Home Novel Komedi/Romantik Komedi Alahai, Mat Salih!
Bab 23

HARI ini, Aira pergi ke pejabat agama untuk melengkapkan prosedur perkahwinan yang masih belum disempurnakan. Dia ditemani Abang Long Azwan, ibunya dan Kak Sha. Dia sebenarnya terhutang budi dengan Kak Sha yang selama ini banyak membantu.

Petang semalam, pukul 5.00 petang, dia terus bertolak ke kampung. Tak bawa apa-apa pun sebab di kampung memang masih ada bajunya dan barangan peribadi yang lain.

Sebenarnya sejak semalam lagi Aira bagai tidak senang duduk. Kerja banyak di pejabat, namun terpaksa juga ambil cuti kecemasan balik kampung.

Padahal, andai Aira tidak ikut sekalipun tidak mengapa. Cuma bahagian saksi yang masih belum lengkap lagi. Selebihnya dia malas hendak bertekak dengan abang long yang masih marah dengannya kerana tidak balik sewaktu rombongan peminangan tempoh hari.

Aira memang tidak berniat langsung hendak membuat abangnya marah. Sudah terpaksa bekerja pada hari cuti umum dan tidak dibenarkan bercuti, dia hendak buat bagaimana? Sudahnya Aira hanya pekakkan telinga. Namun Aira turut terasa pelik, Kak Sha pun abang long paksa datang sekali. 

Menunggu kehadiran Zafri dan rakannya di pejabat agama bagai menunggu buah yang tidak gugur-gugur pula. Janji pukul 11 pagi, namun kini sudah lewat 10 minit. Aira tetap keresahan walaupun berkali-kali dia cuba menenangkan dirinya malah kini semakin berdebar-debar pula.

“Alah Aira, tak payahlah asyik-asyik tengok jam tu. Jangan risau, Zafri dah nak sampai. Baru lewat 10 minit bukannya 10 jam.” Kak Sha bersuara memecah kesunyian. Macam tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikiran Aira.

“Kak Sha ni, orang dahlah tengah risau,” balas Aira pula.

Aira memang sudah tidak dapat menyimpan kerisauannya lagipun dia saspens hendak berjumpa Zafri sebenarnya. Dia pun bagai tidak percaya diri boleh buat kerja gila begini semata-mata hendak lari dari duda beranak tiga.

“Risau apanya?” tanya Kak Sha pula sedangkan sebelum ini Aira okey saja.

“Yalah… Aira dahlah tak berapa kenal dia, jumpa pun tak lagi. Sudahnya terus jumpa di pejabat agama pulak,” rungut Aira. Nasib baik hanya Aira dan Kak Sha saja di situ. Puan Ainun ke bilik air.

Sebelum ini Kak Sha dan abang long yang banyak membantu menguruskan dokumentasi untuk melengkapkan semua borang berkaitan prosedur perkahwinan bagi pihak Aira dan Zafri. Mereka berdua sememangnya sibuk dengan tugas masing-masing. 

“Dah korang berdua asyik sibuk memanjang mengalahkan menteri, siapa suruh? Penatnya saja Kak Sha aturkan dari satu pertemuan ke satu pertemuan, tapi akhirnya asyik batal memanjang. Ada saja alasan!” Kak Sha mengomel pula tatkala Aira bagai cacing kepanasan.

Tidak dinafikan, Kak Sha sudah banyak kali mengatur pertemuan antara Zafri dan Aira, namun ada sahaja yang menghalang. Entahlah! Sebenarnya dalam keadaan begini, Aira sudah malas hendak fikir. Dia hanya berharap agar cepatlah masa berlalu.

“Assalamualaikum…sorry  lewat sikit.” Kedengaran suara seorang lelaki menyapa.

“Waalaikumussalam…Its okay boss, still on time.” Jawapan salam dari Kak Sha mengejutkan Aira. Dia curi-curi pandang, hendak tahu juga gerangan yang bersuara. Kelihatan tiga jejaka segak siap bersongkok, namun yang mana satu adalah Zafri? Aira tertanya sendiri.

“Okey, semua dah ada, bolehlah kita jumpa pegawai.” Azwan yang tiba-tiba muncul bersuara. Tadinya dia keluar sekejap kerana ada panggilan telefon dari rakannya. 

'Yang mana satu Zafri ni? Yang sorang tu macam pernah tengok saja,' detik hati Aira. Hendak tanya Kak Sha tidak sempat pula. Akhirnya Aira mengekori mereka menuju ke pejabat.

Azwan menyerahkan semua dokumen yang dibawa kepada pegawai agama. Kemudian pegawai agama tadi meneliti semua dokumen yang diberikan. Tidak lama selepas itu barulah pegawai itu bersuara.

“Baiklah nampaknya semua dokumen dah lengkap, tinggal tandatangan saja lagi,” ujar pegawai agama setelah berpuas hati dengan dokumen-dokumen yang diberi.

“Encik, memandangkan semuanya ada di sini, saksi ada, dokumen pun sudah lengkap. Kalau akad nikah sekarang boleh tak?” Tiba-tiba Azwan bersuara. 

Bagai hendak gugur jantung Aira apabila mendengarnya. Rasa macam hendak pitam di situ juga.

“Apa salahnya, lagi baik,” jawab pegawai yang bertugas. 

Ah, sudah! Abang long ini memandai sahaja buat keputusan. Aira ingin membantah, namun mulutnya seakan terkunci pula.

“Bagaimana Zafri?” tanya Azwan. 

Zafri terpinga-pinga. Sekejap memandang Azwan, sekejap memandang Aira dan berharap agardia berkata sesuatu. Nampaknya Aira senyap dan hanya menundukkan kepalanya.

Dalam kekalutan Zafri tersenyum. Seperti apa yang telah terucap, Zafri sudah tidak terkata. Dia betul-betul tidak sangka malah rasa gembira sangat. Diam tandanya setuju. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tawaran yang diberikan tidak sesekali akan dilepaskan.

“Kalau semua orang dah setuju, saya okey saja.” Akhirnya Zafri memberi keputusan. 

Di saat itu Aira bagai tidak terkata apatah lagi setelah menyedari lelaki yang mana satu adalah Zafri. Dia? Betul ke dia yang akan jadi suamiku? Aira bagai tidak tentu arah. Patutlah Kak Sha kata Zafri pernah jumpa Aira.

Akad nikah berjalan lancar dengan berwalikan Azwan. Puan Ainun terus memeluk Aira sebaik akad nikah selesai. Air matanya mengalir kegembiraan. 

Tiba-tiba Aira juga jadi sebak. Entah kerana sedih, entah kerana terkejut dengan apa yang terjadi. Lain yang dirancang, lain pula yang berlaku.

Fikirannya sudah bercelaru. Hari ini sepatutnya cuma pergi ke pejabat agama untuk menghantar dokumen dan melengkapkan bahagian saksi yang perlu ditandatangani di depan pegawai. Tidak sangka bertukar jadi hari pernikahan pula.

Sebenarnya dia tidak sedia apa-apa pun. Macam mana kalau Zafri bermalam di rumahnya? Susah kalau macam ini. Sudahlah semua benda tidak sedia lagi, aduh macam mana ni? Aira berkira-kira sendiri.

“Zafri, nanti terus ke rumah tau. Kawan-kawan Zafri jangan lupa jemput datang sekali. Malam ni ada kenduri doa selamat.” Azwan bersuara ketika bersalaman dengan Zafri dan dua orang rakannya.

'Ada kenduri doa selamat? Di rumah tidak nampak apa-apa pun persediaan, alih-alih malam ni ada kenduri doa selamat? Apakah awal-awal lagi abang long telah merancang semua ini tanpa pengetahuan aku?' Aira tertanya sendiri.

“Tahniah Aira. Semoga berbahagia hingga ke akhir hayat,” ujar Kak Sha sambil memeluk Aira.

“Terima kasih Kak Sha, tapi macam mana boleh jadi macam ni? Kak Sha tahu ke?” tanya Aira berbisik. 

Kak Sha menggeleng. “Tulah, nak sangat kahwin simple-simple…Tuhan beri sungguh! Siap kahwin di pejabat tok kadi lagi. Haha…tak pernah dibuat orang,” perli Kak Sha sambil tersenyum.

“Sampai hati Kak Sha kenakan Aira,” ujar Aira pula. Aira cuba menyejukkan hatinya yang hangat dengan keputusan Azwan sebentar tadi. 'Aku ni kahwin apa sebenarnya? Ni mengalahkan kahwin koboi!' Aira berbicara sendiri.


SEBELAH malamnya, kenduri doa selamat berjalan dengan lancar. Sekali dengan majlis tahlil untuk arwah ayah Aira.  Dia masih tidak percaya dirinya kini telah bergelar isteri. Rasa bagai dalam mimpi pula. Memang dia tidak duga langsung begini sudahnya.

Selama ini Aira tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya siapalah yang akan menjadi jodohnya. Alih-alih dalam sekelip mata dia telah berkahwin dengan Zafri, lelaki yang tidak begitu dikenalinya walau memang mereka pernah bertemu dan pernah bertentang mata. Paling tidak dia sangka, rupanya Zafri adalah anak Melayu kacukan. Nasib baiklah handsome. Kalau tidak, memang Aira tembak sahaja Kak Sha itu.

Mengenang bagaimana pertama kali berjumpa Zafri, boleh buat Aira tidak lena tidur. Segan ada, malu pun ada. Bagaimana dia hendak menghadap Zafri hari-hari?

Bagaimana kalau Zafri tahu sebenarnya dia ada agenda tersembunyi? Bagaimana kalau Zafri tahu sebenarnya dia tidak benar-benar ikhlas menjadi isterinya? Terlukakah lelaki itu? Namun yang sering menjadi persoalan Aira ialah kenapa Zafri beria-ia hendak berkahwin dengannya? Apa sebenarnya?


Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.