“ABANG nak mihun
ke nasi lemak?” tanya Aira. Namun Zafri masih
senyap dan bagai orang sedang berkhayal pula. Terpaksalah dia singgung kaki
Zafri untuk menyedarkannya.
Sekilas Zafri menoleh ke arah Aira
dengan dahi berkerut.
“Abang nak mihun ke nasi lemak?” ulang Aira dengan senyuman di bibir.
“Mana-manalah,” jawab Zafri.
“Ada ke macam tu? Nanti tak habis membazir aje,” tegur Aira perlahan.
“Nasi lemak,” putus Zafri.
Pantas
tangan Aira menyenduk nasi, sambal ikan bilis
dan ayam ke pinggan Zafri.
“Zafri bila masuk kerja?” tanya abang long.
“Minggu depan,abang long,” jawab Zafri.
“Bilanya nak balik Bandar Baru Bangi?”
“Lusa kita orang baliklah.” Aira pula yang menjawab. Kalau ikut Zafri lagi, lamalah dia
di kampung. Nanti kena berlakon dan layan Zafri baik-baik.
“La… kenapa cepat sangat nak balik?” tanya Puan Ainun pula. Terasa hampa
apabila anak menantunya tidak berlama di rumahnya.
“Aira belum habis kemas barang lagi. Ingat nak sewakan apartmen Aira tu,” jawab Aira memberi alasan.
“Takkan tak siap-siap lagi berkemas?” soal Azwan.
“Mana nak sempat buat semua tu, kerja di pejabat banyak. Balik rumah dah
penat.” Ada sahaja alasan Aira.
“Yalah kalau macam tu,”kata Puan Ainun.
Lega
Aira mendengarnya. Padahal satu apa pun dia tak kemas lagi.
“ABANG tengok Aira
macam tak ikhlas aje jadi isteri abang,” ujar Zafri ketika mereka berehat di
bilik.
“Maaflah, tiada jawapan untuk soalan itu. Aira hanya boleh kata yang Aira
sudi jadi isteri abang sebab abang sudi jadi suami Aira,” ujar Aira sejujurnya.
Zafri
rasa tidak sedap hati pula dengan bicara Aira.“Apa yang terjadi pada kita sekarang
ini adalah hasil pilihan kita sendiri, kan?”
“Tak kisahlah apa-apa pun…” Itu pula yang Aira jawab. Sebenarnya dia tidak tahu nak
balas apa.
Begitu
pun, Zafri tetap tersenyum mendengarnya.
“Kenapa abang tersenyum pulak?” tanya Aira.
“Sebab rasa suka sangat dapat isteri seperti Aira…”
“Sudahlah abang ni…” ujar Aira sambil membaling kusyen ke muka Zafri.
Tidak
sempat Zafri hendak mengelak.“Aira tak suka ke dapat suami macam abang ke?” Sengaja Zafri hendak menduga.
“Suka sangat-sangat…” jawab Aira geram.
Zafri
hanya tertawa melihat wajah isterinya yang sudah masam.“Isteri abang janganlah macam ni.
Abang tak pandai nak memujuk.”
“Abang rehatlah, Aira nak keluar sekejap.” Malas Aira hendak berdua dengan
Zafri di dalam bilik.
Zafri
hanya memandang Aira berlalu meninggalkannya sendiri.
“MACAM mana
rasanya apabila sudah berkahwin ni?” tanya Puan Ainun ketika mereka
berdua beranak sahaja di dapur.
“Baru lagi ibu, tak sempat nak rasa apa-apa,” jawab Aira. Hendak tergelak pun ada
juga dengan pertanyaan ibunya.
“Kenapa Aira tersenyum?”
“Ibu dan Zafri sama saja, suka tanya soalan kelakar dan tidak-tidak.”
“Soalan ibu tu, tidak-tidak ke?” tanya Puan Ainun sambil memandang
wajah ceria anaknya.
“Yalah… ada ke tanya saoalan tu? Malulah Aira.”
“Okeylah… cuti bulan madu, abangnya ajak ke mana?”
“Zafri tak cakap lagi. Sebenarnya Aira malas
hendak ke mana-mana. Penat kenduri ni pun tak habis lagi ibu…” keluh
Aira. Jangankan bulan madu, tinggal serumah pun tidak lagi. Nasib baik Puan
Ainun dan abang long tidak tahu.
“Dah ada orang sebelah pun penat juga ke?”
“Orang sebelah tulah yang menambah penat anak ibu ni.”‘Ibu aku ni pun, macam tak ada soalan
lain…’gumam Aira.
“Aira mengadu apa pada ibu?” Tiba-tiba Zafri yang baru masuk ke
dapur datang menyampuk.
‘Menyibuk
pulak si Zafri ini. Berehat sajalah di bilik. Tak boleh tengok aku senang
langsung’
“Cerita anak beranak… tak ada bendalah,” jawab Puan Ainun sambil tersenyum.
“Anak ibu ni lasak juga tidurnya, ya…” ujar Zafri pula sambil tarik kerusi lalu
duduk.
“Hah?Abang ni… saja nak kenakan Aira!” marah Aira sambil menjeling Zafri.
Tidak pernah-pernah Aira rasa semalu ini pada ibunya. ‘Kurang asam punya laki,’
desis Aira.
“Anak ibu tu memang macam tu. Kalau tidur tak kuak lentang, mesti kuak
kupu-kupu.” Tak sangka pula yang Puan Ainun juga mahu menyakat sama.
“Bukan setakat itu aje ibu, siap melintang-lintang lagi…” usik Zafri lagi.
Wajah
Aira sudah merona merah. Nasib baik abang long tiada di dapur.
“Yalah tu… malam ini abang tidur soranglah, tak ingin Aira temankan,” jawab Aira sambil berlalu menuju ke
biliknya. Tidak senonoh betul si Zafri ini. Itu pun nak cerita pada ibunya,
geram betul hatinya.
Zafri
menyusul isterinya masuk ke bilik. Aira pula sedang sibuk mengemas apa yang
patut. Zafri terus sahaja merebahkan dirinya di atas katil. Kalau boleh dia
juga ingin melelapkan mata. Sama seperti Aira, penat Zafri juga masih belum
hilang. Aira membiarkannya sahaja tanpa berkata walau sepatah.
“Aira marahkan abang ke?” tanya Zafri sambil memandang Aira
yang masam sahaja.
“Yalah, ada ke cerita dalam bilik tidur beritahu orang lain dan dibuat
gurauan? Nasib baik cerita dengan ibu saja.”
“Sorry, abang tak sengaja.” Niat di hati hendak bermesra, tidak
sangka pula Aira berkecil hati.
“Lain kali kalau abang buat lagi, Aira takkan maafkan…”
ujar Aira geram.
“Eh, janganlah macam tu. Abang janji takkan buat lagi.”
“Yalah.”
“Abang nak tidur sekejap, mengantuklah.”
“Tidurlah, aman sikit dunia,” kata Aira sambil tersenyum sinis.
Zafri
tidak mempedulikan kata-kata Aira. Sekejap sahaja selepas dia meletakkan
kepalanya, terus dia terlena. Begitu
mudah pula dia terlelap, padahal malam
tadi punyalah susah hendak tidur.
Aira
memandang sekilas suaminya. Dia juga ingin segera berkemas kemudian turut ingin
tumpang sekaki. Tanpa diduga mereka berdua terlena sampai ke lewat petang.