BAGAI
tidak percaya pula apabila mat salih itu tidak kisah meminjamkan kereta Mini Cooper miliknya
kepada Aira. Terasa diri bagai orang kaya baru pula ketika memandu kereta mewah
ini. Walaupun kecil, namun memang sedang elok untuk diri Aira. Selesa dan
seronok sekali melaram kereta Mini Cooper walaupun sebenarnya hanyalah sebuah
kereta pinjam. Aira tersenyum meleret sambil memandunya.
'Cerita
pasal mat salih yang handsome itu, kenapalah aku lupa minta nombor
telefon dia? Ni kena tunggu dia telefon pulak. Macam mana nak mengurat kalau dah
nama dan nombor telefon pun tak tahu? Silap betul.' Aira mengutuk diri sendiri, namun masih tersenyum lebar bagai orang angau pula. Tidak dapat orangnya, dapat
merasa naik keretanya pun jadilah. Nanti-nanti carilah jalan untuk menguratnya.
Apabila
teringat renungan mata mat salih itu, memang buat Aira tersenyum sendiri.
Sesiapa jua pasti akan tertawan lebih-lebih lagi senyumannya yang manis. Tidak
dinafikan boleh buat hati bergetar juga. Sudah-sudahlah tu Aira, awak tu pipit
jangan nak berangan lebih-lebih. Dia mengingatkan diri sendiri kemudian
tersenyum lagi.
Asyik
sangat berangan, Aira terlepas pula simpang masuk ke stesen Petronas di Seksyen
4. Terpaksalah dia berpatah semula. Apabila terpandang Amy, dia segera
membunyikan hon. Amy yang sudah perasan segera menuju ke kereta.
“Amboi, bukan main lagi!” tegur Amy sambil masuk ke dalam kereta.
“Kau tak tahu betapa handsomenya pemilik kereta ni. Silap hari
bulan boleh tak makan seminggu.” Saja Aira berlawak. Tetapi memang betul pun apa yang dia cakap.
“Apa lagi? Senang-senang nanti ajaklah dia keluar tapi jangan lupa ajak
aku sekali. Aku pun nak tengok juga sejauh mana rupa mat salih handsome
tu,” saran Amy pula
sambil mengukir senyuman.
“Tak seronoklah kalau berdating ada orang lain ikut sama,” jawab Aira pula.
“Tak sangka pulak teruk juga perangai kau ni, Aira. By the way, apa
nama mat salih tu? Dia beri nombor telefon tak?” tanya Amy seakan tidak sabar-sabar
pula. Dia pun hendak tahu juga.
“Ini yang malas nak cakap tu. Berangan nak mengurat dia, tapi boleh terlupa
pulak tanya nama dan minta nombor telefon dia,” keluh Aira.
“Apalah kau ni Aira! Cerita bukan main tapi tindakan lembap,” kutuk Amy pula.
“Tak apalah. Sekurang-kurangnya aku dah bagi nombor telefon aku pada dia,” jawab Aira. Dia bercakap macamlah
mat salih itu akan telefon dia.
“Jawabnya lepas kereta kau siap dibaiki baru dia nak telefon kau.
Dibuatnya setiausaha dia atau pemandu dia yang telefon kau, kan dah melepas?” ujar Amy pula yang turut berasa
hampa.
“Tu yang buat aku terkilan ni. Nak pergi jumpa balik, nampak sangat muka
tak malu,” balas Aira kemudian ketawa kecil. Memang dia tidak akan buat pun. Saja
hendak menggembirakan hatinya sendiri.
“Nanti kau hantar aku dekat stesen komuter UKM dahlah. Tak payahlah kau
nak hantar aku sampai ke rumah,” sambung Amy. Sebolehnya dia tidak mahu menyusahkan
sahabatnya itu.
“Kau ni Amy, dah alang-alang melaram dengan Mini Cooper ni, dengan senang
hatinya aku sanggup menghantar kau sampai ke depan pintu rumah. Lagipun mat
salih tu beri kad petrol sekali,” ujar Aira sambil tersenyum. Selepas ini, hendak ke mana-mana
pun dia tidak risau.
“Ya ke? Kalau macam tu, jom kita makan dulu tiba-tiba rasa lapar,” ajak Amy pula.
Sememangnya
Amy masih belum makan tengah hari lagi, begitu juga dengan Aira. Sudahnya
mereka berdua singgah makan di restoran yang terletak di Seksyen 7. Berselera
sekali mereka berdua makan nasi campur di restoran yang terkenal dengan masakan
ayam kampungnya.
Setelah
menghantar Amy ke rumahnya di Sri Gombak, Aira terus balik ke apartmennya di
Kajang. Memang Aira seronok melaram Mini Cooper pinjam ini, namun badan
tetap terasa penat juga.
Sampai
di rumah, Aira terus membersihkan diri dan bersolat. Usai solat, tanpa membuang
masa Aira terus berbaring di atas katilnya. Sekejap sahaja matanya terus
terlelap dek kepenatan yang amat sangat.