ESOKNYA Aira terpaksa
datang lewat ke tempat kerja.
Keretanya terpaksa dihantar ke bengkel
kerana asyik semput sahaja. Pagi-pagi lagi Aira telah menelefon Kak Leha
mengatakan yang dia akan lewat masuk pejabat. Sudahnya terpaksa jugalah dia membuat penyelenggaraan kereta walaupun perjalanan belum mencecah 5000 km lagi.
“Akak ni kenapa? Asyik tengok saya buat kerja saja?” soal mekanik yang telah lama perasan
Aira asyik memerhatikannya ketika membuat kerja.
“Yalah nanti lain kali akak boleh buat sendiri, jimat RM50...” jawab Aira selamba.
Padahal, manalah Aira ada peralatan untuk menukar minyak enjin. Hendak tukar tayar yang
pancit pun tidak lulus. Inikan pula hendak tukar minyak enjin atau palam
pencucuh.
“Akak ni… biar betul?” tanya mekanik itu seakan terkejut.
“Yalah, kau ni sikit-sikit punya kerja pun nak charge,” balas Aira.
Kelihatan
lelaki yang duduk di bahagian tepi bengkel hanya tersenyum melihat gelagat
Aira. Perempuan-perempuan, macam itu punya perangai pun ada?
“Akak punya karburetor dah teruk la. Sudah tiba masanya untuk
ditukar baru,” cadang si mekanik.
“Apa ke bendanya tu?” tanya Aira.
“Akak mari sini, boleh saya tunjukkan.” Si mekanik tunjuk yang mana satu karburetor yang dimaksudkan.
“Berapa harganya?” tanya Aira. Apa-apa pun kena tahu harga dahulu.
“Akak nak original or oricina?” tanya si mekanik sambil tersenyum.
Aira yang mendengarnya terasa pelik dan lucu pula.
“Apa bezanya?” tanya Aira.
“Original tu biasalah pasti mahal sikit. Tapi kalau oricina tu kira cap
ayam la…” jawabnya sambil tertawa.
“Kalau macam tu baik tak payah,” jawab Aira. Ingatkan apalah oricina
itu, rupanya barangan tiruan. Nasib baik juga hendak ambil tahu. Kalau tidak,
buta-buta sahaja kena kelentong.
“Kalau tak nak tukar pun masih okey tapi karburetor akak ni dah kotor, kena cuci…” saran mekanik pula.
“Kau ni sengaja nak kenakan akak, kan? Sekejap suruh tukar lepas tu boleh
cuci pulak,” marah Aira.
“Dah akak tak nak tukar, nak cadang apa lagi selain cuci aje karburetor tu.”
“Tak payah, lain kali aje. Dengan akak pun kau nak kelentong. Itulah
inilah…” marah Aira.
“Akak ni kerja jurutera ke jurudera?” Saja si mekanik hendak melawak.
“Dah, bak kunci, banyak cakap pulak” minta Aira.
“Akak ni kenapa garang sangat, boyfriend lari ke?” tanya si mekanik sengaja hendak bagi
Aira berasap.
“Eh, kau jangan cakap banyak ya, nanti kena sebiji,” marah Aira.
Banyak songeh pula budak ini, gumam Aira.
“Akak ni bila marah lagi cun la pulak,” balasnya pula.
“Maaf ya, tak ada pulak duit pecah nak bagi kat kau. Pelempang nak?”
Si mekanik hanya tersenyum dengan
gelagat Aira.
Setelah
membuat pembayaran, Aira segera menuju ke pejabatnya. Dia perlu segera
sampai ke pejabat kerana petang nanti ada mesyuarat bersama Puan Aishah. Kenalah sediakan laporan status kerja-kerja
pembaikan di boulevard. Walaupun laporan memang sudah siap, namun masih
perlu disemak dan dikemas kini.
Tiba
di lobi pejabat, Aira terserempak pula dengan si Fazril. Terpaksalah berbahasa
apabila sudah ada yang sudi menolong. Kalau tidak, susah juga Aira kena
menghubungi bengkel berhampiran. Itu pun belum tentu mereka akan datang dengan
segera. Kalau datang pun pasti dia akan dikenakan bayaran yang tidak
munasabah.
“Thanks ya Encik Fazril sebab tolong Aira pasal semalam,” ucap Aira sambil mengukir senyuman.
“Tak ada hallah. Kereta Aira macam mana sekarang?” tanya Fazril pula.
“Baru hantar ke bengkel buat penyelenggaraan sebab enjinnya semput pulak,” jawab Aira kemudian berlalu. Terpaksalah dia segera beredar nanti ada
pula yang nampak. Tidak pasal-pasal jadi bahan gosip pula, baiklah dielakkan.
Sebaik
sampai di meja Aira, terkejut dia dibuatnya apabila mendapati ada sejambak
bunga di atas mejanya. Kalau bunga biasa okey lagi, tetapi siap dimasukkan dalam
pasu yang cantik juga. Bunga ini memang untuk dia atau ada yang tersalah
letak? Hendak tanya rakan-rakan, tiada siapa pula yang ada di pejabat ketika
ini.
Siapa
pulak yang memberi bunga ini? Aira tertanya-tanya. Dia tidaklah teruja sangat
apabila ada yang memberi bunga. Bunga di site pun melambak dan Aira tak
pernah ambil peduli pun. Namun persoalannya, siapa gerangan yang memberi bunga?
Mungkin Kak Leha sahaja yang tahu sebab dia selalu ada di pejabat. Dibuatnya
Kak Leha tidak tahu, satu kerja pula untuk Aira menjawab soalan-soalan
cepumasnya.
Sudahnya
Aira mengalihkan pasu bunga tadi dan meletakkannya di atas kabinet belakang
agar tiada yang perasan dan bertanya. Tetapi mesti ada yang perasan. Meja kerja
Aira adalah tempat yang paling simple dan hanya ada benda-benda asas
untuk membuat kerja sahaja.
Sesiapa
pun yang sekilas pandang pasti ternampak pasu bunga itu walaupun di atas
kabinet belakang. Ini yang buat Aira tidak senang duduk. Tiba-tiba baru perasan
ada kad di celah bunga. Aira segera membaca catatan ringkas yang dicoretkan.
Untuk
bunga pujaan, daripada kumbang ladybirds yang setia menanti…
Tersenyum
Aira membacanya, namun hati Aira tetap terasa pelik dan berdebar-debar. Kad yang
dibaca segera dilipat dan disorok ke dalam pasu bunga. Takut ada yang tahu dan
membacanya pula.
Siapa pula yang hendak bermain teka-teki dengan Aira? Baru
Aira teringat Kak Leha pernah bercerita tentang cinta, pokok dan bunga, masakan
Fazril pula yang beri? Tidak mungkin mamat penyegan itu termakan dengan
kata-kata Kak Leha andai Kak Leha turut memberitahu Fazril perkara yang sama?
Ini yang buat Aira musykil.
Sudahlah
ketika tiba tadi tiada sesiapa di pejabat dan semasa hendak masuk tadi
terserempak dengan Fazril. Kalau Fazril yang beri, mesti dia gelabah sewaktu
bertemu Aira tetapi tadi dia biasa sahaja. Nampaknya hari ini Aira kena balik
lewat. Aira kena jadi orang terakhir keluar pejabat kerana dia tidak mahu
sesiapa pun ternampak apabila diri membawa balik bunga tersebut.
Kalau
bunga masih dibiarkan di atas kabinet, lagi banyak cerita yang akan keluar.
Bermula cerita Aira terima sejambak bunga daripada orang yang tidak dikenali,
terus cerita bertukar kepada Aira terima sepasu bunga dari kekasih hati! Lagi
parah.
“Amboi, bukan main lagi duduk termenung? Teringat pakwe ke?” tegur Kak Leha sampai pen yang Aira
pegang terlepas dari tangan dan jatuh ke lantai.
Aira mengurut dada sambil
menggeleng kepala. “Kak Leha ni… kalau sehari tak buat Aira terkejut, memang tak sah,” sungut Aira.
“Dari jauh Kak Leha tengok Aira asyik termenung panjang, kenapa?” tanya Kak Leha ingin tahu.
“Tak ada apa-apalah Kak Leha.” Sengaja Aira hendak berselindung.
“Eh, mana hilangnya bunga yang ada di atas meja Aira?” tanya Kak Leha buat Aira gelabah
pula.
'Kak Leha ni memang tak habis-habis terlebih prihatin,' detik Aira dalam hati.
“Kak Leha tahu ke siapa yang beri bunga tu?” Memandangkan Kak Leha sudah maklum pasal
bunga itu, pasti Kak Leha tahu siapa yang memberinya.
“Siapa lagi? Kumbang ladybirds la,” jawab Kak Leha sambil tersenyum
simpul. Kak Leha ni, sempat curi baca juga, Aira berkata dalam hati.
“Kak Leha tahu ke siapa gerangannya?” tanya Aira
sambil pandang wajah Kak Leha.
“Pulak?Patutnya Kak Leha yang tanya Aira siapa kumbang ladybirds
tu,” ujar Kak Leha
kemudian berlalu meninggalkan Aira termangu sendiri.
Sudahnya
Aira terdiam dan tidak terkata. Lupakan sajalah, buat pening kepala saja andai
terus memikirkannya. Orang sudah sudi memberi, terima dan hargai sahaja.