafri tu Kak
Sha, bukan Aira!” marah Kak Sha lagi.
“Kak Sha kan baik, tolong ya Kak Sha.” Saja Aira memuji Kak Sha untuk
meraih simpati.
“Banyaklah Aira punya baik. Nanti jangan tak jadi kahwin pula, Kak Sha
cekik-cekik Aira,” ugut Kak Sha pula.
“Tak adalah sampai macam tu. Aira dah ambil keputusan dan Aira tak akan
memungkiri janji,” ujar Aira walau sebenarnya diri sendiri bagai tidak percaya dengan
keputusan yang diambil.
“Apa-apa ajelah, asal bahagia. Lepas ni tolonglah jangan buat hal lagi.
Kak Sha dah penat melayan kerenah Aira,” ujar Kak Sha.
“Kak Sha jangan risau, lepas ni Aira akan ikut cakap Kak Sha dan buat apa
yang Kak Sha suruh,” janji Aira untuk menyedapkan hati Kak Sha yang sudah mula geram dengannya.
“Okeylah, Kak Sha pun ada kerja nak buat. Apa-apa nanti Kak Sha telefon
Aira.”
“Terima kasih Kak Sha,” ucap Aira mengakhiri perbualan. Buat masa ini, lega rasa di
hatinya. Esok-esok tidak tahu lagi. Risau juga andai nanti timbul masalah,
sudahlah masalah yang ada tidak tertanggung rasanya.
Tiba-tiba
telefon bimbit Aira berbunyi. Segera dia menjawabnya.
“Assalamualaikum,” ucap Aira sambil membetulkan duduknya agar lebih selesa.
“Waalaikumussalam Auntie
Aira.”
“Auntie? Siapa ni?” tanya Aira terkejut. Masakan anak abang long yang telefon.
Aira tertanya sendiri.
“Auntie ingat Sofea lagi?”
“Oh… Sofea, ingat siapa tadi. Hari tu lama tak tunggu ayah?” tanya Aira. Dia pun hampir terlupa pasal budak yang dia jumpa di Alamanda
tempoh hari.
“Kejap aje. Tak lama selepas Auntie
Aira pergi, ayah pun sampai.”
“Pandainya Sofea telefon auntie,
siapa yang ajar?”
“Tak ada sapa-sapa ajar. Sofea tak pandai baca lagi tapi kenal nombor,” jawab Sofea dengan petahnya.
“Auntie, bila nak jumpa Sofea?”
“Tak taulah. Sekarang ni auntie
sibuk sikit.”
“Naklah jumpa auntie. Ayah
pun nak jumpa jugak.”
“Buat apa?” tanya Aira, sedikit terkejut.”
“Ayah tak ucap pun terima kasih lagi dekat auntiesebab auntie
dah pergi.”
“Tak jumpa pun tak apa. Lain kali Sofea boleh telefon auntie
aje.”
“Cakap dalam telefon tak seronok. Naklah jumpa lagi.”‘Alahai Sofea oi, nak jumpa bakal
suami pun tak berkesempatan,’ detik Aira.
“Auntie dah kahwin ke belum?” tanya Sofea pula. Amboi budak ni,
macam tau-tau pulak.
“Kenapa Sofea tanya?”
“Kalau belum kahwin lagi, boleh jugak kenal-kenal dengan ayah Sofea.” Selamba saja budak kecil ini
menjawab.
Nak
cari nahas? Baiklah Aira elakkan.“Sebenarnya auntie dah nak kahwin tak lama lagi,” jawab Aira.
“Ye ke? Sofea suka Auntie
Aira…”
“Hmm… auntie pun suka
Sofea jugak.”
“Tak bestlah kalau auntie
dah nak kahwin. Nanti Auntie Airanakkahwin dengan siapa?”
Aduhai,
tiba-tiba Aira rasa menyesal pulak melayan budak kecil ini. Tetapi seronok juga
saat diri susah hati begini ada yang sudi berbual.
“Entahlah, auntie pun tak
kenal sangat sebenarnya.” Saja Aira berterus terang. Budak kecil, bukan faham sangat
pasal hidup pun.
“Mana boleh kahwin dengan orang yang kita tak kenal? Entah-entah dia orang
jahat ke…”
Amboi,
bijak juga rupanya si Sofea ini.“Tak baik buruk sangka dengan orang.”
“Kenapa auntie tak cari
sendiri? Kalau kenal kan bagus?”
“Susah ke kalau kahwin dengan orang yang kita tak kenal?” Saja Aira menduga si kecil.
“Susahlah sebab kita tak biasa dengan orang tu,” jawab
Sofea, jujur.
“Sofea ni macam budak besar pulak.” Aira sudah
tertawa.
“Betullah apa yang Sofea cakap kan?”
“Okeylah Sofea, auntie
sebenarnya ada kerja nak buat. Kita cakap lain kali ya.”
“Yalah. Bye Auntie Aira…” ucap Sofea.
“Bye
Sofea…” balas Aira.
Setelah
memutuskan talian, Aira sambung duduk termenung di mejanya. Alangkah bagusnya
jadi budak kecil? Tak payah risau apa-apa dan jalani kehidupan ini bagai tiada
masalah langsung. Ada kalanya dia rasa macam tidak betul sahaja apa yang
dilakukannya kini. Tetapi tetap diteruskan juga.