METER
minyak menunjukkan yang kereta Aira telah kehabisan petrol. Dia segera membelok keretanya menuju
ke stesen minyak Petronas. Memandangkan semua pam ada kenderaan yang sedang
mengisi minyak, Aira terpaksa pergi ke bahagian belakang. Di sana turut
menyediakan pam untuk isian petrol di samping pam untuk isian diesel dan juga gas
asli.
Setelah
memasukkan kad kredit dan menekan isian penuh, Aira terus mengisi minyak.
Sambil menunggu minyak diisi, dia memandang suasana di sekeliling. Tiba-tiba
bagai hendak terbeliak mata Aira apabila menyedari tangannya sedang memegang
pam diesel.
Bagaimana
boleh terambil pam diesel sedangkan Aira patut mengambil pam petrol yang di
sebelahnya? Lebih malang lagi dia sudah isi
hampir penuh tangki minyak keretanya dengan diesel.
Mujur
Aira masih ingat pesanan rakannya, Hisham yang juga pernah mengalami kes yang
sama. Kalau sudah terisi diesel, jangan panik. Paling penting jangan sesekali
hidupkan enjin kereta. Sudahnya terpaksa dia masuk ke dalam kedai mesra dan
berjumpa pekerja di kaunter.
“Dik, akak dah terisi diesel dalam tangki minyak. Boleh tolong tolak
kereta akak ke tepi ?” ujar Aira meminta pertolongan.
“La…macam mana boleh terisi diesel?” tanya adik itu, terkejut.
“Tak tahulah dik. Mata tengok pam petrol tapi tangan terambil pam diesel,” jawab Aira sambil tersenyum.
“Maaflah kak, kebetulan cover khas untuk pam diesel ditanggalkan
sebab itu akak tak perasan kut.”
“Tak apalah dik, ada orang tolong tolak kereta akak ke tepi pun jadilah
sebab enjin tak boleh dihidupkan nanti rosak pulak.”
“Okey. Nanti saya suruh pekerja tolong akak,” ujarnya.
“Terima kasih ya,” ucap Aira.
Tidak
berapa lama menunggu, dua orang pekerja datang membantu. Setelah kereta Aira
ditolak ke tepi, Aira segera menghubungi
Encik Zarif. Itu saja nama yang Aira terfikir untuk membantunya kerana
Aira memang sudah biasa dengan Encik Zarif.
“Assalamualaikum Aira,” ucap Encik Zarif. Terkejut juga dia apabila Aira menelefonnya selepas
waktu pejabat.
“Waalaikumussalam Encik Zarif,
boleh tolong Aira?” Terus sahaja Aira meminta pertolongan.
“Aira punya pasal okey saja. Ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Encik Zarif.
“Sebenarnya balik tadi Aira isi minyak. Entah macam mana Aira terisi
diesel pulak,” beritahunya.
“Aira ni,macam mana boleh
terisi diesel?” tanya Encik Zarif terkejut.
“Entahlah sedar-sedar pam diesel yang dipegang. Kalau baru nak masukkan
boleh tahan lagi. Ni Aira dah isi hampir penuh tangki baru nak
perasan,” terang Aira.
“Apalah Aira ni…nak kata boyfriend lari, Aira memang tiada yang
istimewa. Nak kata mati laki, tak kahwin lagi. Apa sebenarnya dalam kepala tu?” usik Encik Zarif sambil tertawa.
“Encik Zarif ni…sempat lagi nak mengusik!"
“Yalah, Aira bukannya tak pernah isi minyak. Dah bertahun-tahun.”
“Nak buat macam mana ni? Aira kena keluarkan diesel tu ikut outlet
di tangki, nak minta tolong siapa ya?” tanya Aira.
“Payahnya, saya juga dah on the way balik rumah. Apa kata Aira
telefon Fazril. Sekurang-kurangnya dia boleh minta kontraktor site service untuk
tolong Aira. Mereka bekerja sampai pukul 6 petang,” cadang Encik Zarif.
“Okeylah kalau macam tu. Terima kasih Encik Zarif,” ucap Aira.
“Sama-sama,” balas Encik Zarif kemudian memutuskan talian.
Hendak tak hendak terpaksa
jugalah Aira tebalkan muka menelefon si Fazril, pakwe tidak jadi ini untuk
membantunya.
“Assalamualaikum…” Suara Fazril seakan terketar pula. Mahu sahaja Aira tergelak
mendengarnya.
“Waalaikumussalam Encik Fazril. Hmm… ini Aira cakap.”
Aira sengaja memperkenalkan dirinya. Pasti sahaja Fazril tahu siapa yang
menelefonnya. Seingat Aira, Fazril ada nombor telefonnya kerana mereka pernah
bertukar nombor.
“Aira? Er… ada apa ya?” tanya Fazril seakan terkejut. Bukan pura-pura terkejut, memang terkejut
bangat!
“Aira nak minta tolong. Boleh tak Encik Fazril telefon kontraktor site
service untuk tolong Aira dekat stesen Petronas berhampiran UNITEN?
Aira terisi diesel dalam kereta. Ni nak minta tolong keluarkan diesel ikut outlet
di tangki minyak.” Terus sahaja Aira bercakap tanpa sempat Fazril bertanya lanjut.
“Okey, Aira tunggu dekat situ. Nanti saya minta bantuan kontraktor site
service,” janji Fazril.
“Terima kasih Encik Fazril,” ucap Aira kemudian menarik nafas panjang. Baru perasan tadi
bercakap dalam satu nafas. Patutlah semput semacam.
“Sama-sama,” ucap Fazril.
Aira
berasa lega apabila dapat menghubungi Fazril. Tidak lama selepas itu, telefon
Aira berbunyi. Tertera di skrin nama Fazril. Segera Aira menjawab panggilannya.
“Ya Encik Fazril, macam mana?” Aira terus bertanya.
“Dalam 15 minit begitu, Ah Chong akan sampai tolong Aira,” ujar Fazril.
“Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak Encik Fazril,” ucap Aira.
“Sama-sama,” balas Fazril.
Tidak
berapa lama menunggu, akhirnya kontraktor site service datang dengan
menaiki van.
“Kenapa ni kakak, sampai terisi diesel?” tanya Ah Chong menghampiri Aira.
“Nak buat macam mana, asyik teringat dekat awak saja sampai tak sedar
terisi diesel.” Saja Aira bergurau.
“Ini hal kecil saja,” ujar Ah Chong sambil mengarahkan pekerjanya berbaring
menyusup ke bawah kereta untuk membuka outlet di bahagian bawah tangki
minyak. Dapat dua tong besar jugalah diesel yang dikeluarkan.
Selepas
itu Aira membeli RM 20 petrol dan diisi ke dalam tong yang mereka bawa kemudian
memasukkannya seperti biasa ke dalam tangki minyak menggunakan corong.
Seketika
baru Aira menghidupkan enjin. Susah jugalah enjin hendak dihidupkan. Apabila
enjin sudah hidup, semput-semput pula. Asap kereta jangan cakaplah, hitam
sehitam-hitamnya.
Setelah
semuanya okey, kontraktor site service pun berangkat pergi. Aira
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka. Kemudian Aira pun memandu
kereta bergerak semula ke pam minyak untuk mengisi petrol lagi.
Sepanjang
perjalanan balik, kereta Aira memang semput teruk. Apabila melalui jalan
berbukit, pasti enjin kereta akan mati dengan tiba-tiba. Terkial-kial Aira
menghidupkan enjin sampai kena hon dengan kereta yang di belakangnya. Aira rasa
geram juga apabila ada yang sengaja bunyi hon berkali-kali. Itu yang buat dia bertambah bengang.