CUTI
hujung minggu Aira berehat di rumah sahaja. Walaupun Kak Sha dan rakan
yang lain ada juga mengajaknya keluar bertemu mereka, namun Aira memang malas
hendak berjalan-jalan. Dia memang jarang keluar kecuali ada hal mustahak atau
pun kerana ada barang penting yang perlu dibeli.
Sedang
Aira asyik melayan cerita di kaca televisyen, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Dia tersenyum apabila tertera
nombor telefon rumah di kampung. 'Pasti ibu yang menelefon,' detiknya.
“Assalamualaikum ibu,” ucap Aira memulakan bicara. Sudah lama juga dia tidak
bercakap dengan ibunya. Terasa sayu apabila ibunya pula yang menelefon. Padahal
anaklah yang sepatutnya kena bertanya khabar ibu di kampung.
“Waalaikumussalam, anak ibu sihat?” tanya Puan Ainun. Suaranya
kedengaran begitu ceria.
“Aira sentiasa sihat, ibu macam mana?”
“Alhamdulillah ibu sihat. Aira bila nak balik kampung? Tak rindu pada ibu
ke?” tanya Puan
Ainun buat Aira terkedu mendengarnya. Hampir sahaja air matanya menitis.
“Hmm…mestilah rindu tapi sekarang ni banyak kerja la ibu,” jawab Aira sambil cuba untuk tidak
bersedih.
“Yalah…
kalau ada cuti tu, baliklah jenguk ibu. Ibu hendak ke sana dah tak larat nak
naik turun bas.”
“Baiklah
ibu. Tengoklah macam mana.” Sebak pula
hati Aira mendengar bicara ibunya. Teringat ibunya pernah datang menjenguknya
dengan menaiki bas kerana Abang Long sibuk dan tidak ada masa hendak
menghantanya.
“Ibu sebenarnya ada hal nak cakap sikit dengan Aira...”
“Pasal apa ibu?” potong Aira bagai tidak sabar-sabar pula.
“Pasal Airalah.” Jawapan Puan Ainun buat Aira tertanya-tanya pula.
“Ibu ni,cakaplah
betul-betul buat Aira saspens saja,” ujar Aira sambil cuba
mententeramkan dada yang tiba-tiba rasa berdebar-debar.
“Sebenarnya petang tadi ada orang datang merisik Aira.” Puan Ainun memberitahu dengan tenang, namun Aira pula yang terkejut mendengarnya. Hampir sahaja telefon dalam
pegangannya terlepas.
“Apa, merisik Aira? Siapa?” Rasa macam hendak luruh jantung Aira mendengarnya. Ini yang dia tidak sedap hati dan tertanya-tanya.
“Alah, anak Mak Cik Bedah yang baru kematian isteri tu…” terang Puan Ainun.
“Anak Mak Cik Bedah?” tanya Aira. Mak Cik Bedah yang mana pula ni? Apabila sudah
lama duduk di Kajang, dia sudah lupa pula siapa yang ibunya maksudkan.
Siapakah gerangannya?
"Mak Cik Bedah yang mana lagi kalau bukan emak si Lokman tu.”
Jawapan Puan Ainun buat Aira
terduduk. “Maksud ibu, Abang Lokman?”
“Hmm…siapa lagi?”
“Kalau Abang Lokman, minta maaf banyak-banyak. Kalau orang lain boleh juga
Aira pertimbangkan.” Saja Aira memberi alasan padahal andai orang lain pun Aira masih belum
bersedia.
“Ini yang susah ibu nak cakap pada Aira,” tutur Puan Ainun bagai berteka-teki
pula.
“Susah apa pula? Cakap ajelah,” balas Aira pula walau sebenarnya
diri sudah tidak tentu arah.
“Abang Long dah cakap dengan ibu. Kalau boleh Abang Long nak cepat-cepat
kahwinkan Aira, risau bila Aira duduk jauh-jauh ni,” terang Puan Ainun.
“Eh! Abang Long ni, apa maksud dia?” tanya Aira yang sudah mula risau.
“Maksudnya, andai Aira tak ada calon lagi, Abang Long akan terima Lokman
sebagai adik iparnya,” jawab Puan Ainun.
“Abang Long ni, suka-suka dia saja nak buat keputusan. Ini tentang masa
depan Aira,” sungut Aira.
“Sekarang ni ayah dah tak ada. Aira kena ingat, Abang Long adalah wali
Aira. Ibu nak cakap banyak pun tak boleh juga.” Puan Ainun mengingatkan
Aira.
“Ibu kenalah tolong Aira. Aira memang tak nak kahwin dengan Abang Lokman
tu,” rayunya.
Biarlah tidak berkahwin langsung.
“Ibu okey aje, tapi kali ini Abang Long akan bertegas melainkan Aira dah
ada calon sendiri,” jawab Puan Ainun buat Aira bertambah tertekan. Bayang orang itu pun tiada, inikan pula
hendak bawa calon.
“Calon sendiri…” ujar Aira seakan bertanya pula. 'Siapa pulak calon yang hendak dibawa? Boyfriend
pun tak ada,' desis Aira.
“Aira kena cepatlah bawa calon sebelum cuti merdeka ni. Andai tak ada
apa-apa hal, keluarga Mak Cik Bedah hendak terus mengikat Aira.”
Jawapan Puan Ainun buat Aira
benar-benar tidak senang duduk. Perkataan mengikat itu yang buat Aira gerun
mendengarnya.
“Aira?” panggil Puan Ainun apabila mendapati anaknya senyap sahaja.
“Ya ibu…” Aira bersuara menandakan dia masih di talian.
“Macam mana ni? Aira kena beritahu ibu cepat sebelum keluarga Mak Cik
Bedah datang sekali lagi,” ujar Puan Ainun sambil menanti jawapan si anak.
“Okeylah nanti Aira telefon ibu balik,” janji Aira. Padahal dia langsung
tiada calon untuk dibawa berjumpa ibunya dan abang long.
Panggilan
dari ibunya sebentar tadi buat Aira seperti orang sasau pula. Apa yang Aira
risaukan, kini benar-benar terjadi. Sungguh tidak Aira duga rupanya Abang
Lokman benar-benar maksudkan apa yang pernah dia katakan kepadanya semasa di
Anjung, Putrajaya suatu ketika dahulu.
Patutlah
tempoh hari Abang Lokman beria-ia mengajaknya keluar makan. Ini yang membuat
Aira jadi tidak keruan malah fikiran turut berserabut.
Berdiri
salah, duduk pun tidak kena. Ingatkan cuti hujung minggu begini bolehlah
rehatkan badan dan minda dari masalah yang sering datang bersilih-ganti malah
bertambah kusut pula.
Aira
sedar, siapalah dirinya hendak menolak takdir. Andai diberi pilihan, dia lebih
memilih hidup sendiri dari menerima Abang Lokman. Pilih pasangan bukan macam
beli buah di pasar. Tidak suka buah masam, beli buah yang manis. Andai buah
yang dibeli berasa masam juga boleh
tukar dan ambil yang lain pula.
Dia bukanlah memilih sangat, tetapi sebolehnya tidak mahu menambah masalah.
Andai Abang Lokman tiada anak, mungkin dia boleh pertimbangkan. Malangnya
Abang Lokman sudah ada tiga orang anak. Elok-elok hidup selesa tanpa masalah
anak-anak, tidak pasal-pasal sakit jiwa dengan anak tiri pula. Memilih lelaki
yang bujang pun ada masalahnya inikan pula yang sudah beranak-pinak.
Aira
pun baru tahu rupanya isteri Abang Lokman meninggal dunia tidak berapa lama
selepas dia terserempak dengan abang Lokman. Entahlah, hidup ini memang pelik.
Jodoh yang kita tunggu dan pasangan yang kita cari tidak jumpa-jumpa. Namun
perkara yang kita hendak lari daripadanya, itu pula yang datang mengejar. Itu
pula yang muncul menghimpit ruang yang sedia sempit.
Sebelum
ianya semakin dekat menghampiri, baik Aira pecut laju-laju. Tidak kiralah apa
hendak jadi, tidak kisahlah apa cabaran yang kena ditempuh, yang penting dia
tidak berkahwin dengan Abang Lokman.