Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Prolog

“AYAH, bila nak cari ibu untuk anak ayah ni? Dah lama tunggu…” tanya si kecil dengan manjanya.

“Tengah carilah ni. Ayah pun nak juga ada isteri,” jawab si ayah sambil tersenyum.

“Susah ke nak cari isteri?” tanya si kecil.

“Kenalah cari betul-betul. Kalau salah pilih bukan boleh suka-suka minta tukar.”

“Dalam TV senang aje. Lelaki tu ada empat orang isteri. Ayah seorang pun tak ada.”

Berasap telinga mendengarnya. Budak kecil ini tidak padan dengan usia, getusnya.

“Cerita TV apa yang sayang tengok?” tanya si ayah. Hendak tahu juga apa yang buat si kecil ini bijak berbenar.

“Ayah ni tengok TV atau TV tengok ayah?” soal si kecil pula. Amboi, lawan tauke pula budak ini, sabar sajalah.

“Tengok muka ayah pun dah tahu. Sebiji macam orang sedang rindu dan kurang betul,” sambung si kecil sambil jari telunjuk menunjuk isyarat di kepala.

“Sayang saja nak usik ayah ya?”

“Yalah, tadi kan baru tengok cerita Tahajud Cinta? Ayah ni asyik teringatkan auntie tu ke?” tanya si kecil.

“Tak adalah.” Si ayah menafikan.

“Tak adalah, tak adalah…dengan budak kecil pun nak tipu,” omel si kecil macam mak nenek sahaja.

“Okeylah, ayah memang nak auntie tu jadi isteri ayah, tapi dah tak jumpa macam mana nak kahwin,” jawab si ayah kemudian menarik nafas panjang.

“Mesti ada cara lebih mudah. Ayah saja yang nak guna cara susah.” Pandai pula si kecil ini membebel.

“Sayang ayah ni umur tiga belas tahun ke? Bijak sangat mengalahkan orang besar.” Boleh pening melayan si kecil ini, gumamnya.

“Umur hanyalah nombor. Kita akan pandai kalau hari-hari belajar. Sebab itu kena banyak tanya, banyak tengok dan banyak mendengar,” balas si kecil bagai mahu mengajar pula.

Yes bos…” ujar si ayah sambil tersenyum.

“Ayah carilah cepat. Kalau ada ibu, senang nak belajar.”

“Ayah pun boleh ajar sayang jadi pandai.” Kini si ayah menawarkan diri pula.

“Tak naklah. Ayah pun macam-macam tak tahu,” balas si kecil, menolaknya mentah-mentah.

“Siapa kata? Ayah seorang arkitek, tanya saja pasti ayah boleh jawab semua soalan sayang,” ujar si ayah dengan bangganya.

“Okey, apa itu tali pusat?” tanya si kecil sambil memandang tepat ke wajah ayahnya.

“Senang saja. Tali tu rope, pusat tu centre,” jawab si ayah dengan yakinnya tanpa berfikir panjang.

“Dalam kamus ayah yang tebal tu, ada tak perkataan rope centre? Semak tengok,” ujar si kecil. 

Mata si ayah berkelip-kelip memandang si kecil. “Hmm…betul sayang cakap, ayah memang tak pandai jawab soalan budak kecil.” Sudahnya si ayah mengaku kalah.

“Sebab itu kena ada ibu. Walaupun tak pandai, ibu mesti bijak memberi jawapan untuk soalan yang ditanya,” ujar si kecil dengan senyuman.

“Okeylah, nanti kita sama-sama berdoa kepada ALLAH semoga ayah cepat-cepat jumpa auntie tu dan cepat-cepat berkahwin dengannya,” pujuk si ayah.

“Okey, tapi ayah tak nak tahu ke apa tali pusat tu?” tanya si kecil pula. 

Aduhai, benar-benar menguji kesabaran si ayah.

“Ayah memang nak tahu, cikgu kecil ayah ajarlah.” Saja dia bergurau dengan si kecil kesayangan.

Baby yang dalam perut ibu tak pandai makan guna mulut sebab dia kecil lagi. Jadi, ibu dia bagi dia makanan ikut tali pusat,” terang si kecil. 

Si ayah bagai tidak percaya dengan jawapan yang diberi. “Pandainya anak ayah, tak sangka betul anak ayah begitu bijak,” puji si ayah sambil tersenyum.

“Taklah, sayang ayah ni pandai ABC saja. Baca pun merangkak lagi walaupun sedang duduk,” jawab si kecil dengan gurauan. Si ayah tertawa mendengarnya.

“Okeylah. Sayang pergi tidur ya, dah lewat ni,” suruh si ayah walau tawanya masih bersisa. Perangai siapalah yang diikutnya? Dia tertanya sendiri.

“Okey, assalamualaikum ayah,” ucap si kecil.

“Waalaikumussalam,” balasnya sambil mencium pipi si kecil. Dia memandang si kecil yang berlalu menuju ke biliknya. Rope centre… Hah! Nasib baik memang tiada isteri di sebelah.

'Aduhai bunga pujaan, di taman manakah dikau berkembang? Sudah satu dunia daku mencari, dunia sebelah mana pula dikau bersembunyi? Penat rasanya ke sana ke mari tetapi tidak jumpa-jumpa juga. Ke mana dan di mana lagi hendak dicari?' keluhnya dengan rasa hampa.

Suatu ketika dahulu dia tidak pernah mempedulikan cadangan abangnya agar mencari gadis Melayu sebagai calon isteri. Pada masa itu dia tidak nampak pun apa yang istimewa sangat tentang gadis Melayu.

Namun setelah terjumpa gadis itu apatah lagi setelah kembali ke Malaysia, memang buat dirinya tidak keruan dan tidak lena tidur malam. Sekarang sahaja sudah segan dengan anak buah sendiri.

Malu rasanya andai orang lain tahu yang dirinya kini bagai makan tidak lalu, mandi pun tidak basah. Tidur malam pula asyik termimpi-mimpikan gadis pujaan. Memang sudah sah dirinya kini rindu bayangan pada tahap yang paling teruk.

Teringat pula lagu‘Gadis Melayu’ yang disiarkan di radio, terus bibirnya menguntum senyuman. Aduhai… kini diri ini sememangnya sudah terpikat dan jatuh hati dengan gadis Melayu. Tetapi tidak tahu siapa, tinggal di mana, anak siapa… bukankah pelik bunyinya?

Previous: Sinopsis
Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.