“HELO Kak Sha, Aira ni.” Sebelah malamnyaAira terus menelefon Kak Sha. Dalam
keadaan begini hanya wajah Kak Sha yang terbayang. Kali ini Kak Sha yang dapat
diharap untuk monolongnya. Paling tidak memberi idea menyelesaikan masalah.
“Ha Aira, tak pernah-pernah telefon Kak Sha, malam-malam pulak tu,” tanya Kak Sha pelik.
“Kak Sha kena tolong Aira kali ini. Tak boleh tidak,”
tegas Aira seakan mengarah pula, padahal dia yang hendak meminta pertolongan.
“Angin tak ada, ribut tak ada, kenapa macam kucing nak beranak?” tanya Kak Sha. Terkejut juga Kak Sha
apabila tiba-tiba Aira menelefon dalam keadaan kalut begini.
“Kak Sha, Aira tak nak berkahwin dengan Abang Lokman.Kak Sha kena tolong,” rayu Aira.
“Ni apa cerita sebenarnya?” tanya Kak Sha.
“Ibu Aira ada telefon, petang tadi Abang
Lokman datang ke rumah membawa hajat,”terang Aira.
“Oo… ini kes tak nak berkahwin dengan duda beranak tiga la ya?”
usik Kak Sha.
“Kak Sha ni…. Aira tengah tension, dia buat lawak pulak. Anyway,
bagaimana Kak Sha tahu Abang Lokman dah jadi duda?” tanya Aira
kehairanan. Dia sendiri pun baru tahu, itu pun ibu yang memberitahunya.
“Kampung kitakan sebelah menyebelah?Tulah…dulu Kak Sha rekomen bos Kak Sha,
Aira tak nak, jual mahal konon,” perli Kak Sha.
“Kak Sha ni… bukannya nak menyelesaikan masalah, nak tambah masalah pulak,”
rungut Aira.
“Okeylah. Aira nak Kak Sha buat apa sebenarnya? Cuba cerita sikit.”
Kak Sha cuba mententeramkan Aira yang resah tidak menentu.
“Ibu dan abang long akan terima hajat Abang Lokman melainkan Aira
dah ada calon sendiri. Alasan belum sedia nak kahwin dah tak boleh pakai. Macam
mana ni Kak Sha?” tanya Aira kerisauan.
“Alamak! Susahlah kalau macam tu.”
“Tulah buat Aira pening. Ibu kata Abang Lokman akan hantar wakil cuti
merdeka nanti, melainkan kalau Aira dah ada pilihan hati, ibu akan beritahu
Abang Lokman,” terang Aira.
“Sekarang dah masuk bulan Jun, maknanya dalam tempoh dua bulan ni, Aira
kena bawa calon la ya?”
“Tak sampai dua bulan pun sebab itu Kak Sha kena tolong Aira,
takut tak sempat nak cari saja,” ujar Aira dalam kerisauan.
“Susah-susah Aira kahwin dengan bos Kak Sha sajalah. Kesian Encik Zafri
tu, dah lama dia menunggu,” cadang Kak Sha pula.
“Kak Sha ni…asyik-asyik dia,” balas Aira.
“Habis tu Aira ada calon lain?” tanya Kak Sha pula. Dia tahu sangat, Aira bukannya ada
siapa-siapa di hati.
Zafri?
Sememangnya Kak Sha telah banyak kali bercerita kepada Aira pasal bos dia yang
satu itu. Tetapi Aira tidak pernah ambil pusing sangat. Paling-paling kirim
salam sahaja itu pun sekadar berbahasa. Fazril? Lagi tidak boleh pakai. Keluar
dengan dia pun tidak pernah, masakan terus ajak kahwin? Silap-silap mahu mati
terkejut mamat penyegan itu.
“Macam mana Aira? Kalau okey nanti Kak Sha suruh Encik Zafri masuk
meminang,” tanya Kak Sha.
“Eh! Kak Sha ni, janganlah cepat sangat. Buat malu Aira saja, jumpa pun
belum lagi. Tak apalah nanti Aira fikir dulu kemudian Aira telefon balik,”jawab Aira.
“Suka hati Airalah. Apa-apa hal cepat beritahu Kak Sha tau. Kerja kahwin
ni bukan boleh buat cincai-cincai. Sekali seumur hidup,” ujar Kak
Sha.
“Yalah Kak Sha…thanks.”
PENING-PENING.
Sempatkah aku mencari calon sebelum cuti merdeka ni? Kenapalah Abang Long
hendak aku berkahwin dengan Abang Lokman, macamlah tidak ada orang lain? Tapi
kalau orang lain, siapa pulak?
Apalah yang istimewa sangat dengan Abang
Lokman ni? Dia bukannya sebaya aku, dah empat puluhan. Alahai… aku pun bukannya
muda lagi. Diri pun bukanlah secantik mana sampai disamakan dengan minah Indon
pula. Uban pun sudah menampakkan diri nasib baik pakai tudung. Aira berbicara
sendiri.
Mentang-mentanglah
pernah tinggal sekampung, suka-suka sahaja Abang Lokman ini terus berjumpa
keluarga Aira tanpa memberitahu dia pun. Ini yang membuat dia bertambah
bengang. Masakan kemaruk sangat hendak kahwin lagi? Kubur isteri pun masih
merah lagi sudah hendak cari pengganti.
Ada
kalanya Aira pun tidak faham dengan perangai lelaki ini. Ada yang baik, baik
sangat sampai kena controldengan isteri sendiri. Namun ada juga yang
pijak semut pun tidak mati. Di hadapan isteri punyalah baik dan alim. Belakang
isteri bukan main mata keranjang sampai tidak sedar anak sudah berderet-deret
tetapi masih hendak menggatal.
Abang
long pun satu, kenapa dia pula yang sibuk-sibuk tentang hidupnya. Dia bukan
menyusahkan abang long pun. Inilah susahnya apabila dapat abang yang garang dan
tidak memahami langsung. Aira sedar tanggungjawab sebagai wali amat berat juga. Namun, Aira bukanlah budak kecil yang
perlukan perhatian sangat. Inilah yang buat fikiran Aira semakin buntu.
ZAFRI? Diakah calon yang
paling sesuai? Hendak cari calon lain memang tiada. Tiba-tiba Aira teringat
ketika mula-mula Kak Sha bercerita pasal bosnya akhir tahun lepas.
“Aira, Kak Sha ada cerita sikit, jangan terkejut pula,”beritahu Kak Sha pada suatu hari.
“Kak Sha ni buat Aira saspens saja.”
“Sebenarnya ada orang telah
berkenan dengan Aira.”Kak Sha berterus terang.
“Jangan berguraulah Kak Sha.” Walaupun turut terkejut, namun Aira berlagak selamba.
“Kak Sha serius ni. Dia seorang lelaki yang budiman, baik, pendek kata
beruntunglah Aira kalau jadi pasangannya.”
Aira
terdiam. Tidak tahu hendak kata apa.
“Hai, tak nak tahu ke siapa orangnya?” tegur Kak Sha apabila Aira pura-pura
buat tidak reti.
“Hmm…siapa?” Akhirnya Aira bersuara. Hendak tahu jugalah siapa gerangannya, tetapi still
control jelita. Takut Kak Sha perli gatal hendak berkahwin pula.
“Ryan Az Zafri, bos Kak Sha.”
Jawapan
Kak Sha buat Aira terkejut. Apa tidaknya, sebelum ini Kak Sha mana pernah
cerita pasal kerja, inikan pula pasal bosnya kepada Aira. Namun, mendengar
namanya saja buat Aira tertanya-tanya pula.
“Bos Kak Sha? Mengarutlah. Jumpa pun tak pernah macam mana pulak boleh
berkenan dengan Aira?” tanya Aira kemudiannya.
“Mengarut apa pulak? Kak Sha cakap betul ni. Serius bukan main-main.”
“Kak Sha, mana ada orang berkenan dengan seseorang yang dia tidak pernah
jumpa? Lainlah kalau dia buta.”
“Aira ni…tak baik cakap macam tu, kesian bos Kak Sha,” marah Kak Sha.
“Yalah…macam mana dia boleh berkenan dengan Aira sedangkan kenal Aira pun tidak,
apatah lagi berjumpa.”
“Hidup ini memang pelik. Kadang-kadang ada orang jatuh cinta hanya
mendengar suaranya. Ada tu pulak hanya mendengar cerita dah jatuh hati macam
bos Kak Sha tu...”terang Kak Sha.
“Kak Sha cerita apa pada dia?” tanya Aira.
“Adalah, kalau tidak masakan bos Kak Sha boleh jatuh hati pada Aira,” cerita Kak Sha buat Aira tidak
keruan.
“Bos Kak Sha tu kurang bijak atau kurang betul?” tanya Aira pelik.
“Tak baik Aira cakap bos Kak Sha macam tu. Dia tu sudahlah tinggi, baik
hati, handsomedan yang penting gentleman gitu.”
“Gentleman ke gilaman?” Saja Aira hendak berlawak.
“Teruknya Aira ni. Nanti betul-betul berkahwin dengan lelaki yang gilaman
baru padan muka.”
“Kalau dah bagus sangat, kenapa tak Kak Sha aje yang kahwin dengan dia?”
“Ke situ pulak? Habis tu Abang Fadil Kak Sha nak letak mana? Silap hari
bulan masuk mahkamah pulak. Suka-suka hati Aira saja cakap ikut sedap mulut!”
marah Kak Sha.
“Yalah, asyik puji sakan bos Kak Sha tu.”
“Dah orangnya baik, buat apa nak kutuk pulak.”
“Baik-baik dia pun masakan boleh jatuh hati pada orang yang dia tak pernah
jumpa?”
“Okeylah, sebenarnya dia pernah tertengok Aira sebab tu dia jatuh hati.”
“Hah? Masa bila pulak?” tanya Aira, terkejut.
“Tak adalah, sebenarnya dia pernah tengok gambar Aira kat rumah Kak Sha.
Tu yang buat dia jatuh hati,” terang Kak Sha.
“Gambar yang mana ?”
“Alah, gambar masa kita pergi Butchart Gardens tu.”
“Masakan sebab tengok gambar dah boleh berkenan? Aira tak percayalah benda-benda
mengarut macam ni.”
“Tulah yang susahnya kalau bercakap dengan orang yang keras hati ni.”
“Suka hati Kak Shalah anyway kirim salam Aira pada bos Kak Sha tu
ya,” kata Aira
bergurau.
“Kalau Aira sendiri yang beri salam tu, mahu melompat bos Kak Sha,” saja Kak Sha menyakat Aira.
“Yalah tu…” ucap Aira mengakhiri perbualan.