“BUNGA boulevard baru balik ke?” tanya Kak
Leha ketika Aira pulang
ke pejabat.
“Taklah, baru lepas bersiram,” gurau Aira.
“Letih nampak?” tegur Kak Leha. Aira hanya tersenyum tanda mengiakan. Kak Leha adalah
pembantu peribadi kepada Puan Aishah
yang kini merupakan pengurus kanan di Putrajaya Holdings.
Sebenarnya
Aira bekerja dengan salah sebuah firma arkitek landskap yang terkenal di ibu
kota. Syarikat tempatnya bekerja adalah konsultan yang bertanggungjawab dalam
mereka bentuk landskap lembut untuk boulevard Putrajaya. Berbeza dengan
bekerja di ibu pejabat, di Putrajaya Aira hanya mengurus dan memantau hanya
satu projek sahaja dalam satu-satu masa.
“Kak Leha,tanya sikit boleh?” Setelah berehat seketika, Aira bersuara.
“Kenapa? Ada masalah di tapak pembinaan?” tanya Kak Leha ingin tahu.
“Aira ni nampak teruk sangat ke?” tanya Aira pula.
“Okey saja Kak Leha tengok,” jawab Kak Leha sambil memandang Aira atas bawah.
Tudung
berwarna biru dan ada corak kecil berwarna kuning. Kemeja jalur-jalur kuning
berselang seli dengan warna coklat. Seluar pula berwarna perang, tersenyum Kak
Leha memandangnya.
“Tadi di tapak pembinaan adalah satu mamat tu tanya di mana pejabat
imigresen. Ada ke patut dia tanya jalan dalam dialek Indon?” terang Aira.
Kak Leha terus ketawa
berdekah-dekah mendengarnya. Geli sungguh hatinya.
“Teruklah Kak Leha ni…ketawakan Aira,” marahnya.
“To tell you the truth, bukan saja setakat sekali pandang, awak tu dua tiga kali
pandang memang macam awek seberang,” sakat Kak Leha pula.
“Sampai hati Kak Leha kenakan Aira,” ujar Aira seakan merajuk.
“Sebenarnya Kak Leha teringin sangat tengok Aira pakai baju kurung. Ni
asyik pakai kemeja dengan seluar, bilanya nak nampak feminin?”
“Dah nama pun kerja di site, kenalah pakai pakaian yang sesuai
untuk bergerak. Masakan pergi site pakai baju kurung dengan safety
boots pulak?” terang Aira. Sepanjang bekerja di Putrajaya, Aira sememangnya tidak
pernah langsung memakai baju kurung.
“Sesekali apa salahnya? Lagipun projek dah hampir siap, bukannya tiap-tiap
hari kena pergi site,” saran Kak Leha pula.
“Memanglah projek dah hampir siap, tapi kena pantau juga sebab masih ada
kecacatan yang perlu dibaiki. Lagipun lecehlah susah nak ke sana ke mari.” Aira memberi alasan.
“Cuba sehari Aira pakai baju kurung, Kak Leha pasti berhari-hari orang tak
boleh lupa keayuan Aira,” usik Kak Leha.
“Pandailah Kak Leha reka cerita,” balasnya.
“Betul apa? Jangan lupa, for
things to change…”
“First I must change…” jawab Aira pantas, memotong cepat
kata-kata Kak Leha. Perbualan dengan Kak Leha ini perlu dihentikan segera.
Kalau tidak, sampai ke sudah isu baju kurung tidak habis-habis.
JAM telah menunjukkan
hampir pukul satu petang. Asyik sangat Aira bekerja hampir tidak sedar pula
waktu makan tengah hari sudah tiba.
“Kak Leha, jom kita makan di Wisma Tani,” ajak Aira. Dia memang suka makan tengah hari di Wisma
Tani yang terletak di Presint 4, Putrajaya. Di situ terdapat banyak
pilihan masakan kampung yang cukup menyelerakan.
Biasanya
Aira turut mengajak Ani yang bekerja sebagai kerani di pejabat Puan Aishah.
Namun, hari ini Ani terpaksa balik menjenguk anaknya di taska kerana anaknya
tidak berapa sihat. Terpaksalah dia pergi berdua sahaja dengan Kak Leha. Kalau
ada Ani seronok sikit. Bila tengok Ani makan, sesiapa jua pun akan turut
berselera.
Sampai
di Wisma Tani mereka terserempak pula dengan Encik Ramli dan Encik Zarif yang turut makan tengah hari di situ. Mereka
berdua telah lama bertugas sebagai koordinator sejak mula-mula Putrajaya
dibangunkan lagi. Kalau ada apa-apa masalah tanya sahaja mereka berdua, pasti
mereka sedia membantu.
Mereka
berempat makan sambil berborak tentang kerja dan ada kalanya soal-soal peribadi
juga. Biasalah, hidup ini perlu berkongsi pengalaman. Andai ada masalah, perlu
diluahkan agar berkurang sedikit beban yang ditanggung. Agar ringan sedikit
tanggungjawab yang dipikul.
“Aku sebenarnya dah lama nak tanya korang,” ujar Encik Ramli setelah diam
seketika menikmati hidangan tengah hari yang cukup menyelerakan.
“Tanyalah asal bukan soalan sensitif sudah,” jawab Aira pula.
“Aku sebenarnya jarang-jarang jumpa si Ani, kerani Puan Aishah tu. Rasanya
kalau tak silap, hujung tahun lepas dia macam mengandung. Hairannya tahun ni
macam tu juga. Bilanya dia nak bersalin?” tanya Encik Ramli sambil mengukir senyuman.
Kak Leha pandang Aira. Aira pula pandang Kak Leha
kemudian kedua-duanya tersenyum.
“Oh! Si Ani tu…” ujar Kak Leha. Encik Ramli sudah mula pelik
apabila Aira dan Kak
Leha sudah mula tersenyum meleret.
“Kenapa tersenyum?” tanya Encik Ramli kehairanan dengan gelagat dua orang wanita
di hadapannya.
“La… Encik Ramli ni, tak up to date langsung. Orang dah mengandung
lagi masih ingat tak bersalin-salin pulak,” jawab Aira.
“Eh! Biar betul? Masakan beranak tiap-tiap tahun?” tanya Encik Ramli terkejut. Dia
betul-betul tidak sangka. Mati-mati dia ingat si Ani itu tidak bersalin lagi.
Rupanya sudah mengandung lagi. Hmm…tidak tahu hendak kata apa.
“Dah rezeki…. lagipun kan bagus, bertambah umat Nabi Muhammad s.a.w.” Kak Leha pula menyampuk.
“Memanglah tapi kesian dengan si anak tu,
tak sempat nak manja-manja dah ada adik baru,” ujar Encik Ramli pula sambil
menggelengkan kepala.
Aira
pun kasihan juga dengan si Ani. Suaminya sudahlah bekerja di luar negera,
terpaksa sorang-sorang jaga anak. Tiga bulan sekali baru suami Ani balik.
Tetapi hendak buat bagaimana lagi? Anak sudah bertambah, kenalah mencari kerja
yang bergaji lebih.
Aira
yang melihat hanya boleh bersimpati dan menolong apa yang patut. Yang
menanggung tetap Ani, si ibu muda yang penyabar dan penyayang. Ani jarang
merungut dengan kesusahan yang dihadapi malah sentiasa tersenyum. Berkali-kali
Ani diusik dan diperli kerana asyik cuti bersalin saja. Tetapi Ani tidak pernah
marah, jauh sekali berkecil hati.
Terbayang
anak-anak Ani yang comel dan bagai anak-anak tangga. Sekali-sekala Aira
bermalam di rumah Ani, menemaninya apabila ada kelapangan. Bergurau senda
dengan anak-anaknya sewaktu diri Aira kesepian dan berasa kekosongan.
Di
pejabat, Ani hanyalah seorang kerani biasa. Khidmat yang diberi seakan dianggap
kecil di mata yang berjawatan tinggi. Namun begitu, Ani tetap menjalankan
tugasnya dengan tekun dan sabar.
Sesekali
Ani tidak datang ke pejabat, bagai hendak pitam rasanya apabila fail yang
dicari tidak jumpa-jumpa. Padahal di depan mata! Kenapa? Apabila mencari guna
mulut memanglah tidak nampak! Mentang-mentang selama ini ada kerani, apabila
hendak fail tertentu minta sahaja dari Ani pasti dihantar hingga ke meja.
Bilamana
Ani tiada, baru tahu betapa pentingnya tugas seorang kerani yang selama ini
hanya dipandang sebelah mata. Apabila projek kena audit, lagi buat semua orang
bagai tidak senang duduk. Baru kelam kabut tanya itu ini sedangkan sebelum ini
buat tidak reti sahaja.
“Kenapa
Aira termenung jauh?” tanya Encik Zarif pula.
“Tiba-tiba
Aira rasa rindu pulak pada anak-anak Ani. Dah lama tak jumpa mereka.”
“Asyik
ingat anak orang saja, Aira tu bila lagi? Dah lama kita orang menunggu nak
makan nasi minyak Aira,” Sampuk Encik Ramli pula.
“Kalau
nak makan nasi minyak Aira, bila-bila masa pun boleh. Cakap aje bila nak Aira
masakkan. Nanti boleh Aira bawa ke pejabat.”
“Pandai
aje Aira nak mengelak, ya?”
“Yalah,
korang pandai tanya aje tapi tak nak tolong carikan untuk Aira.”
“Aira
tu yang memilih sangat,” komen Encik Zarif.
“Kenalah
pilih. Orang lelaki senang. Kalau tersalah pilih boleh cari lain atau tambah
satu lagi. Orang perempuan bukan boleh cari lain selagi tidak kena cerai.
Dibuatnya gantung tak bertali lagi naya…”
“Kalau
Aira dah cakap macam tu memang susahlah. Kak Leha tak ada calon ke untuk si
Aira ni?” tanya Encik Ramli pula.
“Tak payah jawablah Kak Leha.
Jomlah kita balik pejabat, jam dah nak pukul dua ni.” Aira sudah bangun.
Malas dia nak duduk lama-lama nanti dia juga yang terkena.